Kelantan Terpencar: Budayanya Hanya di Serambi

Saya berkesempatan untuk berembun selama dua malam di kampung Gong Lapang yang letaknya di Kuala Besut, Terengganu pada hujung Februari 2020 lalu. Berembun demi menonton Mek Ti, Rohana, Pak Su Kadir, Pak Su Agel, dan belasan pemuda dan pemudi dari kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari. Kumpulan yang ditubuhkan oleh primadona Che Ning ini tidak lekang daripada bergendang dan meliuk tubuh ikut irama. Biarpun panggung tempat mereka beraksi tidak sebesar Istana Budaya, namun, bunyi gesekan rebab, tiupan serunai, dan ketukan gendang ibu dan anak mampu menjadikan angin, awan, dan dedahan pokok hutan di sekeliling tidak senang duduk.

Di kepala panggung yang sekadar berpagarkan anyaman daun kelapa, terhidang sepinggan pulut kuning, telur, dan ayam panggang. Kata mereka, hidangan yang sudah tentunya menggiurkan ini adalah untuk santapan nenek moyang. Tidak ada anak yang dibenarkan mencicip, apatah lagi melahapnya. Hanya dibenarkan menelan air liur sahaja.

Di hujung kampung jauh dari pekan kecil Kuala Besut, di hadapan lebih dua puluh tetamu dari Kuala Lumpur yang dibawa oleh pertubuhan kebudayaan PUSAKA, terdapat persembahan Mak Yong. Pada hening malam itu, ada jiwa yang sakit perlu diubati, ada semangat yang lemah minta untuk disembuhkan. Malam dibelah dengan persembahan tersebut.

Namun, panggung kecil di tepi sawah padi dan di celah-celah pokok getah di ceruk kampung Gong Lapang bukanlah panggung yang sudah lama terbina. Ini hanya panggung sementara tatkala permohonan mereka untuk mementaskan Mak Yong di tempat biasa buat pertama kalinya telah ditolak oleh Tok Penghulu.

Semenjak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil alih pentadbiran Terengganu pada tahun 2018, maka negeri itu mula mengikuti jejak langkah Kelantan dengan memperkenalkan garis panduan hiburan, kebudayaan dan pelancongan. Kini, segala kegiatan nyaring nyanyi dan liuk tari di negeri itu mestilah berlandaskan syariah.

Manakala Kuala Besut pula merupakan salah satu tempat berlindungnya pelbagai kebudayaan tradisional Melayu sesudah terkena rembesan Islamisasi PAS di Kelantan. Kuala Besut, ibaratnya sebuah ranah budaya pelarian. Buat kesekian kalinya Mek Ti dan kumpulan Mak Yong yang diwarisinya, dihambat di atas tanah sendiri.

Siapa Lebih Islam?

Peristiwa yang berlaku kepada Mekti dan kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari ini bukan hal yang baru. Untuk memahaminya, kita perlu menelusuri denai-denai sejarah politik Kelantan, setidak-tidaknya bermula dari tahun 1990, ketika PAS kembali merampas negeri itu dari UMNO. Sudah nasib, Mek Ti dan kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari adalah pelanduk yang tersepit di antara dua gajah politik yang berebut untuk membuktikan siapa yang lebih Islam di Kelantan.

Hakikatnya, titik mula pertempuran kuasa antara dua gajah politik di Kelantan boleh dikatakan bermula sejak tahun 1955 lagi. Dalam pilihanraya pertama yang dilangsungkan pada tahun tersebut, UMNO meraih kemenangan besar dengan menguasai seluruh kerusi di Kelantan. Di bawah pentadbiran UMNO, Kelantan dibawa mengikuti garis ideologi kebangsaan parti itu. UMNO bersumpah untuk meletakkan kepentingan Melayu sebagai matlamat utama perjuangannya dan Islam hanya sekadar berada di kerusi belakang. Perkembangan ini sudah tentunya tidak disenangi oleh PAS.

Namun, kedudukan UMNO di Kelantan pada waktu itu tidaklah begitu selesa. Negeri yang majoriti penduduknya adalah Melayu beragama Islam ini turut mengintai PAS sebagai parti politik alternatif kepada UMNO. Malah, ketika Burhanuddin Al-Helmy mengambil alih kerusi presiden PAS dan memandu parti itu ke arah jalan sosialis kebangsaan dengan secubit perisa Islam, sokongan terhadap PAS semakin meningkat. Pada pilihanraya umum tahun 1959, parti Islam itu buat pertama kalinya berjaya merampas Kelantan dan Terengganu.

Walau bagaimanapun, kesan konflik kepimpinan tertinggi PAS di Kelantan yang berlaku di antara Asri Muda yang merupakan penyandang kerusi presiden dan Muhammad Nasir berlarutan sehingga tujuh belas tahun membawa arus baharu. Pada tahun 1977, PAS kemudiannya tewas di Kelantan.

Politik gohek-gostan (tolak-tarik) Kelantan antara penjuru Islam dan penjuru Melayu ini tiba ke puncaknya apabila PAS mula diresapi oleh golongan ulama bermula pada tahun 1982. Perjuangannya adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam. Dengan pengaruh kuat Revolusi Iran pada ketika itu, kelompok ini secara terang-terangan menolak nasionalisme gaya UMNO yang kononnya bertentangan dengan semangat ummah dalam Islam.

Lantas, perbezaan UMNO dan PAS kini menjadi semakin ketara sehingga perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya di negeri Kelantan tidak dapat dielakkan. Kekuatan wajah Islam ini juga telah berjaya mengembalikan Kelantan ke tangan PAS.

Bagi menegaskan lagi perbezaan dengan lawan politiknya, dua tahun selepas berjaya merampas kembali Kelantan pada tahun 1990, PAS seraya memulakan gerak kerja penyucian negeri itu dengan lebih giat. Tindakan paling mudah bagi parti itu untuk menyerlahkan lagi wajah Islamnya adalah dengan mencampuri hal ehwal kehidupan harian rakyat yang diperintahnya.

Pada tahun 1992, kerajaan negeri Kelantan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukan penstrukturan semula kegiatan kesenian, kebudayaan dan hiburan di negeri itu. Mak Yong, seperti dijangka, akhirnya menerima tempias daripada penstrukturan tersebut.

Pemadaman Susur Galur dan Lari Dari Kelantan

Sebenarnya, keluh-kesah dan penentangan oleh ramai penggiat seni dan budaya di Kelantan bertitik tolak dari salah faham parti Islam itu dalam mentafsirkan Mak Yong. Bahkan, ditambah lagi dengan anggapan bahawa pelbagai kesenian lain adalah tidak lebih daripada sekadar hiburan semata-mata. Pandangan sempit sebegini yang akhirnya menyebabkan persembahan tradisional lain seperti wayang kulit (yang dianggap memiliki pengaruh agama Hindu) diharamkan di Kelantan.

Pada tahun 1998, kerajaan Kelantan meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan yang sekali gus mengharamkan kegiatan persembahan kesenian lain seperti mak yong, menora, dan main Puteri. Walaupun larangan ini telah ditarik balik pada bulan September 2019, rundingan itu tentunya memiliki harga tersendiri. Seniman Mak Yong kini perlu mematuhi garis panduan seperti pengasingan antara lelaki dan perempuan serta mewajibkan para penari Mak Yong untuk menutup bahagian tubuh yang dianggap sebagai aurat. Garis panduan yang diperkenalkan ini juga turut menghalang penglibatan perempuan dalam apa sahaja bentuk persembahan.

Dengan hanya menggunakan kod agung halal dan haram, PAS melakukan penyucian secara menyeluruh ke atas segala hal yang dirasakannya sebagai tidak Islamik. Kesannya adalah berlakunya pemadaman terhadap pelbagai bentuk kebudayaan Melayu Kelantan pra-Islam yang sebelumnya sudah lama tersulam dalam masyarakat negeri itu.

Tidak hanya memadamkan segala susur-galur masyarakat, sekatan terhadap kegiatan kebudayaan ini juga dikatakan menjadi alasan perpindahan ramai penduduk Kelantan ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Ibukota merupakan satu lagi Kuala Besut untuk mereka membentuk komuniti baharu seterusnya mengekalkan identiti akibat segala kekayaan seni dan budaya yang terhalang di Kelantan.

Di Kuala Lumpur, anak-anak muda misalnya menubuhkan kumpulan-kumpulan dikir barat sendiri sebagai usaha untuk mengekalkan identiti dan memperkukuhkan rasa hidup bermasyarakat. Begitu juga dengan persembahan Mak Yong.

Namun, sudah tentunya berlaku keciciran dalam proses perpindahan kegiatan dan pemindahan budaya ini sehingga bentuk kesenian Mak Yong di luar Kelantan tidak lagi dikatakan sebagai asli. Di ibukota, Mak Yong hanya menjadi sekadar seni persembahan untuk tujuan komersial dan dipersembahkan di universiti dan acara-acara kesenian dan kebudayaan. Ia juga tidak lagi menjadi sebuah kesenian bawahan yang dianjurkan oleh masyarakat sendiri.

Bagi para penggiat seni dan kebudayaan tradisional Kelantan, tidak ada cara lain untuk mengekalkan keaslian segala bentuk persembahan turun-temurun ini selain daripada terus kekal di tanah asalnya dan berhadapan dengan tekanan pemerintah. Untuk kekal seasli mungkin, sesuatu budaya perlu kembali ke rahimnya, dan tidak lagi terpencar-pencar. Namun, apabila mereka sendiri perlu meratapi kehilangan seorang demi seorang penggiat tanpa ada pengganti, ini pastinya hal yang tidak mudah.

Namun, hal yang tidak mudah seringkali juga menjadikan hal tersebut lebih bermakna. Tidak ada yang lebih berharga, selain makna yang terkandung dalam sesuatu kebudayaan tersebut. Tanpa makna, budaya tiada.



Categories: Rencana

Tags: , ,

1 reply

  1. beautiful, is there a traduction in french? thank you, Claudia Montanari

    Like

Leave a Reply to montanari Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: