Tugas Cendekiawan Muda: Bagaimana Meneruskan Tradisi Intelektual di Malaysia

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera dan selamat petang.

Terima kasih atas jemputan penganjur Naratif Malaysia (NM) bagi Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda. Saya rasa bangga kerana dapat bersama saudara-saudara sekalian. Ini bukan kali pertama saya hadir ke majlis dengan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS). Tajuk yang diberikan kepada saya ialah Tugas Cendekiawan Muda dan Bagaimana Cendekiawan Muda Meneruskan Tradisi Intelektual di Malaysia. Apakah konsepsi saya mengenai cendekiawan muda yang diperlukan di negara kita? Siapakah dia cendekiawan muda yang kita maksudkan ini? Bagaimanakah cendekiawan muda dapat memainkan peranannya?

Lima Ciri Cendekiawan Muda

Pada hemat saya, cendekiawan muda yang umurnya mungkin dalam lingkungan 30-an, 40-an. Itu yang dimaksudkan dengan cendekiawan muda. Cendekiawan muda harus memiliki beberapa ciri tertentu. Ini pandangan peribadi saya. Saya pilih lima ciri yang harus ada pada cendekiawan muda. Ia sebagai mukadimah kepada perbincangan kita. Apakah lima ciri cendekiawan yang dimaksudkan?

Pertama, cendekiawan muda mesti memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Bukan sahaja dalam bidang pengkhususan bidang beliau tetapi lebih luas daripada bidangnya. Itu yang dimaksudkan dengan cendekiawan yang tahu tentang aspek-aspek lain selain daripada bidang pengkhususannya. Pengetahuannya luas dan mendalam.

Kedua, cendekiawan muda harus cuba membebaskan dirinya daripada segala prejudis, bias, prasangka yang ada pada kita semua sebagai insan biasa. Kita cuba membebaskan diri daripada prejudis, bias dan sebagainya kerana itulah salah satu daripada sifatnya cendekiawan. Satu daripada sifatnya pendidikan kita, usaha kita untuk menghimpunkan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Kita cuba mendekati ilmu pengetahuan dengan pendekatan yang adil dan seimbang supaya kita tidak berat sebelah. Itu yang dimaksudkan dengan membebaskan diri daripada bias, berat sebelah dan sebagainya.

Ketiga, cendekiawan muda yang diidamkan ini ialah cendekiawan yang cuba mempertahankan kebebasannya. Kebebasannya bermakna dia tidak tunduk kepada mereka yang berkuasa kerana mereka berkuasa. Dia tidak tunduk kepada kekayaan, harta, jawatan, kedudukan dan sebagainya. Hal ini kerana ini juga ialah cabaran yang kita hadapi sebagai manusia. Ilmu pengetahuan di universiti-universiti, institut-institut penyelidikan kita menghadapi cabaran ini. Ia cabaran daripada mereka yang berkuasa, memiliki harta, kekayaan, dan kepentingan-kepentingan yang lain. Itulah sebabnya kita perlu mempertahankan kebebasan kita dalam keadaan mencabar ini supaya kita tidak tunduk kepada pihak-pihak tertentu. Kita melakukan sesuatu seperti mana disebutkan beberapa pihak, kita mendekati ilmu pengetahuan ini without fear or favour daripada mana-mana pihak. Itu penting. Ia dibezakan daripada bias yang merupakan suatu yang timbul daripada dalam. Membebaskan daripada kuasa yang ada ialah suatu dari luar. Kekayaan, harta, dan sebagainya itu daripada luar. Akan tetapi, kedua-duanya adalah penting—ciri kedua dan ciri ketiga.

Keempat, ciri yang berkaitan dengan ciri kedua dan ketiga tadi. Cendekiawan muda harus memiliki integriti. Mungkin amanah istilah paling hampir dengan integriti. Mesti memiliki integriti. Dia amanah dan menganggap profesion dirinya sebagai penyelidik, pensyarah, sarjana sebagai suatu bentuk integriti atau amanah. Itu penting. Ia tidak dipengaruhi faktor-faktor tertentu. Pada masa sama, dia menganggap tugasnya sebagai amanah yang penting. Konsep amanah daripada segi kerja kita ialah suatu konsep yang mudah dibincangkan, tetapi sukar diamalkan. Integriti, amanah daripada segi amalan itu yang menjadi cabaran.

Kelima, ciri cendekiawan yang berkaitan dengan ciri-ciri lain, terutamanya ciri keempat. Adakalanya sarjana, cendekiawan, termasuk cendekiawan muda terpaksa mengorbankan kepentingan dirinya, kedudukannya, kemewahan hidup, keselesaan hidupnya kerana prinsip yang menjadi pegangannya. Mesti ada kesediaan ini untuk berkorban sebagaimana terbukti oleh beberapa orang sarjana sepanjang sejarah, oleh cendekiawan-cendekiawan yang benar-benar bermutu, bernilai sepanjang sejarah sanggup mengorbankan kepentingan diri. Adakalanya pengorbanan itu mereka mengorbankan jiwa, keluarga kerana mereka percaya kepada sesuatu prinsip mereka itu penting.

Hal ini dibahaskan secara mendalam oleh mendiang Edward W. Said dalam buku beliau tentang intelektual yang sebahagiannya daripada 1993 Reith Lectures, disampaikan dalam kuliah beberapa tahun dahulu. Itu penting kesediaan untuk mengorbankan kepentingan diri. Paul Baran juga membincangkan soal sama tentang pengorbanan sebagai satu daripada sifat yang ada pada seorang intelektual, cendekiawan yang tulen.

Para hadirin yang budiman,

Inilah beberapa ciri yang penting pada hemat saya bagi cendekiawan muda. Mungkin dalam kalangan cendekiawan muda kita ini, iaitu dalam lingkungan usia 30-an, 40-an, dan sebagainya. Mungkin ada cendekiawan yang sedemikian rupa di negara kita, tetapi kita tidak mengetahui kewujudan mereka. Mungkin ada antara mereka yang mempunyai ciri-ciri ini, tetapi tidak menonjolkan diri mereka. Saya pasti dalam kalangan cendekiawan muda kita ada yang memiliki ciri-ciri ini dan mungkin mempunyai lebih daripada ciri-ciri ini. Namun, kita harus memahami melahirkan lebih banyak siswazah-siswazah yang memiliki ijazah, termasuk ijazah kedoktoran dan sebagainya tidak menjamin mereka memiliki ciri-ciri ini. Tiada jaminan lebih banyak universiti, lebih banyak gedung-gedung yang melahirkan mereka yang berijazah itu ialah prasyarat. Ia bukan jaminan akan adanya cendekiawan yang memiliki ciri-ciri yang kita bentangkan tadi. Ijazah semata-mata tidak bermakna kita ini cendekiawan. Dalam sejarah, banyak contoh tentang cendekiawan sama ada tua mahupun muda yang tidak berijazah, tidak pernah bersekolah, tetapi mereka ini ialah cendekiawan. Itulah yang harus kita fahami bahawa lebih banyak universiti, di Malaysia umpamanya pada tahun 2020, kita mempunyai banyak universiti swasta, universiti awam dan sebagainya, berbanding 40 tahun, 50 tahun dahulu. Prof. Diraja Ungku Aziz pada dasawarsa 1950-an saya sebutkan nama beliau di sini kerana beliau antara cendekiawan awam awal di Malaysia, pasca Perang Dunia Kedua. Begitu juga dengan Pendeta Za’ba. Sekarang begitu ramai yang berijazah, tetapi apakah sumbangan mereka? Adakah mereka ini cendekiawan dalam erti kata sebenar? Itu soalnya. Itulah sebabnya bahawa mengadakan lebih banyak universiti bukan jaminan kita akan berjaya melahirkan lebih banyak cendekiawan. Kita harus membezakan antara mereka yang berijazah dengan mereka yang kita gelarkan sebagai cendekiawan tulen yang begitu kecil bilangannya di Malaysia dan tempat-tempat lain. Ia fenomena yang bukan sahaja khusus kepada negara kita, tetapi di tempat-tempat lain keadaannya begitu juga. Yang benar-benar kita dapat anggap sebagai cendekiawan tulen yang memiliki sebahagian daripada ciri-ciri yang kita bincangkan, bilangan mereka itu kecil dibandingkan dengan mereka yang berijazah yang ada kelulusan tinggi daripada universiti dan sebagainya.

Para hadirin yang budiman,

Bagaimanakah kita dapat melahirkan cendekiawan muda yang benar-benar kita anggap sebagai cendekiawan yang memiliki ciri-ciri yang istimewa ini jika bukan melalui universiti, institusi-institusi pengajian tinggi? Apakah caranya? Mungkin universiti atau institusi pengajian tinggi itu boleh membantu proses ini kerana ada proses-proses tertentu yang dikaitkan dengan universiti yang mungkin membantu seseorang individu untuk berfikir, mengkaji sesuatu, memahami metodologi, kaedah yang penting bagi memainkan peranan tertentu dalam masyarakat. Cara kita menghimpunkan data, kita kaji data, kita menyimpulkan sesuatu itu ialah sebahagian daripada metodologi sains. Mungkin universiti kerana sifatnya sebagai sebuah universiti dapat membantu, tetapi proses lahir cendekiawan tulen, cendekiawan muda yang tulen ini ialah proses yang bergantung kepada individu, bukan pada institusi. Bermakna individu yang harus berusaha mencapai tahap cendekiawan yang tulen ini melalui usahanya sendiri. Mungkin ada faktor-faktor lain yang boleh membantunya, termasuk institusi, guru-guru sebagai mentor di universiti, persekitaran masyarakat yang boleh membantu, tetapi komitmen, iltizam itu mesti ada pada individu. Ini bukan sesuatu yang boleh kita ciptakan luar daripada pengalaman seseorang individu. Ia bergantung kepada individu. Mesti ada iltizam, keazaman untuk mencapai tahap ini melalui usaha sendiri itulah yang penting.

Cabaran Untuk Mewujudkan Tradisi Intelektual di Malaysia

Saya berpendapat para hadirin yang budiman, bahawa mungkin cabaran ini lebih berat di negara kita berbanding kebanyakan negara lain. Apakah sebabnya? Beberapa faktor yang menghalang usaha mencapai tahap dan taraf cendekiawan tulen ini di negara kita. Itulah sebabnya saya tidak berani menyatakan bahawa cendekiawan muda kita harus meneruskan tradisi intelektual kerana saya tidak pasti sama ada kita ini ada tradisi intelektual. Saya kurang pasti sama ada kita mempunyai tradisi, budaya, suasana, dan persekitaran intelektual. Akan tetapi, saya tidak mahu menjadikan ini sebagai isi utama dalam pembicaraan kita pada petang ini. Saya ingin memberikan tumpuan kepada isu penting ini. Saya berpendapat bahawa cabarannya lebih berat di negara kita, untuk melahirkan cendekiawan tulen yang memiliki ciri-ciri yang kita bincangkan sebentar tadi.

Izinkan saya berkongsi beberapa faktor yang pernah saya tulis mengenai faktor-faktor yang memperlahankan proses melahirkan cendekiawan yang tulen. Pertama, mungkin sejarah. Apakah yang dimaksudkan oleh saya dengan sejarah? Malaysia adalah antara segelintir negara-negara yang belum mempersoalkan unsur-unsur tertentu dalam sejarahnya sendiri yang menghambat pertumbuhan minda intelektual kita. Apakah yang dimaksudkan? Sekiranya kita menganggap feudalisme sebagai sejarah kita, dan feudalisme sebagai satu ideologi, budaya yang memang menghambat proses pertumbuhan intelektual masyarakat terbukti di Eropah, Afrika dan sebagainya. Kita menganggap feudalisme sebagai faktor yang mengekang pertumbuhan intelektual kita. Di Malaysia, kita telah membebaskan diri daripada unsur formal feudalisme, tetapi sikap, nilai, orientasi yang feudal masih membebankan kita sebagai bangsa, sebagai negara. Tidak dapat kita nafikan bahawa sikap feudal ini sama ada daripada segi cara hampir semua rakyat negara kita ini mengejar gelaran-gelaran tertentu, sebagai salah satu daripada contoh-contohnya. Contoh-contoh lain, cara kita masih mengekalkan suasana yang feudal dalam beberapa aspek hidup kita, termasuk daripada segi pergaulan biasa, cara kita menghadapi sistem kuasa, cara kita melakukan kerja-kerja kita memang masih terperangkap dalam budaya feudal ini. ada beberapa pihak yang menggunakan istilah neo feudal untuk menyifatkan keadaan kita, dan memang neo feudal. Permainan unsur-unsur neo feudal, emosional feudal tetapi dalam bentuk baharu. Bentuk baharu itu ialah bentuk moden ini, tetapi unsur-unsurnya feudal. Ada kes-kes tertentu di mana dalam kalangan keluarga, apabila seseorang itu mendapat gelaran tertentu, gelaran feudalnya—maafkan saya. Ibu, abang, atau adik, dia panggil individu itu dengan gelaran itu. Nama yang diberikan pada masa lahirnya diketepikan. Hal ini berlaku dalam masyarakat kita kerana kita terlalu menghargai yang feudal ini. kita menghargai gelaran-gelaran (feudal) ini. Begitu juga jika kita lihat aspek-aspek lain dalam kehidupan kita. Kenapakah ini penting dalam perbincangan intelektual? Kerana selagi adanya budaya ini, selagi kita menganggap budaya ini yang paling penting daripada segi kita mendirikan hubungan-hubungan dalam masyarakat kita. Selagi kita terperangkap dalam budaya ini, kita tidak akan cuba mengkaji, memahami, dan mendekati sesuatu yang penting dalam masyarakat. Ia termasuklah isu-isu yang berkait dengan kuasa. Kita tidak akan mendekati kuasa secara rasional. Saya akan memberikan beberapa contoh sebagai bukti tentang perkara ini. Kita tidak akan menghadapinya secara rasional kerana hubungan perkara-perkara ini diwarnai sentimen dan budaya feudal dalam konteks moden.

Begitu juga hadirin yang budiman, sejarah kolonial kita. Kita mewarisi sejarah kolonial ini. Walaupun kita telah menukarkan nama jalan raya, jalan-jalan di sana sini, tetapi kita masih mengagung-agungkan kolonialisme. Sekali lagi, ini bukan lagi soal struktur, ini soal sikap, sentimen, kita sering mengagung-agungkan. Itulah sebabnya pejuang-pejuang kita termasuk mereka yang memberikan gambaran bahawa mereka ini ialah jaguh anti kolonial dan sebagainya, tetapi mereka memang menghargai kolonialisme. Cara mereka berfikir, menghadapi isu-isu antarabangsa dan sebagainya, kuasa kolonial itu ialah kuasa yang penting. Mereka masih tunduk kepada kuasa kolonial ini. Banyak bukti-bukti tentang sikap ini. Itulah sebabnya jika kita lihat pelajar-pelajar kita, sekiranya kita memberika pilihan antara sebuah universiti yang ternama di England, dengan uniersiti tempat lain yang lebih tinggi mutunya, tetapi kerana ia bukan dari negara tertentu, mereka akan menganggap universiti yang satu lagi sebagai tidak memenuhi cita-cita mereka. Begitu juga cara kita menghargai biasiswa dan segala-galanya daripada pusat kolonial ini masih dipengaruhi budaya ini dengan kuat.

Franz Fanon pernah membincangkan soal ini dalam beberapa buku beliau, dalam kehidupan singkat beliau yang beliau tulis, termasuk The Wretched of the Earth; Black Skin White Mask; dan sebagainya. Beliau pernah membincangkan isu ini. Dalam beberapa tahun yang lalu ini, seorang intelektual India, Shashi Tharoor yang merupakan bekas diplomat kuat mengkritik kolonialisme dan sejarah kolonialisme di India. Beliau membangkitkan isu-isu yang belum pernah dibangkitkan oleh cendekiawan India tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam sejarah kolonialisme British di India. Sebagai contoh, orang memuji sistem British dalam pendidikan sebagai satu anugerah kepada India, sesuatu yang menguntungkan India. Akan tetapi, Shashi Tharoor berjaya menunjukkan bahawa sebenarnya sistem pendidikan yang wujud di India sebelum kolonialisme, daripada segi pembentukan karakter, impaknya jauh lebih baik daripada apa yang diusahakan oleh British di India. Begitu juga dengan sistem kesihatan, unsur-unsur tertentu dalam sistem kesihatan peribumi di India jauh lebih baik, tetapi ini diketepikan oleh masyarakat kita dan masyarakat di tempat-tempat lain kerana kita ini kuat dipengaruhi kolonialisme. Malaysia mungkin lebih buruk keadaannya kerana di sini tiada kritikan langsung tentang aspek-aspek tertentu. Tiada kritikan tertentu tentang sistem ekonomi British yang mendalam. Tiada kritikan terhadap penindasan yang berlaku di bawah British dalam beberapa aspek hidup.

Saya masih ingat setengah abad yang lalu, saya ingat antara individu-individu yang membangkitkan isu ini ialah Saudara Abdul Rahman Embong. Beliau membangkitkan isu ini secara popular supaya kita memahami apa yang berlaku. Termasuk juga rakan saya, Saudara Abdul Halim Ali, tetapi secara keseluruhannya tiada suatu sikap kritis yang membina, sikap kritis yang berdasarkan fakta-fakta terhadap kolonialisme. Sampai sekarang tidak wujud. Itulah yang saya maksudkan sebagai tiada rupture atas sikap kita terhadap feudalisme dan kolonialisme sebagai warisan sejarah. Tiada rupture yang tulen. Oleh sebab itulah tiada pertumbuhan intelektual. Kolonialisme tidak membenarkan penilaian yang rasional terhadap dasar mereka, kuasa mereka, dan sebagainya.

Oleh kerana tiada penilaian rasional, kita tidak dapat menilai apa yang berlaku dewasa ini daripada kolonialisme khususnya secara rasional. Jika kita dapat menilai apa yang benar-benar berlaku, barulah kita dapat melahirkan naratif yang lebih membina tentang negara kita; tentang hubungan kaum, soal ekonomi, politik dan sebagainya. Itu tidak wujud kerana sikap kita terhadap kolonialisme. Itulah yang saya maksudkan dengan sejarah. Apa yang kita warisi daripada sejarah, unsur-unsur tertentu. Perubahan kita, meskipun kita sudah ubah dengan merdeka, ada bendera sendiri, lagu kebangsaan dan sebagainya, tetapi unsur-unsur terpenting daripada epoch sejarah ini masih menghantui kita—feudalisme dan kolonialisme. Selanjutnya, ini membawa kesan kepada intelektual dalam masyarakat kita.

Satu lagi faktor yang menghalang perkembangan intelektualisme dalam masyarakat kita ialah perkauman di negara kita. Perkauman pada hemat saya juga pada saya, menguasai pemikiran kita. Bermakna bahawa sekiranya di tempat lain, di mana perkauman tidak mendominasi perbicaraan, mendominasi cara kita menghadapi isu-isu tertentu, tidak di negara kita. Mungkin di tempat lain mereka dapat menilai sesuatu secara lebih rasional. Di negara kita, oleh kerana perkauman ini kita tidak dapat menilai. Saya berikan satu contoh ketara kepada kita semua. Isu pendidikan, isu pengisian, falsafah pendidikan kita, kita tidak bincangkan secara mendalam, menyeluruh apa isinya kerana pendidikan di negara kita dikuasai soal kaum, bahasa. Kita lebih sering menimbulkan soal bahasa yang mendominasikan perbincangan kita, walhal kita tahu bahawa pendidikan itu lebih daripada soal bahasa. Ia jauh lebih luas daripada soal bahasa pengantar dan sebagainya. Perkauman menjadi isu besar di negara kita. Ia mempengaruhi kita. Begitu juga dengan ekonomi, kita tidak dapat mengadakan perbincangan yang rasional tentang ekonomi kerana perkauman. Ia menghantui perbincangan kita. Soal politik, falsafah politik dan sebagainya dipengaruhi oleh perkauman. Bermakna perkauman menghalang kajian dan kefahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu besar yang menghantui negara kita. Walhal, sebahagian isu atau perkara itu kita boleh bincangkan tanpa merujuk kepada soal kaum, tetapi kita masih dipegang oleh soal kaum, dengan erti katanya yang sempit.

Saudara-saudari yang budiman,

Terdapat satu lagi faktor yang menjadi penghalang. Sejak merdeka terutamanya, dan dasawarsa sebelumnya, dalam 30 ke 40 tahun yang lalu ini, soal politik kepartian. Segala-galanya ditentukan oleh politik kepartian. Bermakna apabila kita ingin memahami sesuatu isu, kita menggunakan lensa politik kepartian. Kita tahu bahawa politik itu tidak semestinya politik kepartian. Ada perspektif-perspektif lain daripada segi politik yang lebih luas daripada politik kepartian. Kita hendak menggalakkan orang muda memahami, mengadakan perubahan, kita menyelesaikannya dengan parti politik. Kita tubuhkan parti politik untuk golongan muda. Itu sebagai penyelesaian. Walhal, mungkin penyelesaiannya bukan melalui politik kepartian kerana dalam politik kepartian kita terpaksa mengakuri pengaruh kuasa, kerusi, jawatan, dan sebagainya. Hal ini akan mempengaruhi kefahaman kita tentang politik. Akan tetapi, itulah yang berlaku. Politik kepartian yang membawa juga impak terhadap kefahaman kita dan kefahaman mendalam tentang politik itu tidak wujud kerana tiada proses pemikiran yang mendalam terhadap isu-isu ini. Ia termasuk politik yang kita warisi daripada kolonial British. Adakah ini yang paling sesuai bagi negara kita? Kita membincangkan perkara ini melalui lensa politik kepartian, walhal mungkin politik kepartian itu menjadi masalah dalam soal ini.

Satu faktor yang mengekang kita daripada melahirkan persekitaran yang lebih sihat untuk kegiatan intelektual di negara kita ialah pengaruh daripada ekonomi. Apakah yang dimaksudkan oleh saya? Kita ini ialah salah satu negara-negara yang daripada satu segi telah berjaya daripada segi ekonomi, perkembangan ekonomi, dan sebagainya. Daripada satu segi itulah kita seakan-akan semakin tidak peduli untuk mengetahui isu-isu dengan lebih mendalam tentang ekonomi. Sebagai contoh, oleh kerana kita ini percaya kepada mitos pertumbuhan, bahawa pertumbuhan ialah segala-galanya yang mana ditakrifkan oleh pihak-pihak tertentu, oleh sistem pasaran dan sebagainya kita telah membenarkan satu keadaan untuk berkembang di negara kita yang mana jurang perbezaan antara kaya dan miskin sejak dasawarsa 1990-an semakin lama semakin lebar. Dalam satu-satu keadaan, kita dibandingkan dengan negara-negara yang mungkin lebih miskin daripada Malaysia, tetapi jurang kaya-miskin mungkin lebih baik daripada kita. Kita membenarkan itu berlaku dalam satu keadaan, satu suasana di mana yang penting itu ialah pertumbuhan dalam erti kata yang sempit. Saya tidak menafikan betapa pentingnya pertumbuhan. Saya faham kepentingannya, tetapi sekiranya pertumbuhan itu tidak dikaji secara mendalam, kita tidak mengaitkannya dengan keadilan, pengagihan dan sebagainya. Akhirnya, kita bakal menghadapi macam-macam masalah yang akan menafikan segala pencapaian kita yang sedang berlaku dewasa ini. Ini juga berhubung kait dengan soal intelektual kerana kita tidak memikirkan dengan mendalam tentang isu-isu ini.

Kita mempunyai Rukun Negara. Antara cita-citanya adalah mewujudkan masyarakat yang adil, dan kita mengagihkan kekayaan secara adil. Akan tetapi, kita boleh pula melaung-laungkan Rukun Negara, tanpa menyedari bahawa kita telah melanggarnya. Tanpa memahami bahawa dalam beberapa aspek Rukun Negara, kita rupanya telah melanggar aspirasinya. Penyelesaian mereka, cara mengatasi yang saya maksudkan kepada yang berkuasa dan pihak-pihak tertentu, mereka tidak mahu membincangkan tentang cita-cita. Itulah cara mereka. Jika mereka membincangkan cita-cita, mereka akan membongkarkan kelemahan mereka, tentang cara hidup yang demokratik, masyarakat yang adil, masyarakat yang progresif berasaskan sains dan teknologi. Kita hanya membincangkan tentang lima prinsip utama. Pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Bagaimana kita hendak menilai prinsip ini? Adakah kita ini masyarakat yang benar-benar percaya kepada Tuhan? Setengah pihak yang progresif mungkin mengatakan bahawa kita ini tidak percaya jika kita lihat apa yang berlaku kepada masyarakat kita dan masyarakat lain yang dalam keadaan sama. Tetapi kita menjadikannya—‘Kepercayaan kepada Tuhan’—sebagai satu cogankata. Begitu juga ‘Kedaulatan Undang-Undang’. Kita melanggar kedaulatan undang-undang, menceroboh kedaulatan undang-undang, tetapi kita melaungkannya sebagai prinsip kita. Begitulah caranya kerana tiada pemikiran secara mendalam.

Saya ingin tegaskan serba sedikit sebelum beralih kepada satu, dua inti perbincangan terakhir. Tentang soal Rukun Negara. Mungkin kita ini satu-satunya negara yang menciptakan apa yang disifatkan sebagai falsafah nasional. Itu istilah yang digunakan oleh Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Yang Di-Pertuan Agong Keempat, Al-Marhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin (Terengganu). Rukun Negara telah diisytiharkan bahawa ini ialah falsafah nasional. Selepas itu, ada yang menggunakan istilah ideologi nasional. Sama ada ia falsafah atau ideologi, kedua-dua ini adalah berbeza daripada segi maknanya. Tetapi, sama ada falsafah atau ideologi, kita juga menggunakan istilah yang lebih ringkas seperti prinsip, cita-cita, dan sebagainya. Namun, apa yang penting negara yang telah menggubal satu naskhah dokumen sedemikian rupa, bagaimanakah kita boleh kemudian harinya mengenepikan ia dengan begitu mudah? Inilah yang berlaku di negara kita. Kita mengenepikan, kita tidak mengamalkannya, kita tidak menilainya, kita tidak memberikan tumpuan kepada Rukun Negara. Bandingkanlah keadaan kita dengan Indonesia. Rakyat Indonesia memahami Pancasila. Pancasila itu mungkin lebih ringkas prinsip-prinsipnya. Kita ini ada lima prinsip dan lima cita-cita.

Daripada segi perbincangan, usaha untuk memahami perkara-perkara ini secara mendalam, negara kita, saya menyatakan ini secara terbuka, lebih mendalam daripada Pancasila. Ada sebabnya kita menggariskan prinsip dan cita-cita. Prinsip ialah usaha untuk kita mencapai cita-cita. Ini ialah produk perbahasan mendalam oleh beberapa kumpulan; ahli-ahli politik, ahli akademik, dan sebagainya. Bagaimanapun, daripada segi amalan, implementasi, kita mengabaikan Rukun Negara kita. Sebenarnya, hadirin yang budiman, inilah bukti ketandusan intelektual di negara kita. Ia sebuah bukti tentang masyarakat daripada satu segi intelektual boleh disifatkan sebagai kosong—hollow society. Oleh sebab kita sesama warga di negara ini, maka saya ingin menyatakan secara berterus terang bahawa inilah buktinya kegagalan kita. Kita sudah cuba, beberapa individu untuk membawa kita kepada prinsip-prinsip dan cita-cita asal dan hujah-hujah yang disampaikan pada masa itu, tetapi pihak pemerintah dan pihak lain tidak ambil kisah. Ia termasuk golongan akademik. Itu yang menyedihkan. Baru sahaja beberapa hari lalu, seorang akademik menganggap pihak pengkritik pendekatan pemerintah terhadap Rukun Negara sebagai subversif. Pengkritik ini dianggap hendak meruntuhkan sistem kenegaraan kita. Itulah masalah kita dalam mendekati suatu usaha yang begitu murni—kerana cita-cita dan prinsip-prinsip Rukun Negara itu—tetapi telah diketepikan kerana kita tidak mempunyai daya pemikiran untuk memberikan makna kepada cita-cita Rukun Negara yang penting ini.

Selain itu, mungkin wujud satu lagi faktor yang mengesankan kelambatan proses intelektual dalam masyarakat kita. Saya tidak berani membincangkan perkara ini dalam khalayak ramai. Kemungkinannya ialah kita ini mewarisi satu sikap menafikan unsur-unsur intelektual dalam kehidupan kita. Saya pernah menyifatkan ini sebagai sindrom Hang Nadim. Itu mungkin kuat dalam masyarakat kita. Jikalau ada pihak-pihak yang ada unsur-unsur kepintaran, kita cuba ‘bunuh’ dia. ‘Bunuh’ dalam konteks moden tidak sama dalam konteks sejarah Melayu. Dibunuh bermakna kita mengenepikan, kita tidak mahu memberikan tempat kepada individu-individu yang kita anggap sebagai boleh berfikir. Kita takut kerana kita lebih menghargai mediocrity. Istilah paling sesuai bagi mediocrity bukan kesederhanaan, tetapi tiada standard, mutu, dan nilai yang tinggi. Kita rasa lebih selesa dalam keadaan sedemikian rupa. Itulah sebabnya ada yang berasa iri hati, cemburu. Ia ada dalam buku Revolusi Mental yang diterbitkan oleh pemerintah yang didakwa ada dalam masyarakat Melayu. Begitulah mungkin masalah yang kita hadapi.

Intelektual dan Ironinya

Saudara-saudari yang budiman,

Saya ingin mengemukakan satu ironi atau keadaan ironi dalam perbicaraan kita tentang intelektual. Ia supaya kita dapat memikirkan soal ini dengan mendalam. Segala faktor-faktor yang saya bincangkan tadi yang bertanggungjawab terhadap keadaan kita dewasa ini; kenapa kita tidak menghargai intelektual dan sebagainya, kenapa pada hemat saya kita ini tiada tradisi, tiada budaya intelektual dan sebagainya. Memang tiada. Akan tetapi, di negara yang begitu miskin, begitu daif daripada segi intelektual, jika kita bandingkan Malaysia dengan negara-negara yang lebih kuat daripada segi intelektualnya, jelas jika bandingkan Malaysia dengan Indonesia, Filipina, Vietnam. Contoh-contoh dari Asia Tenggara. Kita lebih berjaya.

Saya pernah membuat joke tentang perkara ini beberapa tahun dahulu. Kita ambil contoh dua individu yang ke universiti masyhur, University of Cambridge. Mungkin zamannya berbeza sedikit. Tetapi, seorang individu yang begitu kuat intelektualnya yang balik dan menjadi Perdana Menteri negaranya, dan seorang individu yang tidak berapa endah kepada kegiatan intelektual, balik dari universiti yang sama. Beliau juga menjadi Perdana Menteri. Antara dua individu ini, jika kita nilai daripada segi kejayaan politik, yang lebih berjaya ialah yang kurang intelektual. Yang saya maksudkan contoh pertama ialah Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri Pertama India. Beliau dari Cambridge, menulis buku-buku sejarah India, The Discovery of India. Nehru seorang yang kuat imej intelektualnya. Akan tetapi, beliau gagal dalam beberapa perkara tentang penyatuan India, masalah tentang kaum. Malaysia juga mempunyai masalah perkauman, tetapi kita mempunyai Perdana Menteri Pertama, balik dari Cambridge, Tunku Abdul Rahman yang tidak berapa minat buku-buku, kita tahu Tunku. Namun, beliau lebih berjaya. Ini jika kita nilai kedua-dua individu dalam soal tentang dua negara ini,  cara bagaimana mengurus negara dan masalah kaum. Beliau memahami emosi kaum, dan impak emosi kaum terhadap masyarakat lebih daripada pemimpin-pemimpin yang lebih bijak seperti Nehru. Dalam konteks India, Nehru terpaksa menggariskan semula sempadan berdasarkan perbezaan bahasa dan kaum. Selepas beliau menggariskan perlembagaan tertentu bagi negaranya, terpaksa kerana keadaan, rusuhan kaum seperti rusuhan Punjab dan sebagainya. Akan tetapi, Tunku dari awal lagi memahami impak daripada perasaan kaum. Beliau menubuhkan satu gabungan yang mengakui betapa kuatnya perasaan dan sentimen kaum. Beliau berjaya dan tidak dapat kita nafikannya. Pada tahun 1955, selepas itu berjaya memerintah dan menghilangkan masalah-masalah tertentu.

Hal ini bermakna para hadirin yang budiman, intelektual itu inilah yang ironi. Ia tidak semestinya berjaya (kerana keintelektualannya). Kemungkinannya ialah wujud faktor-faktor lain apabila kita membincangkan, menilai keadaan dan kejayaan satu-satu masyarakat. Tidak semestinya kita hanya tertumpu kepada intelektual. Bermakna jika kita bandingkan dengan negara-negara tertentu, Indonesia, Vietnam, Filipina, dengan kita (Malaysia), mereka itu lebih berjaya daripada segi perjuangan kemerdekaan mereka, dinamik dan sebagainya. Namun, daripada segi urus tadbir atau governans, kita lebih berjaya. Apakah itu bermakna intelektual sebagai unsur dalam governans atau pemerintahan tidak begitu penting? Apakah ini yang dimaksudkan saya? Jika kita ingin membincangkan governans sebagai salah satu aspek pemerintahan, mungkin peranan intelektual dalam beberapa pihak tidak begitu penting. Walau bagaimanapun, peranan dan sumbangan intelektual itu penting dalam keadaan-keadaan tertentu.

Tiga Cabaran di Malaysia dan Keperluan Peranan Intelektual

Saya ingin akhiri persembahan saya ini dengan memberikan tiga contoh dari negara kita secara ringkas yang menunjukkan walaupun kita berjaya daripada segi politik, ekonomi berbanding dengan beberapa negara lain, kestabilan, keharmonian dan sebagainya. Kita mungkin menghadapi masalah-masalah besar pada masa hadapan kerana tiada kuasa intelektual ini. Ini cara kita menghadapi masalah-masalah yang saya maksudkan.

Pertama, integrasi kaum. Malaysia berbilang kaum. Bagaimana cara untuk kita menyatu padukan masyarakat di negara kita soal perpaduan, soal keperibadian negara dan sebagainya. Soal-soal besar. Jika tidak kita fikirkan secara mendalam, hingga kini tidak kita fikirkan secara mendalam, kita akan terus dicabar oleh persoalan integrasi, perpaduan, dan sebagainya. Seperti mana pernah dibincangkan oleh Profesor Syed Naquib al-Attas, cara kita mendekati soal perpaduan, kita ini seperti ketam. Ketam itu kerana caranya berjalan. Syed Naquib pernah menyatakan cara kita menangani soal hubungan kaum seperti ketam. Tidak cuba memahami isu secara terus, isu yang paling penting. Pada hemat saya, yang memisahkan kaum-kaum kita, konsepsi kaum-kaum kita, Melayu, Cina terutamanya tentang apa negara, apa bangsa Malaysia. Selepas 63 tahun, kita masih belum mencapai muafakat dalam soal ini. Apa itu nasion? Apa itu Melaysia? Apa yang dimaksudkan dengan identiti negara kita? Secara superficial mungkin ada, tetapi secara mendalam, tiada a shared concept of the nation. Ia tidak wujud. Ini perkara penting kerana ia isu yang berhubung kait dengan asal-usul Malaysia. Bagi sebahagian besar daripada masyarakat bukan Melayu di negara ini, nasion ini mungkin suatu yang wujud setelah mereka bermastautin di Malaysia. Sesuatu yang timbul setelah Perjanjian Merdeka. Itu cara mereka memahaminya. Bagi sebahagian besar masyarakat Melayu, nasion bermakna satu sistem kenegaraan yang wujud sebelum merdeka melalui kesultanan Melayu. Bermakna kesultanan Melayu secara kolektif ialan nasion Melayu. Memang wujud nasion Melayu, tetapi bagi sebahagian besar bukan Melayu tidak boleh menerimanya. Konsepsi tentang negara ini mesti ditangani dan diatasi. Ia memerlukan peranan golongan intelektual yang boleh menulis, berbincang, dan berbahas soal ini. Ini memerlukan secara prasyaratnya beberapa Melayu dan bukan Melayu yang memahami isu ini sebagai konsensus. Daripada pihak bukan Melayu, nasion tidak bermakna bahawa sistem kesultanan yang telah wujud sejak dahulu tiada perubahan. Ia juga salah. Sistem kesultanan itu sendiri sudah berubah daripada monarki mutlak kepada Raja Berperlembagaan. Bagi bukan Melayu, realiti tentang the Malay polity inilah yang mempengaruhi politik sejak merdeka. Isu kewarganegaraan, isu bahasa, isu Islam, isu hak keistimewaan dan segala-galanya berhubung kait dengan soal the Malay polity. Contoh yang begitu ketara. Kita tiada konsensus, justeru kita dihantui dengan cabaran.

Kedua, secara ringkas. Isu yang mengejutkan saya dan saya anggap sebagai suatu yang begitu memalukan di negara kita. Sudah tiga kali hal ini berlaku. Mungkin ini akan berlaku beberapa kali lagi dalam sejarah negara kita. Sistem mahkamah membuat keputusan tertentu melalui perbicaraan dan sebagainya. Kita menganggap sistem mahkamah kita itu ada peranan dan sebahagian daripada sistem perundangan dan kehakiman kita. Sistem kehakiman membuat keputusan. Orang yang dianggap salah, daripada segi undang-undang kita sendiri, kita anggap dia sebagai hero, kita memuja dia. Maaf, saya memang tahu kelebihan yang ada pada individu ini. Ini sebagai contoh. Ia bermula dengan Datuk Harun Idris. Salah daripada segi undang-undang. Kes itu begitu jelas, tetapi dianggap sebagai hero. Selepas itu, kes Anwar Ibrahim. Sekali lagi undang-undang, hampir semua hakim yang terlibat termasuk hakim yang membebaskan Anwar, Tun Hamid menyatakan dalam penghakiman bahawa kesalahan ini berlaku. Tetapi, kita punya masyarakat tidak. Saya pernah menyatakan suatu ketika dahulu, jika malaikat turun dan mengatakan bahawa Anwar ini salah, maka orang menyatakan bahawa malaikat ini telah ‘dibeli. Mereka tidak boleh percaya dan terima. Ketiga, kes Datuk Seri Najib Razak. Sebab itulah saya sudah mula memikirkan tentang isu ini. Masih begitu ramai beliau punya penyokong. Situasi begini tidak betul, tetapi itulah pendirian mereka dengan mendukung beliau. Ini suatu isu yang penting. Isu ini berkait dengan soal etika. Apakah asas etika dalam masyarakat kita? Bagaimanakah kita menanggap soal-soal etika? Sekiranya kita tidak boleh membezakan antara yang hak dan batil, yang benar dan salah, apakah maknanya? Masyarakat seolah-seolah terkeliru, bahkan sebenarnya yakin bahawa apa yang mereka lakukan itu betul; menyokong pesalah.

Ketiga, perkara yang masih belum berlaku, tetapi sudah ada tanda-tanda. Isu yang dihadapi Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara. Apakah masa depan Asia Tenggara? Kenapakah isu ini penting? Ia adalah kerana identiti Asia Tenggara akan dicabara pada dasawarsa-dasawarsa akan datang, dalam persaingan antara Amerika Syarikat dan China. Kita tidak dapat mengelakkan ini kerana China ialah jiran kita secara geografi yang tidak berubah. Obsesi Amerika Syarikat pada masa ini pula ialah kuasanya dan kemerosotan kuasanya. Kawasan yang mungkin menjadi mangsa ialah Asia Tenggara. Soal tentang identiti, kekuatan, kedudukan, dan pertahanan kita penting. Adakah negara-negara ASEAN membincangkan secara mendalam, secara intelektual tentang identiti ASEAN dalam pergolakan antarabangsa?

Kita hanya membincangkan isu-isu tertentu berkaitan dengan hal ini sehari ke sehari, tetapi secara mendalamnya tidak banyak perbincangan yang berlaku. Akhirnya, masa depan kita akan ditentukan oleh faktor-faktor dalam perkembangan yang berlaku di luar kawalan kita. Ia memerlukan kajian secara mendalam dan kolektif oleh ASEAN.

Demikianlah maksud saya dengan intelektual dalam masyarakat. Fikirkan, kaji dengan mendalam, memahami arah aliran perkembangan-perkembangan tertentu. Walaupun dalam mengendalikan soal-soal, cabaran-cabaran harian itu mungkin kita berjaya, tetapi yang lebih besar ialah sama ada kita berjaya menangani cabaran itu. Itulah sebabnya saya mendapati intelektual mempunyai peranannya, khususnya cendekiawan muda, bukan seperti saya dan rakan-rakan yang sudahpun berusian 70-an. Cendekiawan mudalah yang akan menghadapi cabaran-cabaran ini. InsyaAllah saudara-saudari akan dapat menghadapi cabaran-cabaran ini. Terima kasih.

SESI PERBINCANGAN

TEO LEE KEN: Terima kasih Dr. Chandra Muzaffar atas kuliah yang begitu baik. Saya rasa seperti suatu renungan tentang pengembaraan Dr. Chandra. Saya tidak pasti sama ini satu komen atau pertanyaan. Saya selalu memikirkan bagaimana sebagai seorang sarjana boleh melakukan satu impak positif kepada masyarakat dan dunia. Saya tahu sebentar tadi Dr. Chandra sudah kongsikan semua, tetapi pada pandangan saya, ia lebih rumit dan susah daripada itu. Seperti dikongsikan tadi ada nilai-nilai integriti, moral, tetapi aras masyarakat dunia sebenarnya tidak sebegitu mudah. Saya boleh katakan bahawa saya dan rakan-rakan mungkin melakukan kajian yang bagus, idea yang bagus, tetapi tidak dapat mengubah masyarakat, memahami masyarakat seperti yang Dr. Chandra sebutkan tentang bagaimana orang masih boleh memberikan sokongan kepada ‘Malu Apa Bosku’. Sedangkan, di Amerika Syarikat sendiri, Presiden mereka sudah positif Covid-19, tetapi masih begitu tegar menyokong. Jadi, mungkin komen, pertanyaan atau renungan. Banyak yang kita boleh lakukan, kita bicarakan, tetapi apabila soal menjalankan, kita terhambat di situ.

FATIMAH TAJUDDIN: Berdasarkan perkongsian Dr. Chandara sebentar tadi, ia menggambarkan bahawa cendekiawan muda tiada tradisi. Saya seperti bersetuju. Pengalaman kami ketika masih berada di IPTA dan IPTS, saya sendiri sudah ke empat buah universiti. Sindrom Hang Nadim yang anda nyatakan itu, mencantas young scholars yang ingin berfikir itu betul. Bagaimanakah cendekiawan muda boleh menangani isu ini terhadap institusi? Hal ini kerana saya berkongsi pemikiran yang sama dengan Dr. Teo Lee Ken bahawa kita sebagai akademik muda telah cuba melahirkan banyak karya-karya tetapi masyarakat masih tetap sama. Ia seolah-seolah memberikan gambaran ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita. Apakah cadangan Dr.?

AB BASSIT HUSAIN: Saya nampak soal realiti atau impak modeniti. Seperti mana Dr. menyebut tentang senario ‘Malu Apa Bosku’, ia menimbulkan pertanyaan adakah masyarakat kita masih belum terimpak dengan modeniti, seperti perkauman itu masih lagi menebal. Dari 1970-an hingga kini, kita telah pesat membangun, tetapi kerangka pemikirannya masih lagi sama. Masih lagi terikat kepada budaya lama. Tidak rasional, legal.

MOHD HARISZUAN JAHARUDDIN: Soalan saya berkait dengan soalan Saudara Bassit berkenaan dengan apa yang Dr. sebutkan tadi sebagai feudalisme, feudalisme tidak formal atau neo feudal yang masih berlaku dalam masyarakat kita. Dr. menerangkan juga ciri-ciri neo feudal dalam masyarakat kita, dengan khusus mengaitkannya sebagai suatu cabaran kepada akademia. Tetapi, adakah ia benar-benar wujud dalam dunia akademia kita dan apakah bentuknya?

RAMZE ENDUT: Saya berminat dengan kenyataan terakhir Dr. Chandra yang menyebut tentang tugas cendekiawan untuk mewujudkan identiti ASEAN. Berkenaan perihal tersebut, ia menimbulkan satu pertanyaan kepada saya tentang setakat manakah keperluan untuk kita wujudkan satu identiti bersama, berasaskan kepada geografi keserantauan? Dalam keadaan masyarakat kita yang semakin kompleks, adakah masih wujud keperluan tersebut kerana kita tahu dengan proses modenisasi dan globalisasi menyebabkan sempadan mungkin tidak begitu penting. Sudah tentu keadaan ini akan menjadikan perkara identiti yang berasaskan ruang dan tempat turut menjadi kurang signifikan.

MUHAMAD AZWAN ABD RAHMAN: Dr. Chandra ada bercakap tentang masa depan Asia Tenggara. Menurut Price Waterhouse Coopers (PWC), Indonesia akan menjadi ekonomi yang keempat terbesar di dunia. Apakah kesan segeranya terhadap Malaysia atau sama sahaja?

DR. CHANDRA MUZAFFAR: Terima kasih atas soalan-soalan yang begitu bernas. Saya akan cuba menjawab soalan-soalan ini dengan menggabungkan soalan-soalan tertentu.

Soalan pertama dan kedua, usaha-usaha telah dilakukan tetapi masalah yang kita hadapi bagaimana ingin melaksanakan idea-idea perubahan kepada pihak-pihak tertentu dan sebagainya. Oleh kerana perbincangan saya berkenaan perkara-perkara tertentu yang mungkin kita hadapi, saya tidak menyentuh tentang pencapaian kita. Sekiranya kita hendak melihat isu ini secara adil, banyak pencapaian dan perubahan yang berlaku. Saya berikan dua contoh yang menunjukkan bahawa perubahan-perubahan boleh berlaku. Ini adalah akibat daripada usaha-usaha beberapa individu sepanjang zaman yang kita sendiri tidak sedar. Pertama, tentang kesedaran dalam kalangan tentang rasuah. Betapa pentingnya kita menentang rasuah. Malaysia ialah negara pertama dalam kalangan negara-negara yang dirujuk sebagai global south atau negara Dunia Ketiga yang mendirikan institusi khusus untuk melawan rasuah, anti korupsi. Ia ditubuhkan pada tahun 1967 dengan pengarah pertamanya, Almarhum Harun Hashim. Kita ialah negara pertama yang menggubal undang-undang tentang rasuah dalam kalangan negara-negara di global south. Akan tetapi, dalam tempoh beberapa dekad ini, terdapat banyak masalah rasuah dan sebagainya. Dahulu juga ada masalah rasuah, tetapi yang membezakan keadaan sekarang, lebih ramai kumpulan-kumpulan masyarakat; lebih ramai individu, institusi, termasuk individu-individu dalam golongan yang memerintah yang menyuarakan dan menentang rasuah secara terbuka. Itulah sebabnya perubahan-perubahan berlaku. Daripada segi status agensi anti rasuah, jauh lebih bebas sekarang berbanding 30 tahun dahulu. Semasa zaman Tan Sri Harun Hashim, agensi anti rasuah adalah cabang di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi kini berbeza kedudukannya. Undang-undangnya juga jauh lebih ketat berbanding zaman dahulu. Namun, cabaran lebih besar sekarang kerana keadaan ekonomi, perubahan-perubahan yang berlaku. Kesedaran itu sudah meningkat dalam kalangan rakyat kita. Ia contoh penting bahawa perubahan boleh berlaku dan kita tidak menyedari kesan-kesan. Selalunya manusia memberikan reaksi terhadap keadaan tertentu. Mereka tidak berfikir secara historikal, melihat ke belakang. Sekiranya kita menganggap rasuah itu sebagai suatu penyakit, kita mestilah menyedari peningkatan kesedaran tentang rasuah ialah kejayaan yang besar dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh kembali kepada satu keadaan di mana seperti mana berlaku zaman seorang Menteri Pendidikan diheret ke mahkamah kerana rasuah. Tiada reaksi daripada masyarakat pada masa itu. Menteri Pendidikan yang saya maksudkan ialah Abdul Rahman Talib. Jumlahnya kecil, tetapi masyarakat selain daripada ahli-ahli politik, reaksi mereka tidak kuat. Namun, sekarang apabila ada Menteri tidak menjalankan kuarantin kendiri, bergaul dengan bebas dan sebagainya, reaksinya kuat daripada masyarakat kita. Begitu juga dengan beberapa isu lain yang berhubung kait dengan pemerintah. Suatu perubahan yang penting kerana saya menganggap iltizam untuk menyatakan kebenaran kepada mereka yang berkuasa timbul dalam setiap masyarakat. Inilah salah satu sebabnya Kesatuan Soviet itu runtuh kerana mereka menindas hak rakyat untuk menyatakan apa yang mereka anggap benar terhadap sang penguasa. Anda perlu membenarkan mereka menyatakan kebenaran kepada sang penguasa. Ini ialah suatu kejayaan rakyat Malaysia, bukan kerajaan semata untuk mengubah sikap. Mereka menggunakan ruang dan memperluas ruang yang ada. Sama ada mengenai pilihan raya yang bersih, isu tingkah laku pemimpin-pemimpin, ada keberanian untuk menyatakan pendapat sepertimana dahulu. Sememangnya ada perubahan secara legal, termasuk Internal Security Act (ISA) dalam bentuk lama itu telah digugurkan. Itu juga satu pencapaian kepada masyarakat kerana ada yang terus mendesak ISA digugurkan. Kerajaan yang mahu sokongan rakyat terpaksa menggugurkannya. Kedua ialah contoh isu alam sekitar. Saya tahu semasa rakan lama saya, Gurmit Singh dan Almarhum S.M. Mohamed Idris memperjuangkan isu alam sekitar, tidak ramai yang ambil kisah, tidak menyahut seruan mereka, tetapi isu alam sekitar menjadi isu besar di negara kita. Ada beberapa pihak yang cakna terhadap alam sekitar mendesak pemerintah untuk memberikan respons. Bermakna bahawa perubahan boleh berlaku. Ia akan memakan masa yang lama dan adakalanya ia berlaku dengan pantas. Namun, usaha itu mesti ada. Kita perlu gigih dan beriltizam dalam meneruskan perjuangan. Itu jawapan saya kepada dua soalan pertama tadi.

Tentang soalan keprihatinan saudara yang melihat pemberatan perbincangan isu-isu bersifat perkauman, sama ada ia menunjukkan bahawa kita belum benar-benar mencapai tahap masyarakat yang berunsurkan modeniti. Maaf saudara, saya tidak menganggap isu perkauman sebagai isu tradisional atau out-to-date. Sebabnya, saya tidak bersetuju dengan mereka yang cuba mengklasifikasikan isu kaum sebagai primitif atau mundur; isu-isu yang anti moden. Ia merupakan isu masyarakat yang wujud sepanjang sejarah manusia. Ahli antropologi yang masyhur, Clifford Geertz ialah antara ahli kaji masyarakat yang membuat klasifikasi begini yang mana saya berpendapat pandangan beliau dan individu-individu lain juga adalah kurang tepat. Ia bukan isu yang primordial, tetapi isu yang real yang harus kita hadapi. Contoh yang saya beri seperti Tunku Abdul Rahman dan Nehru. Tunku sangat memahami apa isu sebenar bahawa untuk menubuhkan parti politik pelbagai kaum pada dasawarsa 1950-an, bahkan kini bukan mudah kerana sejarah kita. Kesedaran tentang apa yang kita sebutkan sebagai the Malay polity. Ia bukan sesuatu yang primordial. Ia sejarah yang dialami, dirasai sebahagian besar daripada masyarakat kita. Ia perlu diambil kira. Jika kita hanya hidup dalam segolongan yang disebut sebagai ‘the Bangsar bubble’, golongan yang memperjuangkan hak asasi manusia, tetapi tanpa memahami keadaan sebenar. Istilah ini bagi mereka yang digambarkan berpendidikan Inggeris pada keseluruhannya, mempunyai perspektif tertentu, walhal jika kita benar-benar cuba memahami pandangan mereka, mereka juga sangat-sangat komunal kerana mereka tidak mahu memahami perasaan dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu majoriti masyarakat negara ini. Anda juga harus memahami mereka jika anda benar-benar memahami hubungan kaum di negara kita. Pada hemat saya, ini bukan primordial. Kita harus ambil kira perasaan, emosi, dan sebagainya dalam proses pembinaan negara kita. Itu amat penting sekali. Itulah kekuatan yang ada pada Perlembagaan kita. Meskipun ia ada kelemahan, tetapi kekuatan, keistimewaan Perlembagaan kita secara halus, sofistikated, mengambi kira keadaan sejarah dan kontemporari. Cuba kita lihat Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia bukan sebahagian daripada proses tawar-menawar politik, tetapi ia merupakan sejarah. Kedudukan Bahasa Melayu ialah sesuatu yang berakar umbi dalam sejarah. Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Sekali lagi, soal memahami isu-isu yang berhubung kait dengan kaum dalam konteksnya. Kenapakah UMNO dan Perikatan (rakan-rakannya MCA dan MIC) menekankan isu ini? Raja-Raja Melayu tidak bersetuju tentang hal itu. Ia bukan kerana mereka adalah sekular. Mereka tidak setuju kerana isu agama ialah isu Raja-Raja. Itu bidang kuasa mereka. Mereka tidak mahu bidang kuasa mereka diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Itu sebabnya mengapa mereka tidak bersetuju. Perikatan, khususnya UMNO mahukan Islam sebagai agama persekutuan. Mereka mahukan Islam sebagai agama rasmi bukan kerana ingin kepada Islamic state. UMNO tidak mahu. Tetapi, kenapa? Kerana mereka mengambil berat mengenai identiti Melayu. Asas kepada identiti Melayu ialah Islam. Apabila mereka mengadakan takrif identiti ‘Melayu’ dalam Perlembagaan Persekutuan, siapakah Melayu? Sekali lagi ‘Bangsar bubble’ ini tidak faham siapa Melayu. Ia agama, bahasa dan adat. Ini tiga perkara utama kerana tiada mana-mana takrif Melayu secara antropologi, secara fisiologikal kerana takrif Melayu sangat kosmopolitan. Salah satu komuniti yang begitu kosmopolitan di dunia. Sesuatu yang harus dibanggakan. Maka, mereka menerapkan tiga ciri yang berdasarkan kepada sejarah. Identiti nasion secara semula jadinya berkait dengan identiti Melayu, khususnya dua ciri iaitu agama dan bahasa. Hal ini bermakna isu ini begitu penting. Kita perlu memahami konteksnya. Jika kita hanya bergantung kepada definisi-definisi dengan latar belakang yang jauh berbeza, kita tidak berupaya memahaminya.

Seterusnya mengenai soalan unsur-unsur feudal di universiti. Saya berikan satu contoh daripada bekas universiti saya USM tentang sikap feudal ini dalam konteks realiti. Ada satu peristiwa dahulu di USM. Seingat saya masalah program untuk pelajar-pelajar miskin yang menimbulkan isu pembiayaan program. Tidak cukup kewangan untuk hal-hal yang perlu. Akan tetapi, pada masa sama, akan berlangsung suatu majlis untuk Canselor. Universiti yang kekurangan dana akan mengeluarkan belanja untuk majlis tersebut, bukan untuk para pelajar. Maknanya, prioriti mereka salah, walhal kita harus memberikan keutamaan kepada pelajar-pelajar miskin. Namun, kemudian Canselor membatalkan majlis tersebut. Tetapi, bagi pihak pengurusan, oleh kerana sikap feudal mereka, majlis tersebut dilihat lebih penting berbanding membantu pelajar-pelajar miskin. Itulah sebagai contoh sikap feudal yang seharusnya dilihat sebagai suatu yang tersalah memberi keutamaan. Di universiti, saya pasti saudara boleh memikirkan banyak lagi unsur-unsur feudal ini.

Selanjutnya soalan tentang identiti serantau yang saya gabungkan dengan soalan terakhir tentang Indonesia. Pada hemat saya, keserantauan mungkin akan menjadi lebih kukuh pada masa hadapan. Ia tidak akan menghilang. Salah satu keistimewaan ASEAN, kini ia entiti serantau paling berjaya di dunia selepas krisis Eropah. Hal ini kerana kebijaksanaan ASEAN menghadapi soal regionalisme secara langkah demi langkah, tidak mementingkan struktur tertentu, maka ia lebih berjaya. Regionalisme pada hemat saya akan terus berkembang kerana daripada segi ekonomi ia perlu. Ia perlu kerjasama ekonomi yang lebih erat dan terbukti kepentingannya. Kita lihat keadaan Afrika bagaimana kerjasama ekonomi serantau sudah banyak berkembang. 53 buah negara di Afrika perlu kita perhatikan berupaya menjadi kuasa ekonomi dunia selanjutnya kerana liputan mengenai Afrika dalam media di negara kita kurang. Apa yang diusahakan oleh Hugo Chavez dalam konteks Amerika Latin dan Caribbean; menganjurkan CELAC yang sebelum itu ALBA. Suatu usaha yang sangat baik. Oleh sebab itulah usaha itu digagalkan kerana ia berupaya menimbulkan ancaman. Berkenaan Indonesia, ulasan saya, jika Asia Tenggara berjaya pada masa hadapan, kejayaan Asia Tenggara bergantung kepada Indonesia dalam kalangan negara-negara yang menjadi pemain penting. Mungkin terdapat pihak-pihak tertentu yang tidak setuju dengan pendapat ini, saya fikir Indonesia adalah salah satu faktor yang membolehkan kejayaan ASEAN. Ia tidak berikhtiar untuk mendominasi dan mengawal. Jika anda lihat dalam konteks South Asian Association for Regional Cooperation (SAARC), India, Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh. Ada beberapa sebab mengapa SAARC itu gagal, salah satunya adalah kerana sikap India yang cuba untuk mendominasi. Oleh sebab itu negara-negara lain berasa kurang enak dengan peranan India. Di pihak Indonesia, ia tampak tidak berlaku, dari zaman Suharto ia tidak cuba mengawal, mendominasi, dan sebagainya. Jangan lupa dengan peranan Brunei. Bagi kerjasama ekonomi serantau Asia Tenggara, ia punyai masa hadapan cerah. Dalam satu mesyuarat di Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) beberapa hari lalu, pelbagai perkara dibincangkan. Salah satunya ialah pembinaan mentaliti Asia Tenggara dalam diplomat kita. Saya berfikiran bahawa para diplomat kita bukan sahaja perlu menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tetapi mestilah menguasai satu bahasa lain seperti Thai, Burma, Tagalog. Begitu juga aspek sejarah, budaya amat penting kerana kita tahu amat kurang sekali mengenai Asia Tenggara. Seorang warga Malaysia lazimnya tahu banyak perkara tentang Amerika Syarikat, tentang negara lain. Namun, kurang mengetahui hal-hal di sekitar rantau Asia Tenggara. Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih.

Teks ini merupakan transkripsi ucapan Dr. Chandra Muzaffar, yang merupakan Presiden International Movement for a Just World (JUST). Ucapan ini dilakukan semasa Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah) pada 8-11 Oktober 2020 di Hotel Everly, Putrajaya. Bengkel ini adalah anjuran Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama IKMAS, UKM, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika.



Categories: Rencana

Tags: ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: