Merdeka Sekali Lagi

Merdeka bermakna berdaulat. Manakala berdaulat bermakna bebas daripada penjajahan dan mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri.

Lebih enam puluh tiga tahun yang lalu, kata merdeka dan segala maknanya inilah yang ingin dirangkul oleh rakyat pelbagai etnik, budaya, dan agama di Tanah Melayu. Tidak ada tujuan murni lain yang diinginkan, selain untuk memerintah dan mentadbir diri sendiri. Matlamat itu akhirnya dicapai dan diraikan secara simbolik pada 31 Ogos 1957. Jalannya sudah pasti tidak pernah lurus. Ada keringat yang dititiskan. Ada darah yang tertumpah di setiap selekoh perjalanan.

Kini, kita menjenguk kembali sejarah.

Kegilaan kita menuntut kebebasan dari cengkaman penjajah bukan baru terjadi semalam. Tahun 1445 ke 1500, orang Melaka dan Pahang sudah membina benteng melawan penjajah Siam. Orang Johor sudah membantu Belanda melawan Portugis sekitar tahun 1600 hingga 1641. Kemudian, kita juga diperkenalkan dengan pahlawan-pahlawan seperti Tok Janggut, Dol Said, Lela Pandak Lam, Mat Kilau, dan Mat Salleh yang berjuang menentang penjajah British pada abad ke-19 dan ke-20. Dari tahun 1926 ke 1957 pula, gerakan kebangsaan Melayu melawan Inggeris pula mengambil tempat.

Namun, kemerdekaan mungkin tidak akan diperolehi tanpa adanya baja yang menggerakkan anak-anak tanah jajahan. Baja ini tidak lain tidak bukan adalah keinginan yang berterusan untuk bebas dan semangat yang berkobar-kobar untuk melawan. Baja lalu menjadi waja. Hari ini, ianya kita kendong ke mana-mana.

Politik Melawan

Sebagai satu tindakan politik, menentang dan melawan bukan juga baru.

Malah sebelum kita mengenal demokrasi, perlawanan sudah berlaku. Wujudnya juga dalam bermacam bentuk, baik yang sifatnya agresif dan defensif, ataupun yang mengambil bentuk nyata dan tidak nyata. Kembali lagi kepada sejarah, kita akan bertemu dengan kisah-kisah orang lari dari pusat kekuasaan, menebas belantara baru.

Itu yang terjadi jauh sebelum penjajah Inggeris tiba, ketika rakyat di Tanah Melayu masih di bawah naungan raja-raja. Pada tahun 1811, sultan Perak mengeluh kerana lebih separuh orang Perak lari ke wilayah raja lain. Pada abad ke-19, sultan Deli dikatakan malu kerana rakyatnya berpaling tadah bencikan perangai sultan. Begitulah juga caranya orang Dayak bermain tolak-tarik dengan pemerintah. Jelik dengan tingkah laku pembesar, rakyat kemudian berpindah, bertukar pemimpin, atau memilih untuk tidak dipimpin.

Setiap zaman memiliki bentuk dan tujuan perlawanan rakyatnya sendiri. Kita melawan, sekalipun dengan menulis. Setidak-tidaknya itu yang dilakukan oleh para wartawan dan sasterawan ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari Inggeris. Menulis mengasuh mereka untuk kemudiannya memimpin gerakan-gerakan masyarakat. 

Kemunduran Politik

Pengunduran British menghadirkan harapan baharu kepada tanah yang baru dirampas kembali ini. Kuasa untuk memerintah dan menentukan nasib tanah air kini diserahkan kepada rakyat. Kita mencuba dengan demokrasi bagi mengangkat seorang pemimpin. Rakyat sudah bebas memilih wakil melalui pilihanraya. Tetapi, dalam sistem politik baharu ini, yang diambil kira bukan hanya pengundi tetapi juga suara-suara.

Malangnya, perubahan sistem politik tidak berdampingan dengan perubahan sikap dan pemikiran rakyat. Malah, perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling kita sentiasa ditanggapi secara berbeza antara satu sama lain. Ini termasuklah perubahan struktur politik yang telah membuka pintu untuk kita memainkan peranan lebih dalam membuat keputusan.

Politik pada titik ini menjadi tidak lebih dari sekadar percaturan elit-elit politik yang berunding kuasa antara satu sama lain. Politik watak atau sosok mendominasi mulai bergerak menuju ke pusat politik. Hasilnya, awalnya demokrasi yang menuntut setiap warganegara supaya lebih giat menyertai, berubah menjadi ruang subur untuk mencambahkan keakuran.

Keterpesonaan terhadap watak ini juga yang kemudiannya menjadikan kita akur bahawa elit-elit politik sebagai pemain utama. Malah, tidak sedikit daripada kita yang merasakan bahawa mereka juga adalah penyembuh bagi masalah-masalah peribadi. Di majlis-majlis, kehadiran wakil rakyat penting sebelum apa-apa acara dapat dimulakan. Begitulah dalam hal-hal lain.

Kita berbicara tentang naratif atau penceritaan yang membentuk fakta dan mempengaruhi pemahaman kita terhadap realiti. Naratif adalah tentang makna bukannya kebenaran. Biarpun demikian, naratif juga yang menggerakkan massa. Lalu naratif bagaimana yang sedang dipaparkan dan sedang menyaingi yang lain? Maka, memahami dan peka dengan naratif yang cuba dipaparkan oleh elit-elit politik adalah penting dalam hal ini agar . 

Melawan Politik Sosok

Di sini merdeka menuntut makna baharu.

Melawan dan merdeka dari keakuran dan keterpesonaan terhadap politik sosok adalah tujuan baharu pada hari ini. Inti dari demokrasi adalah untuk membebaskan masyarakat dan melahirkan warganegara yang lebih aktif. Maka, sudah tentu peranannya bukan lagi milik seorang, tetapi setiap individu. Matlamatnya adalah untuk membina naratif kolektif baharu yang lebih pelbagai, dan yang pulang ke rakyat.

Jauh dari hal ehwal orang atau parti, politik adalah tentang pemikiran dan falsafah, tentang dasar, dan tentang jalan keluar bagi kemaslahatan umum. Benar kita akhirnya memilih sosok di dalam pilihanraya. Namun, prosesnya tidak bernoktah di situ. Kita perlu merdeka sekali lagi. Kali ini merdeka dimaknai dengan membebaskan diri dan melangkah melampaui politik watak atau sosok. Kerana pada akhirnya tugas orang politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sebaliknya.

Selamat hari merdeka!



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: