Kajian Masyarakat Syed Hussein Alatas

Abstrak

Syed Hussein Alatas telah menghasilkan banyak karya yang disifatkan bertaraf dunia, termasuklah “The Myth of the Lazy Native”. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui kepelbagaian dimensi beliau. Selain sebagai ahli sosiologi, beliau sebenarnya pernah berkecimpung dalam politik menerusi Parti Gerakan dan PEKEMAS. Sebagai antara pengasas Parti Gerakan, beliau memperlihatkan kesungguhannya untuk menerjemahkan pemikiran kepada tindakan. Lantaran itu, ini menjadikan Alatas sebagai antara pemikir yang berani untuk bergelumang dalam merealisasikan ideanya ke dalam dunia nyata. Sifat komprehensif yang ada dalam diri Alatas ini menjadikan beliau sebagai sosok yang menarik untuk semua golongan: sama ada peminat politik mahupun peminat pengetahuan. Sehubungan dengan itu, terdapat suatu keperluan untuk memantapkan kajian masyarakat menurut pemikiran Syed Hussein Alatas. Meskipun sudah ada beberapa kumpulan yang merancakkan pemikirannya dalam kegiatan separa-akademik, namun, sambutan di peringkat universiti tempatan masih lagi tidak memadai, lebih-lebih lagi jika mahu ditinjau pemikirannya dengan perkembangan sosial dan politik semasa. Kupasan mengenai kedudukan ‘Melayu terancam’ menurut pandangan Syed Hussein Alatas, jelas sekali, belum diteroka sepenuhnya. Justeru itu, Naratif Malaysia (NM) ingin menyambut usaha ini dengan mengerakkan suatu kumpulan yang dinamakan sebagai Kajian Masyarakat Syed Hussein Alatas. Tujuan utama daripada usaha ini ialah untuk meninjau kesesuaian pemikiran Syed Hussein Alatas dalam menjawab permasalahan politik dan sosial dewasa ini. Antara program yang boleh dilakukan ialah menerusi seminar, bengkel, wawancara serta kumpulan membaca yang kecil. Adalah diharapkan hasil daripada semua program ini dapat dibukukan ataupun sekurang-kurangnya diterbitkan dalam http://www.naratifmalaysia.com.

Rakan kerjasama: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) & IKMAS

%d bloggers like this: