BLM di Malaysia: Paradoks Kaum Progresif

Meskipun debat di media sosial dalam menanggapi isu gerakan Black Lives Matter (BLM) di Malaysia sudah jarang lagi kedengaran gaungnya, tetapi rentetan peristiwa yang berlaku sebelum dan selepas itu saling berkait dan tetap penting untuk dibincangkan.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa pembatalan ucapan Azly Rahman yang dianjurkan oleh Gerak Budaya dan isu kontroversi yang berlegar di seklilingnya hanya merupakan sebuah insiden biasa dan reaksi yang ditimbulkan hanya bersifat spontan pula. Namun sebenarnya di sebalik itu, ia berkait rapat dengan banyak hal, di antaranya isu kemanusiaan, solidariti, kebebasan, ideologi, identiti dan cita masyarakat Malaysia yang selalu sahaja menjadi sumber perdebatan. Sebagaimana lazimnya perdebatan di media sosial, ianya tidak pernah tuntas dan tidak ada arah tuju yang jelas, selain kelihatan mempertahankan pandangan masing-masing dalam menanggap sesuatu isu. Ketika isu lain yang lebih hangat dan terkini muncul, maka isu itu ditinggalkan. Penting bagi kita untuk melihat kembali isu ini secara lebih mendalam kerana hakikatnya persoalan-persoalan berkenaan dengan kemanusiaan, solidariti, kebebasan, ideologi, identiti dan cita masyarakat Malaysia akan senantiasa muncul semula, meskipun dalam isu yang berbeza.

Ketika artikel ini ditulis, media sedang hangat melaporkan berita pelarian Rohingya yang dikhuatiri lemas di perairan Langkawi kerana sekali lagi cuba memasuki negara ini. Dan setiap kali peristiwa ini berlaku, netizen Malaysia terpecah ke dua kubu, sama ada yang ingin menerima pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan, dan yang ingin kerajaan memulangkan mereka ke mana sahaja, asalkan tidak di Malaysia. Sikap kerajaan sendiri sangat jelas dalam perkara ini. Disebabkan Malaysia tidak menandatangani konvensi mengenai pelarian, ia menjadi alasan untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pendatang tanpa izin. Walaupun kerajaan mengatakan bahawa langkah dan tindakan mereka lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain dalam menangani isu ini, tetapi wajar jika ada pandangan dari kelompok-kelompok masyarakat supaya kerajaan untuk berbuat lebih, kerana isu kemanusiaan tidak sepatutnya disekat oleh batas-batas kenegaraan.

Jika melihat kembali ke belakang, desakan supaya Gerak Budaya membatalkan ucapan Azly Rahman juga dilatarbelakangi oleh pendiriannya dalam menanggapi isu Rohingya di Malaysia. Dalam sebuah kolum di Malaysiakini, ia pernah menyarankan sebuah solusi bagi persoalan Rohingya, iaitu mereka perlu kembali ke ke pulau penempatan mereka di Teluk Bengal, Bangladesh. Ia juga dengan terbuka memberi contoh penempatan Israel di Palestina seperti yang dinyatakan oleh Deklarasi Balfour 1947. Dengan mengatakan bahawa itu merupakan tulisan yang paling sukar untuk ditulis, ditambah dengan mengemukakan sumbangannya terhadap NGO dan komuniti Mayanmar sebelum ini, sama sekali tidak menutupi kecenderungan sikapnya yang mirip dengan golongan kanan di Eropah. Atas kecaman pembaca, Malaysiakini menarik semula artikel tersebut.

Memang isu migran dan pelarian, terutama semenjak gelombang migrasi secara besar-besaran daripada Timur Tengah dan Afrika ke Eropah dalam sedekad terakhir merupakan cabaran besar bagi golongan progresif. Tokoh pemikir “Marxis” terkemuka Slavoj Zizek pun pernah dipersoalkan sikapnya dalam menanggapi isu ini. Ia menolak supaya Eropah membuka perbatasan seluas-luasnya kepada pelarian kerana itu bukan jalan keluar bagi masalah tersebut. Atas sikap ini, ia telah dituduh oleh kelompok kiri di Eropah sebagai intelektual pseudo-kiri yang mengkempenkan kebencian terhadap pelarian, terutamanya golongan Muslim. Lebih parah, mereka juga menyamakan cara Zizek mengemukakan hujahnya dengan para propagandis Nazi dengan menyasarkan golongan atau etnik tertentu.

Tuduhan fasis dan rasis yang ditujukan kepada Azly Rahman juga disebabkan oleh pandangannya yang menyasarkan kumpulan minoriti tertindas, iaitu Rohingya. Sikap ini ditegaskannya kembali ketika ia menanggapi merebaknya gerakan BLM di Amerika Syarikat yang ditandai dengan rusuhan di beberapa bandar di negara tersebut semenjak penghujung Mei lalu. Ia dianggap tidak bersimpati dengan perjuangan kelompok minoriti tertindas dengan mengkempenkan All Lives Matter (ALM). Ertinya, persoalan yang menimpa mereka lebih disebabkan oleh sikap dan cara pandang komuniti itu sendiri berbanding menyalahkan diskriminasi sistemik oleh kerajaan Myanmar mahupun golongan kulit putih di Amerika. Padahal dalam isu lain, terutama berkaitan dengan pendidikan dan isu hubungan kaum di Malaysia, Azly dilihat lebih mengutamakan meritokrasi dan menolak keistimewaan berdasarkan kaum. Dalam konteks Malaysia, pandangan sebegini boleh digolongkan sebagai pandangan yang progresif.

Lalu, bagaimana paradoks seperti ini boleh muncul? Seorang yang dianggap “progresif” boleh terjebak menjadi rasis dan fasis seperti yang dituduhkan oleh golongan kiri di Eropah terhadap Zizek dan kelompok intelektual di Malaysia kepada Azly dalam isu BLM dan Rohingya? Lalu bagaimana pula dengan tuduhan Azly terhadap perusuh di Amerika dan kelompok yang membantah pandangannya sebagai komunis? Kita boleh sahaja bersandar kepada pengalaman sosiolog Amerika Syarikat, Daniel Bell yang mengakui bahawa secara ekonomi ia merupakan seorang sosialis, secara politik seorang liberal, dan secara budaya seorang konservatif. Kita juga boleh merujuk kepada Tan Malaka yang mengaku sebagai seorang Muslim di hadapan Tuhan tetapi seorang komunis di hadapan manusia. Bagi sebahagian orang, sikap seperti itu adalah paradoks dan tidak terdamaikan.

Namun untuk menemukan jawapan utuh terhadap persoalan ini bukan perkara mudah. Pertama sekali kita harus membuktikan bahawa semua tuduhan dan label itu benar. Untuk itu diperlukan satu kajian yang lebih mendalam. Ini merupakan satu tugas penting sarjana ilmu sains sosial, terutamanya bidang sains politik. Sudah saatnya kita memeriksa kembali klaim-klaim dan label-label progresif, konservatif, fasis, kiri, kanan, dan sebagainya, kerana dalam perkembangannya, wacana di seputar itu tidak semestinya bersifat statik dan akan terus dicabar takrifan dan ketepatannya. Kegagalan memahami dinamika ini boleh menjerumuskan kita kepada saling tuduh atas keteguhan sikap, seperti yang berlaku ketika kita menanggapi isu BLM dan Rohingya.



Categories: Rencana

Tags: ,

1 reply

Trackbacks

  1. Kemelut Gerak Budaya: Dilema Kaum Progresif – Naratif Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: