Identiti Kebangsaan Menerusi Pendidikan: Renungan terhadap Teks “Naratif Malaysia”

Pengenalan

Artikel ini merupakan hasil renungan daripada ucaptama Tun Daim Zainuddin dalam Majlis Perasmian Naratif Malaysia. Tun Daim memberi penekanan terhadap sistem pendidikan di negara ini yang menurut beliau sangat penting dalam membina naratif Malaysia yang lebih inklusif dan bukan semata-mata terperangkap dalam politik komunalisme non-rasional semata-mata. Maka, artikel ini akan memberi tumpuan kepada isu pendidikan negara ini yang gagal membina identiti nasional yang inklusif dan mengusulkan satu cadangan untuk membawa Malaysia keluar daripada polemik ini.

Analisa Tun Daim Terhadap Ketertinggalan Orang Melayu

Tun Daim sangat menekankan kepada perdagangan dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. Pada pandangan Tun Daim, dalam membaca kegusaran Melayu, harus difahami secara bersama dengan perubahan sejarah orang Melayu, khususnya sejak zaman penjajahan. Tun Daim dengan cermat memulakan ucaptama beliau dengan membentangkan betapa ramai tokoh-tokoh Melayu terbilang di negeri Johor sahaja – memandangkan acara perasmian itu dibuat di Johor, sebagai konteks – lalu menimbulkan persoalan utama dalam Naratif Malaysia:

“Kita tidak kekurangan sosok-sosok hero. Negeri Johor sendiri mempunyai sejarah yang kaya dengan pahlawan yang gagah-perkasa, seniman yang tersohor, penyair, ahli sukan, santis, doktor, ahli akademik dan juga ahli perniagaan…. Jadi, persoalannya kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang saya bentangkan di atas?”

Tun Daim melihat hal ini sebagai ketidakupayaan orang Melayu untuk berfikir secara rasional dan tidak semata-mata dipengaruhi oleh emosi. Lalu beliau melontarkan cabaran ini kepada khalayak akademia di universiti untuk bertindak sebagai intelektual awam bagi mencerahkan pemikiran orang Melayu. Tun Daim juga memberi penekanan khusus kepada pendidikan yang pada beliau merupakan tonggak utama dalam menentukan masa depan negara baik daripada segi politik, mahupun ekonomi:

“Pastikan sistem pendidikan kita betul, dan politik serta ekonomi akan turut mengikut menjadi betul. Akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia….Dedahkan anak-anak kita kepada dunia dan mereka akan mahu menjadi cemerlang dan mereka akan melindungi yang terbaik daripada budaya kita.”

Pendidikan Sebagai Alat Perubahan

Oleh hal yang demikian, bagi menjawab Tun Daim, artikel ini akan kembali mengajukan soalan yang sama; mengapakah setelah lebih 40 tahun perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang telah mentransformasikan struktur ekonomi dan sosial negara serta hampir 25 tahun sejak pengumuman dasar Wawasan 2020 yang bertujuan melahirkan bangsa Malaysia, wacana negara masih lagi terperangkap dalam polemik perkauman dan kekaburan identiti nasional? Berdasarkan beberapa pengukuran, Malaysia jelas berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam tempoh 50 tahun yang lepas. Kadar literasi dalam kalangan populasi dewasa yang berumur 15 tahun dan ke atas pada tahun 2010 ialah 92%. Enrolmen pada peringkat rendah dan menengah rendah hampir mencapai tahap 100%, dan bagi menengah atas kadar enrolmen ialah 80%. Lebih kurang dua pertiga daripada jumlah murid meneruskan pengajian pada peringkat lepas menengah atau mengikuti pelbagai latihan yang disediakan pada peringkat matrikulasi, pra-universiti, asasi dan vokasional (Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).

Namun demikian, sebagaimana yang kemudiannya dihuraikan oleh Tun Daim dalam sesi soal jawabnya, polemik perkauman yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini bukan semata-mata disebabkan oleh dasar ekonomi dan sosial negara tetapi juga kegagalan dasar pendidikan negara selama ini untuk keluar daripada kerangka pendidikan yang dibentuk oleh ilmu kolonial. Dalam bahasa Tun Daim sendiri:

“Oleh kerana itu, British menyuruh orang Melayu menanam padi dan menangkap ikan sebagai kegiatan yang membekalkan sumber makanan buat British dan juga buruh-buruh asing yang berkerja di bandar-bandar. Pekerjaan sebegini tidak memerlukan orang Melayu belajar tinggi. Apa perlunya untuk belajar tinggi jika pekerjaan orang Melayu hanyalah sebagai penanam padi dan penangkap ikan? Tak perlu pergi sekolah untuk belajar menanam padi atau menangkap ikan.”

Akan tetapi, nampaknya Tun Daim hanya berhenti di situ, tanpa menyatakan bahwa dasar pendidikan negara selama ini tidak berusaha untuk menyelesaikan persoalan identiti nasional sehingga menimbulkan banyak kekaburan dalam banyak dasar yang berkaitan dengan sistem pendidikan seperti bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, dan pendidikan sivik. Malah, amalan sistem pendidikan kini telah menyumbang kepada kekalutan identiti ini. Artikel ini akan memperincikan kejayaan yang dimaksudkan oleh Tun Daim dalam melahirkan orang Melayu yang berjaya tetapi dalam masa yang sama gagal membentuk identiti nasional.

Transformasi Sosial Melalui Pendidikan

Kesenjangan sosial dan ekonomi antara kaum di Malaysia adalah produk kolonial British selama lebih 150 tahun dan juga polisi kontemporari yang berasaskan perkauman (Andaya & Andaya 2001).  Pada tahun 1970an, kerajaan mula mengubah dasarnya untuk terlibat lebih aktif dalam pembangunan dan menyusun semula struktur masyarakat dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sepanjang 40 tahun terakhir ini, melalui Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan antara tahun 1970 hingga 1990, banyak perubahan terhadap ekonomi dan sosial negara yang akhirnya mempengaruhi pembentukan sikap politik rakyat Malaysia.

Apabila tumpuan ekonomi telah beralih kepada industri, bandar-bandar baru mula dibuka, khusus untuk menampung kilang-kilang baru. Urbanisasi ini juga selari dengan penghijrahan ramai penduduk desa, khasnya generasi muda, ke bandar-bandar perindustrian baru seperti Pasir Gudang, Seberang Prai dan Shah Alam. Daripada sekitar 10 juta penduduk Malaysia pada tahun 1970, seramai 26.7 peratus tinggal di bandar dan jumlah ini meningkat dengan signifikan pada tahun 1991.[1] Pada tahun 2010, lebih 70 peratus penduduk Malaysia tinggal di bandar dan jumlah ini lebih besar di negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor. Proses perindustrian dan pembandaran telah menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan kelas-kelas sosial moden, khususnya kelas menengah dan kelas pekerja (Abdul Rahman Embong 2000: 91).

Pendidikan Negara Berjaya Melahirkan Kelas Menengah

Menurut Abdul Rahman Embong, pembangunan kapitalis lewat 1970-an dan penyusunan semula masyarakat Malaysia yang dilaksanakan oleh developmentalist state yang kuat telah berjaya mewujudkan kelas menengah yang besar. Bahkan, tidak seperti sebelum tahun 1970-an, di mana kebanyakan kelas menengah hanya terdiri daripada kaum Cina, sementara majoriti kelas menengah Melayu hanya terdiri daripada sekumpulan kecil pentadbir kerajaan. Pasca 1970an memperlihatkan pembesaran saiz kelas menengah pelbagai kaum. Selain pentadbir, kelas menengah baru ini terdiri daripada pengurus, doktor, arkitek, peguam, pensyarah, pakar teknologi, dan profesional lainnya (2001: 83).

Selain, profesional dan kelas menengah pengurusan, Malaysia turut menyaksikan peluasan kelas menengah lama atau entrepreneurial middle class. Pada masa yang sama, kelas menengah marginal tidak berkurang, kerana peranannya sebagai kumpulan sokongan kepada   kelas menengah baru (Abdul Rahman Embong 1995).

Perkembangan yang paling signifikan tentang transformasi ini adalah kelas menengah baru telah muncul ketika tempoh penting sejarah pembangunan negara dan kehadiran mereka sangat jelas baik di kota-kota besar mahupun di pekan-pekan di seluruh negara. Lebih penting lagi, mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum dan lebih mencerminkan komposisi masyarakat Malaysia.

Crouch (1996), Abdul Rahman (2000c, 2000d, 2000e), Kahn (1996) menegaskan bahawa proses industrialisasi dan dasar pro-Bumiputra telah memperlihatkan pertumbuhan kelas menengah yang begitu pesat di Malaysia. Kelas ini telah berkembang daripada hanya 4.0 peratus  pada tahun 1957 kepada 7.7 peratus pada tahun 1980, 11.2 peratus pada 1990, dan 15.3 peratus pada tahun 2000  (Abdul Rahman Embong  2000).

Secara teorinya, perkembangan kelas menengah yang lebih besar ini seharusnya membantu mewujudkan masyarakat sivil yang lebih kuat dan rentas etnik. Meskipun pembangunan yang rancak pada dekad 1970-an hingga 1990-an dan penekanan terhadap sektor pendidikan berjaya mewujudkan kelas menengah baru dalam struktur masyarakat Malaysia, hasil daripada pengamalan DEB, umumnya kelas menengah Melayu terdiri daripada kakitangan kerajaan. Birokrat Melayu ini telah terserap dalam struktur kekuasaan negara yang menuntut kepatuhan kepada arahan yang rigid.

Kelas menengah yang dibangunkan berdasarkan bantuan ekonomi dan penswastaan juga menghasilkan kelas menengah yang gagal mandiri (independent) dan bergantung bantuan kerajaan. Di bawah dasar penswastaan, sejumlah besar kapitalis Bumiputera dan bukan Bumiputera telah berkembang dengan mendapat naungan dan projek kurnia daripada pemerintah. Andaian asasnya, elit yang dibantu ini akan membantu pula untuk mencairkan kekayaan tersebut kepada kelas menengah dan rendah melalui regulasi ekonomi. Namun, oleh sebab terdapatnya unsur-unsur ketirisan dan kronisme maka regulasi itu tidak berlaku dan hanya berjaya melahirkan cukong-cukong pasaran semata. Kebergantungan ini juga tidak memungkinkan birokrat yang berada di kelas menengah untuk menjadi kritikal terhadap kekuasaan malah makin mewujudkan hubungan patronis yang kuat (Abdul Rahman Embong 2000).

Budaya politik kelas menengah ini sememangnya sukar untuk diperjelaskan dengan tuntas. Terdapat suatu kontradiksi antara sikap politik pada tahun 1960-an dan 1970-an – tebal dengan feudalisme berbanding budaya politik pada tahun 1990an yang menurutnya lebih membawa politik yang berbaur nilai sejagat (Rustam 2004: 34). Crouch (1984) dan Kahn (1996) juga mengatakan kelompok ini tidak mempunyai arah politik yang jelas, tetapi Saravanamuttu (1987, 1992) pula berpendapat sebaliknya. Sementara itu, Abdul Rahman Embong (1998) dan Loh (2000) lebih berminat untuk memeriksa budaya politik kelompok ini melangkaui hubungan mereka dengan parti politik.

Namun begitu, Saravanamuttu (2001: 103-105) menyimpulkan setidaknya terdapat dua pandangan asas mengenai kelas menengah di Malaysia, “(1) menyokong status quo kerana kebergantungan mereka secara ekonomi dengan kerajaan. Keterikatan mereka dengan gaya hidup mewah melalui kemajuan ekonomi yang pesat menyebabkan persoalan pendemokrasian menjadi soal sampingan. Tambahan pula, kelas menengah ini terpisah mengikut kaum yang menyebabkan sukar untuk mereka menemukan kesepakatan pandangan politik. (2) Pandangan kedua pula, melihat kelas menengah ini aktif menjuarai pelbagai isu. Sungguh pun kelas ini agak terpencar, mereka menunjukkan kesedaran nilai universal – demokrasi, hak asasi manusia, alam sekitar – yang melintasi sempadan kaum”.

Fenomena ini menawarkan wacana alternatif kepada perspektif ethnic-centric mahupun class-centric.  Malah, ini membawa kepada hujah kelas menengah sebagai aktor politik di Malaysia telah membentuk praxis multi-etnik dan multi-kelas yang merangsang masyarakat sivil untuk menentang pemantauan berlebihan negara, dominasi dan tekanan terhadap  warga (Saravanamuttu 1992). Namun, sebagai reaksi kepada pandangan ini, Kahn (1996b) mencadangkan tidak terdapat sekelompok kelas menengah tunggal yang semuanya berjuang untuk agenda demokrasi di Malaysia, malah terdapat banyak ‘kelas-kelas menengah’ (middle classes) dengan pelbagai kepentingan politik.

Kelas Menengah Malaysia dan Wacana Perkauman

Malaysia kini berada dalam transisi antara politik lama dan politik baru. Dalam tempoh ini, terdapat banyak pergelutan dan perebutan simbol serta makna dalam negara ini – daripada naratif sejarah rasmi nasional sehinggalah kepada soal kesetian dan pemilikan. Malah, banyak pertubuhan NGO yang dibangunkan bertujuan untuk memperjuangkan kaum atau agama masing-masing.

Menurut Shamsul (2001: 123-124) pergelutan ini bukan sahaja antara kerajaan dan juga masyarakat atau dalam istilah Shamsul authority-defined Vs everyday defined, malahan juga dalam kalangan masyarakat, pergelutan ini tidak terselesai. Shamsul (2001: 123) mencerakinkan pergelutan masyarakat ini kepada tiga kelompok, bukan Bumiputera dan dua lagi merupakan kelompok Bumiputera Islam dan Bumiputera Bukan-Islam.

Kelompok Bukan-Bumiputera ini, kebanyakan kes dirujuk sebagai Cina, mahukan amalan serta bahasa Cina juga diterima sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia. Demikian juga kelompok Bumiputera Bukan Islam yang mahukan agama Kristian dan ‘agama orang asal’ (native religions) diberikan status yang sama dalam negara ini dan masa yang sama menolak kelompok Bumiputera Islam yang mahukan negara Islam sebagai identiti teras negara ini (Shamsul, 2001: 123).

Umpamanya pertubuhan seperti Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Malaysia atau Dong Jio Zong yang sering dikaitkan sebagai pertubuhan yang lantang menjuarai isu berkaitan survival sekolah venakular Cina. Dong Jio Zong pernah menentang cadangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Malaysia Negaraku Tahap 1 di semua aliran sekolah rendah. Malah, pertubuhan ini juga membantah cadangan masa tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Tahap 1 di semua sekolah jenis kebangsaan (Kartini Aboo Talib 2012: 7).

Demikian juga dengan pertubuhan bukan Melayu seperti gabungan 30 NGO yang memperjuangkan nasib masyarakat India yang dikenali sebagai Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang melakukan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur pada 2007. Hindraf menganjurkan perhimpunan ini kerana hendak menyerahkan memorandum 18 perkara kepada Suruhanjaya Tinggi Britain dan seterusnya kepada Ratu Elizabeth II berhubung nasib malang bertimpa-timpa yang dialami oleh penganut Hindu di Malaysia semenjak zaman penjajahan British lagi. Saman itu difailkan oleh Hindraf di Britain pada 30 Ogos 2007 bagi menuntut 4 trilion paun (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain sebagai pampasan kepada masyarakat India kerana membawa mereka masuk ke Malaysia sebagai buruh murah. Setelah Malaysia dimerdekakan, masyarakat India ditinggalkan begitu sahaja di Malaysia. Nasib dan masalah mereka diserahkan bulat-bulat kepada Malaysia yang baru merdeka (Malaysian Insider 2011).[2]

Pada masa yang sama, penentangan ini bukan sahaja berlaku antara kelompok Melayu dengan bukan Melayu sahaja, tetapi juga berlaku persaingan antara kelompok Melayu berlainan ideologi seperti Sister In Islam (SIS) yang dilihat cuba memberi pentafsiran yang lebih liberal terhadap pemahaman dan amalan Islam di negara ini (Noraini Othman 2008). Memandangkan Islam merupakan agama rasmi Persekutuan dan Islam telah diinstitusikan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan agama Islam di setiap negeri, Mahkamah Syariah dan sebagainya, Islam di Malaysia secara umumnya adalah lebih homogen. Sebarang cubaan pentafsiran lain daripada tafsiran rasmi akan dilihat sebagai penyimpangan (deviant) atau sesat – keluar daripada agama Islam (Ahmad Fauzi Abdul Hamid 2013).

Pada belah lain pula, terdapat kelompok Melayu-Islam yang menekankan tafsiran Islam yang lebih konservatif. Kelompok seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) dan ISMA yang seringkali menjadi kumpulan pendesak untuk mempertahankan status quo Melayu-Bumiputera.

Umumnya, meskipun Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk menstrukturkan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan telah berjaya melahirkan kelas menengah yang besar di Malaysia, namun sebahagian kelas menengah ini bukan sahaja gagal mandiri, malahan juga masih terikat dalam wacana perkauman. Sementara wujud kelompok NGO yang membawakan tema-tema besar seperti Hak Asasi Manusia, alam sekitar, keadilan, reformasi sistem kehakiman, ketelusan dan kebertanggungjawab, sistem pilihan raya yang bersih dan adil, politik Malaysia masih berbaur dengan persoalan perkauman. Jika diperhalusi kebanyakan persoalan perkauman ini berkisar kepada isu identiti nasional dan citizenship.

Identiti Nasional Melalui Pendidikan – Sekolah Sebagai Reproduksi Sosial dan Kebudayaan

Secara umumnya, cabaran pemodenan Malaysia berhubungkait dengan dua komponen penting, ekonomi dan politik. Komponen ekonomi dipacu oleh keperluan untuk menzahirkan cita-cita Malaysia sebagai negara perindustrian, manakala komponen politik untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berpegang kepada identiti sepunya, bangsa Malaysia.

Sebagaimana perbincangan awal, Malaysia pada suatu tahap telah berjaya mentransformasi ekonomi negara ini daripada berasaskan pertanian kepada perkhidmatan dan meningkatkan kadar urbanisasi dengan dramatik. Begitu juga dalam sektor pendidikan negara, khasnya vokasional dan universiti yang telah berjaya melebarkan saiz kelas menengah di negara ini. Namun, oleh kerana institusi dan prosedur politik lama, termasuk sistem pendidikan negara yang masih terperangkap dalam struktur kolonial, maka kelas menengah negara ini juga masih bergelut antara politik baru dan politik lama.

Sistem Pendidikan Malaysia Semakin Homogen

Pengiktirafan bahawa sekolah adalah agensi sosialisasi adalah andaian yang dikongsi oleh semua proponents of citizenship education, tetapi andaian ini tidak lengkap sebagai satu alat analitikal untuk menghuraikan fungsi sosial (societal functions) institusi pendidikan. Pendekatan yang lebih analitikal, dalam kebanyakkan kajian sosialisasi (socialization literature) seperti Bourdieu and Passeron (1977) mendapati proses sosialisasi sebagai kenderaan bagi reproduksi budaya dan ekonomi (vehicle of economic and cultural reproduction); sebagai satu proses yang menjadi pengantara amalan sosial dan kepercayaan budaya yang perlu untuk mengekalkan dominasi dan struktur kuasa golongan tertentu (Giroux 1980: 329-366).  Tambah Giroux lagi;

A more fundamentally political and critical approach to school socialization would begin with the premise that one of the critical elements in the power of a dominant class resides in its ability to impose, though not mechanistically, its own set of meanings and social practices through the selection, organization, and distribution of school knowledge and class-room social relationships (Giroux 1980:333).

Maka, sementara institusi pendidikan boleh menjadi alat penyatuan, institusi pendidikan juga boleh menjadi alat untuk mengekalkan dominasi kuasa politik pemerintah dan membiarkan masyarakat kekal terpisah. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, walaupun data sahih sedia ada menunjukkan bahawa kepelbagaian murid dan guru di sekolah kebangsaan telah berkurangan, namun masih terdapat interaksi yang agak memuaskan antara kumpulan etnik di dalam dan di luar bilik darjah. Namun, laporan ini tidak pula menyatakan apakah ukuran yang digunakan bagi menilai tahap interaksi murid di luar bilik darjah tersebut.

Sistem pendidikan Malaysia terdiri daripada lebih 20 pilihan persekolahan pada peringkat rendah dan menengah. Sekolah rendah awam terdiri daripada tiga jenis sekolah utama: SK, SJKC dan SJKT . Setiap jenis sekolah ditentukan melalui bahasa pengantar yang berbeza dan secara keseluruhan mencakupi hampir 99% daripada jumlah enrolmen sekolah rendah. Selain itu, terdapat pelbagai jenis sekolah yang menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan khusus, seperti sekolah agama (Islam) dan sekolah pendidikan khas.

Sistem sekolah menengah awam menunjukkan penumpuan kebanyakan murid daripada pelbagai jenis sekolah rendah kepada satu format sekolah. Sekolah menengah kebangsaan (SMK) ini menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. SMK mencakupi 88% daripada jumlah enrolmen sekolah menengah. Peratusan kecil murid memilih sekolah alternatif seperti sekolah agama dan peratusan ini semakin meningkat. Setelah tamat pendidikan menengah rendah (Tingkatan 3), murid mempunyai pilihan untuk meneruskan pengajian di sekolah teknik, vokasional, sukan, seni dan lain-lain.

Sebilangan kecil murid mendaftar di sekolah swasta dan bilangannya semakin bertambah. Sekolah ini beroperasi pada peringkat rendah dan menengah, termasuk sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan, sekolah antarabangsa dan sekolah agama. Pada masa ini, sekolah swasta membentuk 1% daripada jumlah enrolmen sekolah rendah dan 4% daripada jumlah enrolmen sekolah menengah.

Pilihan pendidikan lain terdiri daripada sekolah persendirian Cina yang membentuk komponen terbesar pilihan pendididkan lain di Malaysia. Sekolah-sekolah ini menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan melaksanakan kurikulum yang digubal oleh Dong Jiao Zong.

Secaranya keseluruhan, pecahan murid di Malaysia mengikut kaum terdiri daripada 67% Melayu, 25% Cina, 7% India dan baki 1% terdiri daripada lain-lain kaum. Nisbah kaum mengikut aliran sangat mengejutkan. Berdasarkan Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015, 94% murid di Sekolah Kebangsaan terdiri daripada kaum Melayu, berbanding hanya 88% murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) terdiri daripada kaum Cina. Nisbah ini menunjukkan bahawa Sekolah Kebangsaan yang seharusnya mengumpulkan murid pelbagai kaum menjadi lebih homogen berbanding SJKC. Malah, terdapat lebih ramai murid Melayu di SJKC (9%) berbanding murid Cina di Sekolah Kebangsaan (3%).

Jelas bahawa, Sekolah Kebangsaan bukan sahaja semakin tidak menjadi pilihan dalam kalangan bukan Melayu, malahan juga dalam kalangan murid Melayu sendiri. Salah satu punca Sekolah Kebangsaan tidak menjadi pilihan di peringkat sekolah rendah adalah kerana pencapaian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina bagi Perperiksaan UPSR sentiasa mengatasi Sekolah Kebangsaan. Meskipun jurang pencapaian semakin mengecil, hakikat bahawa Sekolah Kebangsaan yang menerima peruntukan dana yang jauh lebih besar daripada SJKC gagal untuk menjadi yang terbaik, membuatkan prestasi Sekolah Kebangsaan diragui.

Mengatasi Cabaran Perpaduan Bagi Membentuk Identiti Nasional

Menurut Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015, Kementerian telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan semua kumpulan etnik diwakili dengan baik dalam bahan pengajaran yang digunakan di sekolah, hinggalah kepada mengurus program sekolah yang jelas memberikan tumpuan kepada usaha membina perpaduan. Ciri etnik dan budaya semua kaum dimasukkan dalam kurikulum dan bahan pengajaran yang digunakan di sekolah. Modul khusus untuk mengajar sifat menghargai dan memahami kepelbagaian kaum di Malaysia terkandung dalam kurikulum Sivik dan Sejarah. Kesemua kurikulum ini digubal berdasarkan Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997:

 “…suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan..”

Namun, kajian oleh Santhiram (1997) dan Cheah Boon Kheng (2003) mendapati bahawa kurikulum Sivik dan Sejarah yang diguna pakai sebelum ini jelas menekankan peranan Melayu dan secara tidak langsung mengecilkan peranan bukan-Melayu dalam pembangunan dan sejarah negara.

Program berasaskan sekolah yang secara jelas berfokus kepada usaha perpaduan seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) telah diperkenalkan. Kajian semula yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati program RIMUP berjaya mewujudkan pergaulan antara etnik di dalam dan di luar bilik darjah di kawasan di mana RIMUP dilaksanakan. Namun begitu telah berlaku penurunan yang ketara dari sudut pengisian dan bilangan aktiviti program RIMUP disebabkan kekangan peruntukan. Peruntukan yang diberikan merosot daripada RM 25.4 juta pada 2007 kepada hanya RM 2.4 juta pada 2011.

Sekolah Wawasan mula diperkenalkan pada 2003 bagi menggalakkan lebih banyak interaksi dan integrasi antara murid dari pelbagai jenis sekolah. Di bawah konsep ini, tiga jenis sekolah, biasanya satu SK, satu SJKC dan satu SJKT berkongsi pekarangan dan kemudahan sekolah yang sama tetapi mengekalkan pentadbiran sekolah yang berasingan. Sekolah Wawasan diwujudkan di tempat yang mempunyai kawasan bagi pembinaan pekarangan yang boleh dikongsi dan jarak yang dekat antara SK dengan SJK. Walau bagaimanapun, keadaan ini menghadkan kebolehlaksanaan konsep tersebut dalam keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan dan oleh itu, hingga kini hanya terdapat lima kompleks Sekolah Wawasan masih beroperasi.

Tawar-Menawar Politik Yang Menguntungkan Dan Takrif Kebangsaan Yang Tidak Terselesai

Penyelesaian yang ditawarkan oleh Pelan Pendidikan ini masih tidak dapat keluar daripada ‘colonial knowledge’[3]. Kelangsungan sebahagian konstruksi etnik dan perkauman (racial and ethnic construction) bukan sahaja di peringkat epistemologi, malahan berubah kepada bentuk tindakan yang diinstitusikan dan berakar (embedded) dalam amalan rasmi, birokrasi dan pembentukan dasar awam seperti bancian, akta tanah, sijil kelahiran, kad pengenalan, serta sistem pendidikan. Aturan ini umumnya tidak terganggu dan dicabar selepas zaman kolonial dan membina satu pandangan kaedah mendefisikan kategori kaum dan etnik melalui petanda fizikal dan budaya (Shamsul 1996b).

Faham masyarakat majmuk di Malaysia ini masih terikat dengan amalan pecah perintah kolonial yang memisahkan ketiga-tiga kaum utama di negara ini. Tahap tertinggi persefahaman institusi politik di negara ini adalah pada tahap consociationalism semata-mata dan sering-kali digerakkan oleh elit politik dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan politik mereka. Hal ini kerana isu pendidikan adalah isu yang mencakupi semua rakyat negara ini.

Maka tidak ada hasrat politik (political will) untuk membentuk satu sistem pendidikan yang seragam dan tunggal kerana sistem pendidikan venakular yang ada kini merupakan tawar-menawar politik yang menguntungkan. Umpamanya, isu 10% kuota bukan-Bumiputera dalam  Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang merupakan institusi pendidikan khas kepada orang Melayu dengan kelengkapan dan infrastruktur yang relatifnya jauh lebih baik daripada kebanyakkan Sekolah Kebanggsaan, sering dijadikan bahan tawar-menawar politik apabila timbul gesaan daripada parti komponen Barisan Nasional atau mana-mana pihak lain untuk memberi kedudukan yang baik kepada bukan-Bumiputera.[4]  

Demikian juga 17 tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang dikemukakan sebelum Pilihan Raya Umum 1999 yang selain menuntut reformasi dalam dalam sistem perundangan, hak asasi, dan liberalisasi ekonomi, Suqiu turut mendesak agar lebih banyak peruntukan diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), termasuklah memansuhkan Sekolah Wawasan dan menambahkan guru bahasa Cina. Dr Mahathir yang berdepan dengan kemarahan orang Melayu ketika itu kerana pemecatan Anwar Ibrahim telah menggunakan kesempatan ini untuk dilihat sebagai pelindung hak orang Melayu dengan menyelar Suqiu sebagai tidak ubah seperti komunis (Utusan 2000). Jelas, isu pendidikan venakular dijadikan sebagai tawar-menawar setiap kali berlaku gangguan terhadap keseimbangan permuafakatan politik dalam Barisan Nasional.

Pada masa yang sama, sistem pendidikan Malaysia sukar untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang tunggal kerana faham kebangsaan di negara ini tidak terselesai dan sangat bermasalah. Bagi memahami kerumitan persoalan takrif kebangsaan ini, boleh dimulakan dengan melihat Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menjadi asas kepada pengenalan identiti kebangsaan Malaysia. Dasar ini mengariskan tiga teras utama kebudayaan kebangsaan[5];

  1. Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.
  2. Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.
  3. Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. (Sumber: Dasar Kebudayaan Kebangsaan [1971])

Maka, selepas tahun 1971, perlahan-lahan Sekolah Kebangsaan mula mengambil elemen-elemen Islam untuk disesuai dan diinstitusikan dalam Sekolah Kebangsaan. Banyak semakan kokurikulum sistem pendidikan telah membolehkan budaya dan nilai  Melayu serta agama Islam dijadikan teras kepada identiti Sekolah Kebangsaan. Pada peringkat Sekolah Menengah, mata pelajaran Agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib kepada pelajar Muslim (Joseph 2008). Menurut Joseph (2008: 184), beliau menggunakan istilah ‘politics of ethnic identification’ bagi menjelaskan ‘these differences and power imbalances along the various social, economic and educational dimensions that are linked with the official political ethnic categories in Malaysia’.

Demikian juga dalam aspek bahasa apabila bahasa Melayu diikat bersama dengan agama Islam sehingga bahasa Melayu yang seharusnya menjadi bahasa Kebangsaan rakyat Malaysia, sebahagiannya menjadi eksklusif kepada orang Melayu-Islam. Kes ini bukan sahaja merujuk kepada isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam dan terjemahan Bible dalam bahasa Melayu[6], tetapi juga larangan penggunaan beberapa istilah Arab yang ‘diMelayukan’ seperti haji, mufti, iman, fitrah.[7] Larangan ini tentunya aneh apabila mengambil kira beberapa istilah agama yang digunapakai dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit, seperti syurga, neraka dan puasa. Malah istilah agama itu sendiri daripada bahasa Sanskrit.

Identiti Melayu dan kaitannya dengan Islam diperteguhkan lagi melalui Syarahan Perdana Syed Naquib Alatas Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu di UKM pada tahun 1972. Menurut beliau, sebelum kedatangan Islam, meskipun masyarakat Melayu menganut ajaran Hindu, namun hanya diperingkat ritual dan kesenian semata-mata. Masyarakat Melayu tidak dapat menjangkau falsafah agama Hindu dan merangkum metafizik Hindu yang kompleks. Hanya selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu mula melibatkan diri dalam persoalan metafizik dan falsafah yang kompleks (Syed Naquib Alatas 1972:13).

Wacana berkenaan identiti kebangsaan di Malaysia sukar berkembang bukan sahaja konsep bangsa Malaysia yang ditawarkan oleh Dr Mahathir melalui Wawasan 2020 tidak dihuraikan oleh beliau, malah, konsep alternatif yang ingin diajukan juga tidak pernah dihuraikan, contohnya gagasan Malaysian Malaysia yang di bawa oleh DAP hanya setakat menyetujui bahawa pembentukan bangsa Malaysia harus berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sekular dan liberal (Lim Kit Siang 1986).

Meskipun pada suatu ketika, sebelum adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, DAP melalui Lim Kit Siang cuba mengusulkan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang berteraskan tiga kaum utama – Melayu, Cina dan India. Paling nyata adalah perdebatan antara Lim Kit Siang dengan pengasas Parti Gerakan, Syed Naquib Alatas berkenaan takrif persuratan Malaysia. Lim Kit Siang menyatakan bahawa persuratan Malaysia harus mencakupi penulisan dalam bahasa lain bahasa Melayu (umumnya bahasa Inggeris, Cina dan Tamil) oleh pengarang berbangsa Malaysia. Lim mempertegaskan bahawa kedudukan bahasa dan kebudayaan bukan Melayu juga harus ditempatkan sama tinggi dengan bahasa dan kebudayaan Melayu. Hal ini tidak dipersetujui oleh Syed Naquib yang berhujah bahawa semangat dan ideal sebuah bangsa tercermin pada persuratanya. Persuratan Malaysia yang tulen, ditulis dalam bahasa Melayu oleh pengarang yang tidak semestinya Melayu tetapi menyerap tradisi dan kebudayaan kepulauan Melayu.[8]

Malangnya, perbahasan ini tidak disambut oleh lain-lain pihak baik dalam politik mahu pun akademik. Akhirnya polemik yang dicetuskan oleh Syed Naquib ini mati begitu sahaja. Sehingga kini, Malaysia tidak pernah menyelesaikan polemik identiti kebangsaan ini, baik di peringkat epistemologi, mahupun di peringkat perlaksanaan dasar negara.

Kesimpulan

Malaysia kini berada dalam transisi penting baik daripada sudut ekonomi, politik, mahu pun sosial. Dalam transisi yang kritikal ini, saat sebahagian daripada wacana awam telah menjadi lebih progresif dengan membawa agenda-agenda yang bersifat sejagat dan konstruktif, sebahagian wacana ini masih lagi dihimpit dengan politik etno-nasionalis sempit yang sering berulang-ulang – kedudukan Bumiputera, persaingan moral pemerintah, dan kesetiaan kepada status quo.

Sebahagian besar masalah ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam makalah ini, terletak dalam sistem pendidikan negara yang masih gagal untuk membina citra kebangsaannya sendiri di sebalik slogan-slogan besar bangsa Malaysia, 1Malaysia, dan Wawasan 2020.

Sistem pendidikan Malaysia setakat ini tidak berminat untuk merombak sistem sedia ada dengan mengajukan satu bentuk pendidikan nasional yang mampu merangkumi semua dengan mula membahas dan menyelesaikan identiti kebangsaan. Selagi sistem sosial dan politik Malaysia gagal mendamaikan antara kedudukan identiti Melayu, Islam dan identiti kaum serta agama lain, maka hasrat melahirkan gagasan bangsa Malaysia hanya tinggal retorik semata-mata.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. 1995. ‘Malaysian Middle Class: Some Preliminary Observations’ dalam  Jurnal Antropologi dan Sosiologi Bil 22: 31-54

___________1996. Social Transformation, the state and the Middle Class in Post-independent Malaysia. Southeast Asian Studies 34, no 3: 56-72.

___________1998. ‘Malaysian Middle Class Studies: A Critical Review’ dalam Rethinking Malaysia, (eds). Malaysian Social Science Association. Hong Kong: Asia 2000.

___________.2002. State-Led Modernization and the New Middle Class in Malaysia. New York. Palgrave.

___________ 2000b. ‘Pembangunan dan Ketidaksetaraan Pendapatan: Pencapaian dan Cabaran Masa Depan’ dalam Abdul Rahman Embong (eds). Negara, Pasaran dan Pemodenan Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

___________2001a. Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

___________2001b. ‘Beyond the Crisis: The Paradox of Malaysia Middle Class’ dalam (eds). Abdul Rahman Embong. Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid. 2013. Trends in Southeast Asia: Political Islam And Islamist Politics In Malaysia. ISEAS. Singapore

Anderson, Benedict.1983. Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spead of Nationalism, London: Verso.

Bourdieu, Pierre, And Passeron, Jean-Claude. 1977. Reproduction in Education, Society, And Culture. London: Sage.

Cheah Boon Kheng. 2003. The Bumiputera Policy And Nation Building dalam Kajian Malaysia, Vol. XXl. Nos 1&2, 2003

Crouch, Harold, 1996, Government & Society in Malaysia, St. Leonards, NSW, Australia: Allen & Unwin.

Giroux. 1980. Critical Theory and Rationality in Citizenship Education. Curriculum Inquiry, Vol. 10, No. 4 (Winter, 1980), pp. 329-366

Joseph, Cynthia. 2008. Ethnicities and Education in Malaysia: Difference, Inclusions and Exclusions in G. Wan (ed.), The Education of Diverse Student Populations: A Global Perspective. Springer Science

Kahn, J. S. 1996. “Growth, Economic Transformation, Culture and the Middle Classes in Malaysia.” Dalam Richard Robinson and Davis S.G Goodman (eds.). The New Rich in Asia: Mobile Phone, McDonalds and Middle Class Revolution, London & New York: Routledge

­­­­­­­__________.1996b. “The Middle Class as a Field of Ethnological Study.” Dalam Muhammad Ikmal Said dan Zahid Emby, eds., Malaysia: Critical Perspectives: Essays in Honour of Syed Husin Ali. Petaling Jaya. Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Kartini Aboo Talib@Khalid. 2012. Lanskap masyarakat Sivil: Evolusi, Politik dan Pendekatan dlm Haris Zuan dan Rizal Hamdan (eds). Wacana Baru Politik Malaysia: Perspektif Ruang Awam, Budaya dan Institusi. Petaling Jaya: SIRD.

Lim Kit Siang. 1986. Malaysia: Crisis of Identity. Petaling Jaya: Democratic Action Party.

Loh, K. W. 2000. Politik Baru di Malaysia? Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

____________ 2002. ‘Developmentalism and the Limits of Democratic Discourse’ dalam Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik, (eds). Democracy in Malaysia: Discourses and Practices. Curzon Press.

____________2003. “Towards a New politics of Fragmentation and Contestation.” dalam Francis Loh Kok Wah & Johan Saravanamuttu (eds)., New Politics in Malaysia. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

____________2009. Old vs New Politics in Malaysia: State and Society in Transition. Petaling Jaya:  SIRD dan Aliran Kesedaran Negara.

Noraini Othman.2008. Religion, Citizenship Rights and Gender Justice: Women, Islamization & Shari’a in Malaysia Since the 1980s in Noraini Othman etl (ed) Sharing the Nation: Faith, Difference, Power and the State 50 Years After Merdeka. SIRD. Petaling Jaya

Saravanamuttu. 2001. ‘Is There a Politics of the Malaysian Middle Class?’ dalam Abdul Rahman Embong (ed.), Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Santhiram, R. 1997. “Curriculum Materials for National Integration in Malaysia — Match or Mismatch”, Asia Pacific Journal of Education Volume 17, Issue 2, 1997.

Shamsul A.B.1996.  Nations-of-Intent in Malaysia, in Asian Forms of the Nation, edited by Stein Tonnesson and Hans Antlov, London: Curzon and Nordic Institute of Asian Studies.

Shamsul A.B. 1996b. “The construction and transformation of a social identity: Malayness and Bumiputeraness re-examined” Journal of African and Asian Studies (Tokyo) 52: 15-33.

Shamsul A.B. 2001. A History of an Identity, an Identity of a History:The Idea and Practice of ‘Malayness’ in Malaysia Reconsidered. Journal of Southeast Asian Studies, 32 (3), pp 355-366 October 2001.

Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Siri Syarahan Perdana UKM. Penerbit UKM. Bangi

Torii, Takashi. 2003. The Mechanism for State-led Creation of Malaysian’s Middle Classes. The Developing Economies, XLI-2: 221–242

Utusan. 2000. Tuntutan Suqiu Melampau. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1212&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm

_______. 2002. Jangan Rampas Hak Melayu. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


[1] Walau bagaimanapun, saiz bandar pada tahun 1991 bukan semata-mata disebabkan oleh penghijrahan desa-bandar tetapi turut dipengaruhi oleh pendefinisian semula konsep bandar dalam Banci Penduduk 1991 (Abdul Rahman Embong 2000: 90).

[2] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2011/06/24/hindraf-seeking-more-classified-documents-to-sue-britain/

[3] Menurut Shamsul (1996b) sistem pentadbiran kolonial telah mengkategorikan Melayu sebagai satu kaum homogen dan secara tidak tidak langsung membina dikotomi antara Melayu-Bumiputera dengan bukan-Melayu Bumiputera yang terus diamalkan sehingga kini dalam pentadbiran, akademik dan sosial. 

[4] Sebagai contoh, rujuk Utusan (2002) yang merupakan akhbar milik UMNO menggunakan tajuk Jangan Rampas Hak Melayu apabila membincangkan isu pendidikan nasional termasuk kuota 10% bukan-Bumiputera dalam MRSM.

[5] Sumber rasmi kerajaan berkenaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/04Dasar_Kebudayaan_Kebangsaan.pdf

[6] Pihak JAKIM menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam atas alasan mengelakkan kekeliruan oleh penganut Islam di negara ini dengan memberi justifikasi daripada segi penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Arab, sejarah penterjemahan Bible dalam bahasa Melayu dan juga amalan serta fatwa negara Muslim lainnya. Bagi perincian rujuk:

http://www.islam.gov.my/sites/default/files/hujah_tolak_guna_allah_oleh_kristian.pdf

[7] Bagi senarai penuh rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/larangan-penggunaan-istilah-istilah-islam-oleh-orang-bukan-islam.

[8] Bagi perbincangan lanjut, rujuk Ooi Kee Beng. 2011. The Right to Differ: A Biographical Sketch Of Lim Kit Siang. Refsa. Kuala Lumpur

Makalah ini ditulis susulan daripada Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.



Categories: Makalah

Tags: , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: