Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Farish A. Noor

Siri Syarahan Negara Idaman bertarikh 26 November 2019 menampilkan Prof. Madya Dr. Farish A. Noor dari Nanyang Technological University, Singapura, dengan syarahan bertajuk “Kota Pelabuhan Banten Sebelum Datangnya Penjajah Eropah: Suatu Pusat Ekonomi-Budaya Kosmopolitan dengan Ciri Nusantaranya Tersendiri”. Bagi mereka yang tidak biasa dengan Farish, tajuk syarahan ini seolah-olah menggambarkan sebuah kembara arkeologi yang cuba membongkar sejarah kota Banten melalui sumber-sumber artifak dan catatan-catatan langsung mengenai kota tersebut. Sebermula syarahan, kita segera menyedari bahawa Farish tidak berhasrat untuk membawa kita kembali ke abad ke-17 melalui laluan-laluan utama sejarah, tetapi lewat denai-denai sejarah lisan yang dikutip dan diceritakan semula oleh aktor-aktor sejarah pada waktu itu. Banten yang cuba diteroka oleh Farish ialah Banten lewat kaca mata keluarga de Bry dari Eropah.

Syarahan ini didasarkan kepada sebuah buku bertajuk Icones Indiae Orientalis [1601] tulisan Johann Theodorus de Bry (bersama dua anaknya, Johann Theodore dan Johann Israel de Bry) mengenai kota Banten yang terletak di Jawa Barat. Banten dalam buku ini adalah gambaran, serta imaginasi, keluarga de Bry terhadap kemakmuran kota tersebut melalui naratif-naratif lisan yang dibawa pulang oleh pedagang-pedagang Eropah yang pernah berkunjung ke sana. Lewat gambaran-gambaran yang dipersembahkan dalam buku ini, Farish menghujahkan bahawa masyarakat Muslim di kepulauan Jawa, serta masyarakat Asia Tenggara amnya, pada ketika itu sudahpun mempunyai suatu sistem masyarakat yang kosmopolitan dan plural dalam kehidupan ekonomi-politiknya berikutan kedudukan Banten sebagai kota pelabuhan penting di rantau ini pada ketika itu. Hal ini kemudiannya mempengaruhi keterbukaan dan penerimaan masyarakat Muslim Jawa terhadap unsur-unsur kebudayaan, keagamaan, dan bahasa yang pelbagai dari luar. Penelitian terhadap kosmopolitanisme dan pluralisme Banten juga memperlihatkan kompleksiti masyarakat kota pelabuhan serta jaringan perdagangan dan hubungan transnasional yang pesat dan meluas di rantau Asia.

Pengisian Syarahan

Farish bermula dengan penegasan mengenai kepentingan proses dekolonialisasi pengetahuan terhadap masyarakat pascakolonial di Asia Tenggara. Dalam konteks dunia yang serba global—dengan sistem ekonomi-politik yang mengikat—masyarakat Asia Tenggara masih lagi terbeban dengan kosa kata politik yang berkecenderungan orientalis serta menafikan khazanah sejarah, pengalaman, dan pengetahuan pribumi/tempatan berikutan pengaruh pandangan sarwa kolonial yang masih kuat mencengkam. Justeru, kita mengalami kesukaran untuk mengungkapkan citra dan peribadi masyarakat Asia Tenggara menggunakan kosa kata tempatan berikutan kurangnya pemahaman, serta penghargaan (appreciation), mengenai sejarah dan pengetahuan tempatan yang dikongsi secara bersama melangkaui sempadan-sempadan negara-bangsa.

Selanjutnya, beliau menjelaskan tentang pengkonsepsian kosmopolitanisme dalam konteks dekolonialisasi pengetahuan. Tanggapan negatif yang melihat konsep kosmopolitanisme sebagai suatu konsep Barat adalah benar sejauh kolonialisme dan kapitalisme kolonial dipertimbangkan. Mengikut Farish, kosmopolitanisme yang dibawa masuk melalui kolonialisme Barat bukanlah kosmopolitanisme dalam pengertian yang lazim difahami melainkan suatu bentuk multikulturalisme kolonial iaitu sebuah sistem masyarakat plural berasaskan dasar pecah dan perintah. Dasar politik inilah yang kemudiannya membentuk landskap politik Malaysia dan Asia Tenggara.

Hal ini membawa kepada sebuah persoalan: apakah wujud suatu bentuk kosmopolitanisme berdasarkan sistem nilai, falsafah, ideologi, dan kosa kata politik tempatan dalam sejarah Asia Tenggara?

Bagi menjawab persoalan ini, Farish menarik perhatian kita kepada Icones Indiae Orientalis [1601] khususnya tulisan-tulisan de Bry mengenai kota Banten di Jawa Barat. Syarahan dibahagikan kepada tiga bahagian: 1) pengenalan kepada de Bry serta hubungannya dalam konteks benua Eropah pada awal abad ke-17; 2) konteks perkembangan Banten sebagai sebuah kota pelabuhan berteraskan ekonomi perdagangan rantau dan global; 3) kepentingan Banten dalam perbahasan mengenai naratif pascakolonial di Asia Tenggara pada masa kini.

Keluarga de Bry dan Latar Eropah Abad ke-17

Theodore de Bry, seperti juga pegawai-pegawai kolonial Eropah seperti Raffles, Crawford dll, dapat dikelaskan sebagai orientalis Barat yang mempunyai prejudis dan agenda tersendiri terhadap masyarakat di luar benua Eropah. Beliau merupakan seorang Protestan yang hidup berlatarkan penghujung era konflik di Eropah. Buku-buku yang diterbitkan oleh de Bry turut mengandungi imej-imej termasuklah peta dan gambar. Ia termasuk dalam genre geografi iaitu seputar topik-topik berkenaan negara dan wilayah. Hakikatnya, de Bry tidak pernah menjejakkan kaki keluar dari Eropah. Tulisan dan imej yang dihasilkan adalah bersumberkan laporan dan naratif lisan yang diperoleh daripada saudagar-saudagar Eropah yang pulang dari perantauan mereka. de Bry juga, menurut Farish, ialah seorang cauvinis yang berbangga dengan keEropahannya—sebagai bangsa kulit putih.

Tamatnya perang antara Eropah dengan dunia Arab, penaklukan Sepanyol, dan penyingkiran masyarakat Arab dan Yahudi dari Eropah menyebabkan masyarakat Eropah mula menjadi lebih homogen. Pada ketika itu, orang-orang Eropah—seperti Belanda, Denmark, Britain, Sepanyol, Perancis—mula menjelajah keluar dari benua tersebut.

Benua pertama yang ditemui ialah Amerika. Penemuan Amerika merupakan suatu kejutan bagi orang Eropah kerana buat pertama kalinya mereka bertemu dengan masyarakat yang mempunyai sistem nilai, budaya, dan peradaban yang berbeza—dan jauh terkebelakang—daripada masyarakat Eropah atau dunia Arab (pada ketika itu merupakan peradaban yang setanding dengan Eropah). Penemuan tersebut menjadi titik permulaan kepada perspektif keunggulan (superiority) Eropah terhadap yang lain.

Tulisan-tulisan de Bry mengenai Amerika banyak berkisar tentang perbezaan antara masyarakat Eropah dengan masyarakat di Amerika terutamanya penekanan terhadap kemajuan Eropah yang jauh meninggalkan Amerika. Di sini, masyarakat Amerika merupakan yang lain yang ketinggalan (the lesser other) bagi masyarakat Eropah. Sebagai seorang konservatif, de Bry turut memberikan penekanan terhadap kekurangan masyarakat di Amerika dari segi sistem keagamaan dan praktik kebudayaan yang dianggap rendah. Antara mitos popular yang disambut dan disebarkan oleh de Bry adalah praktik kanibalisme dalam kalangan masyarakat di Amerika. Hal ini kemudiannya mewujudkan jurang perbezaan budaya dan identiti antara masyarakat Eropah dengan Amerika, sekaligus menjadi sumber kepada pengukuhan rasa keunggulan Eropah.

Namun, kepercayaan tentang keunggulan masyarakat Eropah serta prejudis terhadap yang lain yang dianuti de Bry digugah oleh laporan dan cerita yang dibawa oleh saudagar-saudagar yang pulang dari Asia Tenggara. Mereka menyampaikan cerita tentang pusat-pusat perdagangan yang makmur lengkap dengan sistem ekonomi dengan ciri-ciri kosmopolitan dan terbuka—antara yang sering disebut adalah Banten. Hal ini menjadi masalah kepada de Bry kerana beliau tidak dapat meletakkan stereotaip—didasarkan kepada prejudis terhadap yang lain (merujuk kepada Amerika)—kepada masyarakat di Asia Tenggara. Pada masa yang sama, de Bry juga mahu mengekalkan sikap objektif dalam tulisannya. Faktor individu de Bry ini menjadi salah satu sebab mengapa Farish memilih teks Icones Indiae Orientalis [1601] tentang masyarakat di Asia Tenggara dengan pengkhususan terhadap Banten sebagai sumber analisa beliau.

Kosmopolitanisme dan Pluralisme Banten

Banten diasaskan pada zaman Sunan Gunung Jati dan berkembang menjadi antara pelabuhan terpenting di Pantai Utara Jawa sekitar tahun 1550 ke 1600. Pada ketika ini juga berlakunya proses Islamisasi di Kepulauan Jawa. Kemakmuran ekonomi perdagangan Banten banyak disumbangkan oleh dasar ekonomi terbuka yang dipraktikkan di sana. Kota tersebut segera menjadi terkenal dalam kalangan pedagang-pedagang Eropah sehinggakan istilah Raja Banten itu menjadi sinonim dengan orang kaya di Eropah.

Daripada maklumat-maklumat yang diperoleh de Bry daripada saudagar-saudagar Eropah yang pernah ke Banten, beliau menghasilkan tulisan dan lebih 30 imej cetakan kayu mengenai keadaan di Banten. Imej-imej yang dicetak oleh de Bry untuk memerihalkan gambaran-gambaran beliau terhadap masyarakat Banten banyak dipengaruhi oleh stereotaip-stereotaip yang sudah wujud terhadap masyarakat Arab pada ketika itu. Misalnya, orang-orang Islam di Banten digambarkan memakai serban iaitu suatu ciri kebudayaan bagi masyarakat Islam di Arab. Imej-imej tersebut turut menggambarkan kepelbagaian komuniti yang hidup secara harmoni di Banten—dari Asia Tenggara seperti Burma, Vietnam, dan Sumatera ke Asia seperti China, Jepun, dan Korea hinggalah ke saudagar-saudagar dari Eropah.

Kepelbagaian dan ciri kosmopolitan ini menimbulkan pertanyaan buat de Bry yang membandingkan sistem ekonomi dan masyarakat Banten yang begitu kosmopolitan dengan Eropah yang sangat homogen.

Salah satu aspek yang diajukan oleh Farish adalah berkenaan sistem pentadbiran bagi masyarakat Banten yang bersifat kosmopolitan. Berdasarkan satu imej yang menunjukkan suatu persidangan atau perjumpaan antara sultan Banten dan pemimpin-pemimpin. Beliau mentafsirkan imej tersebut sebagai suatu bentuk ‘parlimen’ di mana sultan, pembesar-pembesar, dan wakil-wakil setiap komuniti berkumpul dalam suatu proses perudingan awam bagi menentukan dasar-dasar seperti cukai dsb. Sistem pentadbiran yang berasaskan kompromi dan kerjasama ini menyumbang kepada komposisi masyarakat Banten yang pelbagai serta dinamik. Justeru, kosmopolitanisme dalam sistem politik, ekonomi, dan budaya Banten menjadi sumber kepada kehebatan Banten sebagai suatu kuasa maritim berikutan jaringan perdagangannya yang luas mencakupi seluruh rantau Asia dan juga Eropah. Jaringan perdagangan yang luas ini turut membuka ruang kepada pertukaran teknologi dan pengetahuan lewat pedagang-pedagang yang berkunjung ke Banten.

Bagi Farish, Icones Indiae Orientalis [1601] tulisan de Bry penting sebagai salah satu teks terawal di Eropah yang memberikan gambaran dalam bentuk naratif lisan dan imej tentang rupa bentuk masyarakat di Asia Tenggara sebelum kedatangan kuasa-kuasa Eropah. Dari satu sisi lagi, Banten merupakan bukti bahawa sudah wujudnya suatu bentuk kosmopolitanisme tempatan di rantau Asia Tenggara jauh sebelum datangnya kosmopolitanisme (baca: multikulturalisme kolonial) Barat.

Malangnya, buku de Bry ini juga telah menarik minat kuasa-kuasa besar tersebut untuk datang dan cuba menguasai Banten. Sepanjang 1601 hingga awal abad ke-18, beberapa kuasa besar telah cuba untuk menguasai Banten. Apabila Belanda menguasai Jayakarta (kemudian ditukar menjadi Batavia) dan menguasai laluan perdagangan di kepulauan tersebut, Banten sedikit demi sedikit hilang pengaruhnya dan tidak lagi mampu untuk bersaing. Akhirnya Banten tidak dikalahkan melalui kekuatan tentera tetapi akibat ketidakmampuannya untuk terus bersaing dalam arena ekonomi—lalu hanya menjadi sebuah provinsi di bawah naungan pemerintahan Belanda.

Banten dalam Konteks Asia Tenggara Masa Kini

Icones Indiae Orientalis [1601] menjadi suatu dokumen penting dalam proses pentafsiran semula sejarah dan dekolonialisasi pengetahuan di Asia Tenggara. Sejarah Banten, menurut Farish, adalah sejarah subaltern masyarakat pribumi Jawa yang telah dipadamkan hasil penjarahan kolonialisme dan kapitalisme.

Dalam konteks yang lebih mutakhir, konotasi negatif yang sering dilekatkan pada konsep kosmopolitanisme dan pluralisme dalam kalangan masyarakat di rantau Asia Tenggara ternyata dapat disanggah oleh bukti yang menggambarkan sistem pentadbiran Banten pada abad ke-17. Sejarah kerajaan-kerajaan di rantau ini seperti Banten dan Melaka membuktikan bahawa kompleksiti merupakan suatu kelaziman dalam masyarakat sebelum datangnya kolonialisme. Justeru, konsep kosmopolitanisme dan pluralisme bukanlah suatu konsep yang asing kepada masyarakat Asia Tenggara.

Sebagai penutup, Farish turut memberikan penekanan kepada penggalian sumber, konsep, dan istilah. Konsep-konsep ini pula haruslah diketengahkan menggunakan kosa kata politik serta tafsiran-tafsiran yang bersifat tempatan. Kesan amnesia sejarah (historical amnesia) akibat kolonialisme jelas terlihat dalam masyarakat di wilayah Banten, Indonesia, masa sekarang yang telah menjadi sangat konservatif; sedangkan jika disorot sejarah, masyarakat Banten pada abad ke-17 merupakan masyarakat yang kompleks dan meraikan kepelbagaian.

Justeru, penelitian terhadap sumber-sumber sejarah seperti Icones Indiae Orientalis [1601] karya de Bry ini penting bagi Farish sebagai bukti kepada sejarah Asia Tenggara yang kosmopolitan dan telah dilupakan. Ia juga menjadi sumber kepada penulisan semula sejarah subaltern di rantau Asia Tenggara.

Bacaan Tambahan

Bagi bacaan lanjut berkenaan Banten serta sikap terhadap kosmopolitanisme Asia Tenggara, lihat:

Farish A. Noor (2018), “When the World Came to Banten: Images of Cosmopolitanism and Pluralism in Java in the Writings of Theodore de Bry 1601”, Kawalu: Journal of Local Culture, 5/2. http://jurnal.uinbanten.ac.id/index.php/kwl/article/view/748/624

Farish A. Noor (2019), “Being South-East Asian”, The Star, 3 November 2019. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/11/03/being-south-east-asian

Kritikan terhadap fakta yang dikemukakan oleh Farish, khususnya berkenaan imej yang menggambarkan ‘parlimen’ Banten seperti yang disebutkan oleh beliau:

Khai, Le Minh (2019), “On Being Southeast Asian and the Bankruptcy of Liberal Persuasion”, Blog, 24 November 2019. https://leminhkhai.wordpress.com/2019/11/24/on-being-southeast-asian-and-the-bankruptcy-of-liberal-persuasion/

Bacaan lain:

Grafton, A. (1992), New World, Ancient Texts: The Power of Tradition and the Shock of Discovery, Cambridge, Massachusetts: Belknap Press of Harvard University Press.

Chaudhuri, K.N. (1990), Asia before Europe: Economy and Civilisation in the Indian Ocean from the Rise of Islam to 1750, Cambridge: Cambridge University Press.



Categories: Laporan, Penerbitan

Tags: , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: