Menangani Primordialisme: Malaysia dalam Mencari Politik Baharu

Pengenalan

Pilihan raya Umum (PRU) yang ke 14 telah menzahirkan satu keputusan pilihan raya yang tidak disangka-sangka. Siapa menduga bahawa gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN) akhirnya tumbang di tangan gabungan parti Pakatan Harapan (PH). Kekalahan gabungan BN telah memerintah Malaysia semenjak dari merdeka (dibawah Perikatan sebelum munculnya BN) telah memberikan satu dimensi baru kepada politik Malaysia.

Gabungan BN yang dahulunya begitu kuat, yang didominasi oleh parti UMNO, tetapi akhirnya terpaksa akur bahawa masyarakat Malaysia sebenarnya telah mengalami satu trajektori perubahan sosial yang dipacukan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar pembangunan Malaysia. BN yang dahulunya menjadi parti yang diterima oleh segenap lapisan masyarakat, memacu pembangunan negara dengan begitu pesat sekali, akan tetapi akhirnya gagal memahami soal perubahan masyarakat. BN terutamanya parti UMNO banyak menggunakan kad agama dan etnik untuk mendapatkan sokongan dari rakyat Malaysia, melalui gabungan BN yang terdiri dari parti-parti yang berasaskan etnik.

Sepertimana yang pernah disebut oleh Ratnam (1965) bahawa isu etnik / kaum amat mendominasi kedudukan ekonomi, politik dan masyarakat Malaysia  dan menyatakan bahawa segala yang berlaku di Malaysia akan dikaitkan dengan etnik. Untuk PRU 14 yang telah selesai, isu-isu etnik dan agama telah menjadi antara isu utama dalam kempen menjelang pilihan raya (Walaupun begitu, isu-isu etnik dan agama yang selalu diputarkan setiap kali pilihan raya, ianya tidak menjadi sebagai faktor utama penolakan rakyat terhadap kerajaan BN, kecuali di negeri-negeri “quranic belt” sahaja.

Jika ditinjau kembali sejarah politik negara sejak zaman penjajahan yang banyak dipengaruhi oleh faktor etnik sebagai tunjang utama. Penjajah British, melalui dasar pecah dan perintah (divide and rule) telah menjadi satu faktor utamanya wujud masalah etnik atau perkauman. Dasar tersebut banyak memberikan impak kepada struktur ekonomi dan penempatan masyarakat pada ketika itu.

Kewujudan parti politik juga adalah berdasarkan kepada senario yang sama, di mana pihak penjajah British hanya membenarkan parti-parti yang berbentuk perkauman sahaja yang boleh terus hidup, manakala parti-parti politik yang berdasarkan kepada ideologi lain telah diharamkan penubuhannya.

Senario yang sama juga berlaku selepas kemerdekaan, hanya parti yang berasaskan etnik sahaja yang berjaya mendapat sokongan rakyat. Parti UMNO dan PAS berusaha untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, manakala parti MCA, Gerakan dan DAP pula berusaha memenangi sokongan etnik Cina dan orang India pula melalui parti MIC. Justeru itu, parti-parti yang berasaskan perkauman ini berusaha untuk menonjolkan bahawa parti mereka adalah berusaha untuk membantu dan memperjuangkan nasib bangsa masing-masing.

Sejarah juga menunjukkan bahawa parti-parti yang bukan berbentuk etnik, kurang mendapat sokongan dan bantuan dari masyarakat pelbagai etnik. Contohnya, Barisan Sosialis dalam tahun 1960-an cuba menjadi parti pelbagai etnik, namun akhirnya terpaksa kembali kepada bentuk politik etnik juga.

Manakala di tahun 1990, muncul Gagasan Rakyat sebagai cubaan lain untuk mewujudkan parti berbilang etnik tetapi gagal juga meraih sokongan. Akhirnya hanya pada tahun 1999, munculnya Parti Keadilan yang bersifat multi etnik tetapi akhirnya perlahan-lahan berjaya memecahkan kubu blok etnik dan ternyata lebih berjaya berbanding parti-parti non etnik yang telah ditubuhkan sebelum ini (Jumaat Abd Meon & Yaakop 2000).

Kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya sejak ianya diperkenalkan di Malaysia menjadi bukti manipulasi politik melalui politik etnik, telah diterima oleh rakyat. Pilihan raya sejak dari tahun 1955 sehingga 1995 memperlihatkan kejayaan yang cemerlang kepada gabungan BN. Pilihan raya 1995 dikatakan sebagai satu kejayaan yang paling gemilang yang pernah dicapai oleh BN sejak bermulanya proses pilihan raya di Malaysia (Ahmad & Syarifah Munirah Alatas 1999). BN berjaya memenangi 162 kerusi parlimen daripada 192 kerusi yang dipertandingkan.

Secara jelasnya, politik Malaysia adalah politik berasaskan etnik, dan begitu juga jika dilihat kepada isu-isu yang timbul dan cara menanganinya juga adalah berdasarkan kepada persoalan etnik. Pemerintah berjaya memanipulasi kelebihan ini dan menggambarkan sebagai satu bentuk politik yang diterima oleh rakyat Malaysia, disamping slogan untuk mengekalkan keharmonian antara etnik yang berlaku selama ini.

Jumaat Abd Meon & Yaakop (2000) menyatakan bahawa terdapat 3 faktor utama yang menjadikan etnisiti masih relevan dalam konteks politik Malaysia iaitu pertamanya soal perbezaan budaya politik dan kepentingan masyarakat yang berbeza antara Melayu dan bukan Melayu, keduanya bentuk sistem parti yang berasaskan gabungan dalam BN yang menjadi payung kepada parti-parti politik yang mewakili etnik tertentu dan ketiganya kesedaran bahawa pentingnya isu perkauman dieksploitasi sebagai strategi pilihan raya.

Akan tetapi, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tanggal 2 September 1998 telah memulakan satu episod baru dalam politik Malaysia. Shamsul (2001) menyatakan bahawa di samping politik perkauman yang telah lama bertapak kukuh di negara ini di mana:

“A new one based on variety of interest orientations, beyond class and ethnicity”.

Hujahnya lagi bahawa mood baru politik negara adalah bersesuaian dengan penyataan bahawa:

“…its origin could be traced to a set of broader global circumstances, involving all ethnic groups and classes in Malaysia, and somewhat internationalist orientation”.

Perubahan dalam bentuk politik etnik kepada bentuk politik baharu Malaysia itu, sebenarnya boleh dijelaskan jika dilihat kepada perubahan masyarakat yang berlaku di Malaysia. Pembangunan ekonomi yang mendadak 20 tahun kebelakangan ini (iaitu sebelum berlakunya kegawatan ekonomi tahun 1997-98), telah mengubahsuaikan struktur masyarakat Malaysia termasuk mewujudkan satu kelas menengah terpelajar baru yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Ekoran itu, budaya politik Malaysia juga mengalami perubahan yang banyak. Pada masa dahulu, budaya politik ini didominasi oleh wacana dan amalan politik berdasarkan kaum ataupun etnikisme (ethnicism) tetapi kini muncul wacana dan amalan politik yang lain. Antara dua bentuk wacana dan amalan yang baru adalah “developmentalisme” (developmentalism) dan “demokrasi berpartisipasi” (participatory democracy) (Abdul Rahman Embong 2000 & Wah 2005:2)

Perubahan budaya politik yang berlaku dikatakan sebagai satu perubahan dari budaya politik lama (old politics) kepada budaya politik baru (new politics) (Shamsul 2001). Manakala Rustam A. Sani (2000) menjelaskan bahawa budaya politik lama adalah berasaskan prinsip dan gaya perjuangan parti-parti politik tradisional dengan ideologi yang terbentuk oleh pengalaman sejarah lama, baik kolonialisme, ataupun penindasan kelas mahupun percaturan politik perkauman.

Perubahan budaya politik yang berlaku ini secara tidak langsungnya adalah berpunca dari pengaruh globalisasi yang melanda dunia kini. Jika dilihat dari struktur perubahan konsep pembangunan dalam dunia, terdapat pelbagai perubahan-perubahan dari segi pola dan dimensinya. Secara jelas, ianya boleh dilihat dari jadual dibawah.

Isu Etnik dan Agama sebelum PRU 14

Bagaimanapun, pemerhatian kepada isu-isu sebelum PRU 14 juga memperlihatkan bahawa isu-isu etnik dan agama seringkali menjadi sesuatu soal yang amat dititikberatkan terutamanya oleh pengundi Melayu. Pencalonan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan Pakatan Harapan berjaya memenangi PRU 14 ternyata memberikan impak besar kepada pengundi Melayu.

Persoalan “the Guardianship of the Malay” telah berjaya diselesaikan oleh PH dan akhirnya ternyata ianya telah menjadi satu faktor yang amat mempengaruhi kemenangan PH dalam PRU 14. Tun M juga telah berjaya meredakan isu kebimbangan orang Melayu terhadap pengaruh DAP. Satu situasi yang amat jelas bahawa PH semacam membekukan kemunculan pemimpin utama DAP iaitu Lim Kit Siang, yang mana beliau seringkali dilabelkan sebagai komunis dan anti Melayu sejak dahulu lagi, Strategi tersebut ternyata berjaya mengurangkan kebimbangan orang Melayu terhadap DAP.

Strategi PH dibawah strategi Tun Mahathir akhirnya berjaya membawa gelombang tsunami Melayu. Sebelumnya, Merdeka Centre telah menyebut bahawa PH perlu mengatasi batasan 34 peratus untuk memperoleh kuasa di peringkat Persekutuan. Kumpulan pemikir tersebut mendapati sokongan Melayu terhadap pakatan pembangkang ketika ini berlegar di sekitar 20 peratus di peringkat nasional dan ketika ini, hanya Selangor melepasi garisan itu (Rujuk Berita Harian, April 2018). Beberapa slogan yang berbunyi “ Janji Bukan BN”, juga “Rakyat Akan Buang UMNO” kuat dimainkan untuk menarik perhatian para pengundi.

Isu Etnik dan Agama Pasca PRU14

Kemenangan PH dalam PRU 14 telah menyaksikan perubahan kuasa di peringkat kerajaan persekutuan telah berlaku. Justeru itu, pasca PRU 14 telah memperlihatkan bahawa isu-isu etnik dan agama telah digunakan kembali, lantaran beberapa keputusan penting yang dibuat oleh kerajaan baharu yang tidak disenangi oleh parti pembangkang yang baharu di Malaysia. Dasar kerajaan baharu PH yang lebih inklusif,, dilihat sebagai satu ruang yang boleh melemahkan hak-hak orang Melayu / Bumiputera di Malaysia.

Tambahan lagi bila dilihat komposisi kerusi yang dimenangi dalam gabungan PH, yang dilihat bahawa kerusi Melayu agak lemah berbanding semasa gabungan BN menguasai kerajaan. Jika dilihat, DAP yang dianggap parti cina mempunyai kerusi yang agak besar berbanding dengan parti-parti lain dalam komponen PH. Justeru itulah, pakatan parti pembangkang mendengangkan lagu bahawa komponen PH dikuasai oleh parti DAP.

Hal ini jelas, jika dilihat kepada ucapan MP Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam kempen pilihan raya Sungai Pinang dengan menyebut:

“Orang Kristian sudah mengambil alih, take over kuasa Putrajaya dan negeri-negeri yang saya sebut tadi. Betul memang betul.Sekarang ini menteri-menteri, tengok. Lim Guan Eng tu Kristian, Anthony Loke Kristian, Tony Pua Kristian, Hannah Yeoh Kristian. Teresa Kok – Khalid Samad marah apabila saya kata Teresa Kok ini satu-satu perempuan yang ada ‘kok’.”

Beliau juga menyebut bahawa DAP menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk mengembangkan ajaran Kristian:

“Nama-nama yang saya sebut ini mereka ini pengembang agama Kristian. Mereka ini pengembang agama Kristian.Kita kena waspada. Dalam dia berpolitik, dia menggunakan platform politik untuk mengembang, menyebar agama Kristian.” 

Datuk Tajuddin juga menyebut DAP berkuasa dalam HARAPAN di sebalik keputusan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP suatu hari nanti akan berusaha untuk menghapuskan raja-raja Melayu dan menjadikan Malaysia sebuah republik. “Beberapa hari nanti kalau boleh mereka nak hapuskan raja-raja Melayu”. “Mereka nak tubuhkan satu sistem pemerintahan seperti Singapore, tak ada raja tak ada sultan, tak ada Yang di-Pertuan Agong. “Sistem republik — iaitu ketua negara terdiri daripada siapa sahaja — boleh jadi Melayu, Cina, India,”

Antara isu-isu yang melibatkan etnik dan agama yang seringkali disebut-sebut ialah mengenai perlantikan Lim Guan Eng Sebagai Menteri Kewangan, perlantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang bukan Islam, perlantikan Liew Vui Keong sebagai Menteri yang menjaga hal-ehwal perundangan, ura-ura pemansuhan JAKIM, isu pengiktirafan kerajaan PH terhadap golongan LGBT, isu MARA. Isu kematian Adib, Isu Sajat  dan sebagainya.

Isu Etnik dan Agama Pasca Kejatuhan Kerajaan PH

Kejatuhan kerajaan PH setelah perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan keluarnya parti PPBM dari PH telah membawa dimensi baharu dalam politik Malaysia yang awalnya dinyatakan sebagai lahirnya kerajaan Melayu Islam. Penjenamaan demikian telah dikritik oleh Presiden MCA, Wee Ka Siong dengan menyatakan “…Saya tidak mahu dengar selepas ini orang kata, ini kerajaan Melayu Islam”. (Malaysiakini, 15 Mac 2020)

Setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, isu etnik dan agama tidak lagi menjadi isu yang hangat dibicarakan dalam media sama ada media sosial dan media cetak. Pelbagai pandangan diberikan mengenai soal tersebut dan antara yang sinis menyebut bahawa isu etnik dan agama semakin kurang dibicarakan kerana pembicaranya sudah menjadi kerajaan dan segala hasratnya sudah tercapai.

Kini, pihak pembangkang pula memainkan semula suara-suara lama yang didendang oleh parti PAS dan UMNO sebelumnya, menyindir bahawa bila RUU355 hendak dibentangkan? Masih ada pemandu mabuk rupanya selepas PH tidak lagi menjadi kerajaan, isu Adib sudah selesaikah, bukankah Presiden PAS menyebut bahawa jika PAS jadi kerajaan, sudah pastinya isu Adib akan dapat diselesaikan, isu Sajat dan pelbagai isu lagi. Ianya kini menjadi senjata makan tuan buat pemerintah kini.

Saya melihat bahawa isu-isu etnik dan agama telah dimainkan dan dimanipulasikan oleh pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan pilihan raya dan juga oleh pihak yang telah kehilangan kuasa memerintah. Justeru itu, parti pembangkang baharu mulai  mempersoalkan perlaksanaan 10 janji-janji yang telah disebut dalam manifesto PH dan juga mulai menggunakan sentimen agama dan etnik untuk mengkritik  kerajaaan yang memerintah. Saya juga melihat bahawa isu etnik dan agama menjadi kurang dibicarakan dalam kerajaan PN, bahkan dilihat kenyataan kenyataan parti PAS dan UMNO kini menjadi senjata makan tuan dalam membicarakan isu-isu terkini politik Malaysia.

Saya menghujahkan juga bahawa, dalam situasi kini, sentimen primordial masih banyak mendominasi ekonomi dan politik Malaysia, walaupun elemen tersebut mulai terhakis selepas era modernisasi dan kewujudan kelas menengah. Bangsa sivik mulai mencairkan kad etnik dan agama melalui proses modenisasi yang berlaku, dimana pembicaraan soal ketelusan, rasuah, governan yang baik kini mulai diberi perhatian oleh rakyat terutamanya kepada golongan kelas menengah, Namun bagitu, dalam banyak situasi politik Malaysia dari dulu sehingga kini, kad agama dan kad etnik akan terus menjadi senjata ampuh dalam mengalahkan musuh politik dalam pilihan raya.

Kesimpulan

Elemen primordial, dalam hal ini ialah etnik dan agama, hakikatnya masih lagi mencengkam kuat dalam masyarakat Malaysia, terutamanya di kalangan orang Melayu, walaupun proses modernisasi telah berjaya merubah masyarakat Malaysia. Elemen tersebut tetap kuat kerana ianya telah menjadi satu legal binding dalam perlembagaan Malaysia.

Menjelang PRU 14 menunjukkan bahawa isu-isu utama yang menjadi perhatian utama rakyat Malaysia adalah isu-isu yang berkait rapat dengan soal ekonomi terutamanya kos sara hidup, kenaikan harga barang dan cukai GST. Isu 1MDB pula terkait dengan persoalan salah guna kuasa dan penyalahgunaan kewangan negara. Isu-isu etnik dan agama tidak begitu memberikan kesan kepada masyarakat, sehinggalah pasca PRU 14. Oleh itu, saya melihat bahawa isu-isu etnik dan agama hanyalah sebagai pemangkin untuk kembali mendapatkan sokongan pengundi selepas kekalahan dalam pilihan raya.

Satu persoalan penting yang perlu diberi perhatian ialah apakah bentuk baru masyarakat Malaysia, terutamanya kepada etnik Melayu. Apakah ianya adalah dalam bentuk Melayu baru atau politik baru. Justeru itu, garisan etnik perlu diberi perhatian utama dalam memberi nafas baru kepada bentuk masyarakat baru di Malaysia kini.

Rujukan:

 Abdul Rahman Embong. 2000. Negara-Bangsa dalam Arus Globalisasi. Dlm.  Othman (pnyt.) & Mandal (pnyt.). Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau Mangsa, hlm.71–82. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad, Z. H. & Syarifah Munirah Alatas. 1999. Malaysia: in an Uncertain Mode. Driven by Growth: Political Change in the Asia-Pacific Region, hlm.177–196. Columbia University.

Anderson, B. 1991. Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism. Verso. doi:10.4324/9780203358672_Imagined_communities

Banton, M. 2007. Max Weber on “ethnic communities”: A critique. Nations and Nationalism, 13(1), 19–35. doi:10.1111/j.1469-8129.2007.00271.x

Case, W. 1999. Politics beyond Anwar: What’s new? Asian Journal of Political Science, 7(1), 1–19. doi:10.1080/02185379908434134

Jumaat Abd Meon & Yaakop, M. R. 2000. Politik Etnik dalam Pilihan raya Malaysia.

Mansor Mohd. Noor. 2010. Hubungan Melayu dan Cina di Malaysia Masa Kini: Buta dengan Perubahan Realiti Sosial Negara. Jurnal Demokrasi, 9(2), 185–207.

Nor Azizan Idris. 2005. Etnisiti Dan Ideologi Dalam Hubungan Malaysia-China. Dlm.  Daud (pnyt.) & Zarina Othman (pnyt.). Politik dan Keselamatan, hlm.115–145.

Rustam A. Sani. 2000. Globalisasi, krisis ekonomi dan politik 1998. Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau Mangsa, hlm.23–45. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shamsul, A. B. 1996a. The construction and Transformation of a Social ldentity : Malayness and Bumiputeraness Re-Examined. Journal of Asian and African Studies, (52), 15–33.

Shamsul, A. B. 1996b. Nations-of-Intent in Malaysia. Asian Forms of the Nation, 323–347.

Shamsul, A. B. 1999. Consuming Islam and Containing the Crisis : Religion, Ethnicity and the Economy in Malaysia. Southeast Asian-Centred Economies or Economics.,.

Shamsul, A. B. 2001. The Redefinition of Politics and the Transformation of Malaysian Pluralism. Dlm.  Robert W. Hefner (pnyt.). The Politics of Multiculturalism: Pluralism and Citizenship in Malaysia, Singapore, and Indonesia,. University of Hawai’i Press Honolulu.

Shamsul Amri Baharuddin. 2016. Sejarah Untuk Semua: Antara Fakta, Tafsiran dan Pandangan Umum. Bil 8/2016.

Shazlin Amir Hamzah. 2016. Penjenamaan Bangsa: Lagu-Lagu Patriotik Popular dan Pembentukan Jenama Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wah, F. L. K. 2005. Politik Baru di Malaysia. Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor USM,. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/18/penganalisis-isu-kaum-agama-tak-berkesan-untuk-bn-lagi/

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/antara-pru-calon-dan-rakyat-1.649394

http://www.kosmo.com.my/jurnal/pasca-pru-14-medan-polemik-agama-kaum-dan-bahasa-1.708711

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/461758/bahasa-hak-istimewa-melayu-dipertahan).

Berita Harian, April 2018, https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/04/418615/lima-perkara-mengenai-pru-14

http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/mustahil-mb-bukan-melayu-1.49275

Malaysiakini, 15 Mac 2020, https://www.malaysiakini.com/news/514748



Categories: Makalah

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: