Demokrasi Baik Hati

Demokrasi Malaysia telah mengalami perubahan yang besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Perubahan yang terbesar sudah tentu pertukaran kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara pada tahun 2018 yang menyaksikan perubahan parti pemerintah dari Barisan Nasional yang dipimpin UMNO kepada Pakatan Harapan. Ini memberi makna baru kepada pengamalan dan penghayatan demokrasi di Malaysia di mana perubahan pemerintahan mampu dilaksanakan oleh pengundi secara aman tanpa menjejaskan kestabilan negara. Penulis sendiri turut berasa optimis dengan perkembangan ruang demokrasi yang merupakan sebahagian daripada matlamat perubahan pemerintahan tersebut.

Namun, dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, serangan demi serangan politik dilakukan berbekalkan hujah-hujah emosional berbaur perkauman dan sentimen agama. Kerajaan baru yang kurang pengalaman ini dilihat lesu berdepan dengan pelbagai isu berkaitan kaum dan agama sehingga permasalahan ketegangan di antara komuniti kaum-agama ketika itu berjaya diangkat menjadi persepsi popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ketegangan, kegusaran, dan kegelisahan ini juga didakwa menjadi pencetus dan pendorong utama beberapa pemain politik penting menggerakkan “Langkah Sheraton” pada awal 2020 yang berjaya membentuk kerajaan baru. Naratif yang dibina dan diuar-uarkan ketika itu, langkah tersebut telah berjaya “mengembalikan” institusi pemerintahan negara kepada kepada kaum majoriti.

Sekiranya benar bahawa rakyat Malaysia tidak mempercayai satu sama lain, persoalannya mengapa dan bagaimana kita sampai pada keadaan sebegini.  Bagaimana masyarakat majmuk yang sekian lama hidup bersama, masih gagal untuk saling mempercayai? Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan ini, sudah tentu sedar bahawa di sebalik keadaan ini, institusi negara memainkan peranan yang tidak boleh dinafikan pengaruhnya. Maka beberapa cadangan rombakan sistemik telah dilontarkan oleh pelbagai pihak. Rombakan sistemik adalah cukup mustahak kepada negara, namun prosesnya amat memakan masa, dari perbahasan, pengolahan, perincian, persetujuan, dan pelaksanaan. Kesannya hanya dapat dirasai generasi yang kemudian.

Sementara pelbagai gagasan rombakan ini diperbahaskan, saya dengan rendah hati ingin menawarkan satu perspektif kepada kita semua yang ingin melihat demokrasi Malaysia tetap mampu berkembang subur. Perspektif ini menumpukan perhatian kepada individu. Saya memilih untuk menumpukan kepada individu kerana kita semua mempunyai peranan dalam perlaksanaan demokrasi. Pandangan kita mampu mempengaruhi pandangan orang lain. Dalam zaman yang dipengaruhi media sosial, pandangan seseorang yang tidak dikenali umum berpotensi menentukan arah wacana dalam mana-mana isu sekiranya mendapat persetujuan daripada orang ramai.

Oleh yang demikian, saya ingin mengutarakan idea yang saya gelarkan sebagai demokrasi baik hati, di mana semua pihak boleh menerima majoriti, menghormati dan melindungi minoriti, serta memaafkan sesetengah individu. Demokrasi memerlukan penerimaan kepada kehendak dan keputusan majoriti. Penerimaaan  ini menentukan keabsahan pentadbiran yang mendapat mandat melalui kertas undi. Oleh itu, kaum majoriti mempunyai kelebihan dalam penentuan hala tuju, masa depan, dan acuan sesuatu negara. Di Malaysia, komuniti Melayu memiliki kelebihan ini. Tambahan pula, Bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan istimewa bumiputera, dan kedaulatan raja-raja Melayu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan dua pertiga ahli parlimen serta diperkenan Majlis Raja-Raja.

Namun, bagaimana pula dengan komuniti minoriti? Satu lagi asas penting buat demokrasi yang baik hati adalah penghayatan terhadap demokrasi sebagai melindungi hak minoriti. Memandangkan minoriti tidak berkuasa seperti majoriti, maka kepentingan mereka wajar dilindungi. Sebagai contoh, hak menggunakan bahasa ibunda dan mengamalkan budaya sendiri dijamin dalam perlembagaan. Maka tidak kira sebesar mana pertelingkahan, rakyat Malaysia yang bukan Melayu tidak boleh dilarang dari menggunakan bahasa ibunda dan mengamalkan budaya masing-masing.

Seperti kaum majoriti juga, kaum minoriti mempunyai rasa sayang kepada identiti dan budaya masing-masing, tanpa membelakangkan identiti sebagai warganegara. Polemik yang melibatkan perihal minoriti perlu diuruskan dengan lebih manusiawi dan mengambil kira pandangan mereka yang bakal terkesan. Kebanyakan perbincangan cenderung mementingkan kepatuhan minoriti terhadap tuntutan majoriti, sehingga taat setia kaum minoriti dipertikaikan sekiranya dilihat enggan akur dan patuh; sedangkan hak dan perasaan kaum minoriti belum diberikan perhatian yang sewajarnya. 

Seterusnya, penghuni sebuah demokrasi yang baik hati akan mampu memaafkan sesetengah individu yang mencetuskan provokasi. Kerap kali dilihat beberapa peristiwa di mana pandangan individu minoriti mengenai beberapa topik “sensitif” seperti kedudukan istimewa bumiputera, dijadikan tajuk berita sensasi. Tindakan dan kenyataan dari mereka hendaklah dipandang dengan kefahaman bahawa mereka hanya mewakili diri mereka sendiri, bukan mana-mana kaum atau agama. Perkara ini merupakan kriteria terpenting dalam menakrifkan samada sesebuah demokrasi itu baik hati, serta amat perlu ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Kita memaafkan individu tersebut kerana kita bersangka baik dan berfikiran rasional. Tidak mungkin tindakan atau kenyataan seseorang individu boleh dikatakan mewakili niat kesemua kaumnya. Maka, kita elakkan dari pukul rata satu bangsa, budaya, atau agama, hanya atas kelakuan individu tertentu. Kita mungkin tidak bersetuju atau menyukai apa yang dilakukan, namun kita memilih untuk memaafkan dengan tidak mengaitkan individu tersebut dengan pandangan keseluruhan terhadap mana-mana kumpulan. Kita menjadi waras, kita juga menjadi baik hati.

Maka, aspirasi saya untuk Malaysia pada tahun 2021 adalah melihat demokrasi Malaysia bertunjangkan demokrasi yang baik hati. Orang Melayu sebagai kaum majoriti berpeluang menentukan samada demokrasi Malaysia adalah demokrasi yang baik hati ataupun tidak. Namun, komuniti kaum minoriti juga mempunyai hak-hak yang mesti dilindungi. Bagi setiap rakyat Malaysia pula, kita perlu memaafkan sesetengah individu agar kita mampu menjadi demokrasi yang baik hati.

Daniel Teoh merupakan lepasan kelulusan undang-undang daripada University of London. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: