Melayu-Islam Terancam: Mitos atau Fakta

Oleh Eekmal Ahmad

Makalah ini cuba memperhalusi fenomena ketakutan yang dikatakan sebagai keterancaman Melayu-Islam yang menjadi sandaran kepada modal politik perkauman di Malaysia. Sebagai Pegawai Dasar kerajaan negeri Selangor, contoh yang diberikan didatangkan khusus daripada landskap, populasi, dan pentadbiran negeri Selangor. Beberapa perkara yang menjadi perhatian saya termasuklah:

  1. Adakah keterpendaman ini bersifat primordial, yakni sudah sedia tertanam dalam psiki masyarakat Melayu ataupun hanyalah sekadar gejala yang bersifat reaksionari hasil daripada pengaruh lingkungan seperti media sosial.
  2. Iktibar daripada Dinasti Qing di China pada tahun 1768—kegemparan sihir yang membawa kepada mass hysteria akibat kesenjangan ekonomi dan sosial dalam masyarakat pada ketika itu termasuklah pergelutan identiti antara identiti Han selaku majoriti dengan identiti Manchu yang berada di tingkat kuasa.
  3. Kependaman ini termanifestasi secara zahir dan batin (seen and unseen)—dan pada akhirnya, hanyalah pergelutan seputar identiti dan ekonomi orang Melayu dalam berhadapan dengan realiti ekonomi dan sosial yang tidak memihak kepada mereka.
  4. Perbahasan antara mitos dan fakta berkaitan rasa terancam masyarakat Melayu ini disandarkan kepada pemerhatian terhadap masyarakat Melayu di Selangor khususnya, mengambil kira data-data dan unjuran peruntukan yang diperoleh daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Ke(ter)pendaman atau Lingkungan

Persoalan awal yang timbul apabila disebutkan tentang “keterpendaman Melayu” ini adalah perihal pentakrifan istilah itu sendiri. Dalam Bahasa Inggeris, terjemahan paling dekat dengan tajuk bengkel ini ialah Malay latency. Adapun Dewan Bahasa dan Pustaka mencadangkan istilah “kependaman” sebagai terjemahan kepada latency—tetapi tidak ada masalah dengan penggunaan kata “keterpendaman”.

Pun begitu, penggunaan istilah kependaman itu sendiri kelihatan agak janggal kerana ia mengandaikan kewujudan suatu bentuk psiki yang sudah sedia tertanam (embedded) dalam pemikiran atau bahkan naluri masyarakat Melayu. Misalnya istilah “amuk” yang dikatakan merupakan sebahagian daripada sifat Melayu. Maksudnya, ia mengandaikan suatu fenomena kolektif—keresahan-keresahan tersebut wujud dan dialami oleh setiap orang yang mengidentifikasikan dirinya sebagai Melayu. Jika berlaku sesuatu kejadian, maka orang Melayu dari Perlis sampailah ke Johor akan bangun mengamuk sebagai reaksi terhadap kejadian tersebut. Janggalnya di sini apabila kita sendiri berasakan bahawa “amuk” ini merupakan sebahagian daripada diri seorang Melayu, lantas kualiti ini—yang sedia membawa konotasi negatif—lalu kembali mentakrifkan sifat Melayu itu. Dan lebih malang lagi apabila pandangan sebegini turut dipengaruhi oleh pentakrifan kolonial Inggeris yang melekatkan istilah run amok sebagai suatu kualiti Melayu.

Perkara ini kemudian menimbulkan pula persoalan: apakah yang dikatakan sebagai “kependaman” ini sememangnya suatu bentuk psiki kolektif yang bersifat primordial ataupun suatu fenomena hasil daripada konstruksi sosial (serta pengaruh-pengaruh lingkungan termasuklah teknologi) yang membentuk apa yang kita katakan sebagai keresahan Melayu ini? Bagaimanakah ia tercipta? Adakah kita sedari lahir lagi sudah sedia sedar—dan terbeban—dengan keresahan-keresahan ini? Adakah keresahan-keresahan saya, misalnya, sebagai seorang Melayu yang berasal dari Alor Setar, Kedah berakar daripada keresahan kolektif Melayu tersebut ataupun terbentuk daripada konstruksi sosial saya yang dipengaruhi oleh kelas sosial, bahan bacaan, interaksi dengan lingkungan, dll?

Saya fikir takrifan kependaman ini harus diperhalusi lagi sebelum kita dapat rumuskannya sebagai sebuah konsep terutamanya dalam menjelaskan benarkah wujud unsur kependaman yang diperkatakan itu. Mungkin saja fenomena yang dikatakan sebagai unsur kependaman ini sebenarnya merupakan manifestasi daripada pengaruh serta interaksi lingkungan terutama media sosial seperti Whatsapp, Instagram, Facebook, dsb. Pada pandangan saya, laman-laman sosial ini merupakan medan yang membentuk perasaan, atau keresahan, “kolektif” tersebut; apatah lagi dengan penggunaan algoritma-algoritma terkini yang cenderung menghubungkan individu-individu dengan minat, kecenderungan politik-ideologi, dll yang sama. Justeru dengan sendirinya, individu-individu yang berkongsi common denominator—dalam hal ini Melayu dan Islam—secara kolektif akan berkongsi keresahan yang sama walaupun berbeza dalam beberapa hal. Jelas tidak ada kependaman di sini melainkan suatu bentuk kepentingan bersama (shared interest) yang timbul lalu dikongsikan oleh individu-individu ini melalui interaksi mereka dengan lingkungan (laman sosial misalnya).

Antara Kenyataan dan Khayalan

Perbahasan tentang keresahan Melayu tidak dapat tidak akan terjurus kepada unsur ancaman yang sering menjadi punca kepada keresahan tersebut. Gambaran tentang Melayu-Islam terancam, seperti yang tersebut dalam tajuk perbincangan ini, menuntut pula perhatian kita terhadap bentuk ancaman yang diperkatakan itu. Terutama sekali, apakah ancaman tersebut benar-benar wujud dan berlaku ataupun hanya momokan semata-mata yang bertujuan untuk meraih keuntungan politik? Adakah gambaran tentang ancaman tersebut merupakan mitos atau fakta? Apabila ditanyakan soalan berbentuk binari sebegini, saya cenderung berpandangan bahawa ia merupakan kedua-duanya sekali: gambaran Melayu-Islam terancam itu ialah mitos dan, serentak dengan itu, juga fakta. Berangkat dari penyataan ini, maka ancaman tersebut pula wujud dalam dua bentuk iaitu zahir (seen) dan batin (unseen)—tersurat dan tersirat.

Kita dapat katakan bahawa keresahan masyarakat Melayu ini menjadi lebih kuat dan menonjol penzahirannya pasca 9 Mei 2018 apabila Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional. Keresahan ini menjadi lebih jelas barangkali kerana perubahan kerajaan tersebut secara tidak langsung dilihat memperhebat gugatan terhadap masyarakat Melayu dari sudut identiti, kuasa politik, dan ekonomi. Namun jika ditelusuri lebih jauh sedikit, maka kita mendapati bahawa wacana tentang Melayu, atau tepatnya keterancaman Melayu, telah bermula jauh sebelum PRU14 (2018), PRU13 (2013), atau PRU12 (2008). Penzahiran keterancaman Melayu ini bahkan kuat penzahirannya selepas PRU3 pada tahun 1969. Penzahiran-penzahiran ini merupakan suatu hal yang nyata (real) dan sedang berlaku. Persoalannya, apakah penzahiran keresahan ini menunjukkan bahawasanya kedudukan Melayu-Islam benar-benar makin terancam di negara ini khususnya pasca PRU14? Adakah tanggapan sebegini merupakan mitos atau fakta?

Kita ambil kerajaan negeri Selangor sebagai contoh. Apabila kita sebutkan perihal fakta ini, ia sekaligus berkait dengan aspek administratif dan legislatif khususnya melibatkan kuasa legislatif dan peruntukan-peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada orang Melayu dan Islam. Antara fakta yang jelas terlihat adalah jumlah peruntukan serta bantuan yang disalurkan melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi membantu Sekolah Agama Rakyat, sekolah tahfiz, sekolah pondok, dan sekolah KAFA berjumlah RM24.985 juta. Kita harus maklum bahawa daripada RM2.5 bilion jumlah belanjawan negeri Selangor, RM400 juta diperuntukkan kepada program-program melibatkan orang Melayu dan Islam. Nah, ini merupakan fakta. Tambahan lagi, terdapat banyak program yang diperuntukkan khusus kepada orang Melayu, Islam, dan Bumiputera di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor.

Dari sudut legislatif pula, dapat dilihat komposisi kaum dalam Dewan Undangan Negeri. Selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih tempoh hari, Pakatan sekarang mempunyai 50 kerusi di mana 29 daripadanya merupakan kerusi Melayu. Jika ditambah enam lagi kerusi pembangkang dari PAS dan UMNO, maka jumlah kerusi Melayu dalam Dewan Undangan Negeri menjadi 35. Manakala kuasa simbolik dipegang oleh Sultan, juga Dewan Di-Raja. Dalam hal penjawat awam negeri pula, sudah menjadi tradisi bahawa jawatan-jawatan tinggi seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dijawat oleh orang Melayu-Islam. Ini merupakan gambaran umum berkenaan struktur pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Contoh-contoh yang diberikan ini merupakan fakta yang boleh didapati daripada laporan-laporan yang boleh dicapai secara terbuka oleh masyarakat awam. Justeru dalam hal ini, saya berpandangan bahawa sentimen yang berasakan orang Melayu-Islam itu terancam (di Selangor khususnya) adalah mitos semata-mata kerana angka-angka serta unjuran-unjuran ini jelas menunjukkan sebaliknya—kebanyakan bantuan, pengukuhan kuasa politik serta ekonomi sememangnya banyak terarah kepada kepentingan orang Melayu dan Islam.

Pengalaman Dinasti Qing, 1768

Bagi menilai persoalan mengenai kependaman yang dipermasalahkan di atas, perbandingan dapat dibuat dengan peristiwa kegemparan sihir (sorcery scare) yang berlaku ketika pemerintahan dinasti Qing di China pada tahun 1768. Antara teks penting yang memerihalkan peristiwa ini ialah karya Philip A. Kuhn berjudul Soulstealers: The Chinese Sorcery Scare of 1768”. Ia menceritakan tentang suasana ketakutan yang menyelubungi masyarakat dinasti Qing terhadap kewujudan ahli-ahli sihir yang mencuri roh manusia dengan cara memotong ekor rambut dan membacakan jampi ke atas mereka.

Sebagai latar, para sejarawan menganggap dinasti Qing sebagai titik permulaan kepada modeniti di China. Pemerintahan maharaja Ch’ien-lung, Hungli, dikatakan sebagai era keemasan bagi dinasti Qing tersebut. Dan pada tahun 1768, berlakunya peristiwa kegemparan sihir melibatkan mass hysteria dan keganasan yang berleluasa di 12 wilayah dalam dinasti imperial tersebut. Hal ini dimungkinkan sendiri oleh struktur sosial dan birokrat dari peringkat wilayah, kota, sehinggalah pekan-pekan di daerah-daerah kecil. Pada ketika itu, mana-mana individu yang dilihat sebagai bukan sebahagian daripada masyarakat setempat dibunuh; individu-individu yang datang daripada struktur sosial berbeza dipukul; manakala mereka yang mempunyai identiti berlainan dengan masyarakat setempat dicurigai. Kes-kes sebegini lazimnya berlaku terhadap biarawan-biarawan dan sami-sami Buddha yang berkelana serta pengemis-pengemis kerana status sosial mereka yang dianggap rendah. Mereka yang disyaki terlibat dengan perbuatan sihir ini juga termasuklah tukang-tukang bina jambatan. Hal ini berpunca daripada kepercayaan karut (superstition) dalam kalangan mereka yang percaya bahawa mereka perlu menyelitkan nama-nama penduduk pada jambatan yang sedang dibina. Justeru mereka ini sentiasa dicurigai kerana amalan ini. Jumlah mangsa yang tinggi berikutan kes-kes keganasan dan pembunuhan akibat kegemparan sihir tersebut telah memaksa maharaja Hungli dan para birokratnya untuk menyiasat dan menyelesaikan epidemik ketakutan tersebut. Dalam hal ini, persoalan sama ada perkara sihir tersebut rasional atau tahayul tidak lagi menjadi perbahasan—tindakan segera harus diambil untuk menyelesaikannya.

Lalu apakah signifikan peristiwa kegemparan sihir tahun 1768 terhadap perbahasan mengenai keresahan Melayu masa kini? Di balik kemakmuran dan kekayaan dinasti Qing pada kurun ke-18 tersebut—menjadikannya sebuah kuasa besar setanding dengan empayar Uthmaniyah di Turki atau Mughal di India—wujudnya ketidakseimbangan sosial dan pembangunan terutama antara wilayah. Pada ketika itu, dinasti Qing mempunyai jumlah populasi yang mencecah 313 juta orang dan kawasan jajahannya semakin membesar dari hari ke hari sesuai dengan sifatnya yang expansive. Akibat ketidakseimbangan pembangunan ini, maka timbul permasalahan-permasalahan seperti pengeluaran beras yang tidak mencukupi untuk menampung jumlah populasi yang besar. Permasalahan ketidakseimbangan dan ketidakjaminan (insecurity)ekonomi ini kemudiannya terjelma dalam bentuk keresahan identiti dan ancaman sosial. Satu hal yang menjadi pencetus kepada keresahan ini adalah perkhabaran-perkhabaran tentang kuasa-kuasa tentera dari Barat yang semakin menghampiri Timur. Keadaan ini memaparkan kemunculan ancaman berbentuk zahir dan batin. Pada satu sisi, adanya letusan populasi dan kekurangan makanan yang dampak kesannya; manakala pada sisi yang tidak terlihat pula adalah perkhabaran-perkhabaran tentang ancaman yang kian hampir. Dua bentuk keresahan ini, zahir dan batin, terjelma sebagai pergelutan identiti dalam kalangan masyarakat dinasti Qing itu sendiri—keengganan bangsa Han sebagai majoriti untuk mengamalkan budaya Manchu, pemerintah dinasti Qing, iaitu budaya menyimpan ekor rambut.

Justeru, apakah wajar untuk mengatakan bahawa pergelutan identiti hasil daripada keresahan-keresahan zahir dan batin tersebut merupakan suatu bentuk kependaman yang sudah sedia tertanam dalam psiki masyarakat dinasti Qing pada ketika itu? Sudah tentu ia kelihatan janggal sekali. Hal ini kerana manifestasi keresahan tersebut terbit daripada kesenjangan ekonomi dan sosial yang semakin melebar dalam masyarakat serta ditambah pula dengan unsur-unsur ancaman yang mendasari politik ketakutan bertujuan untuk mengukuhkan penguasaan segelintir elit politik terhadap massa.

Kembali ke Malaysia

Faktor-faktor yang tersebut di atas bukanlah suatu fenomena unik bagi satu-satu tempoh masa atau lokaliti. Bahkan ia dapat dilihat berlaku dalam mana-mana masyarakat. Di Malaysia, Melayu yang membentuk majoriti di sini masih lagi berasakan mereka berada dalam keadaan terancam walaupun realitinya banyak peruntukan-peruntukan dll disalurkan kepada masyarakat Melayu seperti yang tersebut di atas. Pada masa yang sama, tekanan kehidupan terutama peningkatan kos sara hidup, gaji yang lembap, dll menyumbang kepada peningkatan ketidakpuasan hati masyarakat, terutamanya Melayu. Nah, ketidakpuasan hati inilah—terbit daripada tekanan realiti sosial dan ekonomi—yang sebenarnya mencirikan “kependaman” yang diperkatakan tersebut. Letusan populasi di Lembah Klang, Selangor, peningkatan kos hidup, gaji yang tidak setimpal dengan pekerjaan, taraf hidup yang kian merosot dll inilah sebenarnya menjadi asbab kepada keresahan-keresahan yang terjelma dalam bentuk pergelutan identiti dan rasa keterancaman tersebut. Ia lebih cenderung mengambil bentuk yang zahir berbanding batin.

Seperti halnya dengan pengalaman dinasti Qing yang tersebut di atas, ia bukanlah sesuatu yang dapat dibahaskan dari sudut rasionalitinya. Maksudnya, tidak wujud perbahasan sama ada tindakan memotong ekor rambut dan membacakan jampi benar-benar akan mencuri roh individu yang terbabit. Perkara sihir tersebut tidak dibahaskan, tetapi apa yang menjadi pokok pemerhatian adalah asbab yang mencetuskan kegemparan sihir tersebut. Saya katakan tadi melalui unjuran angka bahawa peruntukan bagi orang Melayu dan Islam di Selangor besar; itu fakta. Namun, unjuran-unjuran ini tidak mampu untuk mengubah persepsi dan ketidakpuasan hati masyarakat Melayu terhadap kerajaan, khususnya kerajaan sekarang, di mana mereka berasakan kerajaan masih lagi tidak memberikan usaha sehabis cukup untuk kemaslahatan masyarakat Melayu. Barangkali, seperti disebutkan dalam tulisan Ruhan Sharir, ada cita-cita lain yang masih belum disempurnakan khusus melibatkan nasionalisme Melayu yang tidak tertunai. Tidak dinafikan, keresahan itu nyata; tetapi apakah benar ia merupakan suatu kependaman atau hanyalah sekadar reaksi semula jadi terhadap apa yang berlaku dalam lingkungan?

Hal ini lantas bermaksud bahawa kependaman bukanlah suatu psiki yang sudah sedia tertanam dalam naluri satu-satu masyarakat, dalam hal ini Melayu, tetapi terbit daripada realiti sosial dan ekonomi yang tidak memihak kepada masyarakat tersebut. Apa yang kita tanggapi sebagai psiki ini barangkali tidaklah serumit itu, tetapi hanyalah perkara-perkara zahir yang dapat dicerap secara langsung. Cuma perbezaannya mungkin cara kita menanggapi dan mengungkapkan fenomena tersebut, serta bahasa yang kita gunakan sahaja.

Pun begitu, pergulatan identiti ini juga merupakan suatu perkara yang nyata. Antara contoh dalam hal ini adalah pemaparan identiti “Islami” yang semakin menguat dalam kalangan masyarakat Melayu dewasa ini. Namun harus dijelaskan bahawa apa yang dilihat sebagai “Islami” ini bukanlah diukur pada tahap kesalihannya melainkan pada representasi-representasi semu yang lebih bersifat zahir dan tidak keterlaluan untuk mengatakannya sebagai pemaparan budaya—cara pemakaian, penggunaan istilah pinjaman Arab, pemaparan simbol-simbol tertentu dll. Ia ditonjolkan sebagai perbahasan identiti kerana ia lebih dekat dengan masyarakat dan mudah untuk diungkapkan—frasa seperti “Melayu terancam” atau “Islam diserang”. Di balik gejolak identiti ini adalah realiti sosial dan ekonomi yang semakin menekan. Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dsb dilihat sebagai suatu bentuk serangan terhadap identiti dan penguasaan politik Melayu-Islam, sedangkan struktur birokrasi dan pentadbiran tersebut sudah tersebut begitu.

Identiti dalam hal ini berfungsi sebagai pengikat yang kuat—identiti kolektif ini. Oleh kerana itu saya fikir kita perlu hati-hati dan tidak segera menjurus jawapan kita kepada persoalan politik dalam membahaskan perkara kependaman ini. Ikatan identiti Melayu-Islam ini terbentuk daripada konstruk sosial dan politik jauh sebelum kemerdekaan; bahkan menjadi lebih kuat setelah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini antara sumber yang menyumbang kepada idea tentang Melayu-Islam yang rata-rata dikongsikan secara kolektif oleh kebanyakan orang Melayu sekarang. Ia sesuatu yang nyata, atau dianggap sebagai kenyataan, serta terkandung unsur-unsur emotif didalamnya yang apabila dikocak akan menimbulkan reaksi balas. Ini khususnya jelas dalam hal membabitkan 3R: royalty, race, religion. Walaupun sejarah sendiri menunjukkan bahawa wujudnya perbezaan jalur nasionalisme Melayu, tetapi ketiga-tiga unsur ini menjadi pengikat kepada identiti Melayu-Islam sekarang.

Perkara-perkara begini, seperti yang saya sampaikan di awal perbahasan, adalah mitos dan juga fakta. Fakta kerana ia memperlihatkan bahawa ancaman tersebut tidak berasas—unjuran peruntukan negeri Selangor, struktur pentadbiran, dll lebih memihak kepada masyarakat Melayu. Manakala mitosnya pula adalah rasa keterancaman Melayu-Islam terhadap sistem itu sendiri yang dirasakan tidak memihak kepada mereka. Pun begitu, kedua-duanya baik fakta mahupun persepsi keterancaman ini merupakan suatu kenyataan dalam realiti politik semasa. Perkara ini harus diakui. Namun, untuk mengatakan ia sebagai suatu kependaman yang sudah sedia tersemat dalam psiki masyarakat Melayu hanya berdasarkan petunjuk-petunjuk politik iaitu siri keputusan PRK ini perlu diperhalusi lagi. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, bagaimanapun, adalah kegelisahan masyarakat Melayu terutama terhadap kerajaan sekarang.

Ini merupakan transkrip pembentangan semasa Bengkel Keterpendaman Melayu pada 15 April 2019 anjuran Naratif Malaysia (NM) dan IKMAS, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: