Menginspirasi Pembangunan Bersama, Merincih Pembangunan Klusif

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, pada 1 Mei 2020 mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia mengalami penguncupan RM 2.4 bilion sehari dan dalam tempoh 2 bulan mungkin menjangkau RM 100 bilion dan secara kasarnya mungkin lebih, maka ia memberi petanda jelas bahawa ekonomi dalam saat krisis pandemik semakin mudah jejas dan menuju ke arah situasi berpanjangan.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia juga telah mengumumkan Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 2.0% kepada 1.75% pada 7 Julai 2020, dengan kadar ini adalah paling terendah dicatatkan sejak tahun 2004 (BNM, 2020; Wong Ee Lin, 2020; Anon, 2020). Pengumuman oleh Bank Negara Malaysia ini juga sebagai langkah merancakkan ekonomi negara akibat ekonomi global yang membungkam akibat implikasi pandemik dan juga ketidaktentuan harga minyak sejak penghujung tahun 2019.

Pada aspek yang lain, penurunan ini juga adalah biasan kepada aliran tunai dan pelaburan negara yang pasif kerana realiti dari segi rantaian bekalan lokal dan global masih dalam keadaan terumbang ambing di atas sikap berjaga-jaga masyarakat di dalam negara untuk berbelanja. Malah, Malaysian Institute of Economy Research (MIER) (2020) juga menerusi kenyataan media melaporkan bahawa dijangka 2.4 juta pekerja yang tidak berkemahiran dijangka akan kehilangan pekerjaan. Kebimbangan ini antara yang mencengkam masyarakat untuk bertindak sedemikian tetapi dalam keadaan tertentu ia mendidik secara positif untuk terus mengenal erti kelangsungan dan kepentingan kepenggunaan.

Dalam kenyataan MIER, penulisan ini bersetuju dengan pendirian MIER bahawa dalam apa jua keadaan krisis, dana tambahan wajib disediakan kerajaan, dan perlunya tambahan RM 75 bilion daripada RM 20 bilion yang disuntik (serta baharu ini tambahan untuk Pakej PRIHATIN) dengan termasuk sistem sokongan dan kemudahan kewangan RM 250 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program I-Lestari, moratarium dan lain-lain untuk menyerap kesan krisis. Berdasarkan dana tambahan ini, ia juga bergantung kepada keputusan dan kreativiti kerajaan untuk mengagihkan dana bagi membentuk daya tahan rakyat dalam mengharungi krisis terutama bagi kelompok rentan dan juga usahawan mikro.

Jika dilihat daripada kesan pandemik kesihatan dan ekonomi, antara yang paling terkesan ialah Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS). Sumbangan PKS dan usahawan mikro adalah paling besar iaitu 6.2% dengan mengatasi pertumbuhan KDNK negara sebanyak 4.7% pada tahun 2008 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019). Menariknya, pertumbuhan KDNK PKS ini meningkat dengan baik daripada 37.8% tahun 2017 kepada 38.3% (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019).

Prestasi ini menunjukkan PKS di Malaysia mempunyai daya saing yang tinggi.  Ironinya, kelompok ini yang paling terkesan dan mudah terjejas dalam krisis sandwich ini. Perkara ini menguatkan hujah artikel ini mengenai daya saing tidak mencukupi dan fundamental dalam untuk terus bertahan. Pendirian ini juga dikukuhkan bahawa daya saing ini perlu disertakan bersama nilai daya tahan atau kekuatan untuk melantun semula dalam apa juga keadaan krisis (Abdul Rahman Embong, 2020).

Sementara itu, pandemik ini juga menunjukkan penduduk miskin di Malaysia semakin ketara dapat dilihat apabila terputusnya rantaian bekalan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Perkara ini menggambarkan sesuatu yang serius berlaku di dalam negara bukan sahaja sewaktu semasa menghadapi krisis tetapi sebelum itu lagi. Sebelum ini, Philip Alston pada Ogos 2019 telah melaporkan mengenai petunjuk garis kemiskinan perlu dipertimbangkan sewajarnya oleh kerajaan Malaysia. Hal ini kerana menerusi pemerhatian mendalam, pengukur kadar kemiskinan sedia ada adalah tidak sepadan dengan realiti sebenar yang perlu diterima dan diubahsuai (Alston, 2019). Langkah ini diambil oleh pemerintah dengan mengubah purata pendapatan kemiskinan daripada RM 980 kepada RM 2, 208 pada 10 Julai 2020. Namun, perubahan yang diambil lewat oleh pemerintah ini telah menyinsing sisi masyarakat Malaysia yang masih lagi terperangkap dengan ketidakbebasan pembangunan. 

Oleh demikian, artikel ini adalah penting dan relevan untuk membuka naratif pembangunan bersama dan pembangunan klusif dalam konteks masyarakat di Malaysia pada era pandemik dan perkembangan terbaharu negara. Konsep klusif  ini diperkenalkan oleh seorang sarjana linguistik, Viktor Elšík pada tahun 2000 dalam usaha menjelaskan peranannya sebagai alat pembeza di antara makna inklusif dengan  eksklusif. Wieczorek iaitu sarjana sains politik dalam bukunya Clusivity: A New Approach to Association and Dissociation in Political Discpurse yang diterbitkan tahun 2003 berpendapat  konsep ini boleh dikembangkan dan tidak terhad kepada tumpuannya dalam bidang linguistik. Wieczorek menonjolkan konsep klusif dalam kajiannya mengenai kuasa ahli politik dalam membentuk naratif pembezaan ataupun ikatan untuk membina sifat kebersamaan bersama penyokong dalam kempen pilihan raya. Berdasarkan pengkajian tersebut, dipercayai konsep klusif juga berpotensi untuk dilanjutkan dalam paradigma sosiologi khususnya sosiologi pembangunan. Apakah yang boleh ditakrifkan dengan pembangunan klusif dan pembangunan bersama (shared development)?

Pembangunan klusif dalam artikel ini boleh ditakrifkan sebagai pembangunan yang  ditentukan atau dibezakan dengan soal inklusif mahupun eksklusif untuk memenuhi kehendak kelompok tertentu. Maksudnya, ada pembeza dari segi manfaat yang diterima oleh masyarakat melalui proses pembangunan tersebut. Elemen ‘pembeza’ ini sangat penting diperhatikan kerana ia menunjukkan siapa penerima sebenar manfaat pembangunan. Ini berlawanan dengan konsep pembangunan bersama, yang  tidak ada kerangka pembeza dalam soal manfaat kemajuan. Permasalahan ini dibangkitkan apabila muncul laporan dan kajian baharu membuktikan penyisihan sosial tanpa mengira kaum, kemiskinan dan kemunculan kelompok precariat (terumbang ambing) di Malaysia berada di paras membimbangkan seperti yang dilaporkan oleh Alston.

Justeru, berdasarkan kepada krisis sandwich yang dijelaskan dalam penulisan sebelum ini di dalam Naratif Malaysia, ada beberapa hikmah yang boleh diambil untuk tujuan keselarasan melegakan tekanan yang menghimpit rakyat di saat krisis pandemik dan ekonomi. Pertamanya ialah isu jurang ketaksamaan wujud cuma situasi ini tidak dirasai kerana dikaburi dengan isu kepenggunaan. Contohnya, kelompok mudah ancam ataupun usahawan mikro jelas mempunyai keupayaan yang tipis terutamanya tunai di tangan akan ada apabila pergi bekerja atau berniaga dan dapat berbelanja.

Namun apabila Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan rantaian wabak, tunai di tangan kelompok rentan dan usahawan juga turut terjejas akibat rantaian bekalan yang tidak sempurna seperti kebiasaan sebelum ini. Bukti lain yang paling jelas ialah pada 4 Mei 2020, apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa, ramai yang berbaris panjang ke kedai Pajak Gadai bagi tujuan menggadaikan emas untuk dapatkan tunai dan membeli barang keperluan asas.

Perkara ini mendedahkan bahawa sebelum ini realiti jurang ketaksamaan itu ada dan dirasai, tetapi dengan pandemik dan krisis seperti ini, ia menjadi sesuatu yang tidak terjangka bahawa lebar dan dalamnya jurang tersebut dan ia cukup merisaukan. Berdasarkan hujah berkenaan, terdapat tiga perkara penting khususnya menerusi peranan negara dalam menghadapi ketidaktentuan krisis dan pandemik selepas ini.

Pertamanya ialah infrastruktur kewangan. Berdasarkan sejarah wabak, kerajaan berperanan penentu kepada pemulihan dalam pelbagai bentuk terutama kemudahan kewangan yang kreatif. Kedua ialah infrastruktur teknikal yang terangkum dalam soal kesambungan khususnya kemudahan digital secara komprehensif termasuk bandar, luar bandar dan pinggir bandar yang mempunyai jaringan dan rangkaian yang lemah perlunya dipertingkatkan kepantasan, sangat meluas dan dikenakan dengan kadar yang rendah dan sangat berpatutan. Ketiga ialah infrastruktur sosial iaitu memupuk kesedaran norma baharu antara masyarakat (P2P), antara perniagaan (B2B) dan juga antara kerajaan (G2G) menerusi pengalaman dan perkongsian strategik seperti dengan negara China dan juga keupayaan infra kewangan dan digital yang disediakan.

Secara ringkas apakah dasar yang boleh dicadangkan untuk perancangan kerajaan yang berdaya tahan pada masa akan datang? dan apa yang kita boleh belajar dalam keadaan manusia yang terbatas ini untuk menghadapi pandemik seperti ini di Malaysia? dan apakah yang boleh menginspirasi pembangunan bersama bagi merincih pembangunan klusif yang juga berupaya merentasi epidemiologi iaitu tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa.

Pertamanya ialah berdasarkan statistik, kawasan yang mudah terdedah untuk dijangkiti virus adalah di kawasan bandar berbanding luar bandar. Ketepuan di bandar menyebabkan kemudahancaman sosial senang untuk berlaku apabila krisis muncul. Maka perlunya sesuatu yang mungkin radikal dalam mengurai ketepuan tersebut menerusi strategi taburan semula penduduk daripada kawasan bandar ke luar bandar dengan membangun segera ketiga-tiga infrastruktur yang dicadangkan (IK+IT+IS) yang sama seperti bandar bagi membuka dan mengisi peluang-peluang dalam era selepas tamat pandemik ini.

Kedua ialah keupayaan untuk melantun kembali ataupun daya ketahanan perlu dibenamkan menerusi dasar-dasar kerajaan mahupun di peringkat global. Hujahnya ialah kerana manusia ini tidak sempurna, terbatas dan tidak akan kekal selama-lamanya. Perdebatan mengenai ini juga disingkap secara mendalam oleh ahli falsafah Albert Camus menerusi karyanya “The Plague” tahun 1947. Camus dalam karyanya menjelaskan bahawa sifat absurdity ataupun apa yang berlaku dalam hidup manusia adalah sesuatu yang tidak mempunyai makna yang jelas.

Ketiga ialah dalam menginspirasi pembangunan bersama dan merincih pembangunan klusif kajian mendalam perlu diteliti empat dimensi penting, iaitu  daya tahan peranan negara, pasaran terpimpin, infrastruktur sosial dan berorientasikan keperluan, yang mana kesemuanya memerlukan pendekatan campuran khususnya dalam rancangan rangka jangka panjang. Menerusi asas tersebut, naratif pembangunan dan transformasi sosio ekonomi di Malaysia perlu diubah daripada gambaran keklusifan kepada satu bentuk realiti yang lebih adil dan berkeperluan dalam pembangunan untuk kesejahteraan bersama.

Oleh itu, dalam konteks manusia di antara ekonomi dan sosial serta wabak, Camus memberi pengajaran bahawa satu perancangan ideal dalam kehidupan adalah sesuatu yang bermakna bagi manusia tetapi makna tersebut sebenarnya cenderung meleset dan tidak jelas sekiranya yang diharapkan itu menghadapi konfrontasi ataupun jangkaan kekecewaan. Namun perasaan itu akan hilang dan datang dengan ideal baharu yang sekali lagi membawa makna hidup yang tidak jelas.

Secara kesimpulannya, bagi sudut pandang sosiologi dan ekonomi politik, agenda menginspirasi pembangunan bersama pertamanya perlu disusun semula untuk memastikan masyarakat bukan hanya sekadar mampu merancang tetapi mempunyai daya ketahanan segera untuk melantun kembali dalam menghadapi apa jua krisis dan ketidaktentuan. Keduanya ialah pembangunan sebagai kebebasan iaitu idea yang dikemukakan Amartya Sen dalam bukunya iaitu Development as Freedom yang diterbitkan pada tahun 1999 adalah penting dan terpakai dalam soal merincih pembangunan klusif ini khususnya dalam mengungkapkan sebab manusia perlu untuk meneruskan kehidupan dan menikmati kebebasan bersama biarpun berbeza agama, keturunan, budaya dan lokaliti.  

Justeru, konsep kelestarian dalam pembangunan itu masih boleh dibahaskan lagi dalam bentuk keilmuan kerana sifatnya yang masih ideal serta jauh daripada realiti sebenar khususnya dengan apa yang berlaku pada hari ini. Lebih membimbangkan apabila negara, masyarakat dan pasaran masih lagi terperangkap dengan ketidakbebasan pembangunan yang menebalkan naratif pembangunan klusif di Malaysia.


Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2020). Post Pandemic Society. Facebook Live: Razak School of Government Webinar 2/2020. https://www.facebook.com/razakschoolofgovernment/vide os/ 565349704341355 [akses 10 jun 2020].

Anon. 2020. BNM turunkan OPR 25 mata asas lagi kepada 1.75%. https://www.malaysiakini.co m/news/533388 [akses 7 Julai 2020].

Alston, P. 2019. Statement by Professor Philip Alston, United Nations Special Rapporteur on extreme poverty and human rights, on his visit to Malaysia, 13-23 August 2019. https://www.ohchr.org/en/NewsEvents/Pages/DisplayNews.aspx?NewsID=24912&LangID=E [akses 23 Ogos 2019].

Bank Negara Malaysia. 2020. Monetary Policy Statement. https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press&ac=5078&lang=en [akses 7 Julai 2020].

Jabatan Perangkaan Malaysia. 2019. Prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana 2018. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=VlAzQTV0Y2IxNzBrckVhU0dlSlpIdz09 [akses 31 Julai 2019].

Malaysian Institute of Economy Research (MIER). 2020. Press Statement: The Economic Impacts of COVID-19 March 24, 2020. [akses 24 Mac 2020].

Wong Ee Lin. 2020. BNM cuts OPR by 25bps to record low of 1.75%. https://www.theedgemarke ts.com/articl.e/bnm-cuts-opr-25bps-175 [akses 7 Julai 2020].



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: