Keterpendaman Melayu: Ke Arah Nasionalisme Malaysia Terangkum (Bahagian 5/5)

Oleh: Muhammad Hafez Darwis

Keputusan PRK DUN Semenyih dan kerjasama antara UMNO dan PAS yang telah berlaku dan sudah pun termaterai secara rasmi pada 5 March 2019 yang lepas, pada hemat saya adalah suatu bentuk penzahiran kepada ‘keterpendaman Melayu’. Sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ ini adalah cita-cita nasionalisme Melayu yang tak kesampaian. Lantaran ketidaksampaian cita-cita itu, maka ianya disimpan dan terpendam di dalam hati tapi mampu diseru kembali, dibangkitkan dan dizahirkan bila sudah cukup ramuan, bahan serta kena dengan situasinya.

Untuk mengetahui apa yang saya maksudkan dengan nasionalisme Melayu yang terpendam sila rujuk bahagian kedua dan ketiga siri rencana ini.

Pada pandangan saya terdapat tujuh unsur yang membentuk nasionalisme Melayu. Untuk memahami dengan lebih jelas tujuh unsur yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu yang terpendam ini, sila rujuk bahagian keempat dalam siri tulisan ini.

Merujuk kepada ‘perkahwinan’ antara UMNO-PAS, unsur apakah daripada nasionalisme Melayu yang menjadi cita-cita mereka masih belum begitu jelas lagi buat masa sekarang. Apakah unsur cita-cita politik? Cita-cita ekonomi? Cita-cita agama? Budaya? Bahasa? Sejarah? Atau raja? Atau kesemuanya sekali menjadi cita-cita yang mendasari kerjasama antara UMNO dan PAS ini? Atau ada unsur yang menjadi fokus utama dan ada unsur yang menjadi fokus sampingan?

Walau pun kenyataan daripada kepimpinan kedua-dua parti menumpukan kepada aspek demi ‘penyatuan ummah’ tapi perincian tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘penyatuan ummah’ itu masih kabur dan belum ada agenda-agenda bersama yang diperincikan dengan jelas kecuali sebagai kerjasama politik untuk mengalahkan Pakatan Harapan bagi merebut kembali kuasa yang hilang.

Justeru itu, hanya masa yang akan menentukan sama ada jalinan kerjasama antara dua parti Melayu dan Islam terbesar ini mampu untuk menyatukan unsur-unsur nasionalisme Melayu yang berbeza yang diperjuangkan oleh parti masing-masing dan seterusnya kekal bertahan dalam kesatuan yang dibangunkan mereka itu. 

Kerja Buat Praktikal

Merujuk kembali kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) di PRK Semenyih, soalan yang lebih penting ialah pertamanya, apakah yang PH perlu lakukan untuk memastikan nasib di Semenyih tidak berulang di PRU15 nanti?; dan keduanya, apakah yang mampu PH tawarkan untuk menandingi tawaran cita-cita nasionalisme Melayu yang akan muncul hasil dari kerjasama UMNO-PAS ini?

Pada hemat saya jawapan untuk soalan pertama memerlukan kerja buat berbentuk praktikal, manakala jawapan untuk soalan kedua pula memerlukan kerja buat berbentuk intelektual. Kerja praktikal dan intelektual ini seharusnya berjalan seiring.

Kerja-kerja praktikal ini berbentuk jangka pendek dan bertujuan untuk memenuhi sebahagian besar daripada tuntutan para pengundi. Ianya adalah wajah luar PH yang perlu ditunjukkan secara jelas dan konkrit untuk memuaskan hati mereka yang telah mengundi PH pada PRU14 yang lalu.

Kerja buat praktikal ini telah pun banyak dibincangkan dan diajukan oleh ramai penganalisis-penganalisis politik yang lain.

Kerja buat yang paling utama yang disarankan oleh ramai penganalisis politik ialah menunaikan sebahagian besar daripada janji-janji yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan kepada pengundi pada PRU14 yang lepas. Daripada janji-janji berbentuk ekonomi hinggalah kepada janji-janji reformasi struktural dan institusi – sebahagian besarnya wajib ditunaikan.

Kerja-Kerja Intelektual

Namun begitu kerja buat pertama yang berbentuk praktikal itu pada hemat saya tidak mampu untuk mempertahankan PH dalam masa jangka panjang jika tidak didukung oleh kerja buat kedua iaitu kerja-kerja berbentuk intelektual.  

Kerja-kerja intelektual adalah penting sebagai suatu bentuk pendidikan jangka panjang kepada rakyat dan pada masa yang sama boleh dijadikan sumber pemikiran buat kepimpinan PH sendiri untuk menandingi wacana dan naratif nasionalisme Melayu yang ditawarkan oleh UMNO dan PAS, dua parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam ini.

Andaian saya, semakin dekat dengan PRU15 nanti, jika kerjasama antara UMNO dan PAS tidak pecah, sentimen ‘keterpendaman nasionalisme Melayu’ ini akan dipergunakan semaksima mungkin untuk mengaut undi Melayu dan Muslim seperti mana yang telah pun dilakukan di sepanjang masa berkempen pada PRK Semenyih yang lepas.

Pengundi Adalah Manusia Separa Rasional

Satu hal yang perlu disedari ialah pada akhirnya para pengundi adalah manusia-manusia yang separa rasional. Maknanya terdapat unsur-unsur bukan rasional (non-rational) seperti emosi, perasaan, psike dan sentimen yang akan turut mempengaruhi tindakan politik mereka.

Dan untuk pengundi-pengundi Melayu dan Muslim, saya percaya unsur-unsur yang terdapat dalam nasionalisme Melayu turut akan menjadi pertimbangan mereka ketika mereka membuat pilihan parti mana yang akan mereka berikan undi.

Justeru, apakah tawaran PH untuk menandingi wacana dan naratif nasionalisme Melayu yang diangkat oleh UMNO-PAS ini?

‘Naratif Malaysia’

Terdapat beberapa pemikir politik dari PH yang mengajukan sebuah naratif baru yang lebih terangkum (inklusif) yang mereka istilahkan “naratif Malaysia” sebagai naratif tanding. Saya fikir ini adalah suatu perkembangan yang baik dan sihat di dalam usaha untuk membentuk sebuah naratif tanding yang lebih berketerangkuman buat semua warga rakyat Malaysia.

Namun begitu setelah membaca beberapa rencana tulisan mereka, huraian tentang apa itu “naratif Malaysia” masih lagi kabur dan berbentuk abstrak. Dan beberapa cadangan yang diajukan pada hemat saya tidak mengambil-kira persoalan ‘keterpendaman Melayu’ yang telah pun saya huraikan di bahagian kedua, ketiga dan keempat tulisan ini.

Justeru, tulisan saya di bahagian terakhir ini adalah suatu usulan yang sederhana sahaja sebagai suatu percubaan untuk merembah jalan keluar buat Pakatan Harapan dalam menghadapi permasalahan ‘keterpendaman Melayu’. Selain daripada memberi usulan jalan dan justifikasi kenapa saya mencadangkan jalan tersebut, adalah juga menjadi tujuan saya di bahagian ini untuk merancakkan lagi wacana-wacana yang lebih bersifat ‘keMalaysiaan’ di era ‘Malaysia Baru’ tanpa melupakan kesinambungan sejarah lama masa silam yang kita warisi bersama-sama.

Untuk menjawab soalan – wacana dan naratif tanding apakah yang perlu diajukan oleh Pakatan Harapan kepada masyarakat Malaysia khususnya buat masyarakat Melayu dan Islam bagi melawan naratif nasionalisme Melayu versi UMNO dan PAS ini – saya memilih untuk memberi jawapan yang sedikit berbeza.

Nasionalisme Melayu Dalam Sejarah

Perlu diakui bahawa dari sudut sejarah, nasionalisme Melayu adalah hakikat yang menggerakkan kewujudan negara merdeka yang kita kenali sebagai Malaysia ini. Tanpa adanya nasionalisme yang terasnya adalah nasionalisme Melayu, Tanah Melayu pada waktu itu takkan mungkin punya gerakan untuk menuntut kemerdekaan.

Malahan idea nasionalisme ini bukan hanya hadir di Tanah Melayu tetapi juga di semua negara-negara yang dijajah. Nasionalisme adalah idea yang membentuk gerakan-gerakan perlawanan di banyak negara-negara dunia ketiga untuk bangkit dan bangun menentang penjajah khususnya kuasa-kuasa imperial baik dari Eropah mahu pun dari Asia sendiri.

Nasionalisme menjadi pemikiran penting yang melahirkan gerakan kemerdekaan dan seterusnya pemangkin yang membebaskan anak-anak bangsa di seluruh wilayah yang dijajah daripada cengkaman dan kezaliman penjajahan.

Hal yang sama tak terkecuali turut berlaku di Malaysia. Semenjak dari zaman kolonial Inggeris lagi nasionalisme Melayu adalah satu-satunya gerakan kemerdekaan yang paling jelas bentuk, cita-cita dan aspirasinya yang pada akhirnya berjaya memperolehi kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Tapi nasionalisme Melayu ini adalah nasionalisme yang telah dilunakkan intensitinya kerana ia perlu menyesuaikan dirinya dengan hakikat kerencaman masyarakat Malaya pada waktu itu melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pertubuhan politik bukan Melayu.

Kerjasama dan pelunakan nasionalisme Melayu ini dibuat oleh hampir semua pertubuhan-pertubuhan politik Melayu di waktu itu, baik dari yang jalur kiri mahu pun kanan.

Walau pun cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu itu gagal disempurnakan sepenuhnya tapi teras atau nukleus kepada gerakan yang membawa kemerdekaan Malaya adalah nasionalisme Melayu. Ini tak tersangkal lagi dan bersesuaian pula dengan pandangan seorang sejarawan Malaysia yang cukup berwibawa, Wang Gungwu, yang dalam tulisannya berjudul “Malayan Nationalism”menyatakan:

Nasionalisme Malaya yang sesungguhnya adalah Nasionalisme Melayu yang dilunakkan. Kalau kita mahu mengemukakan satu takrifan di peringkat ini barangkali yang adilnya adalah untuk kita mengatakan bahawa nasionalisme Malaya terbentuk daripada dua bahagian: teras nasionalisme Melayu yang dilingkari oleh perkongsian ideal antara Melayu-Cina-India.”

Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Malaya kemudiannya pada tahun 1963 tidak mengubah hakikat teras nasionalisme Melayu ini. Kerana itu, Singapura ditendang keluar oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1965 apabila keberadaan Singapura di dalam Persekutuan Malaysia dilihat sebagai menggugat dan mengancam serta berkemungkinan mengubah teras Melayu yang menjadi asas kepada kewujudan Malaysia.

Dengan Singapura ditendang keluar dari Malaysia dan hanya Sabah dan Sarawak yang kekal bergabung dalam Persekutuan Malaysia, nasionalisme Melayu kembali ke kedudukan asalnya sebagai teras kepada kepemerintahan politi yang dinamakan Malaysia. 

Situasi ini turut diakui oleh seorang lagi sejarawan Malaysia yang juga cukup berwibawa iaitu Cheah Boon Kheng. Dalam buku beliau “Malaysia: The Making of a Nation”, formulasi awal yang diusulkan oleh Wang Gungwu – “teras nasionalisme Melayu yang dilingkari oleh perkongsian ideal antara Melayu-Cina-India” – diolah kembali oleh Cheah Boon Kheng dalam bentuk “Melayu-Cina-India-Sabah-Sarawak” dengan Melayu sebagai unsur teras kepada perkongsian baru ini.

Walau pun dengan kehadiran dua negeri daripada Borneo ini, bagi Cheah Boon Kheng ianya tidak membuatkan unsur teras nasionalisme Melayu itu hilang daripada sistem kepemerintahan politi Malaysia.

Saya sepakat dengan Cheah Boon Kheng dalam hal ini kerana daripada bukti-bukti yang ada, perjalanan sejarah politik di kedua-dua negeri Borneo ini sejak daripada pembentukan Malaysia pada tahun 1963 cenderung dipengaruhi oleh keputusan-keputusan politik daripada Semenanjung.

Formula Nasionalisme Baru

Justeru itu, pada hemat saya walau apa sahaja naratif tanding yang cuba diketengahkan, unsur nasionalisme Melayu yang menjadi teras kepada kewujudan politi Malaysia ini sewajarnyalah diperkirakan dan dipertimbangkan di dalam usaha-usaha untuk membentuk ‘naratif Malaysia’ yang baru tanpa mengetepikan naratif-naratif dari komuniti lain khususnya daripada Sabah dan Sarawak juga..

Mencabut dan membuang teras nasionalisme Melayu ini pada pandangan saya hanya akan menggugat kelangsungan kuasa pemerintahan Pakatan Harapan. Malahan jika ianya cuba dikuburkan kemungkinan besar ‘keterpendaman Melayu’ akan dizahirkan dengan darjah intensiti yang lebih kuat lagi.

Namun begitu kita juga harus mengakui bahawa menerima sepenuhnya unsur-unsur yang ada dalam nasionalisme Melayu ini juga tentulah sangat tidak adil buat warga rakyat Malaysia yang lain khususnya komuniti bukan bumiputera serta warga Sabah dan Sarawak. Malaysia sesungguhnya bukan lagi Tanah Melayu tapi tanah air buat semua warga rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang kaum, agama, budaya atau bahasa.

Oleh kerana itu satu formulasi nasionalisme baru yang lebih adil, saksama, terangkum dan seimbang tanpa mengetepikan kesinambungan akar sejarah kewujudan Malaysia perlulah dilakukan. Dan ini memerlukan kerja-kerja intelektual yang kreatif lagi inovatif yang berterusan.

Dari Nasionalisme Melayu Ke Nasionalisme Malaysia Terangkum

Mengambil kira realiti perkembangan dan konteks politik semasa serta kesinambungan sejarah masa lalu, saya mengajukan idea yang saya fikir sederhana sahaja iaitu mengolah semula nasionalisme Melayu menjadi nasionalisme Malaysia yang terangkum.

‘Nasionalisme Malaysia Terangkum’ adalah payung besar yang meneduhi apa saja ‘naratif keMalaysiaan’ yang mahu dibina dan dikembangkan.

Dalam takrifan yang cukup sederhana dan ringkas nasionalisme Malaysia terangkum adalah suatu idea yang mendakap prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan keterangkuman yang mempunyai unsur pentakrif identiti dan keperibadian Malaysia yang jelas dan berteraskan rasa kaseh, sayang dan cinta kepada tanah air milik kita bersama yang dinamakan Malaysia ini.

Saya yakin sebahagian besar daripada warga rakyat Malaysia tidak kira dari kaum mana atau agama apa, mempunyai rasa kaseh, sayang dan cinta kepada Malaysia.

Dan kerana perasaan cinta inilah juga sebahagian besar daripada kita rakyat Malaysia membuat pilihan untuk berubah dan menukar kerajaan lama di bawah Barisan Nasional kepada kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan.

Persoalannya sekarang ialah apakah unsur yang paling sesuai, strategik dan wajar yang boleh kita ambil daripada nasionalisme Melayu untuk membentuk nasionalisme Malaysia terangkum ini?

Unsur Pentakrif Nasionalisme Malaysia

Memandangkan nasionalisme Malaysia ini adalah nasionalisme Melayu yang diolah semula, maka sebahagian atau satu daripada unsur-unsur yang membentuk cita-cita nasionalisme Melayu yang dinilai dan dirumuskan sebagai lebih terangkum (inklusif), wajar diperkongsikan bersama, lebih bersifat nasional dan boleh diterima serta disepakati oleh sebahagian besar daripada warga rakyat Malaysia, unsur ini hendaklah diangkat menjadi unsur pentakrif kepada nasionalisme Malaysia.

Unsur pentakrif ini menjadi rupa-bentuk, keperibadian, identiti dan jati-diri utama buat masyarakat Malaysia yang serba rencam. Ia juga berfungsi sebagai tali pengikat yang mengikat, mengintegrasikan dan menyatukan pelbagai komuniti yang ada di Malaysia dalam satu ikatan kesepaduan yang masing-masing mempunyai rasa kesepunyaan bersama terhadap unsur pentakrif ini dan seterusnya diharapkan dapat menjadi wahana kepada pembentukan memori bersama dan menguatkan lagi rasa kepemilikan kolektif serta identifikasi diri ke atas tanah air yang dinamakan Malaysia ini.    

Pada hemat saya dari ketujuh-tujuh unsur nasionalisme Melayu yang telah saya bentangkan di bahagian keempat sebelumnya, yang paling dekat dengan apa yang telah saya cirikan – terangkum, wajar diperkongsi bersama, bersifat nasional, mempunyai unsur mengintegrasi, boleh diterima dan disepakati ramai sebagai kepunyaan bersama – adalah unsur bahasa.

Unsur bahasa yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu ini boleh dijadikan unsur pentakrif kepada keperibadian, identiti dan jatidiri Malaysia serta wahana yang mengikat kesatuan Persekutuan Malaysia daripada Perlis sampailah ke Sabah.

Justeru itu, jika unsur bahasa ini disepakati bersama sebagai unsur pentakrif kepada nasionalisme Malaysia yang baru, maka sewajarnyalah ia diangkat, diperjuangkan, dipraktikkan, dijiwai sepenuh hati dan diserlahkan secara giat serta meluas dalam seluruh bidang dan ruang kehidupan oleh semua pihak baik mereka yang di tingkat kepimpinan mahu pun mereka yang berada di akar umbi.

Sejarah Terangkum

Pada masa yang sama unsur sejarah yang menjadi sebahagian daripada cita nasionalisme Melayu itu sebaik-baiknya diberikan pengolahan semula dengan memusatkan naratifnya secara lebih terangkum dengan menyerap masuk sumbangan-sumbangan komuniti bumiputera lain, bukan bumiputera, Sabah dan juga Sarawak secara lebih adil, saksama dan seimbang tanpa mengetepikan hakikat kesinambungan sejarah politi-politi Melayu silam yang membentuk Malaysia pada hari ini.

Pembingkaian sejarah yang selama ini diajar melalui buku-buku teks sekolah yang naratifnya cenderung Melayu-sentrik atau lelaki-sentrik atau Semenanjung-sentrik perlulah diolah semula untuk turut merangkul naratif-naratif daripada bukan Melayu, perempuan dan juga naratif Sabah serta Sarawak sebagai sebahagian daripada sejarah kebangsaan.

Sejarah yang berketerangkuman akan melahirkan rasa nasional yang lebih kuat dan kukuh di jiwa setiap warga rakyat Malaysia kerana setiap komuniti yang membentuk Malaysia, baik lelaki mahu pun perempuan, baik yang di Semenanjung mahu pun yang di Borneo, semuanya diwakili dan disertakan sekali di dalam naratif sejarah nasional bangsa Malaysia.

Keadilan, Kesaksamaan, Kemanusiaan dan Keterangkuman

Unsur-unsur nasionalisme Melayu yang selebihnya itu – politik, ekonomi, agama, budaya dan raja – sewajarnyalah dilunakkan intensitinya atau diolah semula secara kreatif dan inovatif (bukan dibuang) sesuai dengan aspirasi dan cita-cita ‘Malaysia Baru’ untuk memastikan wujudnya keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan keterangkuman buat seluruh warga rakyat Malaysia yang telah menumpahkan kaseh-sayang dan taat-setia mereka kepada Malaysia.   

Apakah unsur-unsur yang perlu dilunakkan atau diolah semula itu dan bagaimana untuk melunakkannya atau mengolahnya, itu bergantung kepada perbincangan dan kesepakatan bersama serta semangat bertolak-ansur semua pihak-pihak yang berkepentingan di dalam usaha untuk membentuk “naratif Malaysia” yang baharu dan mentransformasikan nasionalisme Melayu menjadi nasionalisme Malaysia yang terangkum.

Suatu Tanggungjawab Bersama

Kerja-kerja mengolah semula unsur-unsur nasionalisme Melayu dan mentransformasikannya menjadi nasionalisme Malaysia terangkum ini memerlukan kerjasama intelektual yang berbentuk rentas-etnik, rentas-budaya dan rentas agama yang menggabungkan tenaga-tenaga intelektual dari pelbagai kaum dan agama, Semenanjung dan Borneo, untuk sama-sama memformulasikan nasionalisme Malaysia terangkum secara kreatif dan inovatif.

Kerja-kerja sebegini tentunya memerlukan jaringan intelektual yang luas selain daripada keperluan asasi dari sudut kekuatan pemikiran, kreativiti, inovasi dan keterbukaan fikiran serta keikhlasan hati-nurani untuk menerima hakikat bahawa Malaysia kini bukan lagi Tanah Melayu dan bukan hanya milik Melayu atau bumiputera semata-mata tetapi adalah milik bersama seluruh warga rakyat Malaysia dari pelbagai komuniti dari Perlis hingga ke Sabah, yang telah bernaung di bawahnya dan mencurahkan bakti serta keringat untuk membangunkan Malaysia bersama-sama.

Tidak dinafikan ianya adalah suatu kerja yang berat. Kerja intelektual sememangnya suatu pekerjaan yang memerlukan tumpuan penuh kepada hal-hal bersifat pemikiran, penulisan, pendidikan, pembinaan jaringan dan penyebaran serta penggembelingan idea-idea yang segar untuk diwacanakan bersama masyarakat awam tapi tetap berpijak kepada realiti sosial masyarakat dan membumi kepada akar sejarah serta budaya bangsa kita sendiri, yakni Bangsa Malaysia yang rencam tapi kaya dengan kepelbagaian nilai yang boleh kita pilih, saring, ambil dan perkongsikan bersama mana-mana unsurnya yang progresif dan inklusif.

Walau pun ianya adalah tugas yang berat tapi ia perlu segera dilakukan bukan hanya sebagai usaha untuk mempertahankan kelangsungan kuasa Pakatan Harapan tetapi juga sebagai suatu tanggungjawab bersama untuk membina Bangsa Malaysia yang lebih adil, saksama, manusiawi dan berketerangkuman.



Categories: Rencana

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: