Melawan Kemiskinan: Kegagalan Dasar Kemajuan Pembangunan

Pengenalan

Sejak negara mencapai kemerdekaan dari tahun 1957 hingga tahun 2020 kini, pelbagai dasar-dasar pembangunan telah dilaksanakan dan disediakan oleh pihak kerajaan. Bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang menekankan dua tujuan iaitu mengurang dan membasmi kemiskinan dengan memperbanyak peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Kemudian sepuluh tahun seterusnya, Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) menjadi matlamat utama kerajaan dalam memupuk masyarakat yang bersatu padu bagi memperkukuh kestabilan sosial dan politik termasuklah mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan serta menjadi negara maju dan mengukuhkan keadilan sosial nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil dan kecemerlangan ekonomi.  

Dasar Wawasan Negara (2001-2010) pula menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas. Hasrat dasar ini mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur yang dapat hidup dalam suasana harmoni dengan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh negara untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri. Dalam dasar ini penekanan juga diberikan bagi membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing serta masyarakat yang bersatu padu dan saksama. Diikuti dengan Model Ekonomi Baru (2010-2020) yang dipecahkan kepada dua fasa. Model ini memberi tumpuan utama kepada peningkatan produktiviti pekerja yang bermatlamat dalam membantu meningkatkan pendapatan mereka. Berikutan daripada liberalisasi perdagangan dan terpaksa bersaing dalam dunia global, model ini bertujuan untuk menganjakkan kedudukan ekonomi Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi. Perubahan politik negara telah membawa kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan tiga objektif iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Berdasarkan daripada kesemua dasar-dasar di atas, pola yang ketara dan berterusan saban tahun adalah membasmi kemiskinan serta meningkatkan kemajuan dalam menaikkan status Malaysia ke negara maju. Dasar-dasar negara dirancang bagi memastikan ekonomi negara tumbuh selaras dengan kemajuan pembangunan. Melalui proses-proses yang terlibat, perindustrian, pemodenan serta pembandaran sudah semestinya memberi perubahan ketara kepada struktur sosial dan ekonomi masyarakat setempat.

Takrif

Umum mengetahui pembangunan di Malaysia kian rancak terutama sepuluh tahun kebelakangan ini. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.5% pada suku pertama 2019 berdasarkan Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia. Perihal pembangunan seringkali dikaitkan dengan pembentukan dan pengembangan bandar. Di dalam Buletin Perangkaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) setakat Banci 2010, bandar didefinisikan sebagai kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk 10,000 orang atau lebih. Menurut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk bandar telah meningkat iaitu 77.6% setakat 2018 berbanding hanya 61.8% pada tahun 2000. Kepadatan penduduk di kawasan bandar berubah sebanyak 15.8% sejak tahun 2000 hingga 2018.

Berikutan daripada kepesatan pembangunan, pembandaran terus berlaku. Di sini kita dapat melihat bahawa kehidupan bandar atau urbanisme sudah menjadi cara hidup dan unsur penting dalam peradaban masyarakat di Malaysia. Pembandaran telah menyebabkan migrasi desa-bandar berlaku iaitu situasi di mana golongan penduduk luar bandar berhijrah ke kawasan bandar. Dahulunya penduduk bandar kebanyakannya adalah kaum Cina, kesan daripada pemerintahan kolonial suatu ketika dahulu. Namun, pelaksanaan beberapa dasar-dasar berkaitan pembangunan negara telah meningkatkan bilangan kaum Melayu dan India dalam pentadbiran dan pengurusan (Abdul Rahman, 1996;2002). Apabila saban tahun proses ini berlaku, ia mengubah corak bandar kepada ‘masyarakat majmuk’ (Abdul Rahman, 2011) yang seterusnya membawa kepada perubahan demografi penduduk.

Perihal ini juga menunjukkan kepada kita kenaikan bilangan kelas menengah di kawasan bandar. Salah satu yang jelas adalah pengembangan masyarakat kelas menengah atasan. Golongan kelas menengah atasan rata-ratanya bekerja dalam sektor tertiari iaitu pelbagai jenis perkhidmatan (Abdul Rahman, 2011). Mereka ini adalah golongan profesional, teknikal, pengurus dan pentadbir. Trend ini membawa kepada kemerosotan kelas desa dan juga kelas pekerja (Ibid). Kawasan baru yang bersifat urban dan moden menjadikan golongan kelas pekerja (kebanyakannya adalah golongan B40) tidak dapat bertahan untuk terus tinggal di kawasan sekitar pembangunan baru. Hal ini adalah disebabkan perubahan permintaan pendapatan yang lebih tinggi ini, menjadikan struktur perniagaan disekitarnya tidak lagi berkhidmat kepada golongan berpendapatan rendah (Atkinson, 2004). Kos sara diri sangat menekan berikutan pembelian barangan asas menjadi lebih mahal. Ditambah pula dengan keadaan negara yang menuju masyarakat tanpa tunai dan kemajuan teknologi yang bakal mengurangkan tenaga kerja manusia. Semua ini menjadikan kebanyakan mereka terus kekal dalam buih yang tidak akan meningkatkan taraf hidup, hanya sekadar peralihan perkhidmatan langsung daripada kemajuan teknologi yang ada.

Modeniti Kedua

Manifestasi kepada perihal pembangunan sering terkait negara harus berubah daripada segala perkara tradisional kepada perkara terkini yang bersifat moden dan maju. Teori modernisasi yang mana negara membangun harus mengikuti kemajuan yang ada seperti negara maju telah lama menapak dalam pemikiran pemimpin dan masyarakat kita hari ini. Oleh sebab itu, idea untuk maju dalam hidup boleh diperoleh dengan berpindah ke bandar. Hal ini adalah kerana bandar adalah tempat akses hidup manusia mudah di dapati dan di miliki. Kemajuan pembangunan mewujudkan bandar-bandar yang menjanjikan mereka yang berada di kelas bawahan mampu mengubah dan menaikkan taraf hidup. 

Suasana seluruh dunia kini melangkah ke fasa modeniti, di mana satu sikap terhadap dunia terbentuk iaitu sikap terbuka kepada transformasi melalui intervensi. Fasa modeniti ini tidak lari daripada empat aspek, antaranya adalah kapitalisme, industrialisasi, kapasiti pengawasan dan kekuasaan ketenteraan. Ulrich Beck dengan teori modeniti kedua (second modernity) melihat institusi moden berubah menjadi global yang mana kehidupan harian dipecahkan daripada berpegang kepada tradisi dan budaya. Menurut Beck lagi, manusia pada zaman ini terdedah kepada risiko. Ekoran daripada kemajuan teknologi, sepertinya risiko menjadi sukar untuk ditentu kehadirannya akan tetapi tetap berubah mengikut keadaan masyarakat.  Risiko ini akan mengubah banyak hal dalam kehidupan kontemporari hari ini, misalnya, perubahan pola pekerjaan, penjaminan dalam pekerjaan malah hingga mempengaruhi tradisi dan budaya. Beck menulis di dalam bukunya Risk Society: Towards a New Modernity menyatakan:

“Just as modernization dissolved the structure of feudal society in the nineteenth century and produced the industrial society, modernization today is dissolving industrial society and another modernity is coming into being.”

Modenisasi hari ini menuju artificial intellgence dalam pelbagai perkhidmatan perlahan-lahan menenggelamkan masyarakat industri. Hal ini boleh dibuktikan sekitar tahun 2015, fenomena sektor-sektor perkhidmatan yang ada terpaksa membuang segolongan besar pekerja, bukan sahaja di Malaysia, malah kebanyakan tempat di dunia. Sudah semestinya pengaruh globalisasi yang membawa kepada peralihan ‘gig economy’ sebagai pekerjaan segera dan sementara buat mereka yang menganggur atau graduan baru. Ibaratnya bukanlah satu masalah anak muda yang berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pendidikan malah dengan kelulusan sarjana muda dalam bidang profesional sekalipun terpaksa menampung hidup dengan menjadi pemandu Grab, asalkan mereka terus berusaha (serta tidak mengharapkan bantuan kerajaan).Keadaan di bandar yang kononnya menjanjikan peningkatan sara hidup hanya tinggal janji palsu.

Globalisasi dan Ekonomi Neo-Liberalisme

Realitinya pada hari ini, masyarakat berada dalam kepesatan dan kerancakkan ekonomi berlangsung daripada keberhasilan globalisasi. Proses ini melibatkan penyusunan dan penggunaan kuasa di peringkat global di mana akan memberi implikasi terhadap hubungan kuasa termasuklah ekonomi yang tidak sama rata. Globalisasi bermakna interkasi dan kebergantungan dengan dunia luar terjalin. Semua ini mengukuhkan lagi kebergantungan ekonomi dan pembangunan di Malaysia dengan negara maju yang mendominasi dunia hari ini seperti Amerika dan China.

Masyarakat di dunia sedang dikembangkan dengan jaringan informasi dan komunikasi teknologi. Teori yang diperincikan oleh Manuel Castells ini memperlihatkan bagaimana manusia kini bergerak dari era perindustrian kepada era informasi. Komunikasi yang berlaku dalam jaringan ini dihubungkan melalui nod yang pelbagai dimensi dan arah malah ia juga tidak terhad kepada masa ataupun ruang. Semua ini dapat dilihat dengan kemajuan teknologi dan peralatan canggih. Kesannya, masyarakat tidak perlu untuk berpaut pada sesuatu ruang geografi atau negara lain tetapi hanya melalui komunikasi dan pengaliran maklumat. Berikutan daripada efisiennya jaringan yang terbentuk tanpa pemusatan komunikasi ianya telah mendahului struktur hierarki dan birokratik.

Menurut Castells, teori ini membolehkan individu, perbadanan, organisasi dan negara-bangsa mencapai hasrat mereka dengan lebih jauh, mudah dan cepat. Polarisasi sosial yang berlaku membawa kepada pemisahan dalam masyarakat yang mungkin timbul daripada ketidaksamaan pendapatan, turun naik nilai hartanah, anjakan ekonomi dan lain-lain dan mengakibatkan perbezaan seperti itu memberi impak kepada pelbagai kumpulan sosial, dari yang berpendapatan tinggi hinggalah yang berpendapatan rendah (Frank & et.al, 2003). Ia adalah keadaan atau kecenderungan yang menunjukkan pertumbuhan kumpulan-kumpulan di peringkat bawah hierarki sosial dan penyusutan kumpulan-kumpulan di sekelilingnya (Caves, 2004). Globalisasi telah menyumbang kepada kemakmuran dan pertumbuhan yang besar bagi para elit di kebanyakan bandar. Kekuatan globalisasi yang paling kuat yang telah mengkonfigurasikan hubungan kelas dengan kemunculan dan pengembangan syarikat transnasional yang mana hal ini akan melancarkan proses-proses penghalangan modal tempatan untuk terus berkembang (Abdul Rahman, 2000). Teori jaringan masyarakat (network society) yang dibawa Castells tentunya membantu kapitalis untuk mudah mengembangkan ekonomi di peringkat negara dan global melalui kecepatan informasi bergerak.

Tidak dilupakan juga keberhasilan globalisasi hari ini disokong kuat dengan struktur politik dan ekonomi yang berpegang teguh kepada neoliberalisme. Jelas sekali, neoliberalisme tidak mahu agenda mereka ada campur tangan daripada kerajaan kerana ia percaya bahawa intervensi tersebut memalitkan ketidakcekapan dan genangan (stagnation) kepada pasaran dan perdagangan bebas. Neoliberalisme menolak regulasi industri, cukai yang tinggi dan perkhidmatan awam demi melindungi harta persendirian melalui polisi dan penguatkuasaan undang-undang. Penggerak utama ideologi ini melihat pasaran dan perdagangan bebas adalah asas kepada pengembangan manusia dalam mewujudkan keadaan untuk kebebasan individu, peningkatan pekerjaan, inovasi teknologi termasuklah kolaborasi transnasional dalam mempromosi keamanan dan kemakmuran global. Kemasukan pelabur asing dan peningkatan syarikat-syarikat transnasional bertapak di negara juga bukan sahaja setakat memberi kebaikan ekonomi dan peluang pekerjaan semata-mata seperti yang dicanangkan penggerak neoliberalisme, akan tetapi realitinya gentrifikasi di bandar-bandar untuk memenuhi ‘permintaan global’ memberikan impak terhadap sosio-ekonomi rakyat golongan bawahan. Antara sedar atau tidak, kepesatan ekonomi neoliberalisme serta globalisasi berlaku dengan rancak memberi impak kepada ketidaksamaan sosial dan ekonomi.

Kesenjangan Ekonomi

Hampir satu dekad yang lalu, kebimbangan mengenai ketidaksamaan ekonomi telah ditolak sebagai tidak masuk akal dan tidak relevan kepada analisis ekonomi dan juga dalam pembentukkan dasar. Ketidaksamaan tidak dianggap bermasalah untuk pembangunan ekonomi, sementara pula dasar awam hanya memberi tumpuan kepada pengurangan kemiskinan semata-mata. Selagi kemiskinan merosot, tidaklah penting bahawa ketidaksamaan semakin meningkat, di mana hal ini sepatutnya dipertikaikan (Anis & Jomo, 2018).

Apabila kebanyakan daripada mempunyai gaji melebih RM 2000 ke atas, kos sara hidup di kawasan berkenaan akan meningkat. Di dalam temubual mendalam bersama-sama informan kajian yang dilakukan Abdul Rahman Embong (2011), kita akan mendapat gambaran bagaimana kebanyakan kelas menengah bawah berusaha untuk melangsungkan kehidupan mereka di bandar. Rata-rata mereka akan menghadapi masalah dalam mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal. Bagi golongan ini, tekanan yang harus ditempuhi adalah kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang diperoleh masih berada ditakuk yang sama seperti tahun-tahun lalu. Pembinaan kawasan rumah kos rendah juga yang berjumlah antara RM 25,000 hingga RM 42, 000 seunit (bergantung kepada kawasan dan setakat kajian oleh Abdul Rahman pada 2011) masih tidak dapat membantu golongan menengah kelas bawah yang bergaji sekitar RM 1500 dan ke bawah. Isu berkaitan rumah kos rendah juga kebanyakan telah didiami dan dimiliki oleh mereka yang berkemampuan, berikutan daripada trend anak muda membeli rumah untuk disewakan dengan kadar yang tinggi. Di tambah pula, kebanyakan pemaju kini hanya mahu membina perumahan tinggi mewah bagi memperoleh keuntungan ke atas pelaburan yang dibuat (Nooriah, 2019).

Kekurangan perumahan murah menyebabkan persetingganan akan terus berlaku. Kemiskinan yang melanda kebanyakan mereka menjadikan masalah tempat tinggal ini adalah perkara utama yang susah hendak diselesaikan. Masalah persetingganan di Bandaraya Kuala Lumpur sebagai menyebabkan masalah kemiskinan bandar semakin bernanah dan membarah. Pada awal semasa migrasi desa-bandar berlaku, mereka berhasrat mengubah gaya hidup memandangkan kehidupan di luar bandar sangat susah. Namun, oleh kerana taraf pendidikan yang rendah, menyebabkan mereka tidak mampu untuk terus bersaing dan terus-terusan bekerja sebagai pekerja kilang, atendan pejabat, pemandu dan sebagainya (Abdul Rahman, 2011). Berdasarkan tinjaun yang dilakukan di Kampung Pantai Dalam adalah didapati seramai 91.2% adalah mereka yang datang dari luar bandar (Abdul Rahman & et.al, 2011). Rata-rata mereka merupakan penganggur atau tiada pekerjaan tetap.

Peningkatan nilai hartanah mungkin baik untuk pemilik dan pemaju tetapi tidak baik untuk isi rumah miskin yang cuba membeli rumah di kawasan tersebut. Kesan yang sama ada dibangkitkan dalam kajian gentrifikasi di Britain dalam menangani kehilangan penginapan yang berpatutan di pusat London. Di bandar-bandar lain, seperti Washington, kehilangan perumahan yang mampu dimiliki dijangka mewujudkan masalah yang melampau bagi pekerja perkhidmatan yang dibayar rendah (Atkinson, 2004). Dalam konteks negara-negara membangun, masalah perumahan adalah lebih kuantitatif daripada kualitatif disebabkan kadar urbanisasi yang tinggi dan jurang yang luas antara permintaan dan bekalan rumah (Ibid).

Nyatanya di sini, kesenjangan antara dua kelas golongan atasan dan bawahan telah mewujudkan jurang ekonomi yang besar (Muhammed Abdul Khalid, 2014). Pelaksanaan dasar yang mengutamakan golongan berkepentingan (pemodal – sama ada syarikat transnasional atau ahli perniagaan elit) mewujudkan pembangunan di setiap ceruk bahagian di bandar. Pemikiran yang masih tersendat dan satu hala bahawa pembangunan hanya melibatkan pembinaan pencakar langit yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan demi memenuhi permintaan dunia luar, malah disulam dengan neoliberalisme yang perlahan-lahan merangkak masuk ke sekitar perkhidmatan awam menyerlahkan lagi ketidaksamaan ekonomi. Ini adalah malapetaka jika dibiarkan berjalan tanpa meneliti semula kesan-kesan yang menimbul. Kesenjangan terus berlaku, yang kaya akan terus kaya (dek peluang yang diterima di peringkat global dan dalam negara) manakala golongan bawahan akan terus kekal ditampuk sama, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di tambah pula tekanan peluang pekerjaan yang tidak menentu, rumah yang tidak mampu dimiliki, kos sara hidup yang tinggi termasuklah hutang-hutan dan bil-bil yang perlu dilunaskan saban hari.

Soalnya, apakah ada jalan keluar buat permasalahan yang timbul? Ulrich Beck menyatakan bahawa modeniti hari ini sudah bergerak jauh. Negara-negara tidak akan terlepas daripada ikatan globalisasi. Apa yang dicadangkan Beck, masyarakat hari ini boleh menjangkakan (mengira) risiko yang mendatang. Solusi harus bergerak ke arah sana. Misalnya sekarang, perihal gaji kelas pekerja bukan lagi berkisar gaji minimum. Akan tetapi boleh dijangka dan dikira berdasarkan taraf hidup mereka dan penyelesaian ini harus ditekankan kepada ‘living wages.’ Bukan itu sahaja, sudah terang lagi bersuluh, hidup masyarakat hari ini dihimpit dengan anasir-anasir yang berada diluar kawalan mereka – sistem kapitalisme. Strukturnya harus bergerak sama dalam mengurangkan kesenjangan yang ada. Kawalan terhadap liberalisasi ekonomi perlu diambil perhatian. Sudah tiba masanya ‘tax the richest’ perlu dilakukan termasuklah pembahagian kekayaan boleh dilaksanakan dengan syarat bagasi sejarah sejak zaman kolonial perlu diselesaikan secara berperingkat. Tidak dilupakan pendidikan hari ini harus dirombak bukan hanya menjanjikan pekerjaan akan tetapi pengajaran yang mampu membentuk pemikiran kritis dan kritikal. Kemajuan pembangunan dengan membentuk bandar-bandar dan pencakar langit tidak bermakna tanpa pembangunan manusia. Menutup dengan kata-kata Amartya Sen yang membentuk teori pembangunan manusia dalam laporan UNDP 2011:

“Human development, as an approach, is concerned with what I take to be the basic development idea: namely, advancing the richness of human life, rather than the richness of the economy in which human beings live, which is only a part of it.”

Rujukan:

Abdul Rahman Embong. 1996. Social Transformation, the State and the Middle Classes in Post-independence Malaysia. Southeast Asian Studies (Kyoto University) 34(3): 56-79.

Abdul Rahman Embong. 2000. Globalization and Transnational Class Relations: Some Problems of Conceptualization. Third World Quaterly 21(6): 989-1000.

Abdul Rahman Embong. 2002. State-led Modernization and the New Middle Class in Malaysia. Basingstoke: Palgrave.

Abdul Rahman Embong. 2011. Pembandaran dan Kehidupan Bandar di Semenanjung Malaysia. Akademika (Universiti Kebangsaan Malaysia) 81(2): 23-39.

Abdul Rahman Embong, Hairi A., Rajmah A.S., Abdul Samad A.H., Ishak S. & Toh K.W. 2011. Laporan Akhir Projek Penyelidikan Antara Fakulti yang Bertemakan Pembandaran di Kalangan Kelas Bawah di Kuala Lumpur. Akademika (Universiti Kebangsaan Malaysia) 81(2): 103-107.

Anis Chowdhury & Jomo, K.S. 2018. Inequality and Its Discontents. Society for International Development.

Atkinson, R. 2004. The Evidence on the Impact of Gentrification: New Lessons for the Urban Renaissance? European Journal of Housing Policy 4(1): 107-131.

Frank, M., Swyngedouw, E. & Rodriguez, A. 2003. The globalized city: economic restructuring and social polarization in European Cities. London: Oxford University Press.

Muhammed Abdul Khalid. 2014. The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia. Kuala Lumpur: MPH Publishing.

Nooriah Yusof. 2019. Faktor Penyumbang kepada Tekanan Perumahan di Kawasan Perumahan Kos Rendah dan Sederhana Rendah di Pulau Pinang. KEMANUSIAAN 26(1): 143-171.



Categories: Makalah

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: