Kemelut Gerak Budaya: Dilema Kaum Progresif

Tulisan ini bertujuan untuk menyambung perbincangan sebelumnya (BLM di Malaysia: Paradoks Kaum Progresif, 23 Ogos 2020) mengenai tanggapan sebahagian intelektual dan aktivis di Malaysia mengenai kontroversi yang melibatkan penerbit buku Gerak Budaya.

Memang, imej progresif dan kiri sudah melekat dengan Gerak Budaya kerana telah banyak menerbitkan dan menjadi pengedar buku dengan tema tersebut. Para sarjana, aktivis, dan masyarakat awam yang haus akan ilmu kritis banyak mendapat manfaat dari kehadiran penerbit ini. Namun imej tersebut sedikit tercalar kerana tindakan yang diambil oleh Gerak Budaya dalam isu pembatalan ucapan Azly Rahman yang dianjurkannya. Ekoran tindakan itu, ada pihak yang mempersoalkan imej kiri progresif yang selama ini dianggap sebahagian daripada misi dan perjuangan penerbit itu.  

Dalam artikel sebelum ini saya telah menyarankan supaya kita perlu melihat kembali perubahan spektrum ideologi yang melibatkan pertentangan di antara kiri dan kanan, konservatif dan progresif, dan sebagainya. Apakah label dan kecenderungan ideologi tersebut masih relevan dengan perkembangan dunia dan Malaysia saat ini. Atau mungkin kedudukan ideologi itu sendiri telah mengalamai perubahan arah yang tidak lagi sejajar seperti yang dikemukakan oleh ahli falsafah Perancis, Jeanne-Pierre Faye. Ia berpandangan bahawa teori spektrum politik yang menempatkan kiri dan kanan di dua hujung ekstrem sudah berubah bentuk. Garis itu kini sudah tidak lagi lurus, tetapi melengkung ke bawah seperti ladam kuda di mana kedua-dua hujung kiri dan kanan lebih dekat kedudukannya berbanding dengan golongan tengah yang berada di puncak lengkungan. Menurut horseshoe theory ini, kedua-dua ideologi kiri dan kanan kini lebih banyak memiliki kesamaan. Mereka sama-sama cenderung kepada autoritarianisme dan tidak memberi ruang kepada perbezaan.

Teori ini sempat hangat diperbincangkan ketika Eropah sedang menghadapi gelombang migrasi besar-besaran para pelarian dari Timur Tengah dan Afrika dalam dekad terakhir. Tanggapan daripada golongan kiri dan kanan terhadap situasi tersebut meningkatkan sentiment populisme di kalangan penyokong kedua-dua kubu. Walaupun teori ini cenderung melakukan generalisasi dan telah banyak dikritik, namun ini menunjukkan bahawa kiri dan kanan, progresif dan konservatif, di mana pun ia berada dalam garis spektrum ideologi, masih wujud dan kekal relevan untuk terus dibincangkan.

Padahal ideologi, terutama dari sebelah kiri sudah dibunuh berkali-kali. Mulai daripada kemunculan Stalinisme, kritik daripada pemikiran pasca moden, sampai kepada keruntuhan Kesatuan Soviet. Kematiannya tidak hanya dikubur dengan tahlil “ideologi telah mati,” tetapi juga diraikan dengan terompet kemenangan “akhir daripada sejarah.” Namun realitinya idelogi ini tidak pernah betul-betul mati. Ia wujud dalam penentangan terhadap rejim Orde Baru di Indonesia, perjuangan gerilya di pedalaman Filipina, kebangkitan Sosialisme Abad 21 di Latin Amerika, dan gerakan-gerakan anti neoliberal yang semakin merebak di pelbagai penjuru dunia. Kerana untuk maju ke hadapan, dunia memerlukan kontradiksi yang wujud tidak terhad hanya kepada perbezaan pandangan di antara kanan dan kiri. Bagi Marx, justeru kontradiksi utama dalam sistem kapitalisme ialah kapitalisme itu sendiri. Perpecahan yang kerap berlaku dalam golongan kiri dalam menentang kapitalisme juga disebabkan oleh kontradiksi-kontradiksi tersebut. Pertentangan atau kontradiksi yang wujud di dalam peradaban dan masyarakat ialah suatu perkara yang biasa. Yang lama akan bertentangan dengan yang baharu. Justeru krisis akan tiba jika yang lama sudah menua, sedangkan yang baharu belum juga lahir.

Kontradiksi inilah yang dapat dilihat dalam kontroversi di sekitar isu pembatalan forum ucapan Azly Rahman di Gerak Budaya. Pak Chong, yang selama ini dilhat berperanan dalam mempromosikan idea-idea progresif melalui penerbitan Gerak Budaya dikecam oleh “rakan seideologi” di media sosial kerana dianggap tidak tegas melawan pandangan kanan konservatif dalam isu Rohingya dan Black Lives Matter. Posisi politiknya kemudian disejajarkan dengan Azly Rahman yang sudah terlebih dahulu dianggap sebagai kanan. Lagi pula, dalam emel peribadi kepada Azly, Pak Chong telah menyalahkan pekerjanya yang berinisiatif mengeluarkan kenyataan terbuka sikap Gerak Budaya dan membatalkan program tersebut. Ibarat kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Kita boleh sahaja menggunakan tuntutan pembatalan ucapan Azly Rahman untuk membenarkan ketepatan horseshoe theory yang berhujah bahawa golongan progresif pun cenderung kepada autoritarianisme dan tidak memberi ruang kepada perbezaan. Namun mesti diingat bahawa penyahsaranaan (deplatforming) bukan pembungkaman terhadap kebebasan bersuara. Mereka yang mendesak penyahsaranaan seorang penyokong gerakan All Lives Matter bukan sebahagian daripada institusi negara yang memiliki kuasa berbuat demikian. Sedangkan Pak Chong mengertikan progresif sebagai setia kepada kebebasan, termasuk kebebasan berbicara, bahkan dengan menyediakan ruang kepada pandangan yang bertentangan dengan ideologinya. Hal ini tidak diragukan kerana Gerak Budaya telah pun menerbitkan beberapa buah buku Azly Rahman sebelum isu ini hangat diperbincangkan. Sebagai bekas tahanan ISA dan penerbit yang buku terbitannya pernah diharamkan dan dirampas oleh pihak berkuasa, begitu lah Pak Chong menghargai kebebasan.

Namun dalam menghadapi isu ini, Gerak Budaya tidak dapat mengukuhkan pendirian. Apalagi tidak lama setelahnya, ia ditimpa satu lagi kontroversi berkaitan dengan sampul buku yang dituduh menghina lambang negara. Di sini Gerak Budaya telah melakukan kesalahan kedua dengan memohon maaf atas kontroversi yang ditimbulkan, bukan mempertahankan pilihannya menggunakan sampul buku tersebut. Jika kita percaya bahawa makna di sebalik progresif ialah menentang arus utama dengan sokongan hujah yang boleh diterima untuk kebaikan bersama, maka dalam kedua-dua isu ini Gerak Budaya telah gagal menjalankan peranannya sebagai salah satu elemen terdepan dalam mempertahankan imej dan idea progresif di Malaysia. Isu dan kontroversi yang melibatkan Gerak Budaya Ini merupakan pelajaran dan juga cabaran bagi sesiapa sahaja yang hendak memperjuangkan idea-idea progresif dan membina alternatif, namun bekerja dalam kerangka sistem arus utama yang hendak dicabar.

Walau bagaimanapun, kita terus berharap Gerak Budaya akan terus menerbitkan buku-buku pemikiran kritis yang pasti akan memberi sumbangan terhadap perubahan dan perkembangan minda pembacanya.     



Categories: Rencana

Tags: ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: