Mahasiswa dan Masyarakat: Bagai Aur dengan Tebing

“Bila dah sambung belajar, senang dapat kerja, gaji pon banyak..”
“Nanti nak cari calon suami/isteri, carilah di universiti..”

Dialog di atas sering jadi ratib para tenaga pengajar di sekolah, mahupun suri tauladan di rumah yang membuatkan sejak awal lagi fikiran mahasiswa akan kemahasiswaan itu sekadar berlegar sekitar hal-hal diri sendiri, serta masa hadapan mereka seusai tamat pembelajaran di menara gading.

Kehidupan mahasiswa umumnya sering terlalu fokus terhadap pembelajaran akademik. Banyak juga aktiviti berpersatuan di fakulti dan kolej kediaman yang dijalankan mahasiswa. Namun, tujuan mahasiswa berpersatuan selalunya sekadar untuk mencapai merit tinggi yang mereka perlukan agar dapat terus tinggal di kolej kediaman sepanjang proses pembelajaran mereka, dan kemudiannya boleh jadi isian menarik dalam resume. Selain itu, rata-rata mahasiswa gemar membudayakan ‘lepak dan minum’ di kedai mamak hingga lewat malam.

Oleh yang demikian, sudah menjadi pandangan umum bahawa golongan mahasiswa tidak banyak berperanan, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Mungkin sahaja pandangan ini benar, bahawa kesedaran mahasiswa terhadap masyarakat sekeliling mereka sudah berkurang. Tidaklah pokok bergoyang jika tidak ditolak angin.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kurang sumbangan, serta tahap kesedaran mahasiswa akan peranannya dalam masyarakat, yang akan dibincangkan di bawah.

Pertama, faktor ekonomi menyukarkan mahasiswa sepenuh masa yang perlu membayar kos yuran yang mahal setiap semester demi mendapatkan segulung ijazah. Dengan pinjaman yang hanya ala kadar, mahasiswa harus berkerja separuh masa bagi menyara kehidupan sendiri, serta sebahagiannya dapat dihulurkan kepada keluarga di kampong. Mahasiswa terpaksa bekerja di luar waktu kelas dan menyiapkan tugas diberikan oleh pensyarah pada waktu malam. Sukar buat mahasiswa untuk bercampur dengan masyarakat kerana mereka lebih mementingkan duit untuk meneruskan kelangsungan hidup di universiti dan yang paling terkesan dengan permasalahan ini adalah daripada golongan B40. Disebabkan yuran pengajian yang terpaksa ditanggung demi pelajaran adalah mahal, sesetengah daripada mereka membuat keputusan untuk menjaga periuk nasi sendiri daripada turun padang melibatkan diri dengan masyarakat sekeliling. Secara ringkasnya, kehidupan harian mahasiswa sudah dipenuhi dengan tugas-tugas akademik dan kerja separuh masa, yang menghalang mereka untuk bersosial dengan masyarakat sekeliling.

Faktor kedua pula berkaitan akta-akta kawalan, seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Gerakan mahasiswa terkawal sejak pengenalan AUKU pada tahun 1971. Selepas Kesatuan Mahasiswa digantikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar di bawah AUKU, aktiviti dan gerakan mahasiswa telah dikawal ketat oleh pentadbiran universiti menyebabkan lidah mahasiswa ditutup oleh ‘rahang besi’ kerajaan. Persatuan Mahasiswa dan gerakan-gerakan mahasiswa dahulu telah banyak bersuara dan bertentangan dengan pihak kerajaan selepas zaman kemerdekaan. Pendirian Kesatuan Mahasiswa yang cenderung bersifat sosialis dan menentang segala ketidakadilan, seperti rampasan kuasa pentadbiran universiti dan juga demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat terhadap pendudukan tentera Amerika di Vietnam. Kelantangan mahasiswa dalam memperjuangkan isu-isu nasional dan hak-hak ‘rakyat’ amat penting memandangkan nasib rakyat yang dilanda ketidak-adilan sering tidak terbela akibat tindakan penguasa dan ahli-ahli politik yang hanya mengisi tembolok sendiri dan cucu cicitnya. Namun, peranan mahasiswa dalam perjuangan membela rakyat telah direncatkan dengan pengenalan AUKU dan sehingga kini, ianya masih tidak dimansuhkan.

Faktor ketiga pula berkenaan pengaruh ahli-ahli politik terhadap mahasiswa. Orang-orang politik telah mempengaruhi minda mahasiswa, khususnya melalui tangan-tangan halus yang mencampuri hal-hal pentadbiran universiti. Lebih daripada itu, agenda tersembunyi ahli-ahli politik turut dapat dikesan di sebalik penubuhan gerakan-gerakan politik mahasiswa di kampus. Pengaruh ahli-ahli politik ini menarik mahasiswa untuk menyebelahi mereka melalui doktrin-doktrin, serta isu-isu politik luar kampus yang membawa kepentingan mereka, termasuklah memainkan sentimen perkauman dan agama. Kesannya, mahasiswa cenderung menjadi lebih selektif dalam berkhidmat untuk masyarakat, serta hanya membantu golongan yang membawa faedah kepada ahli-ahli politik. Mahasiswa sepatutnya bersifat neutral dan ‘pukul-rata’ dalam memperjuangkan nasib masyarakat, bukannya mengikut telunjuk orang-orang tua partisan yang mempunyai agenda dan impian yang tersendiri.

Berdasarkan perbincangan faktor-faktor kurang tahap kesedaran, serta sumbangan mahasiswa, terhadap masyarakat seperti yang dibincangkan di atas, penting para mahasiswa menilai kembali pembelajaran ilmu dan peranan mahasiswa dalam masyarakat. Siswoyo menghuraikan berkenaan mahasiswa dalam ilmu pendidikan ialah individu yang sedang menuntut ilmu di peringkat pembelajaran yang lebih tinggi seperti di universiti. Mahasiswa dinilai sebagai insan yang mempunyai tahap kepintaran yang tinggi, berfikiran secara kritis dan mampu berfikir dengan cepat sebelum bertindak, sekaligus wajar memainkan peranan sebagai intelektual dalam masyarakat.

Saya petik kata-kata Usman Awang yang menyebut, “Intelektual ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya dari semasa ke semasa. Orang tersebut yang mengenal kebenaran perlu berani memperjuangkan kebenaran dan kebebasan walaupun ditekan dan dikecam demi melaksanakan kemajuan dan kebebasan rakyat..”. Oleh itu, mahasiswa harus dikenali sebagai golongan intelektual muda perlu menghadam dan mendalami maksud petikan tokoh di atas kerana peranan sebenar mahasiswa adalah memperjuangkan nasib kehidupan rakyat.

Pada zaman kebangkitan Eropah dahulu, golongan muda mereka yang merantau dan belajar di universiti-universiti Islam seperti di Cordova, juga di Baghdad, akan pulang ke tanah kelahiran mereka dan menyampaikan ilmu yang dipelajari seperti ilmu falsafah, kejuruteraan dan sains. Sebagai contoh, Roger Bacon, seorang ahli falsafah yang mempelajari sains dan metodologi dahulunya memperoleh banyak ilmu daripada tokoh ilmuwan Islam seperti Al-Farabi. Dari sudut ini kita dapat melihat ilmu itu perlu dikongsi dalam menaikkan taraf hidup masyarakat pada zaman kebangkitan dahulu.

Hakikatnya, penerapan corak pemikiran yang betul kepada mahasiswa adalah perlu dalam melahirkan golongan intelektual yang berperanan penting dalam masyarakat. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Semestinya bermula daripada ibu bapa dan guru sekolah menerangkan tujuan dan keperluan dalam mencari makna kehidupan. Seperti yang dikatakan oleh Simon Sinek dalam Leaders Eat Last in Leadership, adalah pentingnya berimpian dan mencari makna sebenar dalam merealisasikan impian tersebut. Wujudnya tujuan dan hikmah yang tersendiri terhadap seseorang itu hidup dan meneruskan kehidupannya. Dan tentu sekali pembelajaran ilmu di peringkat tinggi, dan realisasi makna kehidupan hanya dapat dicapai selari dengan sumbangan golongan mahasiswa terhadap masyarakat.

Pada tahun 2019, mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menggerakkan inisiatif SULAM, Service Learning Malaysia – University for Society dimana tujuannya adalah menggabungkan teori dipelajari mahasiswa sewaktu di kampus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masyarakat, atau dengan kata mudah, mahasiswa sendiri yang mampu memajukan kehidupan masyarakat. Membangunkan masyarakat itu tidak terletak kepada menteri sahaja, malah menjadi tanggungjawab mahasiswa dalam mewujudkan masyarakat madani. Penerapan pendidikan sivik dan kewarganegaraan ini perlu dititikberatkan untuk memupuk semangat patriotik dan kesedaran terhadap kehidupan dalam komuniti, lantas menerapkan sikap bertanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan di sekeliling kita.

Krisis pandemik Covid-19 masa ini sangat mengganggu pembangunan negara kita, khususnya dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kelas pembelajaran atas talian yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pelajaran Tinggi kepada semua institusi pelajaran amat memberi kesan kepada golongan mahasiswa. Aktiviti berpersatuan dan program yang dijalankan secara fizikal telah diberhentikan dan merencatkan perancangan mahasiswa dalam beraktiviti secara berkumpulan di kampus.

Namun begitu, mahasiswa perlu kreatif untuk mencari kesempatan dalam kesempitan saat pandemik ini. Terdapat banyak peluang untuk mahasiswa bersosial dan menceburi bidang yang memperoleh wang walaupun di rumah. Kita berada dalam zaman Revolusi Industri 4.0, di mana teknologi tinggi mendasari aktiviti harian kita. Banyak keperluan yang dimudahkan oleh teknologi semasa, seperti telefon pintar. Mahasiswa boleh berniaga kecil-kecilan secara atas talian dan dapat menjana simpanan kewangan walaupun berada di rumah dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran perniagaaan. Krisis pandemik ini juga dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa dalam bersosial dengan masyarakat. Misalnya, mahasiswa boleh meluangkan masa dengan membuka kelas tuisyen untuk pelajar sekolah di rumah. Teknik ini dapat membantu golongan pelajar memahami subjek pelajaran walaupun tiada guru sekolah. Lebih-lebih lagi peluang ini dapat membantu pelajar sekolah dari golongan B40 yang tidak mendapat manfaat khidmat private home tutor yang mana bayarannya jauh lebih mahal.

Oleh itu, dengan peningkatan berterusan bilangan mahasiswa saban tahun dengan kemudahan, serta galakan pihak kerajaan melalui biasiswa dan pinjaman, sewajarnya mampu memberikan harapan yang cerah untuk mencapai cita-cita dan membawa kesenangan kepada golongan anak muda yang mahu menyambung pelajaran lebih tinggi. Mahasiswa masa ini, bergelar pemimpin masa hadapan, perlu menimba ilmu, serta turun padang dan melibatkan diri dengan kesukaran hidup rakyat, membantu sebaik mungkin dalam menaikkan taraf hidup mereka dan masyarakat, seterusnya meneraju kesejahteraan negara pada masa hadapan. 

Dalam kata lain, mahasiswa dan masyarakat laksana aur dan tebing: berpisah dengan masyarakat bererti lenyapnya citra mahasiswa yang sebenar-benarnya.

Muhammad Danial Afif Mohd Razafa merupakan ahli eksekutif Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.



Categories: Rencana

Tags:

1 reply

Trackbacks

  1. { SEPERTI AUR DENGAN TEBING } - Maksud Peribahasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: