Sastera dan Identiti Kebangsaan: Wawancara bersama Muhammad Haji Salleh

Tokoh: Prof. Dr. Muhammad bin Haji Salleh, Sasterawan Negara 1991
Pewawancara: Haris Zuan, Ruhan Shahrir & Ramze Endut
Tarikh: 27 Oktober 2019
Tempat: Kajang

NM: Apakah peranan sastera dalam mengukuhkan identiti kebangsaan dalam konteks Malaysia?

MHS: Saya ini orang sastera; juga merupakan orang yang dikesampingkan oleh ahli politik dan ilmu mutakhir yang [cenderung] melihat sastera sebagai sesuatu yang tidak penting, bersifat pinggiran, serta tidak bermanfaat. Konsep sastera di Malaysia menanggapi bahan-bahan bertulis dan lisan [yang menepati maksud tersebut] sebagai sastera. Justeru dalam hal ini, peribahasa juga ialah sastera; dan ia berkongsi nasib yang sama dengan teks-teks lama yang telah dikesampingkan [khususnya dalam pendidikan di peringkat sekolah]. Saya tak pasti apakah ia masih diajarkan di sekolah—mungkin tidak lagi. Dulunya ada diajarkan di sekolah. Begitupun, mahu tak mahu [harus diakui dan disedari bahawa] peribahasa mengumpulkan pandangan hidup orang Melayu turun-temurun. Selama ribuan tahun, khazanah ini dikumpulkan, ditambah, dikeluarkan, dan ditambah lagi sehingga bahasanya diperbaiki [dan diperhalusi menjadi bentuknya sekarang]. Apa yang kita terima ini [bahasanya] sangat tepat, indah, rapi, dan ada musiknya di mana amat mudah sekali untuk kita menyimpannya dalam akal fikiran.

Peribahasa juga merupakan himpunan kearifan orang Melayu—tidak sahaja terbatas di sini (Semenanjung) tetapi turut meliputi Bangkahulu, Palembang, dan Ambon—yang mencipta peribahasa dalam Bahasa Melayu sekaligus membina falsafah alam orang Melayu. Nah, bagaimana kita melihat alam? Hal ini dapat ditemui jika kita amati satu-persatu sikap orang Melayu terhadap alam. Sebelum itu, mungkin [perlu diperjelaskan terlebih dahulu tentang] definisi alam: apakah yang terkandung dalam alam itu dan bagaimana [hubungan] kita dengan alam—apakah kita berkongsi [dengan alam] atau kita, sebagai manusia, mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada alam? Lalu kita lihat pula misalnya bagaimana pohon-pohon bertumbuh dan mati serta haiwan-haiwan seperti harimau dan biawak. Kita mengambil alam sebagai metafora untuk ilmu kita. Misalnya metafora pohon pulai: ada bahagian yang tumbuh ke atas secara bertingkat-tingkat dan ada bahagian yang tumbuh ke bawah. Ia menunjukkan bahawa manusia juga ada falsafah perkembangannya, seperti pohon pulai tersebut. Laut tentu sajalah [menjadi metafora yang sering digunakan]—selalu disebutkan sebagai mengubah pantai justeru mengubah sejarah manusia juga; disebutkan sebagai dunia yang luas dan terbentang untuk kita cuba; dan selalu juga [disebutkan] tentang keindahannya. Raja-raja dahulu, dan kita juga pada masa sekarang, akan mencari pantai-pantai untuk dijadikan tempat berkelah kerana keindahannya yang luar biasa. [Harus ditekankan di sini bahawa tanggapan terhadap pantai ini] adalah untuk dilihat dan dihayati [secara bersama], bukan untuk dibina hotel-hotel yang hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja seperti yang berleluasa pada masa sekarang.

Inilah konsep alam [yang dipegang oleh orang Melayu]; sangat indah, sangat baik, dan masih terpakai untuk digunakan pada zaman sekarang. Kalau kita hormati pohon maka kita tidak menebangnya sesuka hati. Malangnya sekarang kita lebih menghormati duit maka kita tebang pohon dengan rakus. Kita berikan hak [menebang pohon dan mengeksploit hasil alam] kepada orang-orang yang rakus, orang-orang kaya, maka sebab itu jadi begini sekarang—perubahan iklim dll. Ini semua natijah daripada konsep alam yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya. Justeru kita perlu belajar daripada datuk nenek kita masa dahulu. Saya ceritakan satu pandangan oleh seorang tukang di Perlis. Dulu, bilamana kita nak masuk ke hutan, kita mesti “minta izin” terlebih dahulu. Semasa kecil, saya juga akan meminta izin daripada “datuk nenek” jikalau hendak masuk ke mana-mana. Menarik [konsep] “datuk nenek” ini. Kembali ke cerita tukang tadi; apabila dia ingin ambil kayu untuk dibuat rumah maka masuklah dia ke hutan. Dia cari pokok-pokok yang diperlukan untuk meramu kayu tersebut. Lalu dia terjumpa pokok pulai misalnya dan ingin meminta izin untuk menebang pokok itu. Maka apa yang dia buat? Tukang itu mengelilingi pokok tersebut dua atau tiga kali, lalu dia dongak ke atas [melihat daun-daun pokok tersebut]. Nampaknya mereka boleh baca pada daun-daun itu apakah izin sudah diberikan [oleh “datuk nenek” untuk menebangnya]. Kalau dia rasa dia nampak izin itu sudah diberikan maka dia tebanglah pokok itu. Namun kalau misalnya izin itu tak dapat dia baca dan agak, maka dia keliling satu lagi. Ini semacam undang-undang untuk mendapatkan kejelasan. Dimintanya sekali lagi, “Datuk nenek, kayu ini diperlukan sangat untuk orang yang baru kahwin ini. Mereka belum ada rumah. Kita perlukan [kayu ini untuk dibuat rumah] supaya mereka hidup sejahtera.” Lalu dia dongak lagi ke atas [dan mendapati] dia sudah diberikan keizinan. Ceritanya separuh lucu, tetapi konsep [yang jelas terpapar dari cerita ini] adalah hutan turut mempunyai haknya sendiri [yakni manusia sememangnya berkongsi dengan alam dan tidak lebih tinggi darjatnya berbanding alam]. Lain pula ceritanya masa sekarang. Hutan tidak ada hak. Hak hanya ada pada tauke atau DO, manakala orang lain tidak berhak ke atas hutan [baik penggunaan, pemeliharaan, dan pemuliharaan]. Justeru konsep alam ini sangat penting kepada cara hidup kita pada masa dulu, tetapi sudah ditinggalkan pada masa sekarang sehingga timbullah masalah-masalah [alam sekitar] yang kita hadapi sekarang. Konsep alam ini semuanya ada dalam sastera dan juga sejarah orang Melayu termasuklah orang Asli, Iban dll yang disebutkan dalam cerita-cerita lisan mereka. Asal-usul Kinabalu misalnya ada diceritakan dalam sejarah Kadazan-Dusun. Begitu juga asal-usul suatu sungai yang lain, di mana terdapat juga di dalamnya cerita-cerita orang tempatan yang kemudiannya menjadi mitos yang dipercayai. Kita selalu memandang mitos ini sebagai tidak betul dan karut, tetapi sebenarnya ada inti makna dibelakangnya. Carilah makna itu kerana orang masa dulu selalu menyelitkan makna dalam cerita.

Kembali kepada perihal kenegaraan, konsep kenegaraan juga dapat ditemui dalam sastera. Sulalatus Salatin itu menceritakan bagaimana negara Melayu ditubuhkan pada awalnya termasuklah tentang ahlinya, para menterinya, dan tugas-tugas rajanya; malah kontrak sosial yang selalu disebut-sebutkan itu juga ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin. Justeru kita harus sedar dan tahu akan perkara itu—apa yang perlu kita buat [yakni peranan kita selaku warga serta tanggungjawab yang datang bersamanya]. Dalam perhubungan kita dengan raja misalnya: sementara [kita dituntut untuk berlaku] setia, tetapi jika raja itu sendiri tidak setia kepada rakyatnya maka ada kemungkinan bagi cara-cara lain yang boleh dilakukan oleh rakyatnya [akibat ketidaksetiaan raja tersebut]. Semua hal ini ada [diceritakan] dalam sastera. Kisah Sultan Mahmud misalnya tidak mungkin ditemui dalam bidang-bidang lain seperti fizik dan kimia.

Sastera juga turut mengandungi saranan-saranan berkaitan kenegaraan. Bagaimana untuk menjadi orang yang baik misalnya disebutkan dalam agama, manakala dalam sastera juga banyak disebutkan bagaimana rupanya kelakuan-kelakuan orang baik. Lihat Hikayat Hang Tuah [yang memaparkan imej Hang Tuah] sebagai manusia sempurna sesuai dengan konsep zaman itu. Pun begitu, sebahagian besar nilai-nilai yang ada pada Hang Tuah masih terpakai untuk kita hari ini—sangat terbuka, mahir dalam banyak bahasa, mampu menjelajah ke banyak negara tanpa berasa rendah diri bahawa negerinya lebih mundur, dll. Dalam salah satu hikayat misalnya [ada menceritakan tentang] seorang perdana Menteri yang sangat prihatin terhadap masalah rakyatnya dan bagaimana dia cuba mengelak peperangan. Apabila dia cuba menguasai negeri di sebelah negerinya, dia tidak menyerang [menggunakan kuasa ketenteraan] tetapi cuba dikuasainya dengan cara yang lebih madani. Perkara ini [boleh dilihat sebagai suatu bentuk] penyelesaian masalah (conflict resolution) yang ada pada zaman dulu dan tidak ada pada zaman sekarang. Kalaupun ada, cuma di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tapi tidak banyak digunakan sekarang. Kuasa-kuasa besar hanya tahu menjajah dan menjarah negara-negara lemah. Namun itu tidak berlaku pada zaman dahulu dan ia satu kesalahan; kitapun sedar bahawa ia perbuatan salah sekarang. Pasti ada cara [yang lebih lembut] untuk menyelesaikan masalah rasisme yang semakin keras di zaman ini termasuklah di Malaysia. Bahkan harus dicari jalan penyelesaiannya. Justeru kalau kita mahu belajar bahasa yang baik dan cara menghormati orang maka kita akan pergi kepada sastera yang sedari awalnya [menganjurkan bahasa yang] tidak menimbulkan masalah. Dengan ini, ia dapat mengelakkan perselisihan dan menggalakkan perasaan untuk cuba memahami orang lain.

Sastera mengandungi kesemua hal ini—sejarah, ilmu, konsep, serta falsafah alam dan masyarakatnya. Kesemuanya terangkum sebagai identiti kita. Pencapaian tertinggi kita dalam sejarah tamadun manusia ini disimpan dalam sastera; termasuklah [cara dan bentuk] pertukangan turut disimpan dalam [tradisi] seni bina yang cantik itu. Sastera menyimpan keindahan bahasa, keprihatinan kita dll. Oleh sebab itu saya katakan orang yang mengeluarkan sastera daripada kurikulum pendidikan sebagai orang yang telah memesongkan pendidikan kita. Berbeza halnya dengan negara lain seperti Jepun, China, Perancis, dan Inggeris di mana sastera menjadi perkara yang penting. Dan akhirnya anak-anak kita [tidak dididik dan dibudayakan dengan bahasa dan pekerti yang indah dan baik seperti yang terkandung dalam sastera]. Misalnya ketika di dalam MRT. Saya tidak kisah jika saya tidak diberikan tempat duduk tetapi saya sedih ketika melihat orang lain yang mengendong anak terpaksa berdiri untuk beberapa stesen sementara orang muda, baik lelaki atau perempuan, asyik dengan telefon mereka sampaikan tidak mempedulikan sekelilingnya. Pada saya, pendidikan sekarang telah mengesampingkan kebaikan-kebaikan, inti-inti, dan makna-makna yang ada dalam sastera yang boleh dikutip dan menjadikan manusia lebih sensitif [terhadap dirinya, orang lain, dan persekitarannya]. Orang yang tidak belajar sastera ini umumnya tidak didedahkan pada situasi bahawa kita mesti berlaku prihatin terhadap orang lain dan harus menjaga perasaan mereka. Oleh sebab itu Jepun dilihat sebagai bangsa yang sangat tinggi tamadunnya kerana mereka prihatin terhadap orang lain [serta terkenal dengan hospitalitinya]. Banyak sekali perkara yang boleh kita pelajari daripada budaya Jepun. Namun dalam masa yang sama, kita jangan lupa bahawa kita juga ada banyak [nilai-nilai, budaya, dan keindahan sendiri] yang sayangnya kita lupakan [dan bagus untuk didedahkan kepada anak-anak kita]. Di Jepun, anak-anak Tahun Satu sampai Tahun Empat di sekolahnya hanya belajar untuk jadi orang—kutip sampah, cuci tandas, bagaimana perhubungan mereka dengan orang lain, masuk lading dll. Mereka belajar tentang kehidupan [dan hasilnya dapat kita lihat] pada [adab dan susila] manusia Jepun yang ada sekarang.

Pokoknya, saya mahu katakan bahawa semua ini [keindahan, adab, pekerti, susila] ada dalam sastera; dan sayangnya kita pada hari ini tidak banyak menggunakan sastera kerana kita tidak didedahkan kepada sastera yang baik. Hanya sekarang [dapat kita lihat usaha] Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, untuk cantumkan dua bidang ini (kemanusiaan-sains sosial dan sains tulen) supaya manusia yang tercipota itu merupakan gabungan antara keduanya. Saya mahu tegaskan bahawa saya tidak melawan sains dan tidak mahu sains dibuang, tetapi saya juga tidak mahu sastera dibuang [daripada teras pendidikan kita]. Sastera harus hidup bersama dengan sains.

NM: Anda mengatakan bahawa keadaan rasisme di Malaysia ini semakin keras. Bagaimana sastera boleh berperanan dalam membendung kekerasan rasisme yang berlaku di Malaysia pada hari ini?

MHS: Sejarah Melayu ada menceritakan bagaimana ada orang India, orang Riau, orang Ambon, orang Brunei, dll. [yang hidup bersama sebagai sebuah masyarakat pada ketika itu]. Walaupun tidak disebutkan [secara jelas] bahawa ia merupakan sebuah masyarakat multi-budaya, tetapi ia sememangnya sudah wujud di Melaka pada zaman itu. Katanya di Melaka pada kurun ke-15, ada 64 bahasa yang dituturkan di sana. Begitu ramai sekali. Ada orang Parsi, orang China, orang Burma, orang India, orang Filipina, orang Jawa, dll. Justeru [masyarakatnya pada waktu itu] sangat majmuk dan nampaknya tidak ada perkelahian yang diceritakan berlaku antara suku-suku yang pelbagai tersebut. Dikatakan juga [berdasarkan hikayat tersebut] orang yang memberi rasuah itu kononnya datang daripada satu kumpulan etnik tertentu, tetapi orang Melayu juga pintar dalam rasuah ini. [Perkara pokok dalam hal ini] adalah pemberi dan penerima rasuah itu [berkongsi beban kesalahan yang sama]. Jadi tidak diceritakan pertentangan rasisme antara kedua-dua [kelompok etnik] ini.

Suka untuk saya kembali kepada Hikayat Hang Tuah. Ada diceritakan bagaimana Hang Tuah semasa kecilnya sudah pandai bercakap dalam 11 bahasa. Ini cereka, tentu saja; tetapi dapat kita bayangkan bentuk masyarakat yang ingin dimasuki oleh manusia Melayu pada zaman itu. Jarang ada wira sebegini [dalam epik-epik dunia] dan saya fikir sangat unik dalam sastera dunia: seorang manusia yang akan menjadi wira dipaparkan sebagai pembicara dalam 11 bahasa. Perkara ini dituntut dan nampaknya pengarang Hikayat Hang Tuah ini juga suka dan tertarik pada bahasa. Dalam hikayat tersebut, ada mengisahkan peristiwa Hang Tuah di Mekah. Dia berjumpa dengan seorang fakir yang meminta kepadanya satu Dinar buat berbeli makanan dan minuman. Hang Tuah sebaliknya memberikan dua Dinar kepada fakir tersebut. Fakir tersebut ialah Nabi Khidir dan dia berkata kepada Hang Tuah, kurang lebih berbunyi begini, “Apabila anakanda keluar ke mana-mana dan tidak memahami bahasa [yang dituturkan di tempat tersebut], ambillah air yang saya berikan ini dan minumlah ia, maka anakanda akan faham bahasa itu.” Konsep [yang cuba dipaparkan di sini] sangat menarik iaitu orang yang terbuka di dunia. Kalau orang begitu susah untuk jadi rasis. Orang yang rasis ini tidak keluar dari bilik atau rumahnya; dan jikapun ia keluar, dia masih berpegang pada keutuhan dunianya saja dan tidak membanding-bandingkan [dunianya dengan orang lain]. Saya fikir ini contoh yang baik dan boleh kita pelajari. Kemudian Hang Tuah pergi ke India. Nah, buat apa dia pergi ke sana? Lebih baik saja dia pergi ke Jawa [yang lebih dekat dan mempunyai kebudayaan yang persis dengan Melaka]. Namun dunia ini besar dan Hang Tuah berasakan dia itu merupakan sebahagian daripada dunia yang besar itu. Lebih utama, [perkara ini menunjukkan pandangan dunia] pengarang Hikayat Hang Tuah itu sendiri yang melihat Hang Tuah adalah sebahagian daripada dunia yang besar. Saya fikir tidak ada pengarang-pengarang lain [untuk epik-epik dunia] yang melayarkan seorang wira yang mengelilingi dunia pada waktu itu setakat yang kita kenali. Konsep dunia dalam Hikayat Hang Tuah sangat luas; dia boleh bertutur bahasa apapun dan mampu mewakili negerinya dengan baik.

Lalu rasisme yang kita perkatakan ini [harus dilawan lewat pendidikan] terutamanya melalui pemilihan karya-karya sastera yang mengandungi semua unsur budaya untuk dipelajari di peringkat sekolah. Dulu ada digunakan karya-karya Arena Wati dan Abdullah Hussain [untuk dipelajari di sekolah] tetapi saya tidak pasti apakah masih digunakan lagi sekarang. Rasanya tidak lagi. Kita juga patut menggalakkan pengarang-pengarang baru menulis tentang budaya lain. Jong Chian Lai di Sarawak, dikatakan mempunyai darah Melanau dan Iban, menulis tentang masyarakat majmuk. Di Sarawak, di luar fiksyen dan cereka, manusia lebih terbuka dan mudah menerima orang-orang dari suku lain termasuklah sebagai ahli keluarga, isteri, dan suami. Tidak ada masalah bagi mereka. Sebaliknya di sini (Semenanjung) kelihatan agak bermasalah. Beberapa hari sudah ada seminar tentang masa depan sastera Malaysia. Saya ada sebutkan bahawa kita perlu menulis di luar suku atau bangsa kita. Cuba misalnya tulis tentang keluarga Cina dan hubungannya dengan Melayu, keluarga India, keluarga Iban, dll. Ini merupakan kekayaan kita iaitu wujudnya banyak budaya [yang hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang majmuk]. Sayangnya, kita jarang melihat hal ini sebagai suatu kekayaan dan cenderung menganggap orang lain [dari bangsa dan budaya lain] sebagai tidak sama, tidak secanggih dan sebaik kita, maka oleh itu fikirannya juga tidak banyak dan tidak tinggi. Ini masalah awal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Saya kurang tahu apa yang dilakukan di negara-negara majmuk yang lain [untuk mewujudkan rasa kebersamaan antara warga masyarakat yang pelbagai budayanya]. Indonesia boleh dikatakan majmuk tetapi [kurang signifikan jumlah komuniti-komuniti yang datang dari luar Asia Tenggara] seperti India atau Eropah atau lain-lain. Namun rasanya tak ada masalah. Kita di sini pula kurang [meraikan kepelbagaian tersebut] dan sastera kita, termasuklah pengarang-pengarang kita, [kebanyakannya selesa bercakap dan menulis tentang kebudayaannya saja]. Orang Melayu hanya menulis tentang masyarakat Melayu saja, dan begitulah seterusnya. Kita harus keluar [dari kepompong bangsa dan budaya kita semata-mata serta mula melihat kepada saudara-saudara kita yang berlainan bangsa dan budaya]. Kalau itu mampu dilakukan, saya fikir akan berkurangan sedikit [ketebalan rasisme yang kita hadapi sekarang ini]. Di sekolah-sekolah pula, adakah punya waktu untuk ditegaskan tentang realiti masyarakat kita yang hidup bersama, tentang keperluan untuk berkongs, dll. Apakah ada waktu untuk dibincangkan hal tersebut [dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah]? Mungkin [paling dekat dengan perkara ini] ialah Pendidikan Sivik, tetapi itupun tidak mencukupi kerana ia cenderung berakhir dengan soalan-soalan objektif yang harus dijawab dalam peperiksaan semata-mata. Anak-anak [harus didedahkan dengan kebudayaan lain dan kepentingan untuk hidup bersama]. Misalnya hantarlah mereka ke kampung-kampung Melayu, Cina, Orang Asli, India, dll. untuk tinggal selama beberapa waktu [bagi mengenal budaya-budaya lain yang hidup di sekeliling mereka].

NM: Perihal sastera yang anda utarakan tadi lebih tertumpu kepada masyarakat Melayu; begitu juga jawapan anda yang memerihalkan tentang alam, bidalan, dan peribahasa lebih tertumpu kepada alam fikiran dan kesedaran Melayu. Dalam konteks Malaysia yang majmuk ini, serta mengambil kira kejadian-kejadian mutakhir yang kurang baik untuk perkembangan pembinaan bangsa Malaysia, bagaimana pula anda melihat tanggapan masyarakat lain terhadap sastera Melayu itu sendiri? Antara bahagian penting bagi pemilihan satu-satu unsur sebagai unsur teras dalam pembinaan bangsa adalah keupayaannya untuk mencetuskan rasa kepemilikan dan kepunyaan bersama atau sense of belonging. Barangkali orang Melayu lebih mempunyai rasa kepunyaan terhadap sastera Melayu, tetapi mungkin tidak begitu bagi masyarakat lain. Apa pandangan anda mengenai perihal ini?

MHS: Itu bukan salah sastera tetapi salah sistem pendidikan yang tidak memperlihatkan sastera—tentu saja ciptaan salah satu bangsa di negara ini—sebagai suatu yang boleh dikongsi secara bersama. Banyak nilai dan falsafah dalam sastera tersebut yang boleh dikongsikan [serta bersifat inklusif dan sejagat]. Misalnya konsep alam yang saya sebutkan tadi—jangan menebang pohon sesuka hati, jangan membazirkan bahagian alam, keprihatinan, dll. Nilai-nilai ini boleh dan perlu dikongsikan dengan semua orang. Perkara ini tidak kita sebutkan [malah tidak diberikan penekanan]. [Tanggapan kita terhadap sastera terhad setakat] sastera Melayu untuk anak-anak Melayu, anak-anak India di Sekolah Tamil mengkaji sastera Tamil atau India, manakala anak-anak Cina di Sekolah Cina mengkaji sastera Cina. Kita tidak mempunyai suatu ruang di mana kita boleh bertemu. Sepatutnya sudah lama kita adakan kurikulum sastera yang merangkumkan budaya-budaya di Malaysia, dan kalau boleh, saya ingin juga nilai-nilai baik dari budaya-budaya luar seperti Jepun atau Korea diperkenalkan sama. Oleh kerana tidak ada pendedahan sebegini maka kita hanya terus menyambung apa yang dilakukan oleh generasi-generasi sebelum kita dan [terperangkap dalam cara pandang sempit] yang hanya melihat satu sudut sahaja. Dulunya kita memperjuangkan kemerdekaan maka sudah tentu sajalah kita berasa bahawa kepunyaan itu sangat penting. Namun sekarang ini kita sudah punya [kemerdekaan], dan ia dipunyai secara bersama. Justeru di tahap kedua ini, harus ditegaskan bahawa [sastera yang cuba kita angkat sebagai unsur teras kepada pembinaan bangsa ini] sebagai sastera yang baik, dicipta dalam bahasa kebangsaan kita, dan tentu sekali bahasa kebangsaan itu bahasa kita bersama. Tambahan lagi, pencapaian dalam sastera itu tidak patut dilihat sebagai suatu pencapaian yang rendah. Ia sepatutnya boleh dibanggakan bersama. Namun [kebanggaan] ini tidak diajarkan [maka sukar untuk membangkitkan rasa kepemilikan bersama]. Hal yang serupa berlaku kepada bahasa kebangsaan. Saya fikir di sekolah tidak diajar tentang kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan. [Bahasa Melayu] ini bahasa yang tua, hampir 2000 tahun dan didalamnya ada banyak teks—sekitar 25,000 manuskrip di dunia di mana hampir 22,000 tidak disentuh orang. Begitu banyak. Judulnya lebih daripada 1000, mungkin hampir 1500 masih dijumpai sekarang. Tidak semua sastera ada jumlah yang sebegiu banyak. Ini suatu kebanggaan tetapi oleh kerana kita tidak tahu dan tidak diajar di sekolah tentang kebanggaan ini maka kita [gagal untuk menghargai khazanah sastera kita]. Kebanggaan yang saya maksudkan di sini pula bukanlah kebanggaan bahawa kita ini lebih daripada orang lain, tetapi kebanggaan bahawa kita juga mempunyai teks-teks sastera di peringkat tinggi yang boleh dikongsikan bersama antara semua masyarakat di Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Seingat saya, ini tidak diajarkan kepada anak-anak di sekolah. Juga mereka tidak diajarkan bahawa Bahasa Melayu ini bahasa yang bagus dan cantik. [Dalam soal pendidikan ini], ambil contoh seorang anak keturunan Rusia yang datang ke Amerika; dia tidak akan berhadapan dengan masalah begini. Dia bersekolah di sekolah Amerika dan bukan sekolah Rusia. Kita di sini pula membahagi-bahagikan [pendidikan dan selanjutnya anak-anak kita daripada hidup bersama]. Kita masih lagi meneruskan dasar pembahagian yang dimulakan oleh British yang bertujuan untuk mengawal masyarakat. Sekarang ini kita juga sudah terlupa bagaimana untuk kembalikan semua ini ke dalam satu jurusan bersama. Ada kalangan mereka di sekolah, juga ahli politik yang pintar, sedar dan faham akan perkara ini. Namun masih ramai lagi ahli politik terutamanya yang meraih untuk daripada rasisme ini bukan?

NM: Apakah yang anda maksudkan dengan sastera kebangsaan?

MHS: Pada saya sangat mudah. [Apa yang dimaksudkan dengan sastera kebangsaan ini ialah] sastera yang ditulis dalam bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Ini termasuklah semua jenis Bahasa Melayu merangkumi dialek seperti Sarawak, Sabah, Kedah, Terengganu, Kelantan, dll. Itulah sastera kebangsaan bagi saya. Tambahan lagi, saya turut bersetuju bahawa ada juga sastera sukuan yang sudah wujud selama beratus tahun dan sudah dianggap sebagai khazanah sastera bersama seperti Iban, Melayu-Siam, Minangkabau, dll. Ini semua kepunyaan kita bersama dan ada perkara-perkara baik yang boleh kita ambil daripada karya-karya ini untuk dikembangkan dengan lebih baik lagi. Ringkasnya, sastera kebangsaan ialah sastera dalam bahasa kebangsaan yang meliputi Bahasa Melayu, dialek, dan disekelilingnya sastera-sastera sukuan. Itu konsep sastera saya.

NM: Umumnya, sastera kebangsaan ini dapat dipecahkan kepada dua jalur pemikiran. Pertamanya, seperti apa yang anda katakan tadi iaitu sastera yang berasaskan bahasa kebangsaan dan sukuan. Keduanya, pandangan yang mengatakan bahawa sastera kebangsaan itu tidak terbatas kepada bahasa apa yang digunakan asalkan ia memerihalkan tentang Malaysia. Contohnya seperti sastera Manhwa, sastera Bahasa Tamil, dll. Kelompok kedua ini menganggap itu juga sebagai sastera kebangsaan. Apa pandangan anda?

MHS: Bagi saya, tujuan sastera ialah untuk penyatupaduan. Jadi, molek untuk kita pilih satu [sahaja bahasa yang menjadi asas kepada sastera kebangsaan kita]. Lihat misalnya Indonesia. Sastera kebangsaannya juga dalam Bahasa Indonesia, bukan? Namun pada masa yang sama, Bahasa Batak terus berjalan laju; sastera dalam Bahasa Batak terus ditulis. Begitu juga halnya dengan ratusan suku yang lain [di mana mereka masing-masing masih melanjutkan karya-karya dalam bahasa mereka]. Utamanya, perlu ada tempat di mana kitab oleh bertemu [dan tentu sekali, ini hanya mungkin apabila masing-masing menggunakan satu bahasa yang sama]. Saya sendiri menulis dalam dua bahasa dan memakai bakat saya dalam Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu. Saya mahu mengajak kawan-kawan yang menulis dalam Bahasa Mandarin, Tamil, dll. ini untuk turut sama menulis dalam Bahasa Melayu. Bakat mereka ini boleh dipakai [dan penting] dalam sastera Malaysia. Kita mesti mempunyai tempat [untuk mempertemukan segenap pemikiran, pandangan, dan perasaan terhadap negara dan bangsa kita]. Seperti juga di Indonesia, saya fikir kalau semua bakat ini dibawa, kita mampu untuk menjadi sebuah sastera yang besar, penting, serta pelbagai warna dan jalurnya. Nah, ini yang kita belum ada. Namun kalau ada yang masih menulis dalam bahasa masing-masing, silakan. Saya inginkan yang di tengah-tengah ini kerana kalau kita tidak ada satu tempat untuk bertemu, maka bahasa apa yang boleh kita gunakan untuk bercakap [sesama kita]? Di Malaysia ini, kita bercakap dalam Bahasa Melayu pasar, kemudian kita berpindah ke Bahasa Inggeris pasar, dan kemudian berpindah lagi ke bahasa-bahasa lain pula. Namun tentu ada satu bahasa yang kita iktiraf [sebagai bahasa yang digunakan dan difahami oleh kesemua golongan masyarakat]. Bahasa Melayu ini bahasa yang baik, dan ia bukan bahasa kepunyaan saya saja tetapi bagus juga untuk orang-orang lain. Orang luar juga seperti Belanda, Inggeris, atau Amerika turut suka kepada Bahasa Melayu kerana ada keindahan yang tidak dijumpai dalam bahasa mereka. Malah pencapaian kita juga tidak kurang. Saya alu-alukan untuk menulis dalam bahasa ibunda mereka, tetapi [kita harus ingat bahawa] kita ada ibunda yang lebih besar iaitu Malaysia. Justeru, lebih molek untuk kita menulis dalam bahasa tersebut. Tidak rugi sama sekali.

NM: Di samping dua jalur pemikiran terhadap bahasa kebangsaan, wujud juga dua bentuk pandangan tentang bagaimana bahasa dan sastera itu seharusnya diciptakan. Pada satu sisi, bahasa bersifat dinamik dan progresif seperti konsep yang diutarakan oleh anda. Namun pada satu sisi lain, wujud pula pandangan yang melihat bahasa dan sastera sebagai suatu yang sakral, statik, dan tidak boleh disentuh, dikritik, atau dilakukan pembaharuan. Komentar?

MHS: Berkenaan pandangan yang menganggap sastera ini sakral, ia mungkin memaksudkan sastera lama seperti Sulalatus Salatin atau peribahasa. Ini sesuatu yang sudah dikumpulkan oleh datuk nenek kita dan sebaiknya dikekalkan. Namun saya fikir sastera moden tidak begitu. Sastera moden memang diketahui orang bahawa ia sentiasa berkembang. Sastera lama itu sudah dianggap mantap dan tidak berkembang, manakala sastera moden ini berkembang. Ia terus ditambah atau dikurangkan oleh pengarang-pengarang sekarang. Justeru, sukar untuk menyebutnya sebagai sakral dan tidak pula terbatas kepada orang Melayu saja. Sastera yang saya kira sedang mengalir deras sekarang adalah dari orang-orang Sabah dan Sarawak. Mereka datang daripada berbagai-bagai suku—ada Iban, Orang Ulu, Orang Sungai, Kadazan-Dusun, Bajau, dll.—dan semuanya menulis dalam bahasa kebangsaan. Saya rasa tidak ada seorangpun yang berasa rugi menulis dalam bahasa bersama ini; dan dahulunya juga mereka memerlukan bahasa ini untuk berhubungan. Orang Sungai misalnya jika mahu bercakap dengan orang Bajau, memerlukan satu bahasa yang difahami oleh mereka berdua; dan nampaknya Bahasa Melayu-lah yang menjadi bahasa pengantaranya. Maka sudah ditunjukkan oleh sejarah kita melalui hubungan antara bangsa-bangsa yang pelbagai itu di mana adanya satu bahasa yang boleh menghubungkan kita semua, dan ia masih berpotensi untuk mengambil peranan penghubung itu selagimana kita tidak mengkotak-kotakkanya mengikut jalur ras seperti Cina, Melayu, India, dll. Saya fikir konsep kolonial terdahulu masih lagi diteruskan [dalam cara pandang dan dasar kita terhadap realiti kehidupan bersama kita]. Semua orangpun menuntut haknya—orang Melayu mahu haknya, begitu juga orang India dan Cina. Kasihan pula kepada orang Iban yang tidak banyak menuntut haknya walaupun sekarang ini mereka sudah mula berasakan bahawa mereka telah dikesampingkan dan mahu ke hadapan. Hakikatnya, tak bolehlah nak dibuat semua sekali [dan kita tak dapat penuhi tuntutan semua pihak]. Kalau kita terus berselisih begini, sampai bila lagi [perkara ini akan berlanjutan dan tidak kunjung selesai]. Negara ini tak mampu bertahan dengan perselisihan yang terus-menerus. Kemampuan kita untuk terus bertahan sekarang ini kerana ekonomi kita masih boleh dikatakan baik. Bayangkan kalau ekonomi tidak baik dan negara miskin, tentunya aka nada perkelahian antara suku-suku ini yang sangat keras dan merosakkan sifatnya. Mereka yang sekarang ini ligat menggunakan bangsa dan bahasa sebagai modal politik [perlu sedar akan keburukan ini] dan duduk berbincang. Apakah kita mahu melalui satu lagi pergaduhan seperti 13 Mei, ataupun kita mahu melangkah melepasinya dan meninggalkan tragedi itu sebagai sejarah lampau? Perkara ini boleh dilakukan, tetapi harus secara perlahan-lahan [dan berperingkat] serta dengan penuh prihatin terhadap semua bangsa. Bawa sahaja mereka [bahasa] ini ke Sekolah Kebangsaan. Mengapa tidak kita belajar Bahasa Mandarin atau Tamil misalnya di Sekolah Kebangsaan? Saya tidak dapat memberikan cadangan yang jelas berkenaan hal ini, tetapi saya fikir itu antara cara yang dapat diambil supaya budaya dan bahasa [semua orang] tidak dikesampingkan [dalam pendidikan kita].

NM: Anda sebutkan tadi tentang potensi-potensi besar yang dipunyai budaya kita dan seeloknya dicungkil melalui sastera itu sendiri. Contohnya, berkenaan hubungan orang Melayu dengan orang bangsa lain. Bagaimana boleh kita ceritakan pengalaman-pengalaman tentang mereka ini dalam sastera kita? Wujudkah potensi-potensi lain yang boleh dan patut dimajukan?

MHS: Baru-baru ini kita ada berbincang tentang siri sejarah berdasarkan kepada sejarah Melayu ataupun sejarah umum Malaysia. Salah satunya kitab oleh adakan siri televisyen dan mengutip [tempat, ruang, dan waktu] di mana bangsa-bangsa kita bertemu, hidup bersama, dan menyelesaikan masalah. Watak-watak ini juga tentulah bukan orang Melayu saja, tetapi turut merangkumi bangsa-bangsa lain. Mungkin kerana penulis skrip itu kebanyakannya orang Melayu saja [maka sukar untuk ditonjolkan aspek-aspek kebersamaan itu]. Sudah sampai waktunya untuk kita, pertama sekali, mengutip dan menceritakan sejarah-sejarah yang menunjukkan bahawa kita ini hidup dalam masyarakat multibudaya. Keduanya, harus dituliskan skrip-skrip baharu di mana watak-wataknya bertemu di Malaysia yang menerima dan meraikan kesemua cara hidup bagi menimbulkan rasa prihatin kepada kelainan budaya yang ada di sini. Itu semua boleh dilakukan. Dahulunya, ada satu saluran radio yang cuba menonjolkan ciri kepelbagaian ini dengan memutarkan lagu-lagu daripada sekalian bangsa di Malaysia. Sekarang ini tidak ada lagi—Melayu hanya lagu Melayu, Cina hanya lagu Cina, India hanya lagu Tamil. Sekarang juga ada ruangan untuk Orang Asli, tetapi bahasa Asli ini kebanyakannya sudah banyak dipengaruhi kosa kata Melayu. Namun ada kelainan itu. Mereka juga berasa bangga diundang [ke dalam program siaran sebegitu]. Ini perlu dilihat sebagai projek jangka panjang. Di sekolah, ketika riadah, di televisyen, komik, dan animasi. Animasi seperti Upin & Ipin itu ada dimasukkan [unsur-unsur kebersamaan itu]. Lucunya, saya ingat ia lebih popular di Indonesia berbanding Malaysia. Mereka menerima bahawa itulah Malaysia yang mempunyai orang Punjabi, Tamil, Cina, dll. Harapnya anak-anak kita juga dapat menerima kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat majmuk kita. Ambillah orang-orang seperti ini untuk menuliskan skrip yang lebih rumit dan membayangkan dengan cemerlang kepelbagaian masyarakat kita. Inilah caranya—filem, komik, animasi, sekolah, sukan, dan juga sastera di mana semua bangsa dapat bertemu.



Categories: Penerbitan, Wawancara

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: