Apa Nilai Sehelai Kertas?

“Education as the practice of freedom – as opposed to education as the practice of domination – denies that man is abstract, isolated, independent, and unattached to the world; it also denies that the world exists as a reality apart from people. Authentic reflection considers neither abstract man nor the world without people, but people in their relations with the world.” – Paulo Friere

Sekiranya kita dapat bertanyakan seorang penulis atau sarjana apa keinginan atau pencapaian terbesar yang ingin dimilikinya, barangkali jawabnya adalah untuk menghasilkan sebuah buku atau karya yang dapat menyumbang kepada perubahan sosial dan pemikiran sesebuah masyarakat. Ataupun kemungkinan hasil ciptaan yang dapat bantu terhadap perbaikan kehidupan sesebuah komuniti, atau paling kurangnya menjadi pencetus kepada perubahan hidup seseorang individu.

Namun, realiti dan kondisi sosial yang kita hadapi jauh daripada keinginan dan idealisme yang dibayangkan dalam lapangan kesarjanaan dan penulisan. Pendidikan dan ilmu pengetahuan, seperti agama dan Tuhan dan budaya, sudah dipaksa-jual-jadikan komoditi dan ideologi kasar dan kesat.

Tentunya ini bukan perkara yang baru dan telah berulang seribu bicara oleh penulis² dan guru² yang lain. Meskipun begitu, yang menjadinya sangat mendesak sehingga memerlukan kita mengulanginya adalah trajedi dan krisis bahawa golongan sosial dan institusi yang pribadinya untuk melawan dan menahan gelombang dan penjajahan ini sudahpun menjadi jurubicara dan pedagang untuk sistem dan praktis pendidikan dan penyelidikan silang pasaran dan pemarataan ke bawah ini.

Dan tabiat dan budaya dan sistem ini adalah kronik kerana kemudiannya disambung dan dijatuhkan atas golongan muda, penyelidik, pensyarah dan guru² yang baru. Maka yang terhasil adalah sebuah kitaran pengajaran dan pembelajaran yang mutunya rendah dan lemah dan terpisah daripada masyarakat yang berterusan.

Artikel dan buku dihasilkan bukan kerana untuk mengangkat satu wacana yang kritis yang kemudiannya dapat menggerakkan masyarakat ke arah perubahan yang progresif. Sebaliknya, ia hanya untuk memenuhi keperluan piawaian kerja dan administratif, dan untuk pertimbangan dan sambungan kontrak.

Yang pada akhirnya, yang terhasil adalah golongan dan tenaga pengajar dan penyelidik yang memegang rekod dan senarai penerbitan yang cemerlang, bukan kerana kualiti penulisan atau pemikirannya, atau impak dan sumbangan karya² berkenaan kepada kebangkitan dan pembaharuan masyarakat, tetapi kemampuan teknikal dan administratifnya untuk memenuhi dan mengisi keperluan sistem mengikut perkiraan kuantiti dan statistik. Sedangkan, barangkali, mereka tidak pernah menyumbang apa² kepada kritikan dan pengolahan struktur siasah dan budaya serta iktisad masyarakat.

Fenomena ini tidak berlaku di Malaysia sahaja, dan merupakan satu masalah global. Biarpun begitu, berbanding dengan negara² yang lebih maju dan bersedia contohnya, Malaysia tidak miliki lagi satu tradisi dan budaya kesarjanaan dan penulisan yang ampuh untuk mengekang hegemoni cara pandang dan praktis mengejar nama dan kedudukan dan statistik sebegini yang mendominasi institusi² pendidikan kita.

Dalam konteks ini, apa gunanya suatu gelaran atau ijazah lanjutan? Adakah hanya untuk nama dan menunjuk sahaja? Adakah hanya untuk mencari kerja dan makan? Atau untuk masuk perkhidmatan pengajaran dan penyelidikan, tetapi hanya ingin dan kemudiannya untuk afirmasi suatu sistem penilaian pendidikan yang serba kekurangan dan rongga?

Sekitar lebih empat dasawarsa yang lalu, Syed Hussein Alatas pernah membincangkan bagaimana selalunya mereka yang bebal memanjat dan memegang kedudukan kuasa dan kepimpinan dalam sesebuah masyarakat. Golongan sebegini wujud dan berleluasa apabila sesebuah masyarakat tidak memiliki tradisi dan kumpulan sosial intelektual yang dinamik dan kritis.

Justeru, suatu negara dan masyarakatnya walaupun mendirikan dan mempunyai berpuluh universiti dan ribuan pemegang doktor dan ijazah sarjana, tetap boleh, akan dan terus dipimpin dan dikuasai golongan yang boleh diistilahkan secara sosiologinya sebagai “bebal” dan “fools”.

Kertas rasmi dan kelayakan oleh itu secara intrinsik dan esensinya tidak menjadikan seseorang itu kritis dan berfungsi kepada masyarakat. Ia juga sama untuk karya dan artikel yang diterbitkan yang mana ia tidak memberi gambaran yang cermat dan mendalam berkait komitment kepada masyarakat dan kesarjanaan maupun pemikiran seseorang. Tidak semua mereka yang memberi sumbangan besar terhadap perubahan masyarakat memiliki ijazah yang tinggi² seperti penulis² Pramoedya Ananta Toer dan Usman Awang antaranya. Juga tidak semua penulisan dan idea yang mendorong idealisme dan perjuangan untuk masyarakat yang lebih baik dihasilkan dalam universiti ataupun dalam jurnal² yang dikatakan bertaraf tinggi. Komitmen dan sikap tidak semestinya datang hanya daripada kertas malah terbentuk melampauinya, seperti yang digambarkan dan disampaikan Pak Usman dalam Ucapan (1983),

Oleh itu kepada universiti yang gagah ini
kepada graduan yang terhutang budi
saya ingin mempertaruhkan impian dan harapan saya.

Saya yakin jauh di lubuk hati fikiran saudara
berkilau sinar cahaya kemanusiaan
yang dapat menjadi sumber harapan rakyat.
Mungkin pada sebahagian daripada saudara
sinar kemanusiaan ini bakal malap dan pudar
dan sauadra akan menjadi sebahagian daripada
golongan penindas rakyat.

Sedangkan sebahagian lain pula sinar cahaya itu
begitu rawan meliuk-lintuk kerana saudara terumbang-ambing
separuh hati berasa terpanggil oleh cita-cita rakyat
separuh hati lagi didesak oleh kepentingan dan
ambition sendiri.

Impian dan harapan saya agar sinar cahaya kemanusiaan
akan semarak menyala di lubuk hati saudara
menyala dan membesar untuk membakar hangus
kemiskinan kekejaman dan ketidakadilan
di bumi kita yang indah subur,
cantik bagaikan permata zamruh ini.

Dan lanjutan daripada ini, ikatan yang padu dan bulat harus dijalin antara semua mereka yang ingin terlibat dalam kerja menulis sebuah dunia yang lebih baik serta aksi membentuk masyarakat yang lebih adil. Supaya nanti persatuan ini dapat menahan dan melawan balik mereka yang menganjurkan “the revolution of the fool” dan dominasi mereka terhadap masyarakat. Hanya golongan muda dan yakin-insaf dapat memegang peranan ini sebagai “a generation in waiting” dan berlandaskan tugas suci dan historisnya, yakni: menulis, menyusun, menggerakkan.



Categories: Rencana

Tags: ,

1 reply

Trackbacks

  1. Apa Nilai Sehelai Kertas? –  Jentayu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: