Daim dan Homo Economicus: Suatu Bacaan Intim terhadap Teks “Naratif Malaysia”

Oleh: Ruhan Shahrir Abdul Halim

Pendahuluan

Tulisan saya ini merupakan sebuah kritik terhadap teks Tun Daim Zainuddin yang beliau sampaikan di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional pada 19 Mac 2019 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Terdapat dua teks yang menjadi rujukan saya. Satu, teks ucaptama Tun Daim yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan kedua, teks transkripsi penuh sesi soal-jawab bersama Tun Daim selepas habis ucaptama beliau. Kedua-dua teks ini boleh diperolehi di laman rasmi Naratif Malaysia di alamat http://naratifmalaysia.com.

Kritik yang saya lakukan ini adalah melalui kaedah yang dipanggil bacaan intim. 

Teks dan Konteks

Membaca teks secara intim adalah antara kaedah yang boleh digunakan untuk menggali pemikiran seseorang tokoh. Tapi teks tanpa konteks adalah penyembunyian. Menyembunyikan latar, keadaan, suasana, peristiwa yang melahirkan teks tersebut. Penyembunyian ini akan mencacatkan tafsiran dan pemahaman yang lebih jitu terhadap teks kerana teks tidak lahir dalam hampawa.

Begitu juga halnya dengan teks daripada Tun Daim yang muncul bukan dari hampawa tapi ada konteks yang melatarinya. Justeru, soalan yang selanjutnya ialah apa konteksnya?

Konteks, kadangkala boleh ditemui di dalam teks itu sendiri dan menjadi tugas penyelidik kemudiannya untuk memetakan penemuan tersebut dengan suasana, keadaan dan peristiwa di luar teks. Pada masa yang sama konteks mungkin saja tidak ditemui di dalam teks tapi memerlukan penelitian terhadap suasana yang sedang berlaku di dalam tempoh masa teks itu dihasilkan.

Di awal teks ucapan Tun Daim, beliau sudah pun memberikan tanda yang jelas dengan ayat – “untuk memahami iklim politik semasa kita pada hari ini”.

Tentunya ini merujuk kepada suasana politik yang sedang berlaku sekarang.

Tun Daim tidak memperincikan dengan jelas apa yang beliau maksudkan dengan “iklim politik semasa pada hari ini” kecuali dengan merujuk pertamanya kepada peristiwa kemarahan orang Melayu terhadap pelantikan bukan Melayu ke jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan keduanya, peristiwa beberapa individu yang menghantar mesej berupa penghinaan terhadap nabi Muhammad.

Tapi rujukan Tun Daim terhadap dua peristiwa tersebut adalah lebih sebagai kaedah untuk mengkritik-balas orang Melayu dan orang Islam yang dianggap oleh beliau mudah merasa marah dan terancam sedangkan menurut Tun Daim, “tiada kemarahan yang sama ditunjukkan apabila berhadapan dengan pemimpin Melayu yang terlibat dalam rasuah dan kleptokrasi”  dan hakikat bahawa “agama tidak mungkin terhina, hanya manusia yang merasa terhina”.

Melayu Terancam

Dan tema rasa terancam dan rasa tidak selamat Melayu inilah yang menjadi konteks serta latar kepada teks Tun Daim. Pasca PRU14 yang lepas telah memperlihatkan kebangkitan politik identiti khususnya di kalangan orang Melayu dan Islam.

Peluahan rasa keterancaman dan tidak selamat itu dicerminkan dengan pelbagai cara – petisyen yang menolak UiTM dari dibuka kepada bukan bumiputera misalnya mencecah ratusan ribu sokongan hanya dalam tempoh 24 jam. Begitu juga dengan puluhan ribu orang Melayu dan Islam dari seluruh Malaysia yang turun ke jalan dalam demonstrasi anti-ICERD adalah antara contoh manifestasi rasa keterancaman dan tidak selamat. Beralihnya sokongan orang Melayu khususnya dalam PRK Semenyih yang baru lepas turut memberi latar dan konteks kepada teks Tun Daim.

Konteks rasa keterancaman Melayu yang dimanifestasikan oleh tindakan-tindakan politik mereka baik secara individu atau kolektif melalui parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil menjadi latar utama kepada teks Tun Daim ini kerana berulangkali Tun Daim membuat penegasan melalui ayat berbentuk kata suruhan supaya orang Melayu “jangan takut”.

Audien Sasaran Teks

Dari konteks politik identiti yang memanas pada hari ini dan rasa keterancaman Melayu yang wujud dalam masyarakat, jelas kepada kita sasaran audien utama Tun Daim adalah orang Melayu. Malahan istilah “Melayu” itu sendiri disebut sebanyak 174 kali berbanding dengan istilah “Malaysia” yang hanya disebut sebanyak 43 kali sahaja.

Audien Sasarannya Melayu Teksnya Bahasa Inggeris

Tapi ironinya ialah teks ucapan beliau itu dibuat di dalam Bahasa Inggeris. Walaupun sasaran audiennya adalah orang Melayu tapi bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris sehingga mengundang cemuhan di ruang komen facebook. Namun begitu mujurnya sesi soal-jawab adalah dalam bahasa kebangsaan.

Andaian yang boleh dibuat tentang kenapa teks ucapan beliau itu dibuat dalam bahasa Inggeris ialah mungkin kerana acara tersebut diadakan di universiti yang dianggap sebagai ruang terpelajar dan tiada masalah untuk mereka memahami Bahasa Inggeris. Jika ini yang menjadi sebab, apa yang boleh dirumuskan ialah terdapatnya ketidakyakinan di dalam pemikiran Tun Daim khususnya dan elit-elit Melayu lainnya tentang keupayaan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa wacana tingkat tinggi.

Agak malang jika Tun Daim berfikiran sebegitu kerana teks di dalam bahasa Inggeris tersebut telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dengan agak mudah. Ini memberi makna tiada keperluan sebenarnya untuk berucap di dalam bahasa Inggeris kerana teksnya boleh sahaja ditulis dalam bahasa kebangsaan. Malahan pula hampir semua peserta seminar yang datang mendengar adalah orang Malaysia.

Menggunakan bahasa Inggeris dari sudut strateginya pula tentulah tidak tepat kerana sasaran audien teks itu ditujukan kepada orang Melayu. Malahan penggunaan bahasa Inggeris kemungkinan besar telah menyebabkan capaian khalayaknya juga terhad hanya kepada mereka yang berbahasa Inggeris sahaja berbanding jika Tun Daim menggunakan bahasa kebangsaan.

Pemilihan bahasa itu sendiri adalah cerminan kepada pemikiran dan sikap elit-elit Melayu yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa kebangsaan kita sendiri.

Kerana itu juga tidak menghairankan jika sekiranya tumpuan utama teks Tun Daim ini adalah berkaitan dengan hal-hal yang bersifat ekonomi dan material manakala hal-hal yang bersifat perasaan, budaya, bahasa, keperibadian dan identiti kebangsaan langsung tidak disentuh oleh beliau.

Ekonomi Sebagai Pusat Naratif Utama Tun Daim

Pusat kepada naratif Malaysia Tun Daim sebahagian besarnya terfokus kepada ekonomi. Secara khususnya perniagaan. Membaca teks penuh Tun Daim dan juga transkripsi soal-jawab bersama beliau menemukan kita dengan perkataan ‘niaga’ dan ‘dagang’ sebanyak 82 kali iaitu 73 kali kata ‘niaga’ dan 9 kali kata ‘dagang’. Perkataan ‘ekonomi’ pula sebanyak 27 kali. Manakala kata ‘akal’ disebut sebanyak 14 kali.

Jumlah kata yang dikutip ini bukan hanya sekadar nombor tapi juga adalah cerminan permikiran seorang Tun Daim Zainuddin. Ini mungkin kerana sejarah hidup beliau sendiri yang puluhan tahun terlibat dalam perniagaan. Malahan apabila beliau dilantik menjadi Menteri penuh pada tahun 1984 oleh Tun Mahathir, portfolio yang dipegangnya juga adalah di Kementerian Kewangan.

Namun begitu persoalan ekonomi dan perniagaan yang menjadi pusat kepada naratif Malaysia Tun Daim in adalah khusus ditujukan kepada orang Melayu.

Melayu Bangsa Emosi

Di sebalik penyenaraian tokoh-tokoh Melayu yang berjaya, terselit kerisauan dan kegusaran Tun Daim terhadap tingkahlaku, kecenderungan dan sikap Melayu yang dianggap oleh Daim mudah “marah”, “sensitif”, “mencari salah orang lain”, “mengkambing-hitamkan yang lain”, “cepat mengamok”, “berfikir dengan emosi”. Perkataan “emosi” sahaja sebanyak 6 kali disebut oleh Tun Daim dalam memperihalkan keperibadian Melayu.

Penggunaan istilah-istilah kata sifat dan kata kerja yang kemudiannya digunakan untuk mencirikan Melayu, terasa seolah-olah seperti membaca buku-buku tulisan pentadbir kolonial – Winstedt, Swettenham, Wilkinson, Raffles, Skeat, Maxwell dan seumpamanya – yang cenderung melakukan pemerihalan berbentuk pukul-rata, memperkecil dan memperemeh Melayu hanya kepada objek jajahan yang perlu diatur, ditertibkan dan ditamadunkan.

Kalau sekiranya kaedah pukul-rata, memperkecil dan memperemeh Melayu digunakan oleh penjajah sebagai alat penundukan dan kekuasaan yang memberikan mereka semacam justifikasi moral untuk menjajah, teks Tun Daim pula menggunakan kaedah yang sama sebagai suatu bentuk strategi retorika untuk membuat gesaan yang selanjutnya supaya orang Melayu tidak lagi menurut emosi sebaliknya menggunakan akal, logik dan fikiran rasional.

Perniagaan Aktiviti Paling Logikal

Dan buat Tun Daim tidak ada aktiviti yang lebih tinggi penggunaan akal, logik dan rasional kecuali dalam bidang perniagaan sehinggakan beliau menyarankan supaya sebelum seseorang itu menyertai politik, bidang perniagaan adalah sekolah terbaik buat seorang politikus kerana “selepas itu dia akan boleh berfikir secara logik”.

Bagi Tun Daim soal kemungkinan berlakunya konflik kepentingan buat seorang ahli perniagaan yang menceburi bidang politik tidak timbul. Mungkin Tun Daim melihat pengalaman dirinya – seorang peniaga yang berjaya yang kemudiannya menceburi bidang politik sebagai contoh yang perlu diikuti. Tapi apakah Tun Daim bersih dari sebarang konflik kepentingan dan tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai ahli politik untuk meraih kepentingan perniagaan sama ada buat dirinya atau pun jaringan perniagaannya – hanya beliau sendiri yang boleh menjawab.

Dalam keghairahan Tun Daim menyarankan rakyat Malaysia “supaya berjaya dahulu dalam bidang perniagaan sebelum menceburi politik” kerana seorang peniaga yang berjaya bagi beliau akan senantiasa berfikir secara logik, rasional dan tidak emosional, mungkin beliau terlepas pandang tentang sosok Donald Trump seorang ahli perniagaan berjaya yang kini menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Nilai Kejayaan

Dan nilai kejayaan bagi Tun Daim diukur melalui kepemilikan material iaitu kaya. Matlamat akhir kejayaan bagi Tun Daim adalah untuk menjadi kaya seperti mana yang beliau nyatakan:

Anda hendak bermain bola pun, mainlah. Tapi mesti jadi nombor satu. Jadilah macam Messi, Ronaldo. Baru kaya. Anda hendak bermain tennis, mainlah. Tapi akhirnya jadilah macam Nadal, Federer. Kaya. Itu yang kita mahu. Hendak menjadi penyanyi pun tidak mengapa – orang Melayu, orang Cina semua – nyanyilah. Asalkan akhirnya menjadi kaya. Tapi kejayaan yang penting dahulu. Setiap perkara yang kita mahu lakukan, mesti berjaya terlebih dahulu. Kejayaan akan membawa kekayaan.”

Dan istilah “kaya/kekayaan” disebut sebanyak 21 kali dalam teks Tun Daim ini.

Tentunya tidak salah untuk sesiapa pun yang bercita-cita mahu menjadi kaya. Sistem kapitalisme yang beroperasi di dalam kehidupan kita pada hari ini sangat berpengaruh dalam membentuk berahi dan keinginan untuk menjadi kaya. Namun begitu persoalannya bukan tentang cita-cita mahu menjadi kaya tetapi bagaimana kekayaan itu diperolehi? Inilah yang tidak diperincikan oleh Tun Daim.

Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi melalui jalan rasuah dan penipuan? Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi  melalui eksploitasi pekerja yang dibayar gaji murah dan dilayan secara tidak manusiawi? Bagaimana kekayaan yang diperolehi dengan cara memperhambakan buruh-buruh migran? Bagaimana kekayaan yang diperolehi melalui pencemaran dan pemusnahan alam sekitar? Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi melalui persaingan yang tidak adil? Bagaimana kekayaan yang diperolehi dengan bantuan “tongkat”? Bagaimana pula kekayaan yang diperolehi dengan menggunakan kedudukan, jaringan dan hubungan politik untuk mendapatkan projek dan kontrak? 

Ini semua nampaknya tidak mendapat jawapan yang jelas dan tuntas dalam naratif Malaysia Tun Daim, sekurang-kurangnya dari apa yang dibekalkan oleh teks beliau itu.

Melayu dan Tongkat

Memang teks beliau mengkritik pemberian keistimewaan kepada orang Melayu yang beliau istilahkan sebagai “tongkat” yang telah menjadi alat membatasi keupayaan orang Melayu untuk bersaing, sehinggakan wujud kebergantungan terhadap “tongkat” tersebut. Malahan Tun Daim melihat pemberian tongkat ini menjadikan orang Melayu semakin berasa tidak selamat.

Kemenangan Tanpa Tongkat

Beliau memetik sejarah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union 1946 sebagai suatu peristiwa kemenangan besar yang diperolehi tanpa bantuan “tongkat”.

Dan selanjutnya beliau mengajukan soalan retorik – “Apakah kerana ketika kita tidak dibekalkan dengan ‘tongkat’, maka kita punya maruah dan harga diri, dan ini menjadikan orang Melayu merasakan kedudukan mereka lebih selamat di dalam negara ini?

Pertanyaan ini tentunya bersifat retorikal. Ini adalah kerana penentangan terhadap Malayan Union pada tahun 1946 itu faktanya bukan kerana orang Melayu rasa selamat, tetapi ianya lahir daripada rasa tidak selamat khususnya berhubung dengan soal pemberian kewarganegaraan berdasarkan jus soli kepada bukan Melayu.

Mengulang Sejarah UMNO

Malahan memetik sejarah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union mengukuhkan lagi naratif sakral UMNO ini. Tidak dinafikan bahawa Malayan Union 1946 adalah detik penting dalam sejarah UMNO. Tapi sejarah UMNO bukanlah satu-satunya sejarah bangsa Melayu. Sejarah UMNO hanya sebahagian daripada gerakan nasionalisme Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Mengangkat penentangan terhadap Malayan Union oleh orang Melayu yang berpayung di bawah UMNO tentunya wajar sahaja tapi jangan sampai mengetepikan sejarah perjuangan kemerdekaan oleh kumpulan-kumpulan nasionalis Melayu yang lain seperti KMM, PKMM, API, AWAS, SEDAR, BATAS, PKM, Hizbul Muslimin, PAS, Kesatuan-Kesatuan Sekerja dan organisasi-organisasi Melayu serta bukan Melayu yang lain yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara kita.

Naratif Sejarah Terpilih

Begitu juga dengan naratif kegemilangan kerajaan Melaka yang Tun Daim gunakan untuk menunjukkan betapa orang Melayu “pandai berniaga” dahulunya sebelum dipinggirkan melalui penjajahan, telah diambil secara tidak kritis. Naratif kegemilangan Melaka ini adalah artifak budaya yang sering digunakan oleh nasionalis Melayu secara terpilih dan tersaring. Hanya yang gilang-gemilang sahaja yang ditonjolkan. Sedangkan sisi-sisi kekejaman feudal, korupsi dan rasuah jarang diketengahkan.

Mungkin tidak ramai yang tahu betapa amalan rasuah yang dipanggil dengan istilah “sorong” sudah pun wujud dalam teks Sulalatus Salatin (yang dinamakan secara salah oleh Raffles sebagai Sejarah Melayu) – sebuah manuskrip tahun 1612. Dan perbuatan “menyorong” ini melibatkan persekongkolan di antara golongan saudagar/peniaga dan elit kepimpinan tertinggi Melayu di Melaka.

Hal-hal yang sebeginilah yang menyebabkan pemerihalan sejarah dalam teks Tun Daim ini terasa seperti naratif sejarah UMNO yang biasa kita baca dan dengar.

Namun begitu, Tun Daim sedikit melangkaui naratif sejarah UMNO apabila beliau mengajukan naratif sejarah kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Islam yang beragama Hindu sebagai sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu.

Tujuan Teks

Sejarah menjadi sarana penting buat Tun Daim untuk menyampaikan mesej dan tujuan utama teks beliau, iaitu – “Melayu, jangan takut”.

Di dalam teks, Tun Daim berulang-ulang kali membuat seruan supaya orang Melayu jangan berasa takut. Untuk meyakinkan orang Melayu, sejarah menjadi sarana utama beliau. Kalau kegemilangan Melaka diangkat sebagai bukti bahawa Melayu dahulu pernah “pandai berniaga”, tokoh-tokoh sejarah silam dan kontemporari yang Tun Daim istilahkan sebagai ‘hero’ diangkat pula untuk meyakinkan Melayu bahawa mereka juga mampu untuk berjaya.

Hero-Hero Melayu

Seramai 21 orang hero Melayu Johor, lelaki dan perempuan disebut oleh Tun Daim dalam teks beliau itu. Hero-hero Melayu ini adalah nama-nama ulung yang telah menyumbangkan bakti dan jasa besar terhadap negara. Dengan membariskan tokoh-tokoh besar dari bangsa Melayu ini, Tun Daim mengharapkan ianya akan memberi inspirasi kepada orang Melayu yang lain bahawa mereka juga mampu untuk berjaya seperti mana tokoh-tokoh tersebut.

Setelah menyenaraikan nama-nama hero Melayu, lelaki dan perempuan, berserta kejayaan-kejayaan yang telah mereka capai dan sumbangkan kepada bangsa dan negara, Tun Daim sekali lagi mengemukakan soalan retorik – “kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang telah saya bentangkan di atas?” 

Hero Melayu Kelas Bangsawan

Membuat penelitian kritis ke atas nama-nama hero Melayu yang disenaraikan oleh Tun Daim itu satu rumusan umum yang boleh dibuat ialah mereka semua berjaya sebahagiannya adalah kerana dibantu oleh kedudukan keluarga mereka di dalam struktur sosial yang wujud dalam masyarakat Melayu. Dengan kata yang lebih mudah – kedudukan mereka sebagai keluarga dari kelas bangsawan dan kelas menegah sedikit-sebanyak pasti membantu mereka untuk berjaya dan mencapai kedudukan seperti mana yang diperikan oleh Tun Daim.

Dari sini, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa dalam menyenaraikan hero-hero Melayu ini, Tun Daim kurang mempertimbangkan faktor struktur sosial yang turut mempengaruhi kejayaan mereka. Begitu juga perkahwinan yang berlaku antara sesama kelas bangsawan ini seperti mana yang diceritakan oleh Tun Daim sendiri turut memperkukuhkan struktur kelas dalam masyarakat Melayu.

Justeru, kejayaan hero-hero Melayu ini tidak dinafikan tentu juga hasil daripada usaha dan kebolehan individu yang mereka punyai, tetapi kita tidak boleh menolak faktor kelas, jaringan atau modal sosial yang mereka miliki hasil daripada kedudukan mereka di dalam kelas tersebut turut sama membantu mereka mencapai kejayaan.

Kapitalisme Tanpa Kritik

Pemfokusan kepada pencapaian individu tanpa mempertimbangkan struktur sosial yang wujud dalam masyarakat cenderung melahirkan analisa yang kurang menyeluruh dan tidak memberikan gambaran yang lebih adil.

Persoalan struktur ini hampir tidak disentuh oleh Tun Daim. Malahan daripada teks, beliau menerima sepenuhnya kesenjangan atau ketaksamaan yang terhasil daripada sistem ekonomi kapitalisme bila beliau menyatakan:

Yang kaya, tetap kaya. Yang miskin, masih miskin. Dalam masyarakat kapitalis keadaan ini memang akan berlaku. Ianya tidak boleh dielakkan melainkan kita mahu menukar sistem kita kepada komunisme. Di dalam sistem ekonomi pasaran bebas sesiapa yang berjaya akan menjadi kaya. Jadi, dalam sistem sebegini, pekerja akan masih menjadi pekerja. Kesenjangan dalam masyarakat akan menjadi lebih luas. Dalam sistem kapitalis satu dunia sebegitu.”

Dasar Ekonomi Baru Adalah Masalah Perlaksanaan

Untuk menangani masalah kesenjangan atau ketaksamaan antara kaya dan miskin ini, penyelesaian yang ditawarkan oleh Tun Daim sebenarnya tetap sama dengan regim Barisan Nasional sebelumnya iaitu melalui tindakan afirmatif – Dasar Ekonomi Baru. Merujuk kepada masalah kesenjangan yang wujud dalam masyarakat Tun Daim menyatakan:

Kerana itulah kita perkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik. Membantu mereka yang miskin. Bukan hanya orang Melayu sahaja yang miskin – orang Cina, India, Dayak, Dusun, Kadazan dan dalam semua komuniti akan ada mereka yang masih miskin. Yang kaya, terus kaya. Yang miskin, terus miskin. Kita mahu mengurangkan jurang antara yang kaya dan yang miskin ini. Itu tujuan kita.

Buat Tun Daim Dasar Ekonomi Baru bukanlah suatu masalah. Yang bermasalah adalah perlaksanaannya dan juga cara bagaimana ianya diagihkan. Sepertimana yang dinyatakan beliau di dalam teks:

Dasar Ekonomi Baru itu sememangnya adalah suatu mekanisme yang bagus. Yang menjadi masalahnya ialah perlaksanaan. Yang gagal itu perlaksanaan dasar tersebut. Dulu, perlaksanaannya memberi keutamaan kepada orang UMNO. Kalau ada orang UMNO yang datang meminta (projek), maka diberi kepada mereka. Sama ada mereka itu boleh membuat kerja atau tidak boleh membuat kerja – ianya tidak dpedulikan. Yang penting ialah dari pemberian tersebut, sokongan politik akan diperolehi. Melalui jalan lobi-melobi politik, maka mereka pun mendapat projek. Tapi sekarang kita nyatakan – kalau hendak pertolongan atau bantuan daripada kerajaan, pertamanya mesti dikenalpasti terlebih dahulu perniagaan apa yang ingin dilakukan. Selepas itu kita mahu melihat cash flow atau aliran tunai daripada perniagaan yang ingin dijalankan itu. Perniagaan itu mesti jelas aliran tunainya.”

Penyelesaian kepada perlaksanaan DEB yang gagal kerana dulunya ia dijadikan alat untuk meraih sokongan politik, kini cara untuk memperbetulkannya menurut Tun Daim hanyalah dengan menghentikan agihan berbentuk politik, mengenalpasti jenis perniagaan yang sesuai dan penyediaan pelan aliran tunai yang lengkap. Mudah sungguh.

Kemungkinan mekanisme penyelesaiannya jauh lebih rumit daripada apa yang dinyatakan oleh Tun Daim di atas. Dan tentu saja Tun Daim sebagai ahli perniagaan dan bekas Menteri Kewangan Malaysia yang berjaya jauh lebih tahu bagaimana untuk mengatasi masalah kegagalan perlaksanaan DEB.

Pembinaan Bangsa Sebagai Bingkai Besar

Justeru, kritik saya bukanlah tentang cara yang kelihatannya terlalu mudah itu tetapi lebih kepada melihat bingkai permasalahan yang lebih besar iaitu persoalan nasional yang merangkumi pembinaan negara-bangsa Malaysia yang terhambat oleh struktur ekonomi mengikut garis kaum. Kerangka tujuan keseluruhan DEB yang ramai terlepas pandang ialah tentang pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional.

Teks Tun Daim sepertimana yang telah saya bentangkan di atas lebih memfokuskan kepada persoalan ekonomi, perniagaan, rasa tidak selamat Melayu dan bagaimana untuk melahirkan Melayu yang lebih yakin diri dan mampu bersaing. Hampir tidak ada perbahasan tentang pembinaan bangsa dan perpaduan nasional. Walau pun Tun Daim menyentuh tentang DEB tetapi kelihatannya matlamat besar DEB yang merangkumi persoalan pembinaan bangsa dan perpaduan nasional tidak menjadi fokus kepada naratif Malaysia Tun Daim.

Andaian saya kemungkinan besar pihak penganjur Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional, telah pun menetapkan bingkai yang khusus untuk dibentangkan oleh Tun Daim dan kerana itu persoalan membina bangsa dan perpaduan nasional tidak menjadi subjek utama dalam teks Tun Daim.

Struktur Kaum Dalam Ekonomi Malaysia

Namun begitu di dalam membincangkan tentang Melayu dalam persoalan ekonomi nasional kita tidak dapat lari daripada membahaskan struktur ekonomi Malaysia yang umumnya masih berdasarkan kepada kaum.

Struktur kaum ini turut disentuh oleh Tun Daim bila beliau menghuraikan tentang perniagaan Cina:

Dan dalam perniagaan, mereka akan bangunkan pertubuhan atau kesatuan perniagaan seperti dewan perniagaan atau business chambers. Fungsinya adalah untuk menolong antara satu sama lain. Kalau orang Hokkien, mereka ada persatuan perniagaan mereka sendiri dan jenis perniagaan yang tertentu yang menjadi tumpuan mereka. Kalau orang Teochew akan ada persatuan dan perniagaannya yang khusus. Begitulah juga dengan orang Kantonis. Masing-masing ada persatuan dan perniagaan khusus mereka. Tapi di dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama yang memerlukan sokongan semua bangsa Cina, mereka bersatu di bawah Dewan Perniagaan Cina atau Chinese Chambers of Commerce. Ini yang penting.

Tun Daim pastinya mengetahui dengan lebih mendalam bagaimana perniagaan Cina bergerak. Dari teks ini juga boleh dikutip bahawa Tun Daim menginginkan sikap dan cara yang sama turut ada pada orang Melayu. Ayat – “ini yang penting” di baris terakhir itu jelas ditujukan kepada orang Melayu, yang sebelumnya Tun Daim kritik sebagai berperangai seperti “ketam kalau ada yang berjaya naik ke peringkat yang lebih tinggi, ketam-ketam yang lain akan menariknya turun ke bawah.”

Jika, sekiranya ini yang dimahukan oleh Tun Daim – peniaga Melayu bersatu di bawah satu Dewan Perniagaan yang akan mempertahankan, melindungi dan memperjuangkan kepentingan ekonomi kaum mereka seperti mana cara peniaga Cina beroperasi – bukankah ini hanya akan mengukuhkan lagi struktur masyarakat yang terpisah-pisah mengikut garis kaum, agama dan bahasa?

Proses sejarah kolonial yang kita lalui berabad lamanya telah menjadikan struktur masyarakat Malaysia terpisah-pisah mengikut garis kaum. Daripada tadika, sekolah, institusi pengajian tinggi hinggalah ke kawasan penempatan, persatuan-persatuan masyarakat dan parti-parti politik, terdapat pemisahan kaum yang ketara.

Akan tetapi pemisahan yang lebih mempengaruhi hubungan antara kaum ialah pemisahan ekonomi apabila wujudnya syarikat-syarikat, persatuan-persatuan dan dewan-dewan perniagaan yang mewakili kepentingan kaumnya sahaja.

Asas kepada kehidupan manusia adalah aktiviti ekonomi. Tapi jika ruang ekonomi yang merupakan ruang asas untuk manusia mencari makan dan meneruskan kelangsungan (survival) hidupnya itu dipisah-pisahkan mengikut kaum, apa yang akan berlaku ialah persaingan dan perebutan sumber-sumber ekonomi akan turut juga mengikut garis kaum.

Persaingan dan perebutan ini tidak nampak ketara jika sekira sumber ekonominya mencukupi buat semua. Ia wujud tapi terpendam. Oleh kerana sumber-sumber ekonomi masih mencukupi maka keterpendaman itu tidak dimanifestasikan. Namun apabila sumber-sumber ekonomi semakin kurang, dengan wujudnya struktur ekonomi yang terpisah-pisah mengikut kaum, keterpendaman yang akan muncul di permukaan mungkin dalam bentuk konflik perkauman dan ianya akan mudah pula dipicu melalui aparatus politik.

Jika bangunan asas atau tapak kepada sebuah rumah itu terpisah mengikut kaum, maka dinding dan atap rumah juga akan turut mengikut garis kaum.

Justeru, bukankah dengan saranan daripada Tun Daim supaya orang Melayu bergerak di dalam perniagaan seperti mana orang Cina bergerak – ianya akan mengental dan mengeraskan identiti kaum masing-masing khususnya apabila pertembungan dan persaingan itu berlaku di ruang ekonomi yang merupakan ruang kelangsungan (survival) hidup? 

Membina Bangsa Malaysia

Mungkin permasalahan struktur ekonomi Malaysia yang terpisah mengikut kaum melalui kewujudan syarikat-syarikat perdagangan, persatuan-persatuan ekonomi, pertubuhan-pertubuhan dan dewan-dewan perniagaan mengikut kaum ini lebih strategik jika dibingkaikan bukan dari kaca mata ekonomi tetapi yang lebih penting dari perspektif pembinaan Bangsa Malaysia.

Dan pembinaan Bangsa Malaysia ini tidak memerlukan untuk kita menghilangkan identiti kaum masing-masing tetapi mencari suatu kesepakatan bersama untuk mengenalpasti unsur-unsur terangkum yang boleh kita jadikan semacam pengikat kepada sebuah identiti kebangsaan Malaysia supaya intensiti perkauman dapat dilunakkan dan rasa kebangsaan Malaysia dapat diperkukuhkan.

Persoalan-persoalan inilah pada hemat saya tidak diberi tumpuan oleh teks Tun Daim walaupun tema besar seminar ini adalah tentang naratif Malaysia. Dan naratif Malaysia tentunya tak dapat menghindari persoalan-persoalan yang berkaitan dengan pembinaan bangsa.

Diam Adalah Teks

Membaca teks secara intim bukan hanya menumpukan kepada apa yang diucapkan di dalam teks. Tetapi turut menjadi analisa ialah apa yang tidak diucapkan atau apa yang didiamkan. Yang tidak ada dalam teks adalah suatu bentuk tanda diam. Tapi diam tidak semestinya tiada makna. Diam adalah juga suatu manifestasi sebuah pemikiran khususnya apabila wujud soalan tetapi tiada jawapan yang diberikan.

Di bahagian akhir teks Tun Daim, terdapat satu soalan yang tidak dijawab beliau. Soalan yang dikemukakan oleh salah seorang dari peserta Seminar Naratif Malaysia ini memang boleh ditafsirkan sebagai soalan tempatan – yang bermaksud soalan berkenaan hal yang terjadi khas di Johor. Justeru itu, yang menjawabnya ialah Dato’Osman Sapian bukan Tun Daim.

Menamakan Ruang

Namun jika diteliti inti yang terkandung dalam soalan tersebut ia jelas merupakan suatu persoalan nasional. Bukan hanya persoalan khas negeri Johor. Persoalan yang diangkat oleh peserta tersebut sebahagiannya adalah menyentuh tentang identiti, rupa-bentuk, wajah dan keperibadian yang bagaimanakah yang seharusnya diangkat dan ditampilkan kepada khalayak awam. Terpendam di bawah soalan ini bukan hanya tentang kegusaran ekonomi tetapi juga kegusaran tentang budaya, bahasa dan identiti nasional.

Inti kepada soalan tersebut adalah tentang mengubah nama ruang. Peserta yang bernama Ahmad Yazid Bin Ramli daripada Kluang mengajukan soalan seperti berikut:

Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di bandar Kluang atas sebab penjenamaan semula Pekan Rabu Kluang kepada Kluang Junction. Sedangkan Pekan Rabu adalah satu branding bangunan perniagaan bumiputera yang kita kenal sepertimana Pekan Rabu Alor Setar, Pasar Payang, Pasar Besar Siti Khadijah. Kita gunakan nama dagangan tersebut sebagai Pekan Rabu di Kluang dan dijadikan manifesto pada PRU13 dan sekarang bangunan Pekan Rabu itu telah ditukar namanya kepada Kluang Junction dan dimasuki tycoon perniagaan yang kita kenali sebagail Songmart, yang dimiliki oleh peniaga Cina. Saya suarakan perkara ini sejak daripada 22 Januari 2018, tarikh di mana berlakunya penjenamaan semula Pekan Rabu yang dibuat tanpa perbincangan dengan penduduk setempat. Dan saya isukan juga perkara ini pada 13 Mei selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lepas di mana pada 13hb Mei itu adalah pengumuman pembukaan Songmart di dalam bangunan bumiputera di Kluang. Apa usaha daripada kerajaan negeri Johor dalam memberi keutamaan kepada Melayu dalam persoalan nasional dari segi ekonomi khususnya tentang bangunan Pekan Rabu tersebut?

Malangnya seperti mana yang saya nyatakan Tun Daim tidak menjawab. Soalan ini adalah tentang suatu kes yang terjadi khas di Kluang, Johor. Tapi bagi yang cakna kepada isu-isu nasional yang berlaku dalam masyarakat dan peka kepada denyut nadi dan jantung masyarakat Melayu khususnya, tentu sudah sedia maklum isu pengubahan nama tempatan kepada nama asing khususnya dalam bahasa Inggeris di kota-kota dan bandar-bandar besar adalah isu terpendam tapi mencengkam sensitiviti Melayu.

Daim Yang Diam

Kenapa Tun Daim memilih untuk tidak menjawab soalan ini tidak pula diketahui dengan jelas. Apakah kerana beliau tidak faham tentang soalan yang dikemukakan atau apakah kerana persoalan budaya, bahasa, rupa-wajah, identiti dan keperibadian nasional bukanlah tumpuan utama naratif Malaysia buat Tun Daim. Naratif Malaysia yang paling utama buat Tun Daim adalah ekonomi dan perniagaan kerana bagi beliau ia adalah merupakan ruang yang paling logik dan rasional.   

Logik Homo Economicus

Tapi menyempitkan manusia hanya kepada homo economicus  adalah melawan hakikat sifat manusia yang turut terkandung di dalam wujudnya unsur-unsur emosi, perasaan, psikologi, seksualiti dan rohani. Dan mengubah nama tempat dari nama tempatan kepada nama dalam bahasa asing adalah satu tindakan yang telah pun menyentuh emosi si penanya, Ahmad Yazid Bin Ramli.

Logik seorang homo economicus mungkin berkisar kepada mencari nama yang boleh diperlihatkan sebagai boleh membawa keuntungan. Nama “Pekan Rabu” mungkin tidak cukup hipster atau classy dan tidak dapat untuk menarik ramai pelanggan berbanding dengan nama “Kluang Junction”.

Cara berfikir yang hanya memfokuskan kepada keuntungan memperlihatkan bahawa mereka yang terlibat di dalam usaha memadamkan nama tempatan yang lama dan mengubahnya kepada nama asing yang baru tidak punya keprihatinan, kepekaan dan kehalusan sejarah.

Menamakan Adalah Memadamkan

Pada mereka ruang hanyalah sekadar tempat, bukan sejarah. Sejarah ruang bagi mereka tidak penting. Yang penting apakah tempat tersebut boleh membawa keuntungan atau pun tidak. Nilai sejarah, ingatan, budaya, bahasa, identiti serta keperibadian yang terkandung dalam ruang tersebut tidak pernah menjadi pertimbangan mereka. Nama bagi mereka juga hanya punya satu tujuan iaitu keuntungan. Nama tidak mencerminkan apa-apa nilai buat mereka kecuali nilai ekonomi.

Agak malang sekali apabila mereka yang terlibat di dalam pengubahan nama tempatan kepada nama dalam bahasa asing ini tidak menyedari bahawa tindakan mengubah nama adalah juga tindakan memadamkan sejarah, ingatan, identititi dan keperibadian ruang tersebut.

Menamakan adalah juga memadamkan. Dengan menamakan ruang tersebut dengan nama baru, penama mengisytiharkan kepemilikan beliau terhadap ruang tersebut dan pada masa yang sama melupuskan kepemilikan lama, dan sejarah lama terpadam dengan kemunculan sejarah baru yang ditandai dengan nama baru. Justeru, mengubah nama tempat adalah suatu tindakan perampasan sejarah, ingatan, identiti dan budaya yang paling licik dan jahat.

Mentamadunkan Ruang

Dan nama yang dipilih pula bukan nama dalam bahasa tempatan tetapi suatu bahasa asing dari wilayah budaya yang asing pula yang tiada berpijak kepada akar sejarah dan budaya tempatan. MengInggeriskan nama adalah cerminan kepada sikap dan pemikiran mereka yang terlibat di dalam proses pengubahan tersebut yang melihat bahasa tempatan sebagai rendah dan tidak cukup canggih dan maju untuk dinamakan.

Oleh kerana itu nama dalam bahasa tempatan perlu dilupuskan. Melupuskan bahasa adalah juga melupuskan makna, sejarah, ingatan, budaya dan identiti bangsa. Mungkin disebalik pemikiran sebegitu tersembunyi pandangan bahawa ruang hanya boleh dimodenkan dan ditamadunkan dengan bahasa Inggeris. Bahasa kebangsaan dilihat tidak cukup kuat untuk menjadi cerminan kepada ketamadunan bangsa dan negara.

PengInggerisan nama ruang adalah suatu bentuk perisytiharan budaya baru melalui pelupusan budaya lama. Di sini penama mengangkat, mengisytihar dan mempertegaskan kedudukan dirinya dan komunitinya sebagai pemula sejarah baru di atas pemadaman sejarah lama.

Teks Sebagai Sejarah Pergulatan Pemikiran Bangsa

Teks Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional yang diajukan oleh Tun Daim ini pada hemat saya adalah suatu dokumen sejarah penting di era Malaysia Baru ini. Ia adalah sebuah cerminan sejarah idea dan pergulatan pemikiran seorang tokoh Melayu yang sudah teruji dan telah pun menempa kejayaan baik di bidang ekonomi mahu pun politik tetapi masih tetap sahaja aktif untuk terus menyumbangkan jasa dan bakti beliau kepada Malaysia dan khazanah sejarah pemikiran bangsa.

Konteks yang melatari kelahiran teks Tun Daim ini menjadi keprihatinan beliau untuk mengajukan pandangan-pandangan yang bukan sahaja mencabar minda Melayu tapi turut merangsang penyelidik seperti saya untuk memberi jawapan balas.

Saya berharap akan menyusul pula selepas ini kritik-kritik terhadap teks saya dan juga teks-teks kawan-kawan lain yang telah disumbangkan di dalam Seminar Menjawab Tun Daim ini supaya pergulatan idea terus rancak dalam usaha dan upaya kita untuk melahirkan naratif Malaysia yang benar-benar adil, saksama, manusiawi dan terangkum.


[1] Homo Economicus adalah istilah bahasa latin yang membawa maksud ‘manusia ekonomi’. Konsep ‘Manusia ekonomi’ ini muncul buat pertama kali dalam sejarah idea pada penghujung abad ke-19 apabila ahli falsafah Inggeris, John Stuart Mill menakrifkannya sebagai ‘manusia yang pastinya akan mendapatkan keperluan, keselesaan dan kemewahan yang paling maksima dengan tenaga kerja yang paling minima yang boleh diperolehinya”. Untuk tulisan ini istilah homo economicus merujuk kepada suatu bentuk pemikiran yang melihat manusia sebagai makhluk rasional yang mengejar kekayaan, kesenangan, keuntungan dan keselesaan hidup untuk kepentingan dirinya sendiri dan berupaya membuat pertimbangan-pertimbangan rasional di dalam mencapai keinginan, kehendak dan matlamat hidupnya.

Makalah ini dibentangkan pertama kali di Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.



Categories: Makalah

Tags: , , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: