Revolusi Industri 4.0: Perspektif Ringkas Teori Organisasi Gareth Morgan

Dunia hari ini berada dalam perubahan yang sangat pantas terutamanya dalam penghasilan produk yang melibatkan proses pendigitan (digitalization). Bermula daripada Revolusi Industri pertama yang menggunakan mekanistik melalui kuasa air dan stim, kemudian kepada penghasilan elektrik yang besar-besaran, seterusnya penerimaan komputer dan automasi yang ditingkatkan dengan elektronik pintar dan sistem mandiri (autonomous). Peralihan dunia penghasilan dan pembuatan kepada Revolusi Industri 4.0 mula muncul kebelakangan tahun lalu yang mana komputer disambungkan dan komunikasi dilakukan tanpa ada penglibatan manusia. Fokus para konglomerat dalam sistem kapitalis telah bergerak ke arah ‘smart factory’ yang mana dijangka bakal menjadi lebih efisien dan produktif dan mengurangkan pembaziran. Kuasanya Revolusi Industri 4.0 ini terletak dalam jaringan mesin-mesin yang dihubungkan secara digital dan dibentuk serta dikongsi maklumat berkaitan.

Sifat yang ada dalam Revolusi Industri 4.0 – efisien, produktif, ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Gareth Morgan yang memberikan metafora organisasi sebagai mesin. Teori Morgan ini berbincang perihal bahawa organisasi mempunyai matlamat yang perlu dicapai dan struktur yang birokratik diibaratkan seperti mesin. Dengan istilah mechanization takes command, Morgan menggambarkan bahawa tingkah laku kerja melalui proses-proses yang sangat mekanistik – ada ketetapan tertentu dalam mencapai produktiviti. Umum mengetahui apabila ciri mekanistik digunakan dalam organisasi, sudah tentu sifat kemanusiaan hilang dan interaksi dengan manusia menjadi canggung. Cuma, apabila perihal Revolusi Industri 4.0 ini mula mencapah dalam banyak sektor, produktiviti ada, namun penglibatan manusia di dalamnya berkurangan. Hal ini memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat kelas pekerja terutamanya.

Fasa modeniti ini tidak lari daripada empat aspek, antaranya adalah kapitalisme, industrialisasi, kapasiti pengawasan dan kekuasaan ketenteraan. Ulrich Beck dengan teori modeniti kedua (second modernity) melihat institusi moden berubah menjadi global yang mana kehidupan harian dipecahkan daripada berpegang kepada tradisi dan budaya. Menurut Beck lagi, manusia pada zaman ini terdedah kepada risiko. Ekoran daripada kemajuan teknologi, sepertinya risiko menjadi sukar untuk ditentu kehadirannya akan tetapi tetap berubah mengikut keadaan masyarakat.  Risiko ini akan mengubah banyak hal dalam kehidupan kontemporari hari ini, misalnya, perubahan pola pekerjaan, penjaminan dalam pekerjaan malah hingga mempengaruhi tradisi dan budaya. Beck menulis di dalam bukunya Risk Society: Towards a New Modernity menyatakan:

“Just as modernization dissolved the structure of feudal society in the nineteenth century and produced the industrial society, modernization today is dissolving industrial society and another modernity is coming into being.”

Modenisasi hari ini menuju artificial intellgence dalam pelbagai perkhidmatan perlahan-lahan menenggelamkan masyarakat industri. Hal ini boleh dibuktikan sekitar tahun 2015, fenomena sektor-sektor perkhidmatan yang ada terpaksa membuang segolongan besar pekerja, bukan sahaja di Malaysia, malah kebanyakan tempat di dunia.

Kekurangan daripada metafora organisasi sebagai mesin ini adalah sesuatu organisasi akan sukar untuk melakukan perubahan berikutan daripada sifat birokrasi yang tidak dapat dipersoalkan.

Di Malaysia, kebanyakan organisasi masih lagi berdalih dengan impak dan kemampuan revolusi keempat ini dalam mengembangkan perniagaan atau dalam usaha mencari bakat atau pengetahuan tentangnya. Walau bagaimanapun, punca mengapa organisasi masih berdalih adalah kerana risiko baru dalam dunia pasca-moden ini boleh membawa ‘bencana’ digital yang tidak terduga. Seperti yang dinyatakan oleh seorang ahli teori sosial moden, Anthony Giddens dalam metafora The Juggernaut bahawa ada satu kuasa besar yang sedang bergerak merentasi semua aspek kehidupan sosial masyarakat pada hari ini. Kuasa ini susah dikawal oleh manusia di mana di satu tahap, manusia akan hilang kawalan terhadapnya.

Salah satu isu yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 adalah penyebaran berita palsu. Ancaman ini akan menjadikan kayu ukur kepada ketelusan dan akauntabiliti sesuatu isu atau perkara atau informasi akan bertambah sulit. Kempen masyarakat sivil dalam melaungkan ketelusan serta akauntabiliti biasanya akan direspon kepada penilaian bukti yang dapat dilihat dan difahami oleh kapasiti manusia. Apa yang dapat dilihat, data yang masuk ke dalam sistem tidak mendedahkan bagaimana sistem tersebut datang dengan sesuatu keputusan.

Di peringkat struktur, Giddens menekankan bahawa perubahan yang dialami pada moderniti lewat  (late modernity), kita terdedah kepada bahaya dan risiko yang baharu – misalnya senjata nuklear dan ancaman kepada alam sekitar. Semua ini adalah hasil pemerhatiannya daripada globalisasi yang semakin rancak, yang impaknya bukanlah sekadar di peringkat global, malahan di peringkat tempatan, semestinya memberi kesan kepada pengalaman harian masyarakat. Perubahan teknologi dalam kaedah komunikasi manusia dengan pembinasaan hal-hal tradisional dalam kategori masa dan ruang juga memberikan signifikan yang besar.

Bagi Giddens berada di dalam masyarakat moden hari ini bermakna kita harus menjadikan dan menjadikan semula diri kita dalam mengadaptasi dengan perubahan yang berada di sekeliling kita. Memandangkan persekitaran baru berterusan muncul dan perlu dicerap dalam deria, kita harus mengurus dan mengekalkan makna kepada dunia yang mana secara wujudnya adalah tidak stabil. Menurut Giddens, kita tidak boleh berpatah balik kepada dunia lama memandangkan ia telah menjadi berlebihan (redundant) dalam dunia yang bergerak pada hari ini. 

Teori Giddens tentang refleksiviti boleh dikaitkan dengan teori organisasi yang dibawa oleh Morgan yang menggunakan metafora organisasi sebagai organisme. Asasnya metafora Morgan ini menyatakan bahawa sistem kehidupan yang wujud dalam persekitran yang luas di mana ia bergantung kepada kepuasan dalam keperluan yang pelbagai. Teori ini membebaskan kita daripada berfikir secara birokratik dan melihat kepada mengorganisasi dengan keperluan persekitaran.

Kajian lepas Tom Burns dan G.M Stalker telah menghasilkan perbezaan antara pendekatan mekanistik dan organik dalam organisasi dan pengurusan. Kajian mereka memperincikan dalam persekitaran mewujudkan masalah dan cabaran baru, maka cara organisasi dan pengurusan yang terbuka diperlukan. Menurut mereka tiada teori yang tetap kerana pengaruh persekitaran yang berbeza-beza memberi kesan yang berbeza. Walaupun Revolusi Industri 4.0 membawa kepada pendigitalan dalam aspek kehidupan seharian seperti bercambah ibarat cendawan selepas hujan, namun, mahu atau tidak masyarakat harus beradaptasi demi memenuhi kepuasan dan keperluan mereka.

Bagi Lawrence dan Lorsch kajian mereka menyatakan teori ini menghasilkan organisasi dengan gaya yang pelbagai antara subunit organisasi melalui perincian ciri-ciri sub-persekitarannya.Idea umum untuk sesuatu organisasi perlu lebih organik daripada yang lain kerana darjah organisme adalah pelbagai daripada satu subunit organisasi yang lain. Perubahan yang berlaku perlu dinilai dengan melihat kepada sejauh mana darjah organisme itu mahu diukur. Hal ini boleh digunakan teori luar jangkaan (contigency theory) di mana kita akan melihat bagaimana organisasi secara sistematik mencapai ‘good fit’ dalam persekitarannya dan beradaptasi di samping memastikan hubungan dalaman seimbang dan sesuai. Dengan cara diagnosis analitikal di peringkat organisasi secara keseluruhan kita akan dapat mengenal pasti pola hubungan penting untuk berhadapan dengan pelbagai sub-persekitaran dan menjelaskan keperluan differentation and intergration.

Walaupun manusia mempunyai a constant sense of uneasiness, mereka perlu sentiasa mengawasi dan meneliti setiap tingkah laku mereka dan mengubah jika perlu. Idea bahawa organisasi beradaptasi kepada persekitarannya membawa kepada fleksibiliti yang melebih-lebih dan kuasa kepada organisasi dan terlalu sikit tekanan persekitaran sebagai penggerak (force) dalam kelangsungan organisasi. Namun, dengan cara advokasi, keseimbangan perlu dilakukan dengan fokus kepada cara persekitaran “memilih” organisasi dan ini boleh dilakukan dengan analisis di peringkat populasi.


Rujukan

Morgan, G. 1997. Images of Organizations. 2nd edition. London. Sage Publication.

Jones, P. 2003. Introducing Social Theory. Cambridge. Polity Press.

Beck, U. 1992. Risk Society: Towards a New Modernity. London: SAGE Publications.

Frank, M., Swyngedouw, E. & Rodriguez, A. 2003. The globalized city: economic restructuring and social polarization in European Cities. London: Oxford University Press.



Categories: Rencana

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: