Byung-Chul Han dan Psikopolitik

“Twenty first century society is no longer a disciplinary society, but rather an achievement society [Leistungsgessellschaft]. Also, its habitant are no longer “obedience-subject” but “achievement-subjects.” Byung-Chul Han (2015), The Burnout Society.

Pendahuluan

Barangkali antara teori dan pendekatan kontemporari kritikal yang perlu diberikan tumpuan adalah melalui tulisan-tulisan Byung-Chul Han (BCH) lewat kritikannya terhadap masyarakat kapitalisme lanjut. Kritikannya jelas menghala kepada masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat kontemporari pada hari ini—yang mendiami dunia teknologi dan digital. Tegas BCH, masyarakat sekarang tersumbat (infarctions) dengan terlalu banyak elemen-elemen positif sehingga ramai yang tanpa/secara sedar menghidapi penyakit-penyakit mental.

Perbahasan beliau sememangnya memerlukan renungan dan bacaan falsafah rumit (khususnya terhadap Hegel dan Heidegger) yang menuntut kita untuk memahami dahulu sebahagian besar inti-inti permasalahan yang pernah diperdebatkan oleh sarjana-sarjana sebelum ini. Tentu sekali inti-inti permasalahan itu tidak sesuai untuk dibentangkan dalam makalah yang seringkas ini. Namun secara mudahnya, idea-idea BCH adalah adunan dan paduan daripada inti-inti perbincangan sebelumnya dan ianya cuba disesuaikan dengan zaman sekarang.

Sebahagian besar hujah BCH menghala kepada kesan-kesan yang dihadapi oleh masyarakat zaman kini terhadap penggunaan teknologi dan digital. Bagi BCH, masyarakat kini telah imun terhadap perbezaan akibat daripada lenyapnya konsep Keberlainan (otherness) dan Keasingan (foreignness). Konsep-konsep ini kemudiannya digantikan dengan konsep Perbezaan (difference) yang harus diterima dan dianjurkan secara global. Kesannya menghilir kepada nilai-nilai sejagat yang harus kita akui dan dicitrakan pula dalam bentuk-bentuk yang positif

Masyarakat Disiplin dan Masyarakat Pencapaian

Memang kita akui bahawa dunia digital menyaksikan ada usaha-usaha untuk menyusutkan perbezaan-perbezaan antara manusia. Kita seolah-olah berkongsi persamaan antara satu sama lain merentasi sempadan negara. Misalnya, protes Black Lives Matter (BLM) yang dilakukan oleh kaum kulit hitam di Amerika Syarikat, sebahagiannya turut didukung oleh masyarakat di Malaysia. Nilai kebersamaan itu telah menjadi sejagat. Namun, dimanakah salahnya dalam mengakui nilai-nilai sejagat dan kata-kata positif?

Disini BCH memulakan kritikannya terhadap kegagalan tamadun Barat dengan melihat kepada peralihan Masyarakat Disiplin (Discipline Society) kepada Masyarakat Pencapaian (Achievement Society/Leistungsgessellschaft). Daripada perspektif BCH, masyarakat sekarang sudah beralih subjek daripada kepatuhan kepada pencapaian. Masyarakat Disiplin dikawal oleh larangan-larangan, arahan-arahan dan undang-undang. Namun, mekanisme ini hanya menghasilkan penjenayah dan orang gila (madmen). Masyarakat Pencapaian pula tercipta atas projek-projek, inisiatif dan motivasi. Namun begitu, masyarakat ini pula menghasilkan manusia yang tertekan dan bersifat pengalah (losers). Tegasnya, ungkapan, “Ya, kita boleh!” adalah orientasi positif yang berbahaya dan memusnahkan.

Mengapa ianya berbahaya? Daripada kaca mata BCH, manusia dipaksa untuk percaya bahawa setiap daripada kita mempunyai kondisi yang sama tanpa mengambil kira faktor-faktor sekeliling, politik, ekonomi, ruang, masa dan lain-lain. Atas kepercayaan ini, manusia bersaing diatas padang yang kononnya rata, tetapi secara realitinya tidak.

Orientasi positif ini menekan kepada pencapaian individu. Namun ianya menjadi masalah apabila kayu ukur pencapaian ini seolah-olah ditetapkan melalui paparan-paparan ilusi yang dipertontonkan dalam dunia digital dan internet. Hal ini seterusnya menghasilkan tekanan yang sangat kuat oleh seseorang individu yang terdorong untuk mencapai kayu ukur tersebut.

Bahkan, kegagalan untuk mencapai kayu ukur ini seterusnya mewujudkan penyakit-penyakit mental seperti tekanan perasaan dan sifat pengalah dalam kalangan masyarakat—khususnya terhadap golongan muda. Ungkapan, “Tiada yang mustahil” bagi BCH berupaya menghilir kepada kehancuran pendekatan-kendiri disebabkan kepercayaan positif manusia (yang ilusi) terhadap dirinya sendiri.

Kebebasan diri yang dicitrakan oleh nilai-nilai sejagat telah menjadikan manusia bertuankan kepada diri sendiri. Dalam hal ini, BCH melihat Masyarakat Pencapaian telah menghasilkan manusia yang hanya mengeksploitasi dirinya sendiri. Hal ini jelas dapat dilihat dalam penggunaan media sosial – yang mana –  ada individu yang menjadikan dirinya sebagai objek dan diperdagangkan demi keuntungan peribadi.

Pada zaman ini, istilah-istilah baharu seperti pempengaruh media sosial (social-media influencer), Twitter terkenal (Twitter famous) atau Instagram terkenal (Instagram famous) yang menciptakan karektor tersendiri dan berpusat kepada individu—telah meresap dalam bicara-bicara golongan muda. Malah, ada golongan kanak-kanak yang menyimpan keinginan untuk menjadikan istilah-istilah ini sebagai kerjaya masa hadapan. Kegagalan seseorang individu untuk mencapai status-status ini menjuruskan mereka kepada tekanan perasaan. Hal ini secara peribadi pernah dilihat oleh penulis, yang mana terdapat pelajar-pelajar telah mengalami tekanan perasaan akibat gagal mencapai definisi ‘kejayaan’ tersebut.

Selain itu, BCH turut menghalakan kritikannya terhadap konsep dan amalan tugas-ganda (multitasking) yang selalu ditumpukan dalam masyarakat zaman ini. Tuntutan zaman sering melihat kadar kecekapan, kemahiran dan penghasilan seseorang individu disepadukan dengan amalan tugas-ganda. Namun apakah amalan ini secara realitinya turut mencerminkan tanda aras kejayaan seseorang manusia? Dalam hujah BCH, amalan ini hanya membawa kepada masalah perhatian berlebih-lebihan (hyperattention). Amalan tugas-ganda ini telah melahirkan individu yang mudah berasa bosan apabila beliau tidak melakukan apa-apa. Padahal, menurut BCH – seperti mengulang hujah Adorno – refleksi dan renungan diri adalah penting dalam sesebuah gerak daya kreatif.

Di mana Kesesuaiannya?

Secara lalu, kita memang dapat menghidu idea-idea BCH mempunyai pengaruh-pengaruh falsafah Barat yang kuat. Justeru kita bertanya, apakah idea-idea BCH ini sebenarnya sesuai untuk ditelaah dalam konteks Malaysia kontemporari?

Pada pendapat penulis, mungkin sebahagiannya sesuai untuk diperhatikan—khususnya dalam konteks fenomena hypertattention, burnout dan depression yang dihujahkan beliau. Perkara-perkara ini sememangnya mendapat perhatian utama dalam dunia sekarang, terutamanya terhadap golongan muda. Namun, pendekatan beliau terhadap peralihan masyarakat khususnya dalam konteks Masyarakat Disiplin kepada Masyarakat Pencapaian perlu diteliti dengan lebih mendalam. Hal ini adalah kerana, umumnya diketahui bahawa sistem politik dan ekonomi di Malaysia ternyata lebih rumit dan rencam. Pertautan yang wujud antara amalan demokrasi yang terkawal, jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat dan keperluan terhadap kestabilan antara etnik memerlukan penelitian yang lebih rapi sebelum pendekatan ini benar-benar dipakai.



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: