HM Dahlan: Manusia Biasa, Sarjana Luar Biasa


Tentunya ramai yang kenal dan ingat HM Dahlan kerana gaya penampilan beliau yang amat ketara dan kadang-kadang luar biasa.

Beliau senantiasa berpakaian kemas dengan fesyen terkini yang sering dalam dakapan aroma parfum Armani; rambutnya yang menipis tetap senantiasa tersikat bagitu rapi; senyumannya yang jempol dengan lesung pipitnya sungguh menggoda kepada jantina lawan. Bila sore menjelang, beliau sering dilihat berpakaian serba putih dengan celana pendek bersedia ke gelanggang squash dengan berteman kopor brandednya.

Apabila beliau bertutur bunyinya seperti beliau membaca warta berita dengan menggunakan bahasa ‘kasta tinggi’ yang kadang-kadang memerlukan kamus untuk memahaminya. Dalam era pra-karaoke zamannya, beliau terus menerus mencari ilham ilmiah sambil mendengar live musik di lounge dan disko kerana di situ katanya fikirannya sangat subur dan kreatif. Teringat kita dia melambai sebelum beredar ke gelanggang squash dan meluncur dengan kereta Fiat 125 merah darah ikan metallic dan agar pudar, sambil didendang oleh kaset lagu-lagu Uji Rashid dan Hail Amir.

Saya, sebagai ‘budak suruhannya’ (jangan salah sangka, ini adalah a term of endearment katanya), atau lebih tepat mentee beliau, amat mengetahui banyak lagi selok belok aktivisme akademik dan bukan akademik HM — nama timangan beliau kepada para juak-juak dan murid beliau.

Yang saya kagumi, dan ramai yang tidak tahu akan hal ini, biarpun beliau orang biasa namun sebagai seorang sarjana kesarjanaan beliau adalah luar biasa sekali, serius, berpandangan jauh dan berwawasan. Pandangan dan banyak ideanya bersifat jangka panjang dan mendahului zamannya, yang kini terlaksana di UKM dan luar UKM.

HM, saya (mentee HM) dan kemudian Salleh Lamry (pelajar HM) telah bersama-sama membangun bidang khusus yang dilabel sebagai ‘Kaum Tani dan Modenisasi’ di Jabatan Antropologi dan Sosiologi semenjak 1976. Kami sama-sama berkongsi mengajar semua kursus dalam bidang tersebut. Di bawah pimpinan HM kita juga berjaya mengadakan sebuah persidangan antarabangsa mengenai ‘Peasantry and Modernization’ dengan mengundang penyelidik dan penulis terkenal dari rantau Asia Tenggara dan luar negeri. Sebuah isu khas Akademika (No. 20 &21, 1982) telah dihasilkan dengan menerbitkan sebilangan kertas kerja daripada persidangan tersebut dan keluaran jurnal tersebut telah diberi judul ‘Peasantry and Modernization,’ suntingan bersama beliau dan Sdr. Hairi Abdullah.

Sebelumnya, dengan kerjasama anggota lain daripada Jabatan Antropologi dan Sosiologi, UKM, HM juga telah menjadi Pengerusi kepada suatu Persidangan Sains Sosial Kebangsaan yang julung kalinya diadakan dan telah berlangsung di UKM pada 2 Ogos 1974. Pada hujung 1974, sebuah prosiding persidangan itu telah diterbitkan, kulitnya berwarna kuning pucat, diberi judul Peranan dan Orientasi Sains Sosial Malaysia. Edisi barunya terbit pada 2006 dengan suntingan dilakukan oleh Sdr. Abdul Rahman Embong dan Kata Pengantar disumbangkan oleh Sdr. Clive Kessler.

Dari sudut akademik, ketika UKM sedang membangun dan masih lagi di Kampus Jalan Pantai, beliau telah merancang pelbagai projek jangka panjang. Beliau sebenarnya ialah seorang ‘pembina institusi akademik’ par excellence dalam era idealisme akademik yang memuncak, yang tak kenal apa itu KPI, SCOPUS atau ISI. Ketika itu, monogeraf yang dijadikan rujukan wajib tahun demi tahun tersergam menjadi saksi kekuatan akademik sesaorang sarjana. Bukan himpunan artikel upahan dihasil secara gotong royong yang impaknya hanya untuk dibaca oleh pasukan penulis dan para pustakawan, dan tak pernah tersenarai dalam rujukan mana-mana kursus, kecuali senarai rujukan di Jabatan Bendahari untuk mereka dibayar hadiah upahan selanjutnya.

Di antara institusi terpenting yang telah diusahakan oleh HM dengan penuh dedikasi ialah membangun-bina dari sebuah bahagian dalam sebuah jabatan, iaitu Bahagian Kaum Tani dan Modenisasi dalam Jabatan Antropologi dan Sosiologi, UKM, telah berjaya dibangun beliau menjadi sebuah fakulti, iaitu Fakulti Sains Pembangunan, mula berumah di Kampus Induk Bangi dan kemudian ke Kampus UKM Sabah dan akhirnya pulang ke Bangi dengan terbangunnya Universiti Malaysia Sabah pada November 1994.

Kembalinya Fakulti Sains Pembangunan ke pangkuan Kampus Induk tidak menjamin kelangsungannya kerana tiba-tiba bilangan fakulti berteras sains dan sains sosial tiba-tiba bertambah dengan menawarkan program yang bertindan lapis liputan dan kursus. Satu penstrukturan semula fakulti-fakulti di UKM pada akhir 1990an telah dilaksanakan. Pada November 2001, Fakulti Sains Pembangunan dan Fakulti Pengajian Bahasa diserap ke dalam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, menjadi satu fakulti besar.

Dari segi birokrasi, Pengajian Pembangunan tetap wujud mungkin tak sebesar dulu cuma kini menjadi satu program dalam Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran (PPSPP), di FSSK.

Saya telah bertemu bersemuka hati-ke-hati dengan HM Dahlan sebelum penstrukturan semula dilaksanakan. Ketika itu, saya menjadi Dekan, FSKK. Saya juga sedang membantu Profesor Sharifah Hapsah (NC UKM sekarang), waktu itu Pengarah, Pusat Pembangunan Akademik dan Antarabangsa, UKM dalam usaha beliau menstruktur semula fakulti-fakulti sains dan bukan sains, akibat migrasi pulang fakulti UKM di Kampus Sabah.

Perbincangan agak panjang dan meleret-leret, berkisar disekitar nostalgia dan emosi bercampur aduk realiti semasa yang cukup mencabar, iaitu, pemansuhan FSP (Fakulti Sains Pembangunan) setelah wujud lebih dari satu dekad. Mood perbincangan ketika itu adalah antara mentor dengan mentee, bukan dua orang profesor.

Saya mengingatkan beliau bahawa dalam keadaan terumbang ambing di Universiti Malaya, dengan penyelia tesis MA saya dalam tahanan di Kemunting, beliau telah bermurah hati mempelawa saya masuk ke UKM tanpa apa-apa syarat kecuali selesaikan tesis berjudul “Rancangan Malaysia Kedua, Tujuan dan Pelaksanaannya: Suatu Analisis Teoretis’ (1976). Beliau juga meminta saya menerbitkannya segera untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan berbahasa Melayu bidang ‘sosiologi pembangunan’ yang ada beberapa kursus dikendalikan beliau.

Apabila saya sebut tentang hal itu, dia menyatakan bahawa “itu sebabnya saya mahu you ikut ke Sabah.” Saya tidak menjawab apa-apa. Dia terus mengeluh keciwa sambil menyatakan “perhaps we should have been a program first before a full-fledge faculty.” Saya terus tidak mejawab apa-apa.

Ketika itu jelas kepada saya bahawa sifat luar biasa kesarjanaan HM Dahlan itu sebenarnya adalah terhimpun dalam seorang manusia biasa yang cukup mengenal dengan mendalam mengenai dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dia mahu, dan sehingga ke akhir hayat beliau bersedia menghadapi apa saja akibat sebarang keputusan yang diambilnya sendiri.

HM Dahlan tetap mentor terulung saya!

Profesor Ulung Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin merupakan Pengasas-Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: