Gerak Baharu Mahasiswa: Mendepani Lima Dekad AUKU

Hadirnya tahun 2021, maka genap 50 tahun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilaksanakan di Malaysia. Sepanjang tempoh itu, AUKU telah dipinda enam kali. Pindaan pertama pada tahun 1975 terutamanya mencengkam aktivisme mahasiswa – antaranya, dengan membubarkan kesatuan mahasiswa yang mempunyai autonomi dan memusatkan kuasa kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang juga mengawal Jawatankuasa Tatatertib Universiti.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memulakan usaha untuk menggantikan AUKU. Namun pada sidang parlimen yang lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad mengatakan AUKU masih relevan dan mempertahankan kewujudannya.[1] Pendirian ini menampakkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah membatalkan hasrat untuk memansuhkan AUKU. Maka adakah usaha dan perjuangan memansuhkan AUKU berhenti di sini?

Pasang surut AUKU

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan Dr Haji Abdul Majid bin Ismail untuk meneliti dan memantau suasana kampus di Universiti Malaya. Dapatan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penubuhan AUKU yang dibentang pada 1971 oleh Menteri Pendidikan, Tun Hussein Onn. Dalam bukunya Gerakan Aktivisme Mahasiswa, Meredith Weiss mendokumentasikan motif dan implikasi AUKU terhadap kehidupan kampus. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menggantikan kesatuan mahasiswa dilihat sebagai ‘badan kebajikan’ dan ‘pembantu’ kepada pihak pentadbir universiti.

Reaksi mahasiswa pada ketika itu adalah terus melakukan protes dan tidak mengendahkan kekangan AUKU. Namun perkara ini berubah selepas pindaan pada tahun 1975 yang memperketatkan penguatkuasaan AUKU. Seksyen 15 contohnya melarang mahasiswa dari mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai bersimpati dengan mana-mana pihak luar tanpa keizinan Naib Canselor. Kuasa tindakan tatatertib dan proses rayuan juga terletak pada tangan Timbalan Naib Canselor dan pak menteri. Selepas daripada itu, AUKU telah mendominasi kesedaran (consciousness) dan mengawal tingkah laku mahasiswa di dalam kampus. Secara luasnya, para pensyarah juga terkesan dengan pemusatan kuasa di tangan eksekutif – antaranya, perwakilan fakulti dan pensyarah dalam senat universiti berkurang dan menjadi minoriti.

Gambar rajah di bawah merumuskan perkembangan AUKU secara sepintar lalu.

TahunPeristiwaFaktor/Konteks/ Implikasi penting
1971AUKU diperkenalkanMahasiswa mengeluarkan manifesto sendiri dalam pilihanraya umum 1969, aktivis mahasiswa menggesa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahmah meletak jawatan
1975AUKU diperketatkan (Seksyen 15 dan sebagainya)Demonstrasi Tasik Utara, Demonstrasi Baling
1983Pindaan berbentuk ‘administrative’Memudahkan penubuhan UIA
1996Pindaan berbentuk ‘administrative’Liberalisasi sector pendidikan tinggi
2009Pilihanraya umum 2008Sedikit kelonggaran diberikan. Contohnya, mahasiswa lebih bebas bersuara termasuk dibenarkan membuat kenyataan mengenai politik pada mana-mana majlis, seminar atau simposium dengan syarat ia tidak dianjurkan oleh mana-mana parti politik.
2012Kes mahkamah UKM4Membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus.
2018Pilihanraya umum 2018Membenarkan aktiviti politik di dalam kampus (pindaan sebulat suara diluluskan)

Jika meneliti peristiwa-peristiwa di atas, terdapat dua pengajaran yang wajar diambil perhatian. Pertamanya, setiap kali AUKU diperkenalkan dan diperketatkan adalah kerana pihak pemerintah mahu mengawal gerakan aktivisme mahasiswa yang sedang hangat dan ‘mengancam’ kepentingannya pada sesuatu ketika. Penciptaan AUKU pada 1971 dan pindaan 1975 tidak dipisahkan daripada konteks politiknya. Perkara ini penting kerana sesetengah pihak mahu mengekalkan AUKU kerana ia juga menyentuh mengenai peraturan dan pentadbiran universiti. Namun undang-undang baru berkaitan pentadbiran universiti boleh digubal setelah AUKU dimansuhkan. Alasan bahawa AUKU perlu dikekalkan untuk memastikan kelangsungan pentadbiran universiti sebenarnya menghiraukan sejarah AUKU.

Keduanya, setiap kemenangan yang diperolehi oleh mahasiswa adalah kerana tindakan proaktif dan kekuatan yang dibina bersama. Dua kali pindaan AUKU pada 2012 dan 2018 tidak berlaku kerana pihak atasan memberi ehsan kepada gerakan mahasiswa. Ia berlaku kerana aktivis mahasiwa dengan bantuan guaman mencabar Seksyen 15 AUKU sehingga Mahkamah Persekutuan dan menang. Kerajaan wajib meminda AUKU kerana sebahagian daripadanya telah diputuskan sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional). Pindaan terbaru pada tahun 2018 pula adalah selepas tuntutan gerakan mahasiswa berzaman-zaman untuk memansuhkan AUKU sehingga pembangkang pada ketika itu menjadikannya satu janji pilihanraya dalam manifesto PRU14.

Mobilisasi AUKU

Setelah mengimbas kembali perkembangan AUKU, persoalannya sekarang adalah, “Apa selepas ini?” Dua pindaan pada dekad lalu telah membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik, sama ada di luar atau di dalam kampus. Tidak timbul lagi retorik ‘kerajaan melarang penglibatan mahasiswa.’ Mahasiswa memerlukan ‘framing’ baru sekiranya ingin menghidupkan kembali momentum melawan AUKU. Tapi adakah mahasiswa masih perlu fokus mobilisasi pada isu AUKU atau lebih bermanfaat menumpukan masa dan tenaga pada isu-isu lain?

Dari satu sudut, AUKU masih membatas gerakan mahasiswa dan memusatkan kuasa kepada pihak pentadbiran universiti. Contohnya Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor masih mempunyai kuasa untuk mengenakan pelbagai tindakan tatatertib dan disiplin, mengeluarkan surat salah laku kerana mencemarkan nama baik universiti. AUKU masih melarang persatuan mahasiwa dari mengumpul dana. Ini merupakan satu perkara yang melemahkan gerakan mahasiswa kerana mereka seringkali tidak mempunyai dana yang mencukupi, dan/atau terpaksa bergantung pada pihak tertentu kerana tidak ada autonomi kewangan.

Sebelum ini, AUKU banyak menentukan corak gerakan mahasiswa. Contohnya kumpulan mahasiswa sering terbahagi kepada kumpulan berdaftar yang bertanding dalam pilihanraya kampus, dan kumpulan tidak berdaftar yang bergerak aktif di luar kampus. Adakah pembahagian (atau pengkhususan) ini masih relevan selepas pindaan AUKU 2018? Terdapat juga dua perkembangan baru, iaitu percubaan mewujudkan semula kesatuan mahasiswa di UM, UKM, dan UIA; dan juga persatuan mahasiswa yang secara langsung berpayung di bawah parti politik. Selain AUKU, gerakan mahasiswa juga perlu mengetengahkan isu-isu lain yang dihadapi oleh ramai pelajar dan graduan seperti hutang pinjaman pendidikan tinggi, tuntutan pendidikan percuma, keciciran pembelajaran akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jurang digital, serta kecelaruan dasar yang sering berubah-ubah. Tidak dilupakan, Akta 174 berkenaan regulasi institusi pengajian tinggi dan pertubuhan mahasiswa juga perlu diberi perhatian.

Isu AUKU mempunyai had capaian yang agak terbatas kerana bukan ramai pelajar yang mengambil berat tentang isu yang lebih bersifat ideational atau abstrak. Neoliberalisasi pendidikan tinggi meninggalkan kesan yang mendalam – antaranya, universiti menjadi seolah kilang ijazah, pelajar dan graduan menjadi penghutang, serta mahasiswa menjadi kurang aktif walaupun tanpa AUKU. Contohnya, walaupun terdapat moratorium AUKU ketika Dr Maszlee menjadi Menteri Pendidikan, rata-ratanya gerakan mahasiswa agak lesu berbanding dengan zaman-zaman sebelumnya. Hal ini kerana dalam konteks persekitaran neoliberal, majoriti mahasiswa dalam kolej dan universiti terpaksa bertumpu pada perkara asas ataupun ‘bread and butter’, dan kurang cenderung terlibat memperjuangkan hal-hal yang mengakibatkan mereka sendiri menanggung hutang pinjaman pendidikan, serta berdepan risiko menjejaskan peluang pekerjaan (atau digantung pendidikan) sekiranya dikenakan apa-apa tindakan yang boleh mencemarkan rekod.

Akhir kata, AUKU sudah mencapai usia 50 tahun pada tahun 2021. Untuk menandakan detik ini, mungkin ada baiknya juga mahasiswa (ataupun aktivis, ahli akademik, ataupun bekas mahasiswa) merancang sesuatu untuk ulangtahun AUKU ke-50. Idea-idea yang boleh dipertimbangkan termasuklah konvesyen, persidangan digital, himpunan tulisan dan kertas kerja, protes, atau kempen alam maya. Cumanya, mahasiswa perlu mengimbangi fokus pada isu AUKU dan isu ‘bread and butter’ yang lebih dekat dengan realiti kehidupan ramai pelajar.

Ooi Kok Hin merupakan mahasiswa pascasiswazah di Universiti Waseda, Jepun. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.


[1] “AUKU 1971 masih relevan, namun terbuka untuk tambah baik – Noraini,” Berita Harian. 25 Ogos 2020.



Categories: Rencana

Tags: ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: