Peranan Kaum Intelektual: Mencabar Eurosentrisme, Nasionalisme dan Sektarianisme dalam Penghasilan Pengetahuan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih untuk jemputan syarahan ini. Kebetulan, saya ada acara sepanjang hari dari pagi tadi. Ada Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas pada sebelah pagi yang dilaksanakan menerusi Zoom di Kuala Lumpur dan pada petangnya pukul 2.00 petang ada Siri Seminar Cendekiawan Lestari di Malay Heritage Centre, Singapura. Sekarang ialah acara ini Syarahan Naratif Malaysia. Dalam acara pagi dan petang tadi, saya lebih memerhatikan masalah penghasilan ilmu, khususnya di Nusantara dan dalam bidang Pengajian Melayu. Apa yang dimaksudkan dengan Pengajian Melayu ialah pengajian tentang rantau Nusantara. Ia tidak terhad kepada golongan etnik Melayu, tetapi Melayu dalam erti kata yang lebih luas—dunia Melayu; budaya Melayu; termasuk orang Jawa, orang Sunda dan semuanya. Termasuk juga ialah Filipina kerana pejuang Filipina yang terkenal José Rizal menganggap dirinya Melayu. Beliau mengatakan bahawa orang Filipina adalah sebahagian daripada tamadun Melayu. Saya juga ingin memulakan perbincangan ini nanti dengan Filipina.

Takrif dan Persoalan-Persoalan Intelektual

Perbincangan saya mengenai peranan intelektual di rantau kita akan mengambil perhatian kepada peranan kaum intelektual dalam pembentukan ilmu, khususnya dalam apa yang saya namakan ilmu mandiri. Saya akan jelaskan dengan apa yang saya maksudkan dengan ilmu mandiri. Jadi, saya ingin membincangkan hal itu—peranan intelektual dalam pembentukan ilmu mandiri. Apa yang saya maksudkan dengan intelektual adalah mengikut apa yang ditulis oleh ayah saya Syed Hussein Alatas yang mengatakan bahawa tugas kelompok intelektual adalah untuk berfikir, mempertimbangkan masalah-masalah tertentu dan cuba untuk sampai kepada penyelesaiannya. Kita boleh memahami peranan intelektual sebagai terdiri daripada tiga persoalan iaitu: (i) mengapa kaum intelektual itu diperlukan dalam masyarakat membangun; (ii) apa jenis kelompok yang terbaik untuk memenuhi keperluan itu; dan (iii) rintangan apa yang menghalang kelompok itu daripada dapat berfungsi sebagai intelektual. Jadi, lebih kurang begitu maksudnya intelektual. Akan tetapi, yang penting bagi saya ialah peranan intelektual. Sama ada mereka terdiri daripada orang yang berpendidikan tinggi, mempunyai PhD, ataupun yang tidak mempunyai PhD tetapi masih berfikir. Berfikir secara kreatif, bukan secara tertawan. Jadi, mereka bukan daripada minda yang tertawan. Mereka mempunyai minda yang kreatif. Tidak semestinya mereka yang mempunyai PhD kerana banyak mereka yang mempunyai PhD yang masih minda tertawan, tidak kreatif, tidak menghasilkan ilmu yang baharu. sebaliknya, hanya meniru ilmu yang diturunkan kepada mereka dari generasi ke generasi atau dari luar. Jadi, intelektual itu tidak terhad kepada mereka yang berpendidikan tinggi.

Penjajahan dan Proses Penghapusan Tradisi Ilmu

Sebentar tadi saya sebutkan bahawa saya ingin mulakan dengan sejarah Filipina. Masalah kita bermula pada zaman itu. Kira-kira 500 tahun yang lalu. Persis tahun ini 2021, kalau saya tidak salah pada tahun 1521 atau 1522 dahulu, telah sampai di Mactan – Pulau Mactan di Filipina. Itu sebelum kepulauan tersebut dinamakan sebagai Filipina, sebelum dijajah oleh Sepanyol. Telah sampai di sana kira-kira 500 tahun yang lalu Ferdinand Magellan. Kita semua tahu tentang Ferdinand Magellan. Kita pernah mendengar nama Ferdinand Magellan. Banyak yang ditulis mengenai Ferdinand Magellan. Banyak puisi dicipta mengenai Magellan. Banyak dokumentari dan filem telah dibikin mengenai Ferdinand Magellan. Akan tetapi, apabila kita lihat peristiwa itu, satu proses ‘pendiaman’ berlaku yang mana ia mencerminkan masalah penghapusan tradisi ilmu. Kita dapat memahami proses itu daripada peristiwa tersebut yang mana Ferdinand Magellan sampai ke Filipina dan telah dibunuh di Filipina oleh seorang pemerintah Pulau Mactan yang namanya Lapulapu. Namun, jarang kita temui nama itu. Di Malaysia, kebanyakan orang tidak pernah mendengar nama Lapulapu. Maka, saya mengatakan bahawa perlu kita tahu mengenai Lapulapu kerana pembunuhan Magellan oleh Lapulapu merupakan antara tindakan anti kolonial yang kali pertama di Asia Tenggara, Nusantara. Mungkin di Asia Tenggara yang pertama. Tindakan anti kolonial pertama di Nusantara. Antara yang pertama di dunia. Mungkin yang pertama berlaku di Amerika sewaktu orang Eropah sampai ke Amerika. Mereka ke Cuba, Haiti, dan selepas itu ke Amerika Utara. Setelah itu, mereka sampai ke sini. Mulai pada zaman itu, dengan proses penjajahan rantau kita, telah bermula proses penghapusan tradisi. Termasuk tradisi ilmu. Itu mengambil masa ratusan tahun. Keadaan itu—keadaan penghapusan tradisi termasuk penghapusan tradisi ilmu—menyebabkan pembunuhan tradisi ilmu. Hal itu mengarah kepada penguasaan ilmu dan penguasaan proses penghasilan ilmu yang bersifat Eurosentrik.

Eurosentrisme, Imperialisme Kecendekiaan dan Kebergantungan Akademik

Saya ingin membincangkan tentang proses penghasilan ilmu yang Eurosentrik. Sebelum saya terangkan apa yang dimaksudkan dengan Eurosentrik dan Eurosentrisme dalam proses penghasilan ilmu, kita juga perlu tahu konteks di mana Eurosentrisme wujud. Konteksnya ialah imperialisme intelektual (intellectual imperialism) atau imperialisme kecendekiaan. Dalam konteks ini, proses penghasilan ilmu dikuasai institusi-institusi pendidikan dan lembaga-lembaga penyelidikan dan penelitian dari Barat. Walaupun kita mempunyai institusi-institusi kita sendiri, tetapi dalam proses penghasilan ilmu kita dikuasai dan didominasi institusi dari luar. Itu memang jelas. Tadi waktu pagi semasa acara Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas, ada perbincangan sedikit mengenai Edward W. Said dan pendapat beliau tentang karya Syed Hussein Alatas iaitu buku beliau Mitos Peribumi Malas. Dikemukakan bahawa Edward W. Said mengatakan buku Mitos Peribumi Malas itu merupakan suatu karya yang startlingly original, yang sangat original dan yang sangat asli secara menonjol. Yang mengatakan hal itu bahawa beliau berasa kagum. Saya juga setuju. Saya juga berasa kagum dan bangga bahawa karya ayah saya begitu dihargai, tetapi ini mencerminkan satu masalah. Ini mencerminkan masalah penghargaan bahawa kita di Malaysia, Indonesia, Singapura, di kebanyakan negara sedang membangun, di institusi pendidikan tinggi kita. Kita bergantung kepada penghargaan dari luar. Maksudnya, lebih penting untuk kita dihargai oleh sarjana-sarjana dari luar. Oleh sebab itu, kita perlu menulis dalam Bahasa Inggeris. Kita perlu menerbitkan makalah-makalah kita dalam Bahasa Inggeris di jurnal-jurnal luar negeri, khususnya di Amerika Syarikat dan Britain, jurnal yang memiliki ranking yang tinggi sebab kita mempedulikan itu. Karya kita bergantung kepada itu. Jika kita ingin kenaikan pangkat sebagai profesor madya atau profesor, lebih penting kita dihargai di sana dan bukan di negara kita sendiri. Kalau saya sebagai pensyarah di Singapura menulis ratusan makalah dalam Bahasa Melayu dan menerbitkan ratusan makalah dalam jurnal-jurnal di Indonesia atau di negara Arab, di Iran, itu tidak akan diambil kira. Ia tidak dianggap sebagai penting kerana itu hanya membuktikan bahawa saya hanya dihargai di dunia bukan Barat. Dihargai di dunia bukan Barat tidak penting, tetapi yang penting kita dihargai di pusat-pusat penghasilan ilmu di Amerika Syarikat dan Britain. Perkara ini merupakan satu aspek yang saya menamakannya sebagai kebergantungan akademik (academic dependency). Kebergantungan akademik itu ialah suatu fenomena yang merupakan satu ciri imperialisme kecendekiaan. Ada aspek-aspek lain kebergantungan akademik. Kita bergantung kepada penghargaan daripada mereka di Barat. Kita bergantung kepada media penerbitan dalam erti kata kita diminta oleh institusi-institusi kita sendiri, kita diminta oleh kementerian pelajaran kita, kita diminta oleh lembaga penelitian institusi kita untuk menerbitkan makalah dan buku di luar negara, khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. Jadi, kita bergantung kepada institusi mereka. Namun, yang paling bermasalah ialah: kita bergantung kepada idea, teori, gagasan mereka di Amerika Syarikat dan Britain. Kita bergantung kepada Barat, tetapi yang saya maksudkan dengan Barat bukanlah seluruh Barat tetapi pusat-pusat penghasilan ilmu. Pusat penghasilan ilmu di Barat hanya ada dua atau tiga iaitu: Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Hal ini membawa kita kepada soal masalah Eurosentrisme dan masalah minda tertawan. Minda tertawan lah yang bergantung secara akademik kepada ilmu dari Barat. Kalau minda tidak tertawan, walaupun ia wujud dalam konteks imperialisme intelektual tetapi tidak semestinya ia bergantung kepada gagasan atau teori dari Barat. Ia mungkin akan jadi lebih mandiri walaupun dia hidup dan bekerja dalam konteks imperialis. Namun, jika dia berminda bebas, dia tidak akan bergantung kepada idea-idea dari luar. Jika mindanya tertawan, ia bererti ada kebergantungan dalam erti bahawa teori dan gagasan berasal dari Barat diterima dan diterapkannya. Sekurang-kurangnya ada dua masalah yang muncul daripada kebergantungan ini. Pertama, dalam proses penelitian, proses membaca, menulis iaitu proses menghasilkan ilmu. Dalam proses itu, jika kita hanya membaca, mempelajari gagasan dari luar, ilmu, konsep, idea, gagasan, agenda, penelitian ditentukan dari luar. Hal ini menyebabkan keadaan yang mana kita meminggirkan atau mengenepikan gagasan yang asli dan tempatan. Ada kemungkinan aspek atau realiti yang kita ingin kaji dan fahami terlepas daripada pemahaman kita. Ada juga kemungkinan bahawa kita akan memutar belitkan realiti atau keadaan yang kita cuba fahami.

Masalah Peniruan Konsep Dari Barat Tanpa Daya Kritis

Saya ingin berikan beberapa contoh. Salah satu contoh dalam kita mengajar atau menyelidik tentang sejarah. Katakan sejarah Nusantara. Jika kita hanya meniru konsep dari Barat, satu konsep atau satu dikotomi garis pemisah yang begitu penting sekali dalam sejarah mereka adalah kota-desa. Kota-desa ialah suatu dikotomi yang penting sebab sejarah Eropah ditentukan oleh hubungan kota dan desa. Dalam sejarah Eropah, kemunculan masyarakat moden, kemunculan sistem kapitalis pada zaman moden, kemunculan sistem demokrasi, semua itu berlaku kerana pertentangan antara kota dan desa. Antara kelas-kelas yang ada di kota dan desa, kelas bangsawan dan kelas feudal iaitu kelas bangsawan yang memiliki tanah pada satu pihak bertentangan dengan mereka ialah kelas borjuis ialah kelas yang memiliki modal yang ada di kota. Jadi, sejarah moden Eropah ialah sejarah pertentangan antara kota dan desa. Itu suatu dikotomi yang penting untuk kita memahami sejarah Eropah. Akan tetapi, jika kita ingin memahami sejarah Timur Tengah, dikotomi itu tidak sesuai sama sekali. Sebabnya ialah tiada dikotomi seperti itu. Apa yang ada di Timur Tengah adalah seperti yang dikatakan oleh Ibn Khaldun iaitu pertentangan antara dua jenis masyarakat yang bukan didikotomikan secara kota-desa tetapi masyarakat hadhari dan masyarakat badawi. Masyarakat yang menetap (umran hadhari) dan masyarakat yang mengembara (umran badawi). Masyarakat yang menetap itu termasuk mereka yang berada di kota dan desa kedua-duanya. Masyarakat yang mengembara pula berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan hidup di kawasan padang pasir. Namun, ada ramai sarjana Arab juga yang menguasai Bahasa Arab telah membaca Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, tetapi mereka melihat atau memahami Ibn Khaldun dengan kaca mata orang Eropah. Jadi, dikotomi umran hadhari dan umran badawi difahami oleh mereka sebagai dikotomi kota-desa kerana mereka memahami Ibn Khaldun melalui kaca mata atau pengalaman Eropah. Mereka dipengaruhi dan boleh dikatakan sebagai Eurosentrik.

Begitu juga dengan rantau kita. Jika kita ingin mengkaji sejarah pra kolonial atau pra penjajahan Nusantara, katakan lah sejarah Melaka, dikotomi kota-desa itu tidak sesuai. Hal ini kerana masyarakat di sini, dikotomi yang penting untuk memahami sejarah kita bukan kota-desa. Dikotomi yang penting ialah ‘darat dan laut’ kerana di rantau kita, masyarakat kita bukan hanya ada di darat. Masyarakat juga tinggal di laut yang kita namakan Orang Laut, walaupun istilah itu tidak tepat, tetapi faktanya ada masyarakat yang tinggal di laut. Di darat pula, kita ada hulu dan hilir. Oleh itu, dikotomi kota-desa tidak sesuai. Kita dapati bahawa jika kita ingin memahami sejarah masyarakat Nusantara, ada hubungan yang rapat antara masyarakat yang tinggal di laut dan masyarakat di darat. Contohnya, ini lebih kurang mirip dengan apa yang berlaku di Timur Tengah pada zaman pra moden. Pada zaman pra moden, melalui Ibn Khaldun, masyarakat yang mengembara di padang pasir membekalkan kuasa militer kepada sultan yang berpusat di bandar atau ibu kota. Kuasa militernya adalah daripada masyarakat mengembara atau masyarakat Badawi. Begitu juga pada zaman Kesultanan Melaka. Kuasa militer dibekalkan oleh Orang Laut daripada masyarakat di laut. Wujud hubungan yang amat rapat antara orang di laut dan di darat. Jadi, ini hanya untuk menunjukkan teori atau konsep dari Barat tidak semestinya sesuai bagi memahami sejarah kita, budaya kita dan segala aspek kehidupan kita. Inilah yang saya maksudkan dengan masalah Eurosentrisme yang mana kita hanya meniru konsep dan idea dari Barat kerana kita dididik dalam sistem pendidikan dari Barat. Kemudian, kita ambil tanpa kupasan. Ini menjadi masalah.

Masalah Peminggiran Tokoh dan Gagasan Asli Kita

Akibat daripada peniruan konsep ini ialah dua perkara. Pertama, tradisi kita, sosok kita, tokoh kita diketepikan apabila kita mengajar di universiti. Katakan seperti saya mengajar teori sosiologi atau teori antropologi, atau teori dalam bidang geografi, teori politik dan sebagainya. Apabila kita mengajar, kita hanya mengambil tokoh-tokoh Barat. Biasanya, Karl Marx, Max Weber, Emilé Durkheim, Georg Simmel dan sebagainya. Kita hanya mengajar tentang mereka. Jadi, untuk mengajar tentang permulaan teori sosiologi pada kurun ke-19, kita hanya mengambil perhatian tentang mereka. Seolah-olah tidak ada orang bukan Barat dan orang yang bukan lelaki. Seolah-olah tiada yang memikir secara sistematik tentang masyarakat. Sebenarnya ada banyak. Pada akhir kurun ke-19, José Rizal boleh dikatakan sosok pertama di Dunia Melayu yang memikir secara sistematik tentang masyarakat dan telah menghasilkan satu kefahaman dalam bentuk satu teori tentang masyarakat pada zaman penjajahan. Ada yang lain juga pada zaman itu iaitu Raden Adjeng Kartini di Indonesia. Sememangnya ada pemikiran yang agak sistematik tentang masyarakat Jawa pada zaman penjajahan. Akan tetapi, kita mengetahui tokoh-tokoh seperti itu, kita mengenali mereka, tetapi kita masih belum menggali pemikiran mereka dengan tujuan untuk mewujudkan satu badan ilmu, satu teori yang boleh kita katakan merupakan teori yang asli. Itu kita masih belum lakukan. Begitu juga di luar rantau kita. Kalau saya berbalik kepada contoh Ibn Khaldun. Ibn Khaldun diketahui oleh semua orang baik di Barat mahupun di negeri Arab. Namun, kebanyakan kajian mengenai Ibn Khaldun merupakan kajian mengenai Ibn Khaldun, bukan kajian melalui Ibn Khaldun. Yang ingin kita lakukan adalah kajian tentang kenyataan atau realiti melalui Ibn Khaldun, melalui kaca mata Ibn Khaldun, bererti melalui teorinya. Bukan sahaja kajian mengenai Ibn Khaldun. Maksud saya, jangan kita hanya menganggap Ibn Khaldun sebagai objek penelitian. Jangan hanya itu. Kita harus menganggap Ibn Khaldun sebagai subjek. Melalui Ibn Khaldun, kita menafsir sejarah. kita memahami sejarah, kita memahami masyarakat melalui konsep, gagasan dan teori Ibn Khaldun. Itu bererti kita mendekati Ibn Khaldun sebagai subjek, bukan hanya sebagai objek. Kita bukan hanya meneliti tentang Ibn Khaldun, tetapi kita meneliti sejarah tentang masyarakat, tentang kenyataan melalui Ibn Khaldun. Begitu juga dengan Raden Adjeng Kartini, Raja Ali Haji dan José Rizal. Kita menganggap mereka sebagai objek dan bukan sebagai subjek. Jadi, dikotomi pemisahan ini, garis pemisah objek-subjek adalah satu ciri yang bermasalah Eurosentrisme. Dikotomi subjek-objek wujud dalam kalangan sarjana Eropah, sarjana Barat. Malangnya, ia telah meresap ke dalam minda kita sendiri. Maka, kita sendiri mendekati tokoh-tokoh kita sebagai objek sahaja. Ini menjadi masalah.

Masalah Pemutar Belitan Kenyataan

Apa yang lebih parah lagi, lebih menyusahkan lagi daripada meminggirkan tokoh kita dan gagasan-gagasan asli kita adalah kemungkinan gagasan atau ilmu dari Barat itu memutar belitkan kefahaman kita terhadap kenyataan-kenyataan yang kita kaji. Apa yang saya maksudkan dengan pemutarbelitan ialah distortion of the reality. Salah satu contoh yang saya sering membawakan adalah daripada agama Hinduisme. Istilah Hinduisme digunakan untuk menggambarkan, merujuk kepada komuniti keagamaan yang ada di India dan juga yang ada di Nusantara sebelum kedatangan Islam. Jadi, kita sering mendengar ungkapan agama Hindu-Buddha contohnya. Ataupun orang Hindu Bali, orang Hindu Jawa dan sebagainya. Ini merupakan satu pemutarbelitan sejarah kerana pada zaman dahulu kurun ke-15, 16 dan 17, tidak wujud satu agama yang namanya Hinduisme. Tidak wujud satu agama dan tidak wujud juga nama Hinduisme. Sebenarnya, apa yang wujud pada zaman itu ialah pelbagai agama. Ada komuniti yang menganuti Dewa Siva, Dewa Vishnu dan sebagainya. Mereka dianggap sebagai agama yang pelbagai. Bukan sebagai satu agama. Mereka sendiri tidak menganggap bahawa mereka terdiri daripada satu agama. Nama Hinduisme tidak wujud pada zaman itu. Hinduisme gagasan bahawa ada satu agama yang terdiri daripada penganut Dewa Vishnu, Dewa Siva dan sebagainya itu merupakan satu gagasan yang dicipta oleh orang Eropah, orang Orientalis. Ia kerana sewaktu mereka menemui masyarakat di India, mereka melihat dan memahami agama-agama yang ada di India dengan kaca mata mereka sendiri. Sewaktu mereka datang ke benua India, mereka ingin memahami agama yang ada di sana. Orang Islam, Kristian dan Yahudi sudah mereka kenali sebagai agama kerana telah ada pengalaman dengan agama-agama itu, tetapi yang lain mereka tidak tahu. Mereka mengandaikan mereka yang bukan beragama Islam, Kristian atau Yahudi, terdiri daripada satu agama. Itu andaian mereka sebab dengan kaca mata Eropah dan Kristian mereka, seperti di Eropah ada satu agama Kristian yang terdiri daripada beberapa denominasi, begitu jugalah di India. Mereka berfikiran juga di India ada banyak denominasi tetapi semuanya terdiri daripada satu agama yang mereka namakan Hinduisme. Nama al-hind itu berasal daripada Arab. Orang Eropah belajar itu daripada orang Islam. Orang Islam pada zaman itu tidak memahami al-hind itu sebagai satu agama. Hind itu merujuk kepada suatu tempat itu, kepada orangnya, tetapi tidak kepada agama. Namun, ia diandaikan oleh orang Eropah sebagai satu agama.

Kita ada bukti bahawa agama Hindu itu tidak wujud. Sebenarnya ada banyak agama. Kita ada bukti daripada Abu Rayhan al-Biruni seorang sarjana dan alim dari tanah yang kita kenali pada hari ini sebagai Uzbekistan yang menetap di India selama 13 tahun mempelajari bahasa Sanskrit dan menulis sebuah kitab tebal yang namanya Kitab al-Bīrūnī fī Taḥqīq mā li-al-Hind, buku mengenai India. Jelas dinyatakan oleh al-Biruni bahawa tujuan saya adalah untuk meneliti tentang agama-agama di India. Beliau menggunakan jamak. Dalam Bahasa Arab, beliau menyatakan bahawa saya meneliti tentang ad-dian al-Hind iaitu jamak daripada ad-din. Jadi, jelas untuk al-Biruni bahawa yang ada di India adalah pelbagai agama. Itu buktinya. Tetapi, ini yang menarik dan mungkin agak lucu juga. Seorang sarjana Jerman yang menerjemahkan karya al-Biruni kepada Bahasa Jerman dan Bahasa Inggeris. Dalam terjemahan beliau pada waktu sama ketika menterjemahkan karya al-Biruni, beliau mengubah maksud al-Biruni. Seolah-olah beliau meng-oriental-kan al-Biruni yang mana al-Biruni mengatakan ad-dian al-Hind, sarjana Jerman ini menerjemahkannya sebagai agama Hindu. Jadi, beliau memasukkan kefahamannya sendiri ke dalam terjemahannya. Ini menjadi masalah. Seolah-olah jika kita membaca al-Biruni dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Jerman, kita akan tersalah faham terhadap maksud al-Biruni. Oleh itu, ini merupakan Orientalisme melalui terjemahan. Melalui contoh itu kita akan dapat memahami bahawa masalah Eurosentrisme itu akan dapat mengarah atau membawa kepada pemutarbelitan kenyataan.

Selepas itu, terjadi di India mengenai Hinduisme, orang Eropah-Orientalis mencipta gagasan Hinduisme. Sewaktu orang Belanda datang ke Indonesia, mereka dapati ada masyarakat yang menganuti Dewa Visnu, Dewa Siva, mereka mengandaikan bahawa mereka juga ialah orang Hindu dan telah melekat istilah atau nama itu. Lambat laun, orang Indonesia sendiri, orang Jawa sendiri, orang Bali sendiri menganggap diri mereka sebagai orang Hindu. Sekarang, jika kita ke Bali, orang di sana yang bukan Islam menganggap diri mereka sebagai Hindu Bali atau Hindu Jawa dan sebagainya. Kita sendiri di Malaysia merujuk peninggalan yang ada di Lembah Bujang sebagai peninggalan dari zaman Hindu-Buddha, tetapi itu tidak tepat dan tidak betul kerana agama itu tidak wujud pada zaman itu. Saya tidak menafikan bahawa ada tradisi-tradisi keagamaan yang dipengaruhi oleh apa yang ada di India, di Nusantara, di Semenanjung sebelum kedatangan Islam. Saya tidak menafikan itu. Bukan tujuan saya untuk memperkecil pengaruh dari India. Yang saya katakan ialah kefahaman kita mengenai apa itu adalah salah kerana dipengaruhi Eurosentrisme dalam mana mereka melihat kepada realiti kita melalui kaca mata mereka sendiri. Jadi, masalah ini ialah masalah pokok dalam Eurosentrisme adalah peminggiran sosok, tokoh, gagasan yang asli. Selain itu, masalah pemutarbelitan kita tentang sejarah dan masyarakat kita.

Bahasa Kita dan Penghasilan Ilmu Baharu

Oleh yang demikian, hal ini merupakan cabaran untuk intelektual kita. Bukan sahaja untuk mengenal pasti masalah Eurosentrisme, tetapi apa yang lebih penting untuk menghasilkan ilmu baharu, dalam erti menghasilkan teori dan konsep yang baharu. Ini memerlukan kita menggali tradisi, mengenal pasti tokoh-tokoh tempatan atau tokoh bukan tempatan, tetapi tokoh-tokoh yang bukan Barat juga kerana kita bukan sahaja perlu mengambil perhatian kepada yang lokal tetapi bukan Barat dari tamadun lain. Asal kita tidak mengehadkan perhatian kita kepada tamadun Barat. Sememangnya kita tidak harus menolak ilmu dari Barat secara total, tetapi jangan mengehadkan sumber teori dan gagasan kita kepada Barat. Itu satu. Selain itu, kita harus mengambil sikap yang lebih serius terhadap bahasa kerana setakat ini kita tidak menganggap bahasa sebagai khazanah konsep khususnya untuk ilmu kemasyarakatan. Kita hanya menggunakan bahasa, Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia hanya untuk menerjemahkan daripada Bahasa Inggeris ke bahasa kita. Hanya untuk alat. Kita memperalatkan bahasa. Kita tidak mengambil bahasa sebagai sumber konsep. Kalau kita melihat kepada bahasa sebagai sumber, ini akan mengarah kepada pembentukan konsep baharu. Saya masih ingat hampir 20 tahun yang lalu, saya bertemu dengan Prof. Dato’ Dr. Abdul Samad Hadi yang ketika itu merupakan Dekan di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau dalam bidang Geografi. Beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau menulis sebuah makalah tentang konsep ‘merantau’. Beliau menyatakan bahawa, erti ‘merantau’ itu bukan sahaja migrasi tetapi yang terkandung dalam konsep itu tentang pemindahan orang dari satu tempat ke satu tempat lain yang berlainan dengan konsep migrasi yang kita pelajari dalam bidang Sosiologi atau Antropologi atau Sejarah. Kita semua tahu bahawa jika kita berpindah, contohnya dari Pekan ke Pekanbaru, itu disebut atau dinamakan atau difahami sebagai merantau. Jika saya berpindah dari Kuala Lumpur ke Madinah atau dari Kuala Lumpur ke Istanbul, itu tidak disebut merantau kerana dalam perpindahan itu, saya keluar dari rantau budaya saya. Jadi, itu difahami sebagai berhijrah. Kedua-dua istilah ‘merantau’ dan ‘berhijrah’ merujuk kepada perpindahan orang tetapi dalam erti yang berlainan. Jadi, kita mesti meneliti bahasa kita sebab terkandung dalam bahasa kita ialah makna yang berlainan. Ada kemungkinan bahawa istilah-istilah baharu dapat dimasukkan sebagai konsep dalam penghasilan ilmu. Ini hanya akan boleh berlaku jika kita bukan merupakan minda tertawan. Saya rasa ini merupakan cabaran penting bagi intelektual kita.

Penguasaan Negara dan Institusi Keagamaan dalam Wacana Ilmu

Setakat ini, saya membincangkan cabaran intelektual dalam konteks masalah Eurosentrisme, jangan kita andaikan bahawa punca masalah kita berasal dari luar, dari Barat bahawa proses penghasilan ilmu dalam kalangan kita sendiri hanya dipengaruhi apa yang berlaku di luar atau dikuasai masalah Eurosentrisme. Walaupun itu berlaku, pada waktu yang sama, pada pihak yang lain kita mengalami masalah dalaman, bukan hanya masalah luaran. Mungkin cabaran intelektual kita harus fahami dalam konteks masalah dalaman juga. Kita dikuasai oleh penguasaan dan pengawalan daripada negara dan institusi-institusi keagamaan. Jadi, kita wujud di antara dua masalah. Apa yang peribahasa Inggeris katakan, ‘between a rock and a hard place’ atau ‘between the devil and the deep blue sea’, bahawa tiada tempat untuk melarikan diri. Pada satu pihak ialah masalah luar Eurosentrisme, pada masa yang sama masalah dalam negeri iaitu negara dan institusi-institusi agama yang menguasai ilmu kita. Jadi, tujuan intelektual kita seharusnya adalah untuk mewujudkan ilmu mandiri. Mandiri bererti bebas daripada segala bentuk kuasa, sama ada kuasa luar Eurosentrisme atau kuasa dalam seperti negara dan institusi agama. Apa yang saya maksudkan dengan ‘agama’ ialah agamawan atau institusi keagamaan, bukan agama. Bukan maksud saya kita harus bebas daripada Islam atau Kristian dan sebagainya. Tidak sama sekali. Apa yang saya maksudkan, kita harus bebas daripada kuasa agamawan, terutama sekali agamawan yang memelihara pendekatan, wacana dan sebagainya yang sempit. Kita seharusnya tidak membiarkan mereka menentukan wacana kita sebagai ilmuan. Ini sering berlaku di Malaysia. Beberapa tahun yang lalu, mungkin anda ingat peristiwa yang mana seorang sarjana Turki, Mustafa Akyol ditahan di lapangan terbang Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Di Malaysia, suatu yang sangat menyedihkan kerana Islam ditakrif secara sempit oleh golongan-golongan tertentu seperti golongan Syiah secara rasmi dianggap sebagai sesat dan mereka dianiayai, tempat mereka diserbu dan sebagainya. Jadi, wacana itu ditentukan oleh agamawan-agamawan tertentu. Itu membawa pengaruh buruk dan kesan yang buruk ke atas wacana intelektual. Sebenarnya, intelektual atau sarjana kita, pensyarah kita, peneliti kita dikuasai, didominasi wacana seumpama itu. Kadangkala seorang pensyarah dikenali atau dikatakan menyokong Syiah atau dikatakan menganut Syiah seperti saya sendiri meskipun saya bukan Syiah, saya berterus terang, tetapi saya membela mereka. Ada satu kali saya diundang untuk memberikan ucaptama di satu persidangan di sebuah universiti di Malaysia, undangan itu ditarik balik kerana jabatan agama di negeri itu atau pihak universiti mengatakan bahawa mereka takut jabatan agama akan mengatakan bahawa saya dilarang mengisi di persidangan itu oleh kerana saya dikatakan menganuti mazhab Syiah. Jadi, penguasaan proses penghasilan ilmu oleh agamawan tidak seharusnya berlaku. Kita mestilah bebas daripada segala jenis penguasaan sama ada daripada luaran atau daripada dalaman.

Seruan Pembentukan Ilmu Mandiri

Saya mengakhiri diskusi saya dengan seruan untuk kita membentukkan ilmu mandiri. Saya merujuk kepada penulisan karya ayah saya yang mana beliau menulis tentang perlunya kita mewujudkan satu tradisi Sains Sosial, Ilmu Kemasyarakatan di Asia yang berautonomi. Autonomous Asian Social Sciene tradition. Saya rasa sejak tahun 1967, waktu Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) didirikan oleh ayah saya, dalam masa 50 tahun ini, telah muncul satu sekolah pemikiran yang telah dinamakan sekolah ilmu mandiri atau school of autonomous knowledge dipengaruhi Syed Hussein Alatas. Dipengaruhi istilah Asian autonomous Social Science tradition. Telah muncul ‘sekolah’ itu. Apa yang saya maksudkan sebagai sekolah bukanlah institusi, bukan bangunan, walaupun ia berasal dari satu institusi. Dalam kes ini, ia berasal daripada NUS pada masa itu, pada tahun 1967. Yang saya maksudkan dengan ‘sekolah’ ialah tradisi penghasilan ilmu yang berasal daripada satu sosok atau tokoh. Akan tetapi, muncul satu tradisi atau satu pendekatan untuk menghasilkan ilmu, pendekatan yang mana ilmu penjajahan dikupas dan ilmu baharu serta agenda penyelidikan yang baharu didirikan dan dilakukan dalam pelbagai bidang, tidak terhad dalam satu bidang walaupun ia berasal daripada bidang Sosiologi tetapi telah menyebar ke bidang lain seperti Sejarah, Sastera dan sebagainya. Jadi, tradisi ini berterusan dari zaman ayah saya pada hampir 50 tahun lalu, diturunkan daripada generasi ke generasi.

Jika ayah saya merupakan generasi yang pertama, generasi kedua ialah tokoh seperti Chandra Muzaffar, Shaharuddin Maaruf, Noor Aisha Abdul Rahman, saya sendiri dan sebagainya. Ada juga generasi ketiga diwakili oleh tokoh seperti Azhar Ibrahim. Mungkin ada juga generasi keempat. Saya tidak tahu sama ada Teo Lee Ken mahu dikenali sebagai mewakili generasi keempat. Banyak lagi di Singapura, di Malaysia, di Indonesia dan di tempat lain juga. Jadi, ini merupakan satu ‘sekolah’. Bererti dalam satu tradisi. Kalau di Jerman, kita ada Frankfurt School. Di Bombay, sejak 100 tahun lalu, muncul The Bombay School of Sociology. Di Lucknow University ada Lucknow School of Sociology. Di Nusantara ada sekolah ini. Sekolah ilmu mandiri yang muncul sekitar 50 tahun yang lalu. Saya rasa, salah satu daripada tugas kita sebagai sarjana dan intelektual adalah untuk menyedarkan generasi yang muda bahawa ada sekolah seperti ini dan ini merupakan satu sekolah yang asli yang mengupas ilmu penjajahan, yang terlibat dalam proses penghasilan ilmu nyah jajah (decolonial). Ia kerana kita telahpun mengenal pasti kejajahan ilmu. Ia lain daripada penjajahan. Jika kejajahan, ia merujuk kepada coloniality of knowledge. Walaupun kita hidup dalam zaman pasca penjajahan, tetapi masih ada keadaan kejajahan ilmu. Tugas kita adalah untuk menyah jajah ilmu. Ada banyak pendekatan untuk penyahjajahan ilmu, tetapi hanya satu pendekatan yang telah menjelma sebagai sekolah ilmu di Nusantara. Itu ialah sekolah ilmu mandiri. Jadi, saya rasa ini adalah salah satu daripada tugas kita untuk memelihara sekolah ini dan memelihara ilmu yang mandiri bebas dari kuasa luar dan dalam. Sekian.

Perbincangan Dan Soal Jawab

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Dr. Syed Farid Alatas atas pengolahan syarahan beliau berkenaan peranan kaum intelektual, khususnya mendepani permasalahan berkaitan Eurosentrisme, nasionalisme dan sektarianisme. Memulakan perbincangan, saya ingin mengambil peluang sebagai moderator perbincangan untuk mengutarakan soalan yang pertama. Bukan soalan yang terlalu asing, tetapi banyak berkait dengan tajuk perbincangan sendiri. Saya kira syarahan Prof. sebentar tadi lebih banyak menekankan elemen-elemen kesan Eurosentrisme daripada satu sisi yang menjejaskan keadaan atau tahap ilmu pengetahuan. Namun, Prof. juga tanpa banyak pengolahan, menerangkan kesan-kesan terhadap ilmu pengetahuan yang mungkin datang daripada masyarakat atau ketamadunan kita sendiri. Saya kira, berkenaan tajuk itu tadi lebih banyak melihat daripada sudut atau aspek kesan nasionalisme ilmu pengetahuan. Saya kira topik atau perkara ini juga penting selain daripada kesan Eurosentrisme yang telah Prof. ulas dengan agak panjang kerana trend-trend kemasyarakatan sama ada daripada sudut sosiopolitik, malahan juga berkaitan keadaan ekonomi dan ilmu pengetahuan yang cenderung mempunyai unsur-unsur nasionalisme yang pada masa ini juga disebut sebagai populisme yang agak ekstrem yang memberikan kesan terhadap politik, keagamaan dan sebagainya. Mungkin Prof. boleh memberikan pengolahan tambahan berkaitan itu? Saya akan buka ruang kemudian kepada rakan-rakan untuk mengutarakan soalan. Silakan Prof.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya tidak memberi pendapat bahawa masalah Eurosentrisme lebih penting daripada masalah dalaman, sebab sektarianisme dan nasionalisme juga masalah. Ia membawa kesan buruk terhadap proses penghasilan ilmu. Namun, saya tidak mempunyai banyak contoh atau data mengenai itu, mengenai masalah dalaman. Apa yang penting di sini, kita mesti mengenal pasti masalah itu. Jadi, jika kita mengatakan contoh daripada sejarah, kajian mengenai sejarah. Cara kita menafsir kembali sejarah. Ini masalah historiografi. Ada banyak karya yang muncul sejak tahun 1960-an mengenai sejarah di Nusantara. Penulisan John R.W. Smail yang menulis tentang autonomous history of Asia atau Southeast Asia. John Bastin telah menulis kemungkinan perspektif sejarah daripada orang Asia. Ayah saya sendiri telah menulis beberapa makalah. Salah satu Theoretical Aspects of Southeast Asian History dan Reconstruction of Malaysian History. Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas juga telah menulis tentang penafsiran semula sejarah. Beberapa makalah dan buku. Yang terakhir adalah buku beliau bertajuk Historical Fact and Fiction. Dalam karya-karya ini, masalah Eurosentrisme diketengahkan. Apa yang jarang diketengahkan dalam penulisan berbentuk historiografi, penulisan kritik tentang cara kita menulis sejarah. Kalau kita menulis sejarah, bererti kita menulis tentang apa yang berlaku pada zaman dahulu. Itu menulis sejarah. Jika kita menulis historiografi, bererti kita menulis tentang cara sejarawan menulis. Itu maksudnya historiografi. Jadi, dalam penulisan historiografi jarang diperhatikan atau diketengahkan masalah ultra nasionalisme. Kita menuduh orang Barat memutar belitkan sejarah kita kerana memakai perspektif atau ideologi yang tidak sesuai dan dengan itu mereka memutar belitkan sejarah kita.

Contohnya, jika mereka menulis tentang sejarah Melaka dan tidak diambil kira dalam penulisan mereka itu hubungan orang Laut dan Orang Darat ataupun kategori laut itu tidak diambil sebagai penting dalam penulisan mereka, kita mengkritik itu sebagai satu pemutar belitan. Kita menuduh dan mengkritik mereka. Itu benar. Akan tetapi, pada waktu yang sama, kita tidak mempersoalkan pemutar belitan yang dilakukan oleh sejarawan kita sendiri. Contohnya, ada pendapat dalam kalangan sesetengah sejarawan atau sarjana di Malaysia yang menyatakan sejarah Malaysia ialah sejarah orang Melayu. Sejarah selainnya, Cina, India dan lain-lain tidak penting. Saya pernah membaca satu penulisan, mungkin makalah atau bab yang mengatakan bahawa orang bukan Melayu merupakan serpihan sahaja dalam sejarah. Ini memang merupakan satu pemutar belitan. Tidak betul. Jadi, saya rasa karya kita atau perhatian kita terhadap masalah ultra nasionalisme adalah kurang berbanding perhatian kita terhadap masalah Eurosentrisme. Masih belum ada banyak kajian mengenai buku teks Sejarah untuk menunjukkan apa caranya mereka menulis sejarah tentang kita. Dalam percubaan mereka membetulkan Eurosentrisme, apakah mereka memasukkan ultra nasionalisme atau sektarianisme?

EHSAN SHAHWAHID: Baik, terima kasih Prof. Dr. Syed Farid Alatas. Sekarang saya ingin buka kepada para peserta lain daripada Naratif Malaysia dan lain-lain untuk sama-sama mengajukan pandangan, soalan dan komentar. Silakan saudari Fatimah Tajuddin.

FATIMAH TAJUDDIN: Assalamualaikum Prof. Dr. Saya Fatimah Tajuddin. Saya merupakan seorang pelajar PhD di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Latar akademik saya ialah psikologi dan komunikasi. PhD dalam Kajian Etnik. Saya ada soalan mengenai kaedah untuk kita menghasilkan teori atau konsep yang mandiri. Saya amat tertarik dengan isu ini kerana seperti Prof. katakan kita kurang teori khususnya untuk memahami masyarakat di Malaysia. Saya ingin bertanya kepada Prof. tentang pemerhatian Prof. terhadap penggunaan kaedah grounded theory untuk menghasilkan konsep dan teori yang mandiri dalam kalangan kaum intelek di Malaysia. Adakah kami di Malaysia cukup menggunakan kaedah grounded theory ini? Adakah kaedah grounded theory ini merupakan kaedah yang berkesan untuk menghasilkan teori dan konsep yang mandiri?

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Baik, terima kasih. Satu soalan yang bagus. Ia memberi peluang untuk saya menjelaskan sesuatu kerana isunya atau masalahnya bukan soal kaedah. Yang dimaksudkan oleh anda bukan cara mengumpulkan data, tetapi lebih kepada menghasilkan teori. Dalam grounded theory, kita mengumpulkan data dan membentuk teori daripada data. Kita tidak sampai kepada data dengan satu teori. Kita membina teori daripada data yang kita kumpulkan. Itu betul, tetapi saya ingin menimbulkan bahawa masalah kita menghasilkan ilmu yang mandiri atau teori dan konsep yang asli. Yang saya maksudkan dengan asli ialah original. Ini bukan soal kaedah. Sama ada kita mulakan dengan grounded theory, kita mulai di ground atau kita mulai dari langit, itu tidak penting. Apa yang penting adalah bahawa minda kita tidak tertawan. Kalau kita mempunyai minda tertawan, meskipun kita menggunakan grounded theory, mungkin kita akan sampai kepada penemuan yang tidak begitu asli atau tidak begitu menarik. Contohnya, jika kita tidak sedar tentang pentingnya kita mengambil perhatian tentang makna yang terkandung dalam bahasa. Walaupun kita melakukan grounded theory, kita tidak akan sampai kepada gagasan atau idea atau teori yang baharu atau asli. Jadi, saya percaya bahawa grounded theory itu merupakan satu cara yang baik, tetapi asal minda yang melakukan grounded theory itu, yang melaksanakan penyelidikan itu tidak tertawan. Grounded theory bukan satu-satunya cara. Ada kaedah-kaedah lain. Semua kaedah adalah sesuai. Apa yang penting, penyelidik itu mindanya tidak tertawan. Jadi, kita mesti tahu tentang proses penyelidikan kerana ketertawanan minda itu membawa kesan atau mempengaruhi segala tahap penelitian.

Contohnya, kita mulakan dengan pemilihan tajuk. Kenapa kita memilih satu-satu tajuk juga bergantung kepada minda kita tertawan atau tidak. Contohnya, di Malaysia dan Singapura, ramai yang suka meneliti tentang identiti Melayu, seolah-olah identiti itu ialah satu masalah. Sebenarnya identiti bukan masalah dalam kalangan orang Melayu. Ia merupakan masalah masyarakat Barat yang mengkaji tentang orang Melayu. Agenda penelitian itu dihasilkan di sana, diwujudkan di sana. Mereka tertarik dengan tajuk itu dan kita pula meniru. Kita meniru kerana ingin juga mengkaji tentang itu. Itu bukan masalah kita. Kita tidak terkeliru dengan apa yang dimaksudkan dengan Melayu. Jadi, kita seharusnya memilih tajuk yang sesuai dalam erti kata penting bagi masyarakat kita. Bukan penting bagi orang luar dan kita meniru agenda penelitian mereka. Jadi, pemilihan tajuk adalah penting. Selain itu, permasalahan kajian. Apa masalah penelitian kita? Mesti ada soalan yang inti. Persoalan utama. Itu juga dipandu oleh kepentingan kita sendiri, budaya kita, apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Sewaktu kita menjawab atau menyelesaikan masalah itu, menjawab soalan utama itu dalam penelitian, jawapan itu ialah teorinya. Sama ada teori itu berasal daripada datanya atau teori itu diterapkan dari luar. Jadi, teori apa yang kita ingin menerangkan? Itu juga berasaskan kepada minda kita – sama ada tertawan ataupun tidak. Jika kita terdedah kepada tradisi yang bukan sahaja dari Barat seperti Amerika dan Britain, ada kemungkinan kita akan menghasilkan penelitian yang lebih asli. Soalnya bukan masalah kaedah. Grounded theory merupakan teori yang sesuai, tetapi kaedah yang lain juga dapat diterapkan asalkan dalam proses memilih tajuk, dalam proses menerapkan teori, kita tidak mempunyai minda yang tertawan. Sebentar tadi, saudari mengatakan bidangnya Psikologi dan Komunikasi. Tesisnya adalah mengenai kajian etnik. Adakah etnik Melayu atau apa?

FATIMAH TAJUDDIN: Saya sedang mengkaji mengenai penggunaan filem indie di Malaysia untuk memupuk saling pemahaman antara etnik.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Sesuatu yang menarik adalah: adakah identiti etnik ini—walaupun ia wujud dalam bidang Antropologi dan Sosiologi—wujud dalam minda orang Malaysia yang dikaji? Apakah mereka memahami diri mereka sendiri melalui kategori seperti ini? Jika di Amerika, kategori-kategori seperti ini sememangnya mencerminkan identiti yang ada di sana kerana bukan sahaja dalam bidang Antropologi dan Sosiologi tetapi juga dalam masyarakat mereka sendiri. Ada golongan itu dan ini. Ada yang menganggap golongan mereka kulit putih dan kulit hitam. Namun, adakah itu berlaku di Malaysia? Kerana kita telah mengimport kategori itu. Semua bidang itu kita import dan kita gunakan tanpa kupasan. Jadi, jika kita benar-benar membikin grounded theory, bermakna kita akan menghapuskan kategori ini daripada minda kita. Kita bermula betul-betul daripada ground. Mungkin kita dapat menghasilkan kategori yang lain yang baharu.

EHSAN SHAHWAHID: Ada banyak persoalan-persoalan yang sebenarnya ingin ditanyakan kepada Prof. Dr. Syed Farid. Sedikit sebanyak kerana latar belakang minat kajian saya dan apa yang ingin saya fahami juga berkaitan dengan Sosiologi Agama yang mana itu adalah salah satu bidang kepakaran Prof. Dr. Syed Farid. Dalam syarahan tadi banyak menjelaskan tentang bagaimana unsur-unsur kolonial telah turut membentuk bagaimana kita memahami beberapa perkara yang penting khususnya kita masyarakat Malaysia termasuk yang disebutkan tadi tentang konseptualisasi Hindu itu sendiri sebagai banyak agama dipengaruhi oleh kolonial. Minat saya adalah berkaitan dengan Islam sendiri. Sejauh mana bagaimana kita memahami atau bersentuhan dengan wacana berkaitan Islam itu sekarang sebenarnya turut banyak mengandungi unsur-unsur atau diwarisi oleh konseptualisasi yang lebih berbentuk kolonial daripada satu bentuk yang lebih mandiri. Salah satu contoh yang kita boleh lihat kepada peruntukan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan kita sendiri ‘Islam sebagai ugama Persekutuan’ itu menjadi point penting dalam isu-isu kemasyarakatan yang melangkaui dunia pengetahuan dan akademia, sedangkan konsep keagamaan yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri adakah ia sebenarnya juga mengandungi unsur-unsur melalui tradisi yang berbentuk kolonial seperti digunakan oleh banyak sistem kenegaraan lain. Bukan itu sahaja. Sistem perundangan itu juga masih lagi dipengaruhi elemen kejajahan. Banyak institusi keagamaan, institusi kemasyarakatan. Institusi keagamaan contohnya ada beberapa artikel yang cuba melihat bagaimana institusi keagamaan moden Islam, khususnya dalam negara bangsa moden ini sedikit sebanyak ada resemble of the history of the churches, khususnya sejarah Kristian di Eropah atau Barat. Begitu sedikit sebanyak pertanyaan saya. Mungkin Prof. Dr. boleh berikan pandangan atau jawapan. Silakan.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Ia sesuatu yang agak susah untuk kita selesaikan. Kemungkinan untuk kita berbalik kepada identiti yang hilang atau identiti zaman dahulu, itu tidak mungkin. Tidak mungkin kembali kepada identiti zaman dahulu untuk mencari identiti Melayu yang tulen sebelum pengaruh dari Barat. Dari dahulu ada pengaruh, sehingga selama-lamanya kita merupakan masyarakat yang hibrid atau yang dipengaruhi oleh banyak pengaruh. Jadi, itu tidak mungkin. Apa yang penting ialah apa caranya kita mengalami dan memahami pengaruh-pengaruh yang datang dari beberapa tempat. Itu yang penting. Jadi, kita tidak boleh menolak pengaruh dari Barat kerana kita di Malaysia ialah produk daripada beberapa tamadun iaitu tamadun pra Islam yang dikatakan mereka sebagai tamadun Hindu-Buddha. Ada legasi Islam. Islam sendiri dipengaruhi oleh beberapa lapisan penjajahan: Portugis, Belanda, Inggeris dan sebagainya. Selepas kita menolak mereka dan mencapai kemerdekaan, legasi itu masih ada. Itu tidak boleh dinafikan, ditolak dan tidak mungkin boleh ditolak. Yang kita dapat lakukan adalah untuk mencipta satu identiti yang baharu termasuk ilmu yang baharu, penghasilan ilmu baharu yang lebih kreatif yang sedar akan kemungkinan untuk kita memilih daripada beberapa sumber. Begitu juga dengan négritude. Gerakan négritude pada zaman Aimé Césaire, Frantz Fanon dan sebagainya, mereka menolak kolonialisme, rasisme dan sebagainya tetapi mereka tidak mengatakan bahawa segalanya yang datang dari Barat itu harus ditolak. Mereka tahu bahawa itu tidak mungkin. Pada masa yang sama, mereka memahami bahawa ada alat pemikiran, konsep dari Barat yang kita memperalatkan untuk mengkritik Barat dan untuk mengembangkan teori négritude. Begitu juga dengan kita.

Contohnya, karya Mitos Peribumi Malas itu berdasarkan pendekatan dari Eropah bersandarkan konsep ideologi. Ideologi itu tidak bermakna idea. Banyak mahasiswa menyangka bahawa ideologi itu sama dengan idea atau gagasan. Tetapi ideologi itu merupakan satu konsep. Ia merujuk kepada gagasan yang memutar belitkan kenyataan dan dalam memutar belitkan kenyataan, ia berfungsi untuk memajukan kepentingan golongan yang mempunyai ideologi itu. Itu yang dimaksudkan dengan ideologi. Jadi, ilmu orang Barat atau orang Inggeris pada zaman penjajahan mengenai orang Melayu merupakan ideologi kerana ia memutar belit kenyataan bahawa orang Melayu pada dasarnya adalah malas dan sebagainya. Itu merupakan satu pemutar belitan sejarah tetapi berfungsi untuk memajukan kepentingan golongan atau kelas pemodal atau kapitalis Inggeris pada zaman penjajahan. Jadi, konsep ideologi ini yang telah dikenal pasti oleh Karl Marx dan telah dikembangkan oleh Karl Mannheim dalam buku Ideology and Utopia: An Introduction To The Sociology Of Knowledge adalah satu karya yang sangat penting dalam sejarah Eropah. Ia diambil oleh Syed Hussein Alatas dan dijadikan satu teori kupasan terhadap penjajahan. Maka, boleh kita katakan itu dari Eropah? Sememangnya ia berasal dari Eropah tetapi tidak digunakan secara Eurosentrik. Ia digunakan demi kepentingan kita sendiri. Hal ini bererti bahawa kita menggabungkan kepentingan kita dengan ilmu dari Barat. Jadi, saya rasa cara kita sama ada di peringkat penghasilan ilmu atau di peringkat kehidupan amali, praktikal, seperti sistem perlembagaan, sistem ekonomi dan sebagainya berjalan dengan cara hibrid iaitu menggabungkan apa yang terbaik dari sini dan dari sana—sama ada Eropah, tradisi kita sendiri atau tradisi yang lain yang bukan Eropah dan bukan Melayu. Saya rasa gabungan atau hybridity ialah caranya. Identiti kita ialah identiti yang hibrid. Tidak ada identiti yang tulen, tidak wujud.

ZAHARUL ABDULLAH: Saya ada soalan yang ringkas, tetapi tidak berkaitan dengan tajuk pembentangan. Saya ada membaca berkenaan teori negara kleptokratis yang ditulis oleh Prof. Dr. pada tahun 1999. Saya ingin tahu apa kesamaan dan perbezaan teori negara kleptokratis dan konsep negara predatory yang diutarakan oleh Peter B. Evans pada tahun 1989.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya kenal karya Peter B. Evans tetapi sudah lama tidak membacanya. Saya kurang pasti apa yang beliau katakan mengenai predatory state. Saya terlupa. Boleh saudara sebutkan serba sedikit tentang teori itu?

ZAHARUL ABDULLAH: Saya ada menulis satu artikel tentang negara kleptokratis di Malaysia yang tentunya menggunakan teori negara kleptokratis oleh Prof. Dr. dan predatory state oleh Peter B. Evans. Secara dasarnya, negara predatory itu dibincangkan khususnya daripada aspek atau hubungan antara negara dan masyarakat…

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Kalau saya tidak silap, predatory state merujuk kepada kategori yang lebih luas daripada negara kleptokratis kerana predatory state itu adalah negara yang tindakannya merugikan masyarakat. Akan tetapi, merugikan masyarakat tidak semestinya melalui rasuah. Ada kemungkinan negara atau state dapat merugikan masyarakat secara hukum. Tidak semestinya melalui cara yang tidak hukum. Faham tidak? Maksud saya, bagi predatory state, ada kemungkinan negara atau pemerintah yang berkuasa merugikan masyarakat dengan cara yang legal, secara hukum. Tidak semestinya melalui cara yang illegal seperti rasuah. Di satu state yang begitu berkuasa, situasinya sehingga hukum-hukum negara itu lebih merugikan masyarakat. Itu semua dapat berlaku tanpa rasuah. Akan tetapi, negara kleptokratis berlaku dengan negara itu sendiri melanggar hukum-hukum negara. Jadi, kita boleh katakan bahawa negara kleptokratis adalah satu jenis negara predatory, tetapi negara predatory pula tidak semestinya menjadi negara kleptokratis. Selain itu, teori negara kleptokratis adalah contoh teori yang dihasilkan secara bebas daripada Eurosentrisme kerana ia merupakan satu teori yang menjelma dalam konteks kita sendiri. Teori kleptokratis merujuk kepada bukan sahaja negara yang terlibat dalam rasuah kerana hampir semua negara termasuk di Eropah dan Amerika terlibat dalam rasuah. Di semua negara, ada ahli politik dan ahli pemerintah, ahli kerajaan yang terlibat dalam rasuah. Itu merupakan suatu yang universal. Namun, biasanya di Barat, rasuah tidak menjadi cara utama untuk mengumpulkan modal. Begitu juga di negara-negara yang agak bebas daripada rasuah seperti di Singapura. Di Singapura ada rasuah tetapi kita tidak boleh mengatakan rasuah merupakan cara utama untuk mengumpulkan modal. Namun, di negara kleptokratis, kita menamakan negara itu sebagai negara kleptokratis sebab bukan sahaja ada rasuah tetapi rasuah itu menjadi cara utama untuk mengumpulkan modal sehinggakan ada seorang ahli Ekonomi Politik di Sudan pada 30 tahun yang lalu Ibrahim Kursany yang mana beliau menyatakan rasuah itu the fifth factor of production kerana dalam bidang ekonomi ada tiga hingga empat faktor bagi produksi iaitu tanah, buruh, modal dan keusahawanan. Beliau mengatakan rasuah itu ialah the fifth factor of production. Jadi, rasuah sudah menjadi begitu tersebar. Sudah menjadi suatu yang biasa. Ini boleh dikatakan sebagai suatu gagasan atau teori yang muncul daripada data.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Dr. Farid atas jawapan dan Zaharul atas pertanyaan itu tadi. Saya ingin membuka ruang akhir untuk sebarang pertanyaan. Jika ada mana-mana peserta ingin mengajukan soalan, saya persilakan sekarang.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya ingin menambah mengenai masalah Eurosentrisme ini dan tugas kita sebagai sarjana, sebagai pensyarah. Sememangnya ini merupakan satu masalah yang sukar untuk ditangani. Selain itu, sesuatu yang amat memalukan dengan masalah Eurosentrisme ini sebab kalau kita bandingkan bidang-bidang yang mengkaji tentang Nusantara – apa yang kita panggil sebagai Malay Studies, Indonesian Studies tetapi yang dimaksudkan dengan itu ialah segala bidang yang berkaitan dengan pengkajian tentang Nusantara: Malaysia, Indonesia, Brunei dan sebagainya. Kalau kita bandingkan bidang-bidang itu dengan rantau yang lain seperti Southeast Asian Studies atau Indian Studies atau Middle Eastern Studies atau Arab Studies atau Persian Studies atau Ottoman Studies atau Latin American Studies. Satu perbezaan yang sangat penting, bidang selainnya tidak dikuasai oleh orang Barat, mereka sendiri dalam negeri mereka sendiri telah menghasilkan gagasan dan teori yang memainkan peranan penting dalam menentukan bidang itu. Contohnya bidang mengenai Timur Tengah, Islam di Timur Tengah. Ada banyak tokoh mereka dari rantau itu. Edward W. Said, Anouar Abdel-Malek, Abdul Latif Tibawi, George Antonius. Ramai dalam kalangan ahli Antropologi, Sejarah dan lain-lain. Begitu juga dengan sejarah Uthmaniah. Bukan hanya orang Barat yang menentukan perkembangan dalam pengajian tentang sejarah Uthmani. Ada ramai sejarawan dari Turki – Halil İnalcık, Kemal Haşim Karpat sebagai contoh. Bagaimanapun, di rantau kita sendiri, cuba lihat. Hampir di semua bidang sepanjang yang menyangkut dengan Ilmu Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Hampir dalam semua bidang, konsep yang utama, teori yang utama dan terkenal dihasilkan oleh orang Barat. Contohnya, Sosiologi dan Antropologi. Kajian mengenai Indonesia. Konsep paling terkenal dan paling tersebar dan telah menentukan bidang itu – konsep abangan, santri, priyayi, konsep aliran memang berasal daripada Bahasa Indonesia, daripada orang Jawa. Tetapi dihasilkan oleh Clifford Geertz, oleh Antropolog Barat. Begitu juga di Malaysia, karya-karya sejarah yang terkenal oleh Anthony Reid, Anthony Milner, Leonard Andaya dan Barbara Andaya. Mereka bukan sahaja terkenal tetapi menguasai ilmu itu. Bukan kita sendiri. Perkara ini sangat memalukan. Saya rasa Kerajaan kita tidak sedar tentang masalah ini. Maka, apakah yang boleh kita buat untuk mengubah keadaan ini—yang memalukan ini?

EHSAN SHAHWAHID: Baik Prof. Dr. Saya bacakan juga satu ulasan di ruangan chat oleh Dr. Por Heong Hong dari Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau menyatakan, “…Eurocentrism is deeprooted in the higher education in East Asia and Singapore, but not so much in Malaysia. As far as the public universities are concerned, there is a paradox in terms of academic appraisal. On the top, the administrators (often people with science and engineering background) rely heavily on so called ISI/Scopus etc. or what you call external and Western oriented recognition, to evaluate an academic. Yet, in actual promotion, these parameters are sometimes, if not often, circumvented, especially when non-academic and political forces come into play. On the surface, Eurocentrism appears to be dominant, but there is always a strong current of resistance against this top-downly implemented Western parameter oriented reform…”.

Berkaitan dengan komen ini, saya juga ingin menambah untuk perbincangan bagaimana kita melihat institusi pengajian universiti itu sendiri dalam menghasilkan intelektual termasuklah pada baru-baru ini menjadi satu perbincangan yang hangat di media. Contohnya terdapat laporan tentang sama ada 2500 profesor di negara Malaysia kita ini mencapai kualiti yang diperlukan dan berkredibiliti. Ada pihak yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Malah, baru-baru ini, terdapat persoalan sama ada seseorang yang mempunyai PhD itu sendiri ialah ciri penting sebagai seorang intelektual di Malaysia. mungkin sebagai penutup perbincangan pada malam ini, Prof. Dr. boleh memberikan respons terhadap tahap institusi pengajian tinggi, institusi akademik atau intelektual itu sendiri termasuklah komen yang diberikan oleh rakan kita tentang sejauh mana kita perlu bersandar kepada penilaian dan ukuran oleh sistem universiti yang bersifat Eurosentrisme dengan terkejar-kejar untuk memenuhi piawai akademik mahupun intelektual. Silakan Prof. Dr. untuk memberikan ulasan dan penutup kepada syarahan pada malam ini.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya rasa sepanjang yang menyangkut academic appraisal itu masalahnya bukanlah ia Eurosentrik. Masalahnya, ia terlalu teknikal. Itu yang menjadi masalah. Sememangnya kita perlu mengadakan satu sistem untuk penilaian sarjana kita. Akan tetapi, yang menjadi masalah bukan appraisal system tetapi sikap kita. Masalah gila ranking bukan? Itu yang menjadi masalah. Jika kita diminta menulis dan menerbitkan makalah, hanya di jurnal-jurnal Barat iaitu SCOPUS atau ISI. Bermakna kita perlu menulis dalam Bahasa Inggeris. Maka, ini bermakna kita akan mengelakkan daripada menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Perkara ini sedang berlaku. Teman saya yang menjadi editor sebuah jurnal Sosiologi dalam Bahasa Arab di Beirut, nama jurnal itu E-Rafat. Beliau berkata bahawa jurnal itu sukar untuk mendapatkan sumbangan dalam Bahasa Arab yang berkualiti tinggi kerana yang mampu menulis memperuntukkan waktu untuk menulis makalah dalam jurnal dalam Bahasa Inggeris bagi jurnal-jurnal di luar negeri seperti Amerika dan Britain. Oleh itu, mereka yang menyumbang dalam jurnal itu adalah yang berkualiti rendah.

Saya rasa begitu juga di Malaysia. Biasanya ada perbezaan dalam standard. Jika kita bezakan apa yang ditulis dalam Bahasa Melayu dengan apa yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, itu tidak boleh disalahkan kepada Bahasa Melayu, sikap kita terhadap bahasa. Kalau pentadbir universiti Kerajaan, Kementerian kalau mereka katakan bahawa kita tidak akan membezakan antara jurnal ISI dan SCOPUS, jurnal Amerika dan Britain, tidak ada beza antara jurnal itu dengan jurnal-jurnal tempatan, asalkan jurnal tempatan itu mempunyai standard dan kualiti yang tinggi. Proses penilaian artikel dan sebagainya mempunyai taraf yang tinggi. Sama ada jurnal itu ialah SCOPUS atau tidak, itu tidak penting. Jadi, mesti dilantik editor jurnal dan sebagainya yang bertaraf tinggi. Maka, soal sama ada jurnal itu SCOPUS atau ISI tidak timbul sama sekali. Jika pihak pentadbir universiti menyatakan bahawa pensyarah menyumbang artikel kepada jurnal seumpama itu, timbal balas sama dengan sumbangan jurnal ISI dan SCOPUS di Amerika dan Britian sebab kita sudah berpuas hati bahawa taraf jurnal itu sama. Senang untuk melakukan itu. Senang jika Ketua Jabatan, Dekan dan Naib Canselor di universiti terdiri daripada orang yang betul-betul merupakan sarjana atau memahami kesarjanaan.

Namun demikian, andai kata mereka bukan pentadbir yang memahami kesarjanaan, bermain politik atau lantikan politik. Mereka dilantik kerana credential politik mereka, mampus lah sistem pendidikan kita. Saya ingin sebut tentang institusi kita di Malaysia dan Singapura. Institusi kita di Singapura sangat Eurosentrik sama seperti di Malaysia. Cuma perbezaannya Eurosentrisme di Singapura wujud pada taraf yang lebih tinggi. Kalau di Malaysia, masih ada Eurosentrisme tetapi ia digabungkan dengan permainan politik dan bermacam-macam masalah.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Prof. Dr. Syed Farid Alatas atas syarahan dan komen-komen yang diberikan atas soalan-soalan. Terima kasih juga kepada teman-teman atas pertanyaan-pertanyaan yang diberikan yang saya yakin sedikit sebanyak dapat membantu rakan-rakan Naratif Malaysia memperbaik pemahaman dan pengetahuan kita sendiri. Semoga kita bertemu lagi dalam sesi syarahan, perbincangan Naratif Malaysia yang akan datang.

Rujukan

Abu Rayhan al-Biruni. 1958. Kitab al-Bīrūnī fī Taḥqīq mā li-al-Hind. Hyderabad: Osmania Oriental Publication Bureau.

Evans, Peter B. 1989. Predatory, Developmental, and Other Apparatuses: A Comparative Political Economy Perspective on the Third World State. Sociological Forum, 4: 561-587

Ibn Khaldun. 1969. The Muqaddimah: An Introduction to History. Terj. Rosenthal, F. Princeton: Prince.

Mannheim, K. 1960. Ideology and Utopia : An Introduction to the Sociology of Knowledge. London: Routledge & Kegan Paul.

Smail, J.R.W. 1961. On the Possibility of an Autonomous History of Modern Southeast Asia. Journal of Southeast Asian History, 2(2): 72-102.

Syed Farid Alatas. 1999. Peranan negara dan pembangunan: ke arah sebuah teori negara kleptokratis. Akademika 54: 3-12.

Syed Hussein Alatas. 1962. Reconstruction of Malaysian History. Revue du Sud-est Asiatique, 3: 219-245.

Syed Hussein Alatas. 1964. Theoretical Aspects of Southeast Asian History. Asian Studies, 11(2): 247-260.

Syed Hussein Alatas. 1977. Intellectuals in Developing Societies. London: Frank Cass.

Syed Hussein Alatas. 1989. Mitos Pribumi Malas: Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina dalam Kapitalisme Penjajahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussein Alatas. 2002. The Development of an Autonomous Social Science Tradition in Asia: Problems and Prospects. Asian Journal of Social Science, 30(1): 150-157.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2011. Historical Fact and Fiction. Skudai: Penerbit UTM.

Syed Farid Alatas merupakan profesor sosiologi dan pengajian Melayu di National University of Singapore (NUS). Manakala teks ini merupakan transkripsi daripada Syarahan Naratif Malaysia yang beliau sampaikan pada 23 Januari 2021.



Categories: Rencana

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: