Mencipta Ruang-Fikir untuk Naratif Politik

Tema: Creating Think-Space for Political Narratives
Tempoh penyelidikan: Jun 2020 – November 2020
Bentuk aktiviti: Kuliah, Bengkel, Sidang mejabulat, Wawancara
Penaja: MARI, USAID, US Embassy

Abstrak

Dunia abad ke-21 menyaksikan perubahan besar. Pertamanya berhubung dengan mega trend dunia yang merangkumi arus konvergen, arus divergen serta arus berlawanan. Antaranya seperti kebangkitan semula globalisasi oriental, peningkatan perasaan kebangsaan sempit yang cenderung kepada penolakan multiculturalism, perubahan teknologi yang exponential serta kemunculan ancaman-keselamatan-bukan-konvensional rentas negara seperti pandemik kesihatan, jaminan keselamatan makanan dan alam sekitar. Perubahan besar kedua pula berhubung dengan perkembangan dalam negara seperti transisi politik negara, hubungan antara kaum dan agama serta agenda pendemokrasian. Perkembangan di peringkat antarabangsa dan dalam negara ini pastinya saling berkait dan tentu sekali menuntut perhatian ramai lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang prihatin kepada isu dan persoalan sains sosial. Hal ini kerana perubahan ini telah memberi kesan kepada cara hidup kita bernegara dan bermasyarakat baik daripada segi politik, sosial mahupun ekonomi. Kesemua ini memerlukan perbahasan dan artikulasi baharu bagi menjelaskan fenomena ini sama ada di peringkat epistemologi, ontologi, metodologi dan secara empiris. Hal ini adalah penting dalam mengemukakan idea, konsep, teori dan tindakan baharu bagi menanganinya serta mengubah kehidupan masyarakat. Meskipun tradisi sains sosial di Malaysia boleh ditelusuri seawal tahun-tahun tiga puluhan dan empat puluhan pada abad ke-19 melalui karya-karya Abdullah Munshi, namun akhir tahun 1960-an dan 1970-an merupakan titik peralihan penting dalam sejarah sains sosial di Malaysia dengan berkembangnya universiti di negara ini bersama pembangunan pesat dalam banyak sektor lain sehingga membawa kepada perbahasan mengenai peranan dan orientasi sains sosial ketika itu. Pada ketika itu, antara teras perbahasannya adalah berkaitan pembinaan orientasi sains sosial yang lebih menepati keperluan negara membangun sebagaimana Malaysia ketika itu agar dapat keluar daripada perspektif sains sosial yang sarat Eropah (Euro-centrism). Maka, setelah lebih 50 tahun, bersama dengan perkembangan masyarakat, perbahasan ini harus diteruskan dan diulang fikir. Bagi menyambung tradisi intelektual sains sosial ini, usaha yang dirintis sebelum ini harus ditekuni dan dihubungkan dengan realiti semasa bagi memberikan konteks yang lebih luas kepada generasi penyelidik kini. Apakah cabaran masa kini kepada sains sosial dan bagaimana harus ditanggapi? Untuk itu, projek penyelidikan mengenai perkara ini adalah wajar untuk dilaksanakan. Projek penyelidikan yang bertema, “Creating Think-Space for Political Narratives” diusahakan dengan kerjasama IKMAS, UKM, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat.

%d bloggers like this: