Kelas Sosial dan Diskurs Politik

Buku Intellectuals in Developing Societies yang terbit pada tahun 1977, dikarang sosiologis dan intelektual Syed Hussein Alatas, membincangkan bagaimana sebuah kelas intelektual yang kritikal dan menganjurkan nilai² etika-moral perlu untuk mendirikan sebuah masyarakat yang progresif dan ensani.

Ide² yang diperhalusi oleh Alatas dalam karyanya sehingga ke hari ini masih relevan. Namun, tema intelektual ini boleh kita kembangkan dan dalamkan lagi untuk membincangkan tentang persoalan nilai² politik dan diskurs politik di negara kita. Seiring dengan Alatas, kita boleh menambah bahawa bukan sahaja sebuah kelas intelektual itu penting, tetapi lebih perlu lagi adalah sebuah kelas penulis² dan penggerak² masyarakat yang mengangkat dan membicarakan ide² dan prinsip² politik untuk pembentukan sebuah masyarakat.

Perubahan dalam pertuturan dan pentadbiran nasional di Malaysia pada hari ini signifikan. Dengan berubahnya konstituen kerajaan kini dengan sebuah gabungan politik yang baru dan berbeza, ada langkah² dan usaha² yang diambil untuk membentuk dan mempraktikan dasar² ekonomi, perundangan dan sosial yang difikirkan lebih baik dan lengkap.

Cumanya, satu lapangan yang tidak berubah dengan lebih intens dan matang adalah diskurs politik di kalangan masyarakat Malaysia. Tanggungjawab siapa, atau siapa yang salah, seperti persoalan yang pernah mendakap sebuah buku lain yang ditulis Alatas, mungkin terlalu kompleks dan panjang untuk kita membincangkan di sini. Negara kita, negara Malaysia, seperti tidak mempunyai sebuah kelas penulis yang berada di depan memimpin dan menentukan agenda dan diskurs pembangunan erti masyarakat. Atau boleh dikatakan bahawa terdapat kumpulan², sepanjang sejarah moden Malaysia, yang mengisi kekosongan ini, tetapi selalu diketepikan atau dihukum pemerintahan yang mentadbir.

Mengapa persoalan ini tetap berterusan, harus kita mengajukan dan membincangkan dengan lebih bermakna lagi. Pemerintahan yang ada sekarang nampaknya tidak dapat menampung beban ini. Dan mereka tidak ada kemampuan atau ketajaman, untuk membicarakan diskurs politik di tahap yang lebih progresif ke depan.

Walaupun begitu, adanya satu perkara ataupun faktor yang jelas menyumbang kepada ketumpulan ini. Penggunaan sosial media atau infrastruktur dan komunikasi jaringan internet menghilangkan keinginan dan kebolehan ahli² politik dan pemimpin serta pegawai² pemerintahan untuk membincangkan masalah² dan isu² masyarakat dengan lebih fokus dan dalam.

Kelas sosial ini lebih gemar bergambar, dan membuat pengumuman² awam, dan berbicara pendek menggunakan medium seperti Facebook dan Twitter. Ertinya proses pemikiran mereka pendek. Kemampuan mereka untuk membaca, berfikir dan memproses maklumat dan realiti juga pendek.

Fenomena ini bukan sahaja mempengaruhi kelas politik dan pemerintahan, tetapi juga kelas dan kerabat feudal.

Jarang dan kurang sekali, kita lihat terdapat individu² politik dan pemerintahan utama yang mengarang tulisan di medium sosial material dan maya yang merencanakan kondisi sosial masyarakat Malaysia dengan baik dan kaitannya dengan diskurs ide² dan nilai² politik.

Kelas ahli² politik dan memerintah di Malaysia bukan kelompok menulis. Mereka lebih terlibat dalam pertuturan sosial, menghadiri majlis² dan menjalankan kerja² pentadbiran dan dasar. Kesannya, masyarakat Malaysia kekurangan satu ruang sosial awam yang mana wujudnya diskurs yang dianjurkan dan dibincangkan golongan ini. Kerana dengan adanya diskurs progresif yang luas, masyarakat dapat dipandu untuk cenderung ke arah nilai² dan perspektif² politik yang lebih membina.

Berpolitik dan menulis ide² politik yang  sivil dan etika-moral, di Malaysia, tidak bergabung bersama dalam satu kelas sosial.

Di sisi lain, komuniti pendidik dan pelajar di universiti² dan institusi² lain antaranya, perlu mengambil peranan dan mengisi kekosongan suatu kelas penulis dan penggerak. Juga tetapi, kelompok sebegini masih tidak berkembang untuk mengambil alih sebagai pendorong citra dan cita politik. Kita telah sampai ke satu keadaan di mana perubahan bukan lagi menjadi satu permasalahan, tetapi bagaimana hendak memandu perubahan ini, dan jenis² diskurs yang perlu mengisi asas²nya.

Kesedaran ini penting, kerana seperti yang telah berlaku di negara² lain, perubahan cenderung untuk menelan idealisme dan visinya.

Dalam konteks teori sosial, kita memahami bahawa kuasa dan diskurs tidak dapat dipisahkan. Dan keinginan kita bukan untuk mengasingkannya. Tetapi, pada masa kini, terlalu penting untuk kita perlu membina diskurs² yang dapat menyaingi dan membatasi diskurs² yang sempit dan dogmatik, dan kuasa institusi² dan pemerintahan yang menyokong diskurs² yang tidak mendorong kepada pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berkesatuan, tidak mengambil kira agama, gender, kaum, lokasi geografi dan bahasa.



Categories: Kolum, Penerbitan, Teo Lee Ken

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: