Memikir Semula Ruang Kediaman Kala Pandemik

Pandemik COVID-19 telah ‘memerangkap’ masyarakat untuk kekal berada di rumah dan meminimakan pergerakan di ruang awam bagi kebanyakan masa dalam kehidupan harian kini. Bagi penduduk bandar terutamanya dari kelompok M40 dan B40, rumah yang didiami oleh kelompok ini adalah pangsapuri yang bersaiz sederhana atau kecil relatif kepada jumlah penghuni, dengan beberapa blok dalam satu kawasan yang padat dan rapat. Mengambil kira faktor ruang kediaman yang turut terevolusi sebagai ruang bekerja, ruang pendidikan dan ruang rekreasi kala pandemik, adalah penting supaya penggunaan dan fungsi ruang kediaman ini diwacanakan selaras dengan perobahan fungsinya. Hal ini bagi menjamin kualiti hidup yang lebih baik bagi masyarakat terbanyak, kebanyakan genrasi muda dan belia, kendati pandemik terus melanda dan norma baru hidup kekal berubah.

Kegagalan untuk mewacanakan sekaligus menggerakkan usaha-usaha menambah baik ruang kediaman yang selaras dengan fungsi terkininya telah memberi pelbagai dampak negatif dan membantutkan kelestarian kualiti kehidupan penghuninya. Beberapa siri laporan oleh New York Times, The Atlantic dan BBC telah merakamkan bahana pandemik yang memerangkap keluarga di rumah untuk waktu yang lama telah turut menatijahkan kes penceraian yang tinggi dan isu kesihatan mental yang merudum. Bahkan, memandangkan rumah juga dengan rasminya menjadi sekolah dan ruang pendidikan yang utama untuk anak-anak, yang tidak dapat ke sekolah di Malaysia, fungsi ruang kediaman yang memastikan keberkesanan dan keselesaan sesi pembelajaran juga adalah penting untuk ditaakulkan.

Transformasi Tata Hidup & Budaya Ruang Kediaman

Aku harus menjadi seorang yang mempunyai daya tahan terhadap kekecewaan dan kehampaan apabila […] suamiku pulang bertanya, “Apa awak buat sehari suntuk di rumah […]?”. Tidakkah dia nampak, longkang yang sudah bersih, ruang tamu yang kemas, dapur yang teratur, kain yang sudah berlipat. Apa, dia ingat semua itu terjadi dengan sendiri? – Catatan Di Meja Makan (1981), Sasterawan Negara Zurinah Hassan[1]

Kita perlu mula mengiktiraf beban kerja rumah yang melampau, dan lazimnya ditanggung sepenuhnya oleh isteri atau wanita di ruang kediaman. Terdapat pelbagai kajian sosiologi termasuklah oleh Rupanner, Branden dan Turunen (2018)[2] yang mengabsahkan kesan negatif kerja rumah yang membebankan wanita ini telah merapuhkan institusi kekeluargaan serta kualiti dan dinamik hubungan di rumah. Simone De Beauvoir[3] turut merakamkan kritikannya terhadap tenaga dan masa wanita yang terlalu banyak dilenjankan untuk mengemas dan membuat kerja-kerja rumah adalah seperti sedang menerima hukuman ala Sisyphus.

Justeru, di samping tuntutan supaya lelaki atau suami menanggung beban kerja rumah secara lebih adil dan saksama dengan wanita, ruang-ruang penambahbaikan yang lain untuk mengurangkan kerja rumah perlu diwacana dan difikirkan bersama. Anak muda lagi-lagi dalam bidang berkaitan pembangunan, arkitek, gender, sosiologi dan dasar awam harusnya secara kolektif berbincang mengenai penambahbaikan kualiti dan sistem hidup dalam ruang kediaman. Contoh mudah adalah mencari timbalan antara beberapa masalah kerja yang mengganggu produktiviti: Baju-baju yang disimpan dengan cara digantung jauh lebih menjimatkan masa dan tenaga berbanding baju-baju yang dilipat (tetapi ini memerlukan ruang dan susun atur yang lebih besar di rumah); kebolehmampuan atau kemudahan untuk pasangan membeli mesin pengering yang berkualiti bagi kediaman pangsapuri/flat yang kebanyakannya tidak berbalkoni juga akan dapat meringankan beban mental dan masa yang akan banyak ‘terbuang’ untuk ke dobi yang jauh (tetapi ini akan menuntut ruang yang signifikan selain meningkatkan kos isi rumah). Permasalahan yang tampak remeh ini, perlu diselesaikan dan diambil kira segera, kerana ianya telah menelan berpuluh-puluh jam seminggu, menekan emosi dan menjadi beban mental[4] kepada para penghuni rumah.

Dalam konteks kebanyakan wanita yang kini turut mempunyai pekerjaan kapitalistik, mengimbangi antara kerja pejabat dan kerja rumah memang boleh mengundang edan. Ditambah dengan suami yang telah terasuh budaya untuk lepas tangan daripada bertanggungjawab untuk turut sama melakukan kerja-kerja rumah, wanita dipaksa massa untuk menanggung beban lebih dari sewajarnya. Sehubungan itu, bagi meningkatkan kualiti hidup generasi muda dan tua pada masa hadapan, masyarakat kita perlu mengambil pendekatan drastik untuk segera menaakulkan budaya dan ekosistem ruang kediaman supaya lebih sihat dan lestari.

Ruang Ketiga

Tipologi bangunan yang paling kerap aku reka adalah apartment mampu milik begini. Untuk aku, kewujudan bangunan ini ada ironinya yang halus. Aturan reka bentuknya ikut keras-keras setiap kekangan undang-undang, fungsi dan ekonomi. Tetapi penggunaannya? Ia penuh kelembutan. Ia ada ruang untuk bermain, bermimpi, menjamu selera, berasmara, bina keluarga, jadi tua, sambut kematian, hidup diteruskan. Di antara dinding-dinding konkrit yang aku reka; life happens.Affendi Salleh (2019), Condenser[5]

Secara alami, masyarakat tidak dapat terlepas daripada mempunyai ruang ketiga atau tempat dia bersosial setelah berada di ruang utama/pertama iaitu ruang kediaman dan ruang kedua iaitu pejabat atau tempat kerja[6]. Dalam mana-mana komuniti, ruang ketiga ini boleh jadi kedai kopi, surau, masjid, kedai gunting rambut atau dalam konteks rumah pangsapuri, tanah lapang di tempat letak kenderaan. Kepentingan untuk mengoptimumkan ruang-ruang ini jarang dibincangkan dan diperikan dalam wacana pembangunan sosial di Malaysia. Melihat kepada fungsi kediaman yang telah melebar dalam ruang yang pegun dan statik (sementelah rumah pangsapuri tidak boleh diluaskan seperti rumah kampung atau rumah atas tanah lain), kita wajar meneroka fungsi dan peluang yang ditawarkan oleh ruang ketiga yang lebih anjal kepada masyarakat setempat selaras dengan kerterhadan ruang kawasan.

Antara contoh yang paling menerujakan untuk diperhatikan adalah bagaimana gerakan-gerakan Buku Jalanan[7] memecahkan siling kaca dengan penggunaan ruang awam yang lestari, nomadik dan bingkas. Gerakan pertamanya, Buku Jalanan Shah Alam yang dimulai pada 2011 menyediakan ruang B.A.C.A yakni books, arts, culture dan activism yang sekaligus pustaka bergerak, ruang berekspresi dan ruang pembelajaran seni kepada masyarakat, bertempat di sisi sebuah tasik yang damai. Gerakan ini membiak di seluruh Malaysia dengan keanjalan fizikal yang perlu dipuji apabila gerakannya di tempat lain acapkali tumbuh di mana-mana sahaja ruang ketiga masyarakat setempat yang didekati. Buku Jalanan Chow Kit (BJCK), antara ‘cawangan’ Buku Jalanan yang diinstitusikan dalam bangunan, telah menabrak kefungsian dan norma padang lapang di atas tanah sebagai tempat permainan kanak-kanak. BJCK dengan kerjasama Kiwanis telah meneroka ruang ruftop bangunan[8] untuk dijadikan ruang berekreasi siap dengan padang futsal untuk anak-anak kerana tidak mahu hak bermain kanak-kanak dinafikan ruang kota yang sesak dan sempit.

Contoh-contoh ini dikemukakan kerana masyarakat marcapada sudah semakin merasai bahang kota ala distopia – ruang adalah hak eksklusif orang kaya-kaya. Dengan tekanan ekonomi dan hartanah yang tidak masuk akal, tidak lama lagi, generasi Y akan memenuhi PPR, flat dan pangsapuri sebagai warga emas yang menua dengan anak dan cucu mereka masing-masing masih tinggal di ruang yang pegun dan semakin sempit. Memang sudah ada banyak usaha dan kritikan daripada para pemikir dan saintis sosial berkenaan pemilikan hartanah dan sewaktu dengannya, pun, ini adalah isu yang memerlukan perbincangan berbeza. Di hadapan generasi kita sekarang, pilihan yang ada ialah mendiami rumah-rumah ‘kotak’ one size, one design fits all ini. Oleh itum jelas bahawa di samping pembangunan perumahan seumpamanya yang wajib lebih baik di masa hadapan, para pemikir dan penggerak masyarakat setempat perlu serius dan merancakkan wacana dan gerakan untuk memelihara dan melestarikan ruang ketiga di perumahan sedia ada bagi masyarakat setempat.

Ruang Kediaman Sebagai Syurga Dunia

Setelah punya rumah, apa cita-citamu?
Kecil saja: ingin sampai rumah
saat senja supaya saya dan senja sempat
minum teh bersama di depan jendela.Joko Pinurbo (2003), Cita-Cita

Norma baharu kala pandemik dengan pantas merobah fungsi rumah. Keterhadan pergerakan masyarakat yang kini tidak boleh sebebasnya ke tempat awam telah mengevolusi ruang rumah daripada fungsi-fungsi lazimnya. Ruang kediaman kini telah menjadi ruang utama untuk bekerja menggantikan pejabat, pendidikan menggantikan sekolah, berekreasi dan liburan menggantikan taman permainan dan pusat beli belah. Kendati fungsi yang semakin rencam ini, kediaman yang sentiasa terhad fizikalnya tersebut tidak sepatutnya menghalang kelestarian kualiti kehidupan waima di dalam atau sekitar ruang tersebut. Meski pegun, ruang kediaman harus boleh melebarkan cintanya, menjadi syurga dunia, untuk kita semua.

Nur Adilla adalah lulusan Sains Politik; dan Undang-Undang, Kemasyarakatan dan Keadilan dari University of Washington, Seattle, Amerika Syarikat. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.


[1] Zurinah Hassan (2016). Meneruskan Perjalanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka

[2] Rupanner, Branden and Turunen (2018). ‘Does Unequal Housework Lead to Divorce?’. SAGE Journal of Sociology. Diakses di https://journals.sagepub.com/doi/pdf/10.1177/0038038516674664

[3] Beauvoir (1953). The Second Sex. New York, Knopf.

[4] Emma (2017). ‘You Should’ve Asked: Gender Wars Household Chores’ The Guardian. Diakses di https://www.theguardian.com/world/2017/may/26/gender-wars-household-chores-comic

[5] Affendi Salleh (2019), Gelas Separuh Penuh. Malaysia: Skinnifolk Enterprise

[6] Ray Oldenburg (1989), The Great Good Place. New York: Paragon House

[7] Buku Jalanan (2019). Asia Field Trip. Diakses di http://asia.fieldtrip.info/artists/buku-jalanan/

[8] Kiwanis Club of Kota Kemuning & BJCK (2020), Legacy of Play. Diakses di https://play.kiwanis.org/contestants/kc-of-kota-kemuning/?fbclid=IwAR0jq7_MX_PE-KPbdgvHzjBHLV9G6v_EoLsYwwLjri37Wop7bqSvwUrPelI



Categories: Rencana

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

<span>%d</span> bloggers like this: