Rukun Negara: Suatu Kritikan

Oleh: Lingswaran Singh

“Suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar.” – Usman Awang

Rukun Negara adalah satu ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang dijaja oleh pihak berkuasa sebagai tragedi yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

Terlebih dahulu, saya meletakkan pembentangan ini sebagai suatu usulan naratif yang kurang ajar. Usulan ini bukan hadir daripada petani-petani yang terikat dengan budi pada tanah, sebaliknya hadir daripada anak negara yang sudah mengerti politik dan cara permainan kuasa. Nukilan ini adalah suatu ekspresi amarah yang lahir dan terkesan daripada 50 tahun propaganda yang memperbodohkan rakyat oleh pemerintah.

Sebelum saya mula mengupas “ideologi kebangsaaan” kita, saya ingin memberi penghargaan kepada negara jiran kita yang menjadi sumber ilham kepada penzahiran Rukun Negara. Seperti kereta nasional, Jalur Gemilang, lagu Terang Bulan, Angkasawan negara, dan banyak lagi perkara-perkara kebangsaan, Rukun Negara juga adalah hasil tiruan atau lebih tepat lagi “penjenamaan semula” idea-idea daripada bangsa lain.

Pancasila adalah asas falsafah Indonesia. Ia didirikan dengan gabungan dua istilah Jawa kuno yang berasal daripada bahasa Sankrit iaitu “panca” yang bererti lima dan “sila” yang bererti pegangan. Pada hemat saya Pancasila adalah satu usaha tegas dalam pembentukan bangsa Indonesia. Berbeza dengan kita, Indonesia mempunyai identiti kebangsaan yang tidak bercanggah dengan falsafah yang didukungnya.

Di Indonesia, masyarakatnya dengan bangganya bersatu sebagai orang Indonesia, kaum pendatang di Indonesia telah berintegrasi dengan utuhnya dalam peradaban dan budaya nasional. Cina, India, Belanda, Orang Belanda Hitam dan Yahudi. Kesemuanya telah bersatu secara mutlaknya dalam mengangkat etos kenusantaraan. Mereka korbankan identiti asal untuk tanah yang menjadi Pertiwi mereka yakni Republik Indonesia. Ini boleh dilihat sebagai unjuran tamadun-tamadun gah seperti Sri Vijaya, dan Majapahit.

Logik Pancasila adalah jelas dan selayaknya dikagumi kerana merupakan naratif satu bangsa gagah yang tiada bercelaru dengan hala tuju kebangsaannya.  Mereka adalah satu bangsa yang jujur dengan sejarah mereka, dan tidak pernah berasa malu dengan identiti Hindu Buddha amalan nenek moyang. Namun, dalam waktu yang sama, mereka turut menjadi negara umat Islam yang terbesar di dunia. Mereka tiada kepincangan dalam identiti nasional seperti yang berlaku dalam negara kita.

Falsafah nasional Indonesia ini berfungsi dalam senario politik mereka. Tetapi, tidak di Malaysia. Masalah mula timbul apabila Malaysia yang baru dibentuk pada tahun 1963, dan baru sahaja menamatkan Konfrontasi dengan Indonesia berlumba untuk mengejar pengiktirafan dunia sebagai negara berdaulat dengan usaha-usaha pembentukan identiti kebangsaan dengan meniru idea kebangsaan Indonesia. Pada waktu itu, falsafah nasional menjadi lencana atau alat-alat penting dalam panduan pembinaan bangsa.

Umpama “tangkap muat”, pemerintah negara telah menggunakan alasan 13 Mei sebagai sebab mengapa kita perlukan suatu ideologi kebangsaan seperti Pancasila. Justeru itu, kita wajar meneliti peristiwa 13 Mei yang telah wewujudkan keperluan ideologi nasional ini. Saya berpendapat adalah suatu ketidakjujuran intelektual jika saya mengulang semula naratif umum berhubung peristiwa tersebut. Ini kerana, menurut saya, Peristiwa 13 Mei bukanlah satu pertelingkahan di antara kaum-kaum atau perang saudara tetapi merupakan propaganda bagi plot politik untuk terus memegang kuasa.

Peristiwa 13 Mei telah direka dan dilaksanakan bagi kepentingan politik United Malays National Organisation (UMNO). Satu organisasi politik kebangsaan yang bercelaru identitinya, yang masih dibuai cita-cita di untuk maju setahap seperti Pejabat Tanah Jajahan di London menerusi ideologi ketuanan Melayunya. Dalam dokumen-dokumen yang dinyah taraf kerahsiaan di Pejabat Rekod Awam di London mencadangkan dengan jelas bahawa terdapatnya rancangan untuk mencipta huru-hara keganasan di Kuala Lumpur pada 1969. Peristiwa tersebut dikatakan telah dirancang oleh kelas kapitalis negara yang dipimpin Abdul Razak Hussein untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman yang menjadi simbol aristrokrasi Melayu.

Berbalik kepada Rukun Negara, selain daripada menjadi buah mulut ramai setiap kali berlaku perselisihan kaum di Malaysia dan ritual pagi hari Isnin di sekolah-sekolah rendah, ia sebenarnya tiada sebarang kepentingan yang realistik. Kritik saya adalah hasil kerja tiruan ini tidak relevan dengan masyarakat Malaysia, lapok dan tidak setara kemampuan intelek alaf ke 21. Kita tidak wajar pulang kepada Rukun negara untuk sebarang justifikasi. Walaupun pernah dicaangkan oleh Dr Syed Hussein Alatas supaya dijadikan mukadimmah kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara tiada sebarang kesan undang-undang.

Pada 1970, barangkali idea Rukun Negara relevan dan penting walaupun sekadar alat sokongan kepada plot politik negarawan-negarawan yang mabuk kuasa dan sanggup menumpahkan darah untuk memegang kuasa. Namun demikian, setelah 50 tahun kita membina bangsa, kita sudah jauh melampaui aspirasi Rukun Negara. Dialektika hari ini bukan lagi seperti 1969. Hari ini kita bangsa Malaysia adalah masyarakat yang bersaing dengan seluruh dunia. Budaya teknologi maklumat sedang rancak mengubah segala aspek kehidupan.

Kita bukan lagi masyarakat yang mudah dimanipulasi pemerintah. Kalau tahun 1969, Amerika Syarikat telah mendarat di bulan, hari ini ada perlumbaan ke Marikh. Dunia dalam perubahan, manusia sedang menghadapai Hayat Angkasaraya. Kita bukan lagi kanak-kanak yang harus diajar untuk percaya pada Tuhan, hormat pada undang-undang, raja, dan amalkan demokrasi sementara menjadi rakyat yang taat, patuh dan setia dengan tatasusila yang sopan. Kita bukan lagi budak-budak. Malah, saya dengan tegas enggan untuk menerima naratif bahawasanya rakyat kita bersikap perkauman. Ini persepsi-persepsi yang ditaja politik-politik jijik milenia lepas.

Rakyat kita –Melayu, Cina, India– sudah bersatu padu sejak zaman Parameswara lagi. Menggunakan plot lapuk perang saudara dan perkauman untuk meraih undi mungkin menjadi trend akhir 90an, namun menghampiri tahun 2020 kita sudahpun tumbangkan Barisan Nasional UMNO. Saya yakin bijak pandai kita seperti Dr Syed Hussein Alatas tidak akan menitik-beratkan Rukun Negara dalam kala kini. Kita wajar setia pada sifat keikhlasan beliau. Namun, kita tidak perlu terperangkap dalam olokan politik pengkuasa.  

Sejujurnya, kerajaan sendiri tidak tegas dalam usaha pembinaan bangsa Malaysia. Perlembagaan Persekutuan sendiri menjadi bukti terhadap perkara ini. Jika benar kita ingin merdeka dan berdaulat mengapa Perlembagaan Rakyat yang dilahirkan hasil daripada perundingan awam tidak diangkat sebagai Perlembagaan Negara. Mengapa semua warganegara tidak didaftarkan sebagai Melayu seperti usulan Burhanuddin Al-Helmy? Jiran-jiran kita semuanya telah melakukan perkara tersebut, tetapi kita tidak habis dengan slogan jenama Melayu, Cina, India. Kegagalan mengintegrasi rakyat Sarawak dan Sabah juga menunjukkan kegagalan dan betapa tidak relevanya Rukun Negara.   

Sejauh mana akal masyarakat jika pada zaman ini kita masih perlukan satu dokumen lima baris sebagai panduan falsafah hidup? Adakah masyarakat kita begitu bodoh sehingga tidak belajar langsung daripada peristiwa-peristiwa yang membelenggu manusia dalam 60 tahun yang lepas? Sejauh mana peradaban dan kesopanan seseuatu masyarakat yang tidak peka kepada kepada perubahan semasa? Jadi apa jika rakyat kita enggan menerima kewujudan Tuhan? Jadi apa jika rakyat kita kurang ajar kepada pemerintah yang zalim?

Kebiadapan kita jua bukan lagi dari 1969. Kebiadapan kita hari ini bertaraf antarabangsa. Paling ketara, skandal 1MDB adalah penyelewengan dan korupsi terbesar dunia. Ahli politik kita tanpa segan silu merompak hasil negara dan wang rakyat. Kita pun sedar bahawa kesopanan dan kesantunan kita wajar bertempat, ia tidak harus menjadi kelemahan yang membenarkan pihak pemerintah memijak kepala rakyat. Melayu, Cina dan India sama-sama terlibat menyeleweng kepercayaan demokrasi yang kita junjung.

Pendek kata, kita tidak perlukan dokumen yang kononnya merupakan panduan merukunkan negara lantas mengajar kita bagaimana untuk hidup bermaruah duduk sama berdiri sama tinggi setaraf peradaban manusia dan bukan lagi perkauman sempit. Prinsip-prinsip tersebut adalah mekanisma pembinaan bangsa akhir kurun yang lapok dan seharusnya dibiarkan sahaja sebagai dokumen sejarah. Malah kita wajar lupakan 13 Mei sebagai satu malapetaka kecil yang tidak relevan lagi dalam hala tuju bangsa kita.

Kita wajar laburkan masa dan tenaga kita membentuk manusia-manusia yang bakal menyertai ketamadunan angkasaraya. Kita wajar meletak tepi segala bentuk dialetika picisan yang sudah tidak relevan sebaliknya bertindak dengan kewarasan akal abad ke 21. Wawasan 2020 lebih bermakna daripada Rukun Negara. Usah biarkan anak-anak kita digerunkan dengan peristiwa 13 Mei dan hentikan sahaja pembodohan melalui falsafah yang dicilok dari negara jiran ini. Tanpa keikhlasan dalam membentuk perpaduan kita tidak akan ke mana.

Sejujurnya rakyat Malaysia tahu benar apa yang menyatukan kita dan apa yang memisahkan kita. Kita tahu benar wajah hodoh sifat perkauman kita yang hanya setebal mekap-mekap murahan. Darah dan jiwa kita serta pengalaman kita bersama dalam memperkasakan demokrasi telah mendewasakan kita pada skala yang cukup membanggakan. Kita tahu kita tidak sempurna, kita juga sedar yang ketidaksempurnaan itu datangnya daripada aktor-aktor kelas penguasa yang kerap kali leka dalam kepercayaan mereka bahawa kita mudah dipengaruhi dan kita mudah dimanipulasi dan kononnya kita mudah lupa.

Akhir kata, perpaduan kita adalah hasil semula jadi daripada keamanan serantau dan kekuatan peradaban kita. Perpaduan bukannya pupukan. Untuk kita meletakkan nilainya pada prinsip-prinsip asas yang lapok adalah suatu kezaliman, teutamanya dalam dunia hari ini yang jauh lebih kompleks, lebih halus dan jauh lebih jujur daripada tahun 1970. Barangkali apa yang relevan untuk kita angkat hari ini adalah Rukun Kemanusiaan sementara nilai manusiawi menjangkau angkasaraya untuk esok yang kaya dengan sejuta kebarangkalian dan dalam kebarangkalian itu adakah kalian ingin terus terperangkap dengan prinsip-prinsip yang tiada sifat dinamik dan picisan seperti Rukun Negara?

Makan cabai bersula garam, bangunkan bangsa, ajarkan penguasa, berdiri kita tak mungkin karam. 

Makalah ini dibentangkan di Bengkel Pemikiran Syed Hussein Alatas pada 16 Mei 2019 bertempat di Puri Pujangga, UKM.



Categories: Kategori, Rencana

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: